Menantu Mak Bedah
Saturday, December 12, 2009
Sudah seminggu Mak Bedah tak lalu makan. Sehari-hari, ia hanya rajin membelek mukanya yang sudah berkedut dengan uban berjuta di kepala pada cermin yang diletakkan di tepi tilam empuknya. Sekejap-sekejap wanita tua itu tersenyum sendiri sehingga menampakkan gigi palsunya yang semakin kekuningan.
Pak Leman pula sudah buntu untuk membawa Mak Bedah kembali ke alam nyata. Angau Mak Bedah, mengalahkan angau Bakar dan Daud yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan tiga bulan sudah. Sekarang, Mak Bedah tidak sabar-sabar nak sambut menantu. Biarpun lewat majlisnya, Mak Bedah tetap suka hati.
“Sudah sudahlah Bedah oi. Tak mudanya awak duk membelek muka kat cermin tu,” tegur Pak Leman suatu hari. Mak Bedah yang sedari tadi begitu asyik menyisir rambutnya yang semakin berkurangan berhenti membelai ‘mahkota’nya seketika. Ia memandang Pak Leman yang bulat matanya semacam hendak menelan Mak Bedah yang badannya lebih besar daripada tong drum.
“Bukan muda Bang Leman eh, tak sabar rasanya nak sambut si Khatty tu. Mesti terbeliak mata orang kampung ni tengok menantu kita… model terkenal tu,” Mak Bedah berterus-terang.
“Bukan sahaja Mak Esah, Mak Sah, Mak Enon… tetapi anak, laki dan menantu mereka pun pasti terbeliak biji mata. Maklumlah, menantu mereka bukan macam menantu Mak Bedah. Cantik… model terkenal pula tu,” tambah Mak Bedah. Gembira benar nampaknya orang tua ni. Rasa diri begitu glamour mengalahkan Nabil, raja lawak yang baru sahaja menggondol anugerah bintang paling popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) baru-baru ini. Tapi, Mak Bedah tak naklah peluk Pak Leman depan orang. Buang tebiat namanya tu.
“Bedah Bedah. Menantu kita bukan si Khatty seorang. Selamah bini si Daud tu awak nak campak kat mana? Laut China Selatan? Sungai Kinabatangan?” Pak Leman berkata sinis kepada isterinya yang masih setia mengukir senyuman, habis nampak giginya yang rongak. Entahlah, bagi Pak Leman Mak Bedah memang banyak berubah. Sejak ia mendapat menantu orang popular, Mak Bedah terasa diri juga berada di awang-awangan, menempah ke’glamour’an yang tidak pernah diimpi-impikan selama ini.
“Kenapalah budak Daud tu pilih anak Pak Mail yang hitam legam? Dia tu putih melepak, handsome daripada abangnya Bakar. Belajar pun tinggi, kerja pun molek tapi …” Mak Bedah berkata perlahan. Sesal juga kerana tidak membantah keputusan Daud yang mahu beristerikan anak dara Mak Piah, jirannya selang tiga rumah dari awal. Tidak boleh Mak Bedah bayangkan rupa cucunya kelak. Kalau ikut muka Daud, sukalah Mak Bedah. Ye la, Daud ni boleh tahan rupanya. Kalau ikut muka Selamah? Mengucap panjang Mak Bedah dibuatnya.
“Dah dah! Awak jangan nak salahkan takdir. Kalau awak tak redha, maknanya awak tak redha dengan ketetapan Tuhan. Berdosa Bedah oi,” kali ini, Pak Leman bersuara tegas. Kadang-kadang, geram Pak Leman dibuatnya.
Diagung-agung sangat menantunya yang dikatakan mahsyur tu. Popular sangat ke Khatty sampai Mak Bedah berubah begitu sekali? Nak kata pernah dapat anugerah, tak pernah. Nak kata selalu muncul di kaca televisyen, pun tidak. Bukan macam Fasha Sandha. Tengok filem, drama… semua ada muka dia.
