Tiba-tiba

Malam itu, Mak Munah tidak dapat tidur lena. Sekejap-sekejap ia menuju ke ruang tamu, sekejap-sekejap ia berjalan ke muka pintu. Risau benar Mak Munah. Berkali-kali ia menasihati Khatijah agar tidak ke mana-mana sesudah habis kelas tetapi anak bongsu kesayangannya itu acap kali mengingkarinya. Entahlah, Mak Munah sudah buntu.

“Mak tak tidur lagi?” Tanya Fatimah, anak sulung Mak Munah bersama Pak Karim. Umurnya baru 19 tahun dan kini sedang bekerja di kilang getah Muthusamy. Sejak kematian Pak Karim akibat kemalangan jalan raya tahun sudah, Fatimah mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi meskipun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Alasan yang diberi, ingin membantu Mak Munah yang menghidap penyakit asma di samping memberi peluang kepada adiknya meneruskan pengajian.

“Mak tak mengantuk lagi Timah,” kata Mak Munah perlahan. Jauh di sudut hati, Mak Munah sebenarnya runsing memikirkan keselamatan anak bongsunya. Mak Munah sudah tidak punya siapa-siapa. Hanya Fatimah dan Khatijah yang dia ada. Sebenarnya, Pak Karim adalah suami Mak Munah nombor dua. Suaminya yang pertama telah meninggal dunia seminggu selepas mereka akad nikah. Pak Leman juga terlibat dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan otaknya hancur berkecai. Kain batik yang ingin dihadiahkan kepada isteri tercinta hanyir dek bau darah yang memercik tetapi Mak Munah tidak peduli, kain itulah yang menjadi pengubat hatinya yang lara tatkala ditinggalkan suami terkapai-kapai sendiri sedang waktu itu, ia masih belum bersedia.

“Timah tidur dulu ya mak. Esok, Muthusamy minta Timah masuk kerja awal. Kena uruskan penghantaran getah yang sudah diproses sebelum tengah hari,” Fatimah berkata lembut.
“Baik…” pendek Mak Munah mengiyakan.
“Ada Adik cakap apa-apa?” Mak Munah bertanya.
“Tak ada pula mak. Nanti Timah hubungi dia,” segera Fatimah mengambil telefon bimbit second-hand yang ia beli daripada Sanggetha, anak Muthusamy nombor tiga.

Kring kring… kring kring…
“Assalammualaikum,” Fatimah memberi salam.
“Hello,” kata satu suara. Mata Fatimah yang sedia bulat dibulatkan. ‘Siapa lelaki ni?’ Ia bertanya sendiri.
“Maaf, salah nombor,” cepat-cepat Fatimah meletakkan telefon bimbitnya. Tidak manis bercakap dengan lelaki lewat-lewat malam. Khuatir ada ‘orang’ ketiga tapi… ia perlu mencari adiknya. Fatimah tahu ibunya kini sedang kerisauan. Kalau tidak, masakan ia tidak tidur lagi. Hari ini, seharian ibunya di rumah Mak Som menolongnya menyiang ikan. Maklumlah, esok ada kenduri kesyukuran menyambut kepulangan anak sulung Mak Som yang menuntut di luar negara. ‘Rafiq Rafiq,’ Fatimah tersenyum sendiri mengenangkan teman sepermainannya waktu kecil itu.

