Arigatougozaimasu Aunty Ros…


“Aunty rasa, lagi elok kalau kakak panggil aunty mama,” katanya suatu hari.

“Lagipun, apa orang kata…” ia menambah. Mama? Bukahkah mama itu bererti ibu yang melahirkan, dan mama yang melahirkanku telah kembali menghadap Ilahi. Tanggal Disember 9, 1990 mama pergi tak kembali. Mana mungkin ada mama lain sebagai pengganti.

Benar, ibu yang melahirkan telah meninggalkan aku terkapai-kapai sendiri. Namun, Tuhan itu Maha Tahu segala sesuatu. Tidak ada yang boleh terlepas dari pandangan-Nya. “Tidak Aku bebankan seseorang sesuai dengan kesanggupannya…1” Itu janji-Nya. Rabb tahu aku mampu menerima kehadiran insan baru dalam hidupku. Manusia yang sepatutnya kupanggil ‘mama’.

Ah, aku masih muda dan terlalu mentah. ‘Semuanya ditanggung beres,’ bisik hatiku. Asal aku dapat duit untuk dibawa ke sekolah… dibelikan baju baru … mendapat duit raya daripada ibu… Eh, ibuku telah tiada…

Ya, aku sebenarnya memerlukan seorang mama. Mama yang boleh kusalami tatkala hari raya menjelma. Mama yang boleh menjahitkan pakaian yang cantik-cantik. Mama yang boleh menyediakan santapan untuk dibawa ke sekolah. Naluri seorang anak yang dahagakan kasih sayang seorang ibu dapat dibaca oleh Tuhannya. Maka, dihadirkan seorang wanita yang banyak mengubah hidupku.

“Mama…” begitu berat untuk menyebutnya. Pasti kawan-kawan mentertawakanku. Aku mengaku ia mamaku sedang ‘mama’ itu sama sekali tidak melahirkanku. Aku malu sendiri…

“Kakak, kerja elok-elok…”
“Kakak, baju pengantin sudah mama tempahkan…”
Semuanya ‘mama baru’ yang buat dan tidak pernah pula ia mengharapkan balasan daripadaku. “Bayaran memberi galakan buat kakak, RMXXX…”
“Bayaran mempersiapkan majlis kahwin kakak, RMXXX…”

Tidak! Dengan tulus ia menyayangiku sepertimana ia mengasihi adik-adikku lainnya…adik yang dilahirkan dari rahimnya sendiri. Bukan itu sahaja, ia sanggup membesarkan adikku yang telah ditinggalkan mama sewaktu ia masih merah lagi. Bukankah ia telah menjalankan tanggungjawab seorang ibu sekaligus memainkan peranannya sebagai mama.

Ketahuilah… dirimu bukan aunty… dirimu bukan juga kuanggap seperti ibu tiri tetapi engkaulah ‘MAMA’ku dunia akhirat. Moga kasih kan utuh selamanya…

4.28pm, Taman Simpang Taiping
Labels: | edit post