Seandainya ditanya, siapakah menantu pilihan… Pak Leman pasti memilih Selamah walaupun ia tidak punya rupa yang menawan lagi jelita. Tutur katanya lembut, hasil kerjanya memuaskan hati semua orang dan yang paling utama, doktor muda ini tahu menghormati mereka yang lebih tua daripadanya. Hmmm…
Khatty pula… Pak Leman tak tahu nak cakap apa. Lagipun, belum sampai setahun model ‘terkenal’ ini menjadi menantunya. Cuma, Pak Leman kurang berkenan dengan cara model berusia 26 tahun ini berpakaian. Pak Leman tahu, Khatty Asmira atau nama sebenarnya Tijah binti Selamat ini seorang model yang punya peranan untuk menjaga nama baik agensi yang disertainya, tapi….
Khatty harus bijak mengikut suasana dan tempat. Bak kata pepatah, ‘Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau…’ larilah cepat-cepat. Persoalannya, kena pandai dan bijak. Cantik sahaja tidak cukup. Tengok finalis Dewi Remaja, bukan sahaja cantik dan mempunyai bentuk badan yang mengiurkan bahkan punya akal fikiran yang mantap.
Berbalik kepada menantu Pak Leman yang bernama Khatty tadi, yang membuatkan Pak Leman malu sendiri… kegemarannya memakai pakaian yang singkat-singkat dan jarang. Ini bukannya bandar metropolitan Kuala Lumpur tetapi Kuala Lampor! Memanglah ‘KL’ juga tetapi tetap tidak serupa. Tanpa sedar, Pak Leman memuncungkan bibirnya yang kebiruan. Mungkin dek rokok Gudang Garam hitam yang selalu dihisapnya. Habis giginya yang sedia kuning itu menjadi semakin kuning dan kotor.
“Bang Leman!” Tersentak Pak Leman daripada lamunan tatkala dijeritkan namanya begitu.
“Ya Bedah. Janganlah sampai menjerit. Saya ni bukannya pekak. Kurang pendengaran sedikit sahaja,” Pak Leman berseloroh.
“Inilah orang lelaki. Bila perempuan duk memikir tentang masa depan, dia cakap perempuan ni suka buang masa dan berkhayal. Yang dia duk buang masa kat kedai kopi Pak Abu dan termenung seorang diri tu tak apa?” Mak Bedah diam sejenak.
“Awak mana faham? Yang awak tahu, bilang berapa ekor lembu yang beranak,” sambungnya lagi. Pak Leman hanya diam sambil memandang isterinya yang semakin berseri wajahnya. Mak Bedah kemudiannya segera berjalan ke arah peti televisyen yang terletak di sudut kanan rumah lantas mengambil gambar kahwin kedua-dua anak lelakinya.
“Cantik sungguh bini si Bakar ni. Untung dia dapat bini comel, sedap mata memandang,” Mak Bedah berkata-kata sendiri.
“Dah la kalau awak sangat ‘sibuk’ dengan menantu baru sampai lupa nak masak untuk saya. Saya pergi kedai Pak Abu kejap, pekena kopi,” tanpa menantikan jawapan Mak Bedah, Pak Leman segera berlalu menuruni tangga rumah menuju bangsal kereta. Pak Leman bukannya mahu memandu kereta Nissan second hand yang dibelinya tahun lepas tetapi ia lebih selesa menunggang motor kapcai yang seperti besi buruk yang entah laku entahkan tidak untuk dijual.
Sekali… tidak hidup.
Dua kali… tidak hidup.
Nampaknya, terpaksalah Pak Leman menolak motor buruknya dan apabila dirasakan sudah ada potensi untuk hidup, segera Pak Leman menekan gear dua. Prang prang prang… bergema bunyi motor Pak Leman. Mengalahkan bunyi motor Cagan, Ropi dan Jemi yang terkenal dengan aktiviti rempit mereka. Cuma Pak Leman sudah terlalu tua untuk merempit di jalanan. Silap hari bulan, dapat tittle ‘Mat Rempit’ mengalahkan rempit-rempit yang sedia ada. ‘Suka hati awaklah Bang Leman oi,’ Mak Bedah berkata sendiri.
Mak Bedah tersenyum lagi. Terkenang menantunya yang bernama Khatty itu. Minggu sudah, Mak Timah datang ke rumahnya. Mak Timah datang bukan dengan tangan kosong tetapi dibawa bersama majalah hiburan milik anak gadisnya, Aminah.
“Bedah, ooo Bedah,” panggil Mak Timah dari kejauhan. Badannya yang sedia gempal itu kelihatan bak belon panas yang sedang terapung-apung di udara.
