Kandungan Kalimah Syahadah


Menyoroti sirah, syahadatain begitu kuat diperjuangkan para sahabat bahkan mereka bersedia dengan ancaman mereka yang menentang ~ puak kuffar.

Lihat sahaja Habib yang tubuhnya dipotong satu-persatu oleh Musailamah…
Bilal bin Rabah yang teguh dengan “Ahad.. Ahad.. Ahad.”


Mengapa? Hal ini disebabkan oleh syahadatain … yang mengandungi makna yang mendalam bagi diri mereka.

Apakah yang terkandung dalam syahadatain? Kita mengungkapkannya sehari-hari. Azan yang berkumandang juga mengingatkan kita terhadap syahadatain. Kebanyakan umat Islam mengetahui bahawa syahadah itu membawa pengertian IKRAR sahaja. Silap… silap begitu…

Sebenarnya, syahadah juga mengandungi pengertian SUMPAH serta satu mitsaq (PERJANJIAN YANG TEGUH).

IKRAR ~ Suatu pernyataan seorang Muslim daripada apa yang DIYAKININYA. Pernyataan yang nampak mudah tetapi sebenarnya merupakan sesuatu yang sangat kuat kerana ungkapan itu DIDUKUNG OLEH ALLAH, malaikat dan orang yang beriman. Jika ia telah berikrar, bererti ia perlu yakin dengan peranannya sebagai hamba di atas muka bumi ini. Ia perlu taat serta patuh kepada Allah. Ia berkewajiban menegakkan dan memperjuangkan apa yang diikrarkan.

Kesedian seorang Muslim menerima akibat dan risiko dalam mengamalkan syahadah merupakan satu SUMPAH. Muslim yang menyebut asyhadu bererti telah bersedia dengan tanggungjawab menegakkan Islam dan ajarannya. Ia beramal dengan hukum Islam dan berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. Perlanggaran sumpah akan membawa kepada kemunafikan dan neraka jahanamlah tempat bagi golongan munafikin.

Selain itu, dalam syahadah manusia telah BERJANJI TEGUH untuk taat dan patuh terhadap segala perintah Allah yang terkandung dalam kitabullah mahupun sunnah Rasul. Berjanji teguh bukan perkara main-main. Ia tidak mengamalkan al-Quran separuh-separuh mengikut kemahuannya. Ia menjadikan Islam sebagai jalan hidup. Percakapannya, tingkah-laku serta perbuatannya mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Dengan kata lain, “Islam is the way of life.”

DENGAN IMAN…

Cuba hayati kandungan syahadah… Pabila seseorang Muslim merenung kembali ikrar, sumpah dan perjanjian setia yang diberikan, ia pasti kan berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya. Ditambah dengan KEIKHLASAN dalam diri.

Secara tidak langsung, ia dapat memantapkan KEIMANAN. Syahadah yang diungkapkan datang dari hati yang suci. Ia diUCAPkan dengan ketinggian iman (isti’la-ul iman) dan hadir semangat “SAYA ADALAH MUSLIM” (isyhadu bianna Muslim). Ia keluar dari lidah yang baik serta mengandungi hikmah. Di hadapannya, ada Tuhan yang memerhati. “Kamera” Allah ada di mana-mana…

Bukan itu sahaja bahkan hati MEMBENARKAN SYAHADAH yang diikrar tanpa ragu-ragu. Ia tidak berat melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan Allah. Ia tidak mempersoalkan segala apa yang telah ditetapkan.

Ia yakin dan pasti, Pencipta itu lebih luas pengetahuan-Nya tentang makhlukan. Mana mungkin Tuan Punya yang Maha Adil, Pengasih dan Penyayang menzalimi hamba-Nya.

Lantas ia menjadi hamba yang patuh. Mengapa? Kerana ia sudah membenarkan 100% ungkapan “Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang diabdikan diri melainkan Allah…”

Akhir sekali, daripada ucapan yang penuh bangga dan yakin, ia mengamalkan segala apa yang telah diperintahkan ke atasnya. Perbuatan ini termotivasi daripada hati yang IKHLAS dan PEMAHAMAN terhadap maksud aturan Allah. Setiap perbuatan merupakan cerminan kesucian hati dalam menggapai redha Ilahi.