Kring kring… kring kring…
“Hello,” kata satu suara. ‘Lelaki ini lagi,’ Fatimah memuncungkan mulutnya.
“Nak cakap dengan siapa?” Lelaki itu bertanya.
“Hmmm…” Fatimah diam sejenak.
“Ini 013-63xxxxx?” Sambungnya.
“Ya, nak cakap dengan Khatty ke?” Diam…
“Hold on ya,” segera lelaki itu menyerahkan telefon bimbit berjenama Sony Ericson kepada empunya diri.
“Siapa?” Kedengaran suara berbisik.
“Tak tahu, tak cakap pun. Kawan you kot,” Lelaki itu menjawab perlahan.
“Hello…” Nah, ini suara Khatijah! Hati Fatimah berdegup kencang. Siapakah lelaki di sisi adiknya itu?
“Assalammualaikum dik. Mak tanya, malam ni balik jam berapa? Dah lewat malam ni,” berhati-hati Fatimah mengeluarkan kata-kata. Adik bongsunya ini bukan boleh diramal mood-nya. Khuatir jika tersalah cakap menyebabkan ia bertindak melulu.
“Alah kakak ni. Bagitau mak, Tijah tak balik malam ni. Ada discussion…” perlahan-lahan ia bersuara.
“Kak, I need to go now. Kena siapkan assignment malam ni juga. See you tomorrow,” Khatijah pun mematikan telefon bimbitnya lantas berlari ke arah teman-temannya yang sedang setia menanti.
“Let’s start,” jerit mereka sambil membuka botol minuman berjenama Bourbon.

“Adik cakap apa?” Tanya Mak Munah cepat-cepat.
“Mak tak perlu risau. Adik ada dengan kawan-kawan dia. Banyak kerja katanya. Mak tidurlah dulu ya,” pujuk Fatimah namun jauh di sudut hatinya, ia juga risaukan keadaan adik bongsunya itu.
“Timah tidurlah. Mak tak mengantuk,” Mak Munah bersuara perlahan. Mana mungkin ia boleh tidur lena bilamana jantung hatinya tidak berada di hadapan mata. Mak Munah berjalan ke arah meja yang terletak di tepi jendela. Dicapainya senaskah Al-Quran yang dihadiahi suaminya dua tahun sudah. Setiap malam, pasti Mak Munah dan Pak Karim bertadarus bersama-sama. Menurut kata Pak Karim, untuk mengikat hati-hati mereka agar terus teguh dan tega dalam menghadapi apa jua dugaan yang datang menimpa. A’uzubillahiminasyaitanirrajim…

*****
“Mana Tijah?” Tanya Mak Som.
“Adik balik lewat semalam Mak Som. Ada perbincangan tugasan dengan kawan-kawan dia,” jawab Fatimah sambil tersenyum.
“Untung Tijah dapat kakak macam kamu Timah. Sanggup berkorban…” Mak Som memuji-muji Fatimah.
“Tanggungjawab saya Mak Som,” balas Fatimah lagi.

Tiba-tiba…
“Assalammualaikum,” tegur satu suara. Kaget, Fatimah kenal suara itu.
“Waalaikumussalam Dr. Raffiq,” jawab Fatimah sambil menundukkan wajahnya ke tanah.
“Dah makan?” Tanya anak teruna Mak Som lagi.
“Alhamdulillah,” Fatimah masih malu untuk memandang lelaki yang berdiri di hadapannya.
“Abang Raffiq!!!” Kedengaran jeritan seseorang. Khatijah berlari-lari anak mendapatkan Raffiq yang terpinga-pinga. Mungkin malu tatkala namanya dijerit begitu kuat. ‘Adik Adik… tetap tak berubah,’ bisik hatinya.
“Timah beransur dulu ya,” kata Fatimah tanpa memandang wajah Raffiq yang masih lagi terpinga-pinga.
“Mana hadiah Adik?” Tanya Khatijah.
“Tak kan balik dari oversea tak bawa apa-apa untuk Adik?” Ia bertanya lagi.
Sambil tersenyum, Raffiq berkata lembut, “Ada… nanti lepas majlis abang bagi. Lepas adik basuh pinggan-mangkuk.”
“Alaaa…” Khatijah merenget manja. Erk… tiba-tiba ia sendawa. ‘Busuknya,’ Raffiq berkata di dalam hati.
“Bau apa ni Dik?” Tanya Raffiq. Ia seperti familiar dengan bau ini tetapi apa ya? Steven, rakan serumahnya sewaktu menuntut di luar negara dulu selalu sahaja mengeluarkan bauan sebegini setiap kali bersendawa.
“Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa. OK, Adik nak pergi makan dulu. Idios,” cepat-cepat Khatijah meninggalkan Raffiq terkebil-kebil sendiri. ‘Apa punya Listerine daaa.. tak hilang pun bau ni,’ Khatijah merungut sendiri.