“Tengok Bedah, gambar anak kamu masuk dalam majalah ni,” cepat-cepat Mak Timah menunjukkan gambar perkahwinan anak Mak Bedah, Bakar yang berlangsung di Dewan Serbaguna Abdullah Hukum baru-baru ini.
“Cantik sungguh menantu kamu Bedah. Bertuah benar si Bakar tu dapat bini begitu. Nampaknya, balik awal memanjanglah dari kerja. Nak jumpa bini lawa,” tambah Mak Timah lagi sambil ketawa tanpa bunyi. Giginya yang lebih putih berbanding gigi Mak Bedah mengeluarkan aroma budu yang begitu menyelerakan.
“Itulah… tengok, tak macam si Daud yang pilih bini hitam legam,” Mak Bedah tiba-tiba bersuara.
“Dahlah hitam, tak cantik pula tu. Nasib baik tak buat majlis besar-besar. Buat malu aku saja. Nanti, orang kata menantu Mak Bedah hitam legam bak kuali di dapur,” sambungnya lagi. Entah Mak Bedah sekadar bergurau atau bersungguh-sungguh dalam ungkapan katanya. Terbeliak biji mata Mak Timah tatkala Mak Bedah berkata begitu. Almaklumlah, yang dihina dan dikutuknya itu bukan orang lain, menantunya juga.
“Ehem ehem…” tiba-tiba, kedengaran satu suara berdehem dari dalam rumah. Alamak! Mak Bedah terlupa. Rupa-rupanya, anak dan menantunya itu ada di rumah. Mahu membantu serba-sedikit persiapan majlis menyambut menantu kelak. Boleh tahan besar juga majlisnya nanti. Ye la, Pak Leman beria-ia mahu mengadakan majlis menyambut isteri Bakar dan Daud serentak. Katanya, boleh mengurangkan kos tetapi Mak Bedah kurang bersetuju.
Hari tersebut, pasti banyak reporter yang datang. Bukan sahaja dari majalah hiburan bahkan boleh jadi dari syarikat akhbar tempatan. Silap hari bulan, TV3 dan Astro pun datang sama. Buat liputan macam majlis Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi. Kan naya kalau wajah Selamah turut sama dirakam pihak media. Nanti, mereka akan tahu bahawa Mak Bedah dapat menantu hitam legam dan tidak cantik. Tidak! Tidak!!!
“Bilal bin Rabah pun hitam legam mak tapi sepatunya sudah kedengaran di syurga,” kata Daud perlahan. Ia sakit hati sebenarnya. Manakan tidak, ibu sendiri mengeji kekurangan milik isterinya. Selamah bukan orang lain, menantu Mak Bedah juga tetapi Mak Bedah menganggap Selamah macam orang luar.
“Itulah Daud… mak dah cakap, nak kahwin pilihlah bini yang sedap mata memandang. Yang kau pilih burung gagak tu kenapa?” Mak Bedah masih belum mahu mengalah. Ia tidak salah. Selamah, menantunya itu memang mempunyai kulit yang hitam dan selayaknya ia dikatakan hitam. Kalau hitam tetapi dipanggil putih… kan sindiran namanya tu?
“Dah sedap mata saya memandang mak. Sejuk hati saya tengok bini yang baik dan rajin macam Selamah ni. Senang hati mak…” tanpa menyudahkan bait bicaranya, Daud masuk ke dalam rumah. Khuatir dikatakan anak derhaka. Bukan Daud tidak tahu hukum-hakam. Dalam surah Al-Isra’ ayat 23 sendiri ada menyebut, ‘Jangan kamu katakan hatta perkataan ‘ah’ kepada ibumu…’
“Bedah eh, aku balik dululah. Nanti Daud dengan bini dia balik, aku datang lagi…” kata Mak Timah separuh berbisik.
“Nah! Ambil majalah ni. Kau simpan, anak aku dah habis baca pun… agaknya,” sambungnya lagi lalu meninggalkan Mak Bedah terkebil-kebil sendiri. Hmmm… Mak Bedah berdengus perlahan.
Tak berkelip mata Mak Bedah memandang foto perkahwinan Bakar dan Khatty. ‘Macam pinang dibelah dua,’ bisik Mak Bedah sendiri. Beruntung sungguh rasa diri. Walaupun tidak pula ada gambar Mak Bedah dan Pak Leman dalam majalah tersebut, ia tetap berpuas hati. Asal gambar Bakar sudah terpapar, ia cukup berbangga. Bukan mudah untuk masuk majalah. Masuk paper apatah lagi. Mak Bedah tersenyum simpul.