ISTIQOMAH (berterusan)…

Pabila seorang Muslim melakukan sesuatu amal dengan konsisten dan berterusan, ia pasti kan melahirkan individu beriman sempurna yang memiliki sifat BERANI, TENANG dan OPTIMIS. Ia tetap pendirian dan tahan diuji.

KEBERANIAN hadir kerana adanya keyakinan bahawa setiap hamba Allah sentiasa dibela dan didukung oleh-Nya. Ia tidak takut menempuh tentangan hidup dan sanggup berjuang menegakkan kebenaran. Ia tahu bahawa Allah itu sentiasa dekat. Allah memelihara orang yang memelihara agama-Nya.

Di samping itu, ia berasa TENANG dengan ujian mendatang kerana ia tahu bahawa perlindungan Allah itu hampir. Allah memelihara orang Mukmin secara zahir dan batin. Dengan berpandukan petunjuk-Nya, hatinya kan menjadi tenang.

OPTIMIS bererti meyakini bahawa masa depan adalah milik orang yang beriman. Ia tidak berasa malu dengan syahadah yang diungkapkan meski dunia memandang serong para pengamalnya. Kemenangan umat Islam pasti tiba dan kehancuran puak kuffar sudah pasti. Orang Mukmin pasti tidak kan disia-siakan amalnya.

MEMPEROLEH KEBAHAGIAAN…

Fikirkanlah kembali. Sejauh mana kita memahami konsep syahadah dan pengamalan kita daripada pemahaman itu. Andai kita istiqomah dengan sifat berani, tenang dan optimis, pasti kita kan memperoleh KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT. Hanya syahadah sejati dapat membuahkan sa’adah. Ayuh! Kejarlah kesenangan yang telah dijanjikan Allah…

Muthiah : Jika kita selalu merasakan diri tidak layak menerima sesuatu yang baik dan berharga... Bilamana perkara baik dan berharga itu datang dan kita tidak pula melakukan apa yang sepatutnya sehingga ia terlepas dari tangan, maka kita telah mensabotaj diri sendiri. Betul???
Labels: 0 comments | | edit post

Buah keikhlasan


Ikhlas… Sesuatu yang mudah diungkap tetapi sukar untuk dihayati... disemat dalam hati. Banyak orang mampu ikhlas pada awalnya tetapi tersungkur di tengah-tengah jalan. Dugaan itu hadir sebagai ujian yang menyebabkan rasa ikhlas itu menjadi kendur, luntur dan jatuh ke gedung riyak dan ujub.

Sesungguhnya... pepohon ikhlas itu akan menghasilkan buah keikhlasan; manis, indah dan menyenangkan. Pabila ia berasal dari pohon yang baik, maka akarnya kan kuat dan kukuh sedangkan cabangnya menjulang ke langit, menghasilkan buahnya setiap saat dan ketika.

1. Sampai pada hakikat Islam; Penyerahan menyeluruh kepada Allah.

Ibn Qayyim menyebut, “Meninggalkan syahwat kerana Allah adalah jalan yang paling selamat daripada azab-Nya. Perbendaharaan Allah tidak akan diraih oleh hati yang punya sekutu selain daripada Allah di dalamnya, meskipun ia seorang ahli ibadah, zuhud dan berilmu. Kerana Allah menolak menjadikan perbendaharaan-Nya bagi hati yang bersekutu.”

2. Selamat daripada cinta harta, kedudukan dan kemasyhuran.

Dari Ka’ab bin Malik R.A., Nabi SAW bersabda, “Tidaklah dua serigala lapar yang menghadap kambing lebih merosak melebihi seseorang terhadap harta dan kedudukan.”(HR At-Tirmidzi).

3. Bebas daripada perbuatan buruk dan keji.

Menyoroti kisah Nabi Yusuf A.S... Nabi Yusuf adalah satu contoh insan yang mendapat pengawasan dan pemeliharaan Allah... yakni kepada hamba-Nya yang ikhlas. Firman Allah, “Dan sebenarnya perempuan itu sangat berkeinginan kepadanya dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginan kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan Yusuf daripada perkara-perkara yang tidak baik…” Yusuf ayat 24.

