Bahaya dosa dan maksiat
Wednesday, December 02, 2009
Assalammualaikum. Siapa rasa tidak pernah buat dosa, angkat tangan???
Hmmm... sebagai manusia yang lemah, kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Bezanya, adakah kita mahu membiarkan dosa itu terus berulang dan berlarutan... atau kita mahu mulakan hidup baru... hidup di bawah pengawasan Allah, mengharapkan Dia yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Sesungguhnya...
Setiap manusia berhak untuk hidup bahagia di bawah naungan Allah.
Setiap manusia berhak untuk kembali ke pangkal jalan. Kita tidak punya sebarang hak untuk menghalang mereka untuk kembali.
Bagi yang telah terlanjur melakukan kemaksiatan contohnya... SALAH TETAP SALAH! Namun, siapa kita mahu menghukum mereka yang secara terang-terangan melakukan kesalahan ini tidak layak untuk mendapat kebahagiaan hidup (di dunia mahupun akhirat) sedang dia sudah bertaubat dan mahu kembali kepada Pencipta??? Kita menyisihkan mereka... membiarkan mereka terkapai-kapai sendiri dengan alasan, tubuh mereka dikotori dengan debu-debu dosa. Kita terus menghukum dan menghukum. Bukankah mereka yang BERTAUBAT dan KEMBALI KE PANGKAL JALAN itu adalah kekasih Allah??
Kita memandang kelompangan mereka yang berbuat dosa tetapi kita melupakan kelompangan diri kita sendiri. Ingatlah! Usah membenci sosok mereka yang berbuat silap tetapi bencilah kepada perbuatan yang telah dilakukannya. Kita benci kerana mereka telah mengenepikan Allah. Sayang seribu kali sayang... Kita lebih gemar menjadi hakim daripada menjadi dai'e yang membawa mereka yang sedang hanyut itu ke pangkal jalan.
Bahaya dosa dan maksiat :
1- Syaitan 'merasa' (tidak tahu istilah yang sepatutnya) dibantu oleh manusia yang memerangi diri mereka sendiri. Iyalah, syaitan sudah berjanji untuk menyesatkan manusia. Kita pula sewenang-wenangnya membuat sesuatu yang disukai syaitan tetapi dimurkai Allah. Contohnya, hmmm… menipu, mengumpat, tidak menjaga amanah, melampaui batas…
2- Membuatkan seseorang berasa takut, perasaan yang tidak dirasai oleh seseorang yang tidak berbuat dosa / maksiat.
3- Menyebabkan hati tertutup, tidak sedar bahawa ia sedang melakukan kesalahan. Manakan mahu sedar. Ia hanya nampak kesalahan orang lain sahaja seolah-olah dia sahaja yang sempurna. Mulutnya berkata ia juga manusia biasa tetapi tindakannya tidak melambangkan apa-apa yang diungkapnya. Ia nampak kurap dan parut pada tubuh orang sedang berdiri di hadapannya tetapi ia lupa dengan panau yang semakin membesar pada seluruh jasadnya.
4- Melemahkan hati dan badan. Apabila hati dan badan sudah lemah, untuk beribadah pun terasa sukar…. berat. Akhirnya, ia tidak akan dapat membersihkan bintik-bintik hitam yang semakin bertebaran dalam hatinya. Apabila semakin makin, sukar pula bagi cahaya untuk tembus dalam jiwanya. Apabila cahaya Ilahi itu jauh daripada dirinya… jadilah ia seorang yang… cepat melenting, cepat melenting, cepat kecewa dan putus asa, cepat dan cepat… Segalanya cepat. Untuk mendekatkan diri kepada Allah, lambat pula. Ia kira, ia masih punya banyak waktu sedang ia lupa bila-bila masa ajal bisa menjemput.
5- Menyebabkan urusan menemui kesukaran dan mengakibatkan kemudaratan/ kesusahan bagi orang lain yang berada di sekeliling mereka.
6- Menyebabkan diri berasa rendah diri untuk berinteraksi sesama manusia terutama dengan orang soleh.
7- Bisa memadamkan api semangat yang membara atau semangat yang terpendam di dalam hati.
8- Menghilangkan rasa malu yang sebenarnya boleh menghidupkan hati.
9- Melemahkan perjalanan atau pengembaraan menuju Ilahi.
Hmmm… Muthiah lupa, Muthiah dapat dari mana informasi di atas. Muthiah rasa, dari buku ‘Tercicir dari jalan dakwah,’ tulisan Fathi Yakan tetapi afwan, tidak dapat menulis sumber yang sebenarnya.
Muthiah : Alhamdulillah... Moga-moga Allah sentiasa memberi ruang dan peluang.