*****
Lagi seminggu majlis sambut menantu bakal berlangsung. Nampaknya, Mak Bedah tekad untuk mengadakan majlis besar-besaran. Mak Bedah mahu jemput seluruh penduduk kampung Kuala Lampor memeriahkan lagi majlis sambut menantu yang bakal dilangsungkan. Biar mereka tak berkelip mata tengok menantu Mak Bedah yang lawa lagi glamour tu. Lagipun, penduduk kampung Mak Bedah belum pernah masuk tv. Jadi, secara tidak langsung majlis berkenaan boleh meng’glamour’kan anak jati Kuala Lampor ni.
Kring kring… telefon rumah Mak Bedah berdering. ‘Siapalah yang telefon malam-malam buta ni,’ getus hati Mak Bedah. Malas rasanya untuk berjalan ke ruang tamu. Itulah Pak Leman… Mak Bedah dah pesan, pasang telefon cordless tapi Pak Leman degil. Terpaksalah Mak Bedah berjalan perlahan-lahan menuju ke arah telefon yang berwarna hijau.
“Assalammualaikum,” salam diberi.
“Ha Daud. Apa pasal telefon mak malam-malam ni. Ayahnya tak ada. Biasalah, ke surau… lepas tu, terus ke kedai kopi Pak Abu. Jam 12.00 nanti, dia mengantuk dia baliklah,” terang Mak Bedah panjang lebar.
“Hmmm…” kedengaran Daud mengeluh perlahan.
“Kau ni apasal Daud? Gaduh dengan Selamah ka?” Tanya Mak Bedah.
“Itulah mak dah pesan. Nak pilih bini, pilih yang sedap mata memandang. Macam abang Bakar kau tu. Ni, pilih bini …” sambung Mak Bedah tanpa memberi peluang Daud bersuara.
“Mak…” perlahan Daud memanggil ibunya.
“Abang Bakar ada telefon mak?” Tanya Daud serius.
“Tak adalah pulak. Kenapanya Daud?” Mak Bedah turut sama serius.
“Tak ada apa-apalah mak…” Daud seakan-akan cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan Mak Bedah.
“Oh ya mak, Selamah dah pregnant tiga minggu,” suara Daud yang tadinya kedengaran begitu serius bertukar ceria.
“Apa kejadahnya pregnant tu?” Mak Bedah pula sepertinya orang yang sedang blur, tidak tahu apa yang disampaikan oleh Daud.
“Silap silap. Menantu mak dah mengandung tiga minggu mak, Alhamdulillah,” perlahan-lahan Daud menyampaikan berita tersebut kepada ibunya.
“Apa???” Mak Bedah kelihatan terkejut… kaget seketika. ‘Nampaknya, Daud telah mengatasi abangnya,’ ia mengerutkan dahinya yang sedia berkerut.
“Oooo, ini ke yang kau nak beritahu mak malam-malam buta ni?” Mak Bedah diam seketika.
“Mak nak solat Isya’ ni. Jangan lupa balik awal sikit untuk majlis sambut menantu nanti. Tolong mak apa yang patut. Abang Bakar kau tu, mungkin tak dapat balik awal. Ya la, kan si Khatty tu sibuk… model terkenallah katakan,” Mak Bedah segera meletakkan gagang telefon. Entah mengapa hatinya tidak berbunga mendapat khabar gembira itu.
*****
Hari yang dinanti-nanti sudah tiba. Sejak malam tadi, Mak Bedah tidak dapat duduk diam. Ada sahaja benda yang hendak dibuatnya. Maklumlah, ada majlis besar di rumahnya. Pak Leman pula, sedari minggu lepas termenung-menung di beranda rumah. Itu pun kalau Pak Leman ada di rumah. Kalau tidak, di kedai kopi Pak Abulah gamaknya.
