Sebatang Pensel Tekan

“Mama!!!” Jerit Qistina lantas berlari pantas menuju ke arah ibunya yang baru sahaja masuk ke dalam rumah.
“Mama!!! Tadi ada budak jahat ambil pensel tekan adik,” kali ini, Qistina menghentak-hentakkan kakinya ke lantai. Salsabila hanya tersenyum. Baru sebentar tadi ia merungut-rungut di dalam kereta dengan kerja yang berlambak di pejabat tetapi kini, ditambah dengan permasalahan ‘besar’ yang dihadapi puteri tunggalnya.
“Kenapa sayang, siapa yang ambil tu?” Rambut Qistina diusap perlahan. Handbag berjenama Polo yang dihadiahi suaminya diletakkan di tepi sofa.
“Azirah, budak miskin dalam kelas Qis…” diam sejenak.
“Qis tahu dia yang ambil sebab dia tak ada pensel tekan,” sambungnya lagi.
“Macam mana Qis tahu dia tak ada pensel tekan?” Salsabila bertanya lembut meskipun agak terkejut dengan kata-kata Qistina.
“Alaaa… Qis tahu sebab dia orang miskin. Kasut dia koyak, tak pernah pun makan kat kantin. Qis tengok, hari-hari makan nasi dengan telur. Qis tahu dia jealous sebab Qis selalu makan burger dan hotdog. Masa Qis makan, dia tengok je…” diam lagi.
“Ma, Qis tak suka kawan dengan dia. Dia busuk, baju dia pun kotor. Sampai sekolah, habis basah baju sekolah dia,” tambah Qistina.
“Qis duduk dulu. Mama nak solat Asar kejap ya,” kata Salsabila perlahan. Sebenarnya, hatinya sebak mendengar kata-kata Qistina. Bukan kerana puteri kesayangannya itu kehilangan pensel tekan tetapi ia pilu mengenangkan seorang kanak-kanak yang koyak kasutnya, lusuh bajunya. Kenangan lama tiba-tiba menjelma…