Dari jauh, Raffiq memerhati Fatimah yang sedang sibuk membantu Mak Munah di ruang dapur. Bagi Raffiq, gadis ini tidak berubah dan kekal lembut sepertimana dirinya dahulu. Jauh di sudut hatinya, ia begitu mengagumi gadis ini. Sanggup mengorbankan diri untuk orang lain. Raffiq sendiri belum tentu mampu menjadi sepertinya.
“Raffiq tengok siapa tu?” Tegur Mak Som sambil tersenyum.
“Eh mak, tak ada siapa-siapa,” Raffiq menggelengkan kepalanya.
“Mak pun berkenan dengan budak tu. Walaupun tak berpelajaran tinggi, mak suka benar tengok perangainya,” luah Mak Som lagi.
“Mak tak kisah ke?” Raffiq berpura-pura bertanya.
“Mak tak ada masalah Fiq. Lagipun, bukan senang nak cari ‘perempuan’ zaman sekarang ni. Bukan tu saja, payah bebenar nak cari ‘anak dara’,” Mak Som berterus-terang.
“Kamu pun dah 27 tahun. Mak pula dah tua, teringin benar nak pegang cucu sendiri…” diam sejenak.
“Kalau kamu berkenan, bila-bila mak pergi masuk meminang,” sambung Mak Som lagi. Raffiq hanya tersenyum.
*****

“Mak, betul ke Mak Som nak datang rumah kita?” Tanya Khatijah teruja.
“Ya sayang, mak pun tak pasti sebab apa. Tergesa-gesa nampaknya Mak Som tu. Katanya, sebelum Raffiq ke Kuala Lumpur nak ‘membereskan’ semuanya,” jawab Mak Munah lembut.
“Bereskan apa mak?” Fatimah pula bertanya perlahan.
“Ala kakak ni. Mestilah nak masuk meminang untuk Abang Raffiq. Akak rasa dengan siapa ya?” Khatijah tersenyum sinis.
“Haha… mestilah dengan Khatty, eh silap Tijah. Tijah dapat masuk kolej, kakak pula kerja kilang. Mana sesuai dengan Abang Raffiq,” tambahnya lagi.

Tiba-tiba…
Uwek uwek uwek…
“Kenapa ni sayang?” Tanya Mak Munah kerisauan.
“Tak ada apa-apa mak. Letih saja banyak assignment,” jawab Khatijah acuh tak acuh. Mukanya lesu tetapi ia cuba untuk bergerak cergas.

“Assalammualaikum,” kedengaran satu suara dari muka pintu.
“Waalaikumussalam, masuklah Mak Som oi,” kata Mak Munah dari ruang tamu. Cepat-cepat Fatimah masuk ke dapur. Segan rasanya bertentang mata dengan Raffiq. ‘Betulkah Mak Som datang merisik dan meminang?’ Ia bertanya sendiri. Ah, biarkan. Yang penting, bukan dia yang dipinang tapi…

“Nampak letih saja adik abang ni. Pucat muka tu,” tegur Raffiq tatkala melihat Khatijah.
“Tak adalah bang. Tak cukup rehat, banyak sangat assignment tapi tak payah risaulah. Dr. Raffiq kan ada,” kata Khatijah sambil mengenyitkan matanya.
“Adik… masuk dalam. Ni perbincangan orang tua,” Mak Munah berkata tegas. Fatimah kemudiannya keluar sebentar ke ruang tamu dengan membawa minuman. Selepas bersalaman dengan tetamu wanita yang berkunjung ke rumah, cepat-cepat ia masuk kembali ke dapur.