Kenapa Pak Leman semacam tidak ceria menyambut menantu baru? Memanglah majlis akad nikah sudah beberapa bulan berlalu tetapi inilah kali pertama majlis sambut menantu dibuat di teratak buruknya. Oooo, rupanya lembu dan kerbau kesayangan Pak Leman sudah ‘selamat’ dikerjakan Mak Bedah. Alasan Mak Bedah kukuh. Mahu sambut menantu popular, kena buat majlis besar-besaran. Pabila Pak Leman tak setuju, mulalah Mak Bedah memuncungkan bibirnya yang kering itu. Jadi, lembu dan kerbau yang sepatutnya hendak dijual kepada Orang Kaya Mohsin… faham-faham sahajalah. Berkecai impian Pak Leman untuk memegang duit beribu-ribu.
‘Manalah si Bakar dan bininya?’ Mak Bedah mula risau. Ada beberapa orang reporter hadir untuk membuat liputan tetapi kedua-dua laki bini itu masih tidak nampak batang hidung mereka. Mujur juga Selamah dan Daud sudah ada. Tidak macam Khatty, Selamah yang sepatutnya turut sama diraikan menjadi umpama tuan rumah yang menyediakan santapan dan meraikan tetamu.
“Ada Bakar telefon kau Daud?” Mak Bedah bertanya perlahan.
“Tengok! Orang dah ramai. Mak jemput satu kampung datang majlis kita. Reporter pun mak suruh anak Mak Timah jemput tapi pengantinnya belum juga muncul,” kedengaran nada kecewa pada suaranya.
Wajah Daud berubah. Ia memandang Selamah yang tidak berkelip memandang Mak Bedah yang berpakaian mengalahkan mak datin…
“Sibuklah tu mak,” Daud memberi alasan. Tiba-tiba…
“Mak Bedah, tu kereta Bakar dah sampai,” jerit Mak Esah dari halaman rumah. Wajah Mak Bedah yang tadinya serba tak kena kembali ceria. Cepat-cepat ia berjalan menuju ke luar rumah. Mak Bedah tengok reporter pun turut sama bergegas mendapatkan Bakar yang masih diam di dalam keretanya. ‘Mana Khatty?’ Mak Bedah bertanya sendiri.
“Bini kamu mananya Bakar?” Mak Bedah memandang jalan utama.
“Keluarga bini kamu mana?” Ia mendongak-dongakkan kepalanya yang sedikit bujur. Tidak nampak bayang siapa-siapa pun…
“Maafkan Bakar mak,” Tanpa menjawab pertanyaan Mak Bedah, Bakar segera mencium tangan ibunya lantas memohon ampun kepadanya. Bakar tahu, ia telah memalukan ibunya dan pasti Mak Bedah tidak akan keluar rumah selepas daripada peristiwa ini.
“Saya…” Bakar terdiam.
“Saya…” Bakar tidak dapat meneruskan kata-katanya. Mak Bedah melopong. Reporter yang hadir juga melopong. Orang kampung pun ternganga mulut mereka. Eh, bukan mereka sahaja! Beruk Mat Yeh milik Pak Leman juga terbuka luas. Kepalanya yang dipenuhi bulu digaru laju.
“Saya dah bercerai dengan Khatty mak…” Bakar diam lagi.
“Saya ceraikan dia dengan talak tiga,” Bakar segera menundukkan wajahnya yang sudah kebasahan dek air mata yang mengalir.
Mak Bedah terkedu. Cerai! Untuk apa mereka bercerai? Kalaupun hendak bercerai, tunggulah selepas majlis ini. Tidak! Tidak sama sekali. Tak semena-mena, Mak Bedah pun jatuh pengsan. Reporter yang hadir tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar Mak Bedah yang sudah berubah rupa. Setelah sedar daripada pengsan, Mak Bedah menangis teresak-esak bak kanak-kanak kecil yang tidak mendapat mainan yang diinginkannya.
Bagaimana dengan Pak Leman? Pak Leman pun mengalirkan air mata. Bukan kerana perceraian Bakar dengan model terkenal itu tetapi dek duitnya yang telah hangus. Menantu yang dicanang-canang tidak ada, duit pula melesap.
Keesokannya…
Majlis sambut menantu bertukar tragis
Model diceraikan talak tiga!!!
Peristiwa tragis ini menjadi tajuk utama akhbar tempatan. Bukan itu sahaja, gambar Mak Bedah yang sedang terjelopok di atas tanah juga dijadikan cover majalah hiburan. Mak Bedah insaf… Mak Bedah insaf dan tidak mahu lagi bermenantukan orang glamour. Biarlah ia kekal menjadi ‘Mak Bedah tukang urut,’ yang popular……