*****

“Cikgu, Salsabila ambil pensel tekan saya,” kata Amirah satu hari.
“Mana ada cikgu. Saya tak ambil pun pensel tekan dia,” Salsabila cuba mempertahankan diri.
“Bohong! Tu pensel tekan siapa?” Amirah nampaknya masih belum berpuas hati.
“Saya punya sendiri cikgu. Ada orang bagi hadiah,” kali ini, air mata Salsabila mula menitis satu persatu.
“Tipu! Bohong! Dia orang miskin cikgu. Mana ada orang nak kawan dengan dia. Dah tu, mana ada orang nak bagi hadiah kat dia. Mak dia jual nasi lemak kat tepi jalan sana. Tu pun tak laku. Ayah dia dah mati, ” Amirah segera merampas pensel tekan yang dipegang Cikgu Noraini.
“Ini saya punya dan saya tak suka budak miskin pegang pensel tekan saya. Nanti, saya pun jadi miskin,” dengan angkuh ia berkata.
“Amirah… serahkan balik pensel tekan tu pada cikgu,” Cikgu Noraini berkata lembut tetapi tegas.
“Tak mahu! Nanti cikgu bagi budak miskin ni,” Amirah segera menghentak-hentakkan kakinya ke lantai.
“Amirah!!!” Kali ini, suara Cikgu Noraini ditinggikan. Budak-budak zaman sekarang, perlu diajar agar menghormati orang yang lebih tua. Kalau asyik dibelai dan dimanja, dikhuatiri menjadi insan yang lupa diri, lupa daratan dan lupa bahawa hidup ini bukan sendiri.
Terkejut dengan kata-kata Cikgu Noraini, Amirah segera mencampakkan pensel tekan itu ke muka Salsabila yang masih tidak henti-henti menangis. Meskipun tangisannya tidak berbunyi, tudungnya sudah kebasahan dengan air mata yang bercucuran. Amirah berjalan laju menuju ke luar bilik guru.
019-344 xxxx. Kring kring…
“Hello, mummy…” diam seketika.
“Cikgu Noraini marah Mira. Dia sokong budak miskin yang curi pensel tekan Mira,” Amirah mengadu kepada ibunya.
“Hmmm…” Datin Syarifah mengeluh perlahan.
“Mummy pergi sekolah sekarang,” kata Datin Syarifah pendek.
Tanpa lengah, Datin Syarifah segera menuju ke sekolah puteri bongsunya yang terletak tidak jauh dari kediaman mewahnya. Berani sungguh cikgu itu memarahi anaknya sedang ia sendiri tidak pernah meninggikan suara terhadap Amirah.
Cikgu ini harus diberi pengajaran. Sekiranya pihak sekolah tidak dapat berbuat apa-apa, ia tekad memperbesarkannya ke pihak kementerian dan dada akhbar. Tekadnya hanya satu, cikgu ini harus ditukar ke mana-mana asal tidak lagi mengganggu ketenteraman puteri kesayangannya.
“Saya Datin Syarifah binti Tan Sri Hussin. Saya mahu berjumpa dengan Cikgu Zainal. Dia guru besar sekolah ni kan?” Kata Datin Syarifah kasar kepada kerani di pejabat sekolah.
“Betul, puan. Puan tunggu sebentar ya,” kata kerani yang memakai baju kurung berwarna hijau sambil tersenyum, Najwa namanya.
“Datin!” Datin Syarifah mengingatkan.
“Baik… datin tunggu sebentar ya,” kali ini, tergagap-gagap Najwa bersuara.
“Mummy…” tiba-tiba Amirah datang meluru ke arah ibunya yang seperti singa kelaparan.
“Ya sayang. Cikgu mana yang marah Mira. Dia ada pukul Mira?” Cepat-cepat Datin Syarifah memeriksa tubuh puterinya.
“Cikgu Noraini. Ya mummy, cikgu pukul dan cubit Mira,” bohong Amirah.
“Ini tak boleh jadi. Saya akan saman sekolah ni,” kata Datin Syarifah dengan lantang.
Kemudian, seorang lelaki hampir setengah abad dengan songkok hitam di kepala masuk ke dalam bilik yang tertera di muka pintunya, ‘Guru Besar’.
“Datin boleh masuk sekarang,” Najwa berkata dengan lembut.
“Apa nak jadi dengan sekolah ni? Anak saya telah didera oleh cikgu di sini. Siapa namanya Mira?” Tanpa sebarang mukadimah, Datin Syarifah terus menerjah Cikgu Zainal yang tidak pernah lekang dengan senyuman.
“Sabar datin. Datin duduk dulu. Cerita satu-satu. Saya akan siasat perkara ini. Datin jangan risau,” kata Cikgu Zainal dengan lembut.
Tok tok tok…
“Masuk,” Cikgu Zainal bersuara. Najwa kemudiannya masuk ke dalam bilik tersebut dengan membawa tiga gelas air.
“Cikgu mana yang pukul Mira tadi?” Cikgu Zainal memandang tepat wajah Amirah.
“Cikgu Noraini dan yang curi pensel tekan Mira Salsabila, darjah 6 Kekwa,” takut-takut Amirah menjawab.
“Najwa, tolong panggil Cikgu Noraini dan Salsabila, darjah 6 Kekwa ke sini sekarang juga,” arah Cikgu Zainal tegas.
“Baik cikgu,” balas Najwa lalu keluar dari situ. ‘Macam dalam dewan peperiksaan…menakutkan,’ ia berbisik sendiri.
“Baik, ceritakan kepada saya,” Cikgu Zainal berkata lembut, lebih lembut daripada tadi.
“Tadi, anak saya menghubungi saya dan memberitahu bahawa dia telah didera oleh cikgu sekolah ini. Yang membuatkan saya tidak berpuas hati, tergamak cikgu tersebut memukul anak saya sedangkan saya sendiri tidak pernah menjentiknya,” terang Datin Syarifah panjang lebar meskipun ia sendiri tidak tahu hujung pangkal cerita.
“Baik Mira, apa yang berlaku sebenarnya,” kali ini, Cikgu Zainal memandang anak mata Amirah yang semakin kemerahan.
“Salsabila curi pensel tekan saya. Dia orang miskin. Mustahil ada pensel tekan tu…” diam sejenak.
“Dah la curi pensel saya, dia mengadu pula pada Cikgu Noraini saya ambil penselnya padahal itu bukan pensel tekan dia. Itu saya punya. Mummy yang beli dekat Vitacare,” cerita Amirah sambil memandang ke lantai.
“Pensel tekan Mira ada berapa?” Tanya Cikgu Zainal lagi.
“Lima,” jawab Datin Syarifah dan Amirah serentak.
Tok tok tok… tiba-tiba, pintu bilik diketuk lagi.
“Masuk,” Cikgu Zainal bersuara dari dalam.
“Assalammualaikum cikgu, datin,” kata Cikgu Noraini sambil bersalam dengan Datin Syarifah. Di sampingnya, ada dua orang murid-murid lelaki dari darjah 6 Kekwa bersama dengan Salsabila.
“Buat apa budak lelaki ni ikut sama? Yang mendera anak saya ialah Cikgu Noraini dan yang mencuri pensel tekan anak saya ialah budak miskin ni,” dengan angkuh Datin Syarifah bersuara.
“Ini pensel tekan siapa?” Tanya Cikgu Noraini sambil menunjukkan pensel tekan yang disimpannya.
“Saya,” kata Salsabila dan Amirah serentak.
“Tengok! Dasar tak malu. Depan saya pun budak miskin ini berani menipu,” sergah Datin Syarifah.
“Mak dengan ayah tak ajar ke?” Tengkingnya lagi.
“Macam mana Salsabila dapat pensel tekan ni?” Tanya Cikgu Noraini kepada Salsabila.
“Saya tolong Makcik Munah jaga baby masa hujung minggu lepas. Kemudian, Makcik Munah hadiahkan saya pensel tekan tu,” kata Salsabila penuh yakin.
“Ada saksi?” Datin Syarifah menyampuk.
“Amirul,” kata Salsabila sambil menghala jari telunjuknya ke arah Amirul.
“Kau siapa budak?” Datin Syarifah tidak berpuas hati.
“Amirul adalah cucu Makcik Munah yang sama-sama dihadiahkan pensel tekan ini,” terang Cikgu Noraini.
“Ah, boleh jadi mereka berpakat,” sanggah Datin Syarifah. Cikgu Zainal hanya diam tanpa suara.
“Amirah, ini pensel tekan awak ke?” Tiba-tiba, Sofwan berjalan ke arah Amirah dan memberikan lima batang pensel tekan yang berwarna-warni kepadanya. Amirah kaget tetapi ia tetap menanggukkan kepalanya.
“Saya jumpa atas meja awak,” kata Sofwan lagi.
“Pensel tekan Amirah ada berapa?” Tanya Cikgu Noraini lembut.
“Lima… eh enam,” takut-takut Amirah menjawab.
“Lima atau enam?” Kali ini, Cikgu Zainal bersuara agak keras.
“Eh lima,” jawabnya.
“Jadi, ini pensel tekan siapa?” Cikgu Noraini pula bersuara. Diam… tidak ada satu suara pun yang kedengaran, baik Amirah mahupun Datin Syarifah.
“Saya punya,” sambil tersenyum, Salsabila mencapai pensel tekan tersebut. Nah, kebenaran sudah terserlah. Datin Syarifah akhirnya malu sendiri. Tanpa ungkapan maaf, ia segera meninggalkan sekolah dengan tergesa-gesa. Pada keesokan harinya, Amirah tidak lagi datang ke sekolah tersebut. Khabarnya sudah bertukar ke tempat baru.