“Diorang bincang apa ye kakak?” Khatijah mencebikkan bibir.
“Tak tahulah pula kakak,” jawab Fatimah sambil memandang wajah adiknya yang lain daripada biasa.
“Kenapa muka ni lain macam saja. Mari, kakak tengok,” kata Fatimah lagi lantas menjamah dahi adiknya. Panas…
“Tak ada apa la kak. Eh, diorang dah abis dah tu. Jom keluar,” ajak Khatijah sambil menarik tangan kakaknya.
“Tak boleh! Tunggu mak panggil,” Fatimah membulatkan matanya yang sedia bulat.
“Tak sporting la kakak ni,” Khatijah menjelirkan lidahnya.

“Timah, Tijah… mari sekejap,” panggil Mak Munah perlahan. Cepat-cepat Khatijah berjalan ke ruang tamu mendapatkan ibunya.
“Ikutkan, mak nak bincang malam ni tapi Raffiq pula tak menyempat nak tahu keputusan…” Mak Munah diam sejenak.
“Timah…” nama Fatimah disebut.
“Raffiq nak memperisterikan Timah…” diam lagi.
“Kalau boleh, keluarga Mak Som nak Timah dan Raffiq akad nikah dulu. Lepas tu, Timah ikut Raffiq ke Kuala Lumpur,” Mak Munah berkata lembut sambil memandang wajah puteri sulungnya.
Fatimah kaget! Semua mata memerhatinya tanpa berkelip. ‘Ada ka patut tanya express macam ni?’ Fatimah merungut sendiri. Meskipun hatinya berbunga riang, Fatimah kaku untuk bersuara lebih-lebih lagi bilamana banyak mata yang memerhati.

“What!” Jerit Khatijah.
“Mana sesuai kakak yang kerja kilang dengan Abang Raffiq!” Ia meluahkan rasa tidak puas hati.
“Eiii… macam enggang dengan pipit,” tambahnya lagi.
“No way,” tanpa diduga, Khatijah menyepak cawan yang tersedia di atas tikar lalu berlari menuruni tangga rumah.

Tiba-tiba…
“Mak!!!” Jerit Khatijah lagi. Kali ini, kakinya tersadung menyebabkan ia jatuh tersungkur di atas tanah.
“Adik!!” Fatimah dan Mak Munah menjerit serentak.
“Kenapa banyak darah ni?” Cemas-cemas Fatimah bersuara. Habis seluar jeans yang dipakai Khatijah dipenuhi darah pekat lagi hanyir.

Tiba-tiba…
Uwek uwek uwek… Khatijah termuntah lagi.
“Mari, kita hantar Adik ke hospital,” kata Raffiq tegas. Rasanya, ia tahu apa yang berlaku kepada Khatijah. Mukanya pucat, badannya panas dan muntah-muntah. Jika dia tidak silap, Khatijah sebenarnya sedang mengandung tetapi anak siapa?

“Doktor, selamatkan anak saya,” rayu Mak Munah kepada pegawai perubatan yang bertugas.
“Insya-Allah,” kata doktor yang berusia suku abad itu. Mak Munah tidak senang duduk. Sekejap-sekejap ia ke hulu. Sekejap-sekejap ia berjalan ke hilir. Ia risaukan Khatijah. Fatimah pula, dari tadi menundukkan wajahnya ke lantai hospital.

“Makcik…” tidak sampai sepuluh minit, doktor tadi keluar dari wad kecemasan.
“Maafkan kami. Kami tidak berjaya menyelamatkan anak makcik dan bayi dalam kandungannya…” diam seketika.
“Anak makcik telah mengambil dadah berlebihan dan tahap alkohol dalam badannya begitu tinggi…”
Tak semena-mena, Mak Munah pun jatuh pengsan ke lantai. Entah bisa bangun entah akan terbaring di situ selamanya. Fatimah menangis sayu…
Labels: | edit post
0 Responses