4. Ikhlas menjadikan amal dunia sebagai ibadah yang berpahala.

Dari Abu Dzar R.A., Nabi SAW bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kalian sedekahkan? Sesungguhnya setiap tasbih (Subhanallah) itu sedekah, takbir (Allahu Akbar) itu sedekah, tahmid (Alhamdulillah) itu sedekah, tahlil (Laa ilaaha illallah) itu sedekah. Amar ma’ruf itu sedekah, nahi mungkar itu sedekah dan bersetubuh juga adalah sedekah…”(HR Bukhari dan Muslim).

5. Terkeluar daripada kesempitan.

Mengisahkan tiga orang sahabat yang terkurung di dalam gua. Mereka mempersembahkan amalan yang akhirnya menyelamatkan mereka daripada kesempitan itu; birrul walidaini, wafa terhadap pegawai dan pengendalian syahwat yang luar biasa. Keajaiban itu berlaku kerana adanya buah keikhlasan dalam diri.

6. Meraih kecintaan Allah.

Disebut di dalam hadith Qudsi,“Jika hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan yang sunnah, maka Aku mencintainya,” (HR Al-Bukhari).

7. Meraih kecintaan manusia.

Ketika Allah mencintai hamba-Nya, seluruh makhluk dapat digerakkan untuk mencintai hamba tersebut. Rasulullah SAW bersabda, “Jika Allah mencintai seorang hamba, Allah memanggil Jibril, ‘Sesungguhnya Allah mencintai Polan, maka cintailah dia.’ Jibril pun mencintai Polan. Kemudian Jibril memanggil penduduk langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai Polan. Maka cintailah dia.’ Maka penduduk langit mencintai Polan. Kemudian ditetapkan baginya penerimaan di bumi.” (Muttafaqun ‘alaihi).

Muthiah : Moga Allah sentiasa memelihara kita daripada sifat-sifat mazmumah yang boleh merosakkan setiap amalan kita... kepada-Nya.
Labels: 0 comments | | edit post

Kahwin oh kahwin


Terimbas kembali waktu usiaku menjangkau 23 tahun. Masih study lagi. Masih budak-budak dan tidak mature. Orang kata, “Kanak-kanak Ribena.”

Alhamdulillah dapat biasiswa JPA. Sekurang-kurangnya, aku dapat reduce hutang yang ditanggung.

Dalam usia 23 tahun, banyak teman seangkatan melangkah ke alam baru ~ alam perkahwinan. Tersenyum simpul, malu-malu… bak kata seorang teman, “Malu-malu Doraemon.”

Melihat sahabat-sahabat seangkatan menamatkan zaman bujang, rasa teruja… “Nak juga!” Tetapi tidak tahu calonnya siapa? Usik-mengusik daripada teman-teman membuatkan aku senyum sendiri. Senyum penuh makna.

Firman Allah dalam surah Yassin ayat 36 yang bermaksud, “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka atau pun dari apa yang mereka tidak ketahui.”

Kini, aku menghitung hari-hari bahagia. Dalam usia ini, aku bakal mengakhiri zaman bujangku… Jika dahulu, kufikir apakah perasaan teman-temanku tetapi kini kulaluinya sendiri… Takut, berdebar, gembira? Entahlah…

Kurenung kembali… Sesuatu yang Allah tentukan, pasti ada hikmahnya. Allah Maha Tahu apa-apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.

Dia tidak menemukan dengan orang yang betul pada waktu yang tidak tepat. Apabila tiba masanya, Allah pasti akan berikannya kepada kita. Dia lebih tahu apa-apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.

Sebelum mengurniakan orang yang betul, Dia uji kita dahulu. Allah menduga kesabaran dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Adakah kita kembali kepada-Nya atau kita lupa bahawa segala sesuatu yang berlaku datang daripada ketentuan-Nya.

Berbalik ketika saat itu… Saat tatkala menjadi orang yang melihat “hari gembira” orang lain…

Tika ini, barulah aku terasa. Allah mahu memberi ruang kepadaku untuk bersama-Nya. Memberi ruang yang bagaimana?

Sebelum aku kenal dia… Aku tidak punya sesiapa. Aku punya teman… aku punya keluarga… tetapi rasa kasih yang hadir tidak sama dengan rasa kasih yang aku rasai setelah aku mengenali dia.

Saat itu, kurasa Allah adalah Kekasihku. Bagaimana dengan kini?

Pabila kulihat teman-teman akrabku menemui cinta, kurasa kesepian menyelubungi diriku. Bilakah sampai