*****

Air mata Salsabila mengalir perlahan ke pipi. Satu ketika dahulu, dia juga dicerca dan dihina dek kesempitan hidup. Bukan itu sahaja, ia dituduh sebagai pencuri.
Hari ini, puteri kesayangannya pula telah menjadi ‘Amirah’ nombor dua yang menuduh orang lain mencuri barang kepunyaannya. Dia sama sekali tidak mahu anaknya mengikut jejak langkah Amirah waktu lampaunya. Kasihan Azirah…
“Qis, ambilkan beg sekolah. Mama nak tengok,” kata Salsabila kepada Qistina sesudah ia menunaikan solat.
“Baik ma,” kata Qistina ringkas. Kemudian, tanpa lengah Salsabila memeriksa beg sekolah Qistina. Dibeleknya poket beg tersebut… tidak ada. Selepas itu, ia mengeluarkan semua buku yang terdapat di dalam ruang utama beg.
Tiba-tiba…
Seperti yang diduga, sebatang pensel tekan berwarna pink jatuh ke lantai. Salsabila mengambilnya perlahan.
“Yang ni ke pensel tekan Qis yang hilang?” Tanya Salsabila lembut.
“Ya, yang ni la…” cepat-cepat Qistina mengambil pensel tekan tersebut dari pegangan ibunya.
“Biar mama pegang dulu. Qis kena minta maaf dengan Azirah dan lepas ni, jangan hina dia lagi. Petang esok, mama bagi balik pensel tekan Qis ni,” Salsabila mengusap-usap rambut puterinya.
Qistina hanya diam…
Labels: | edit post
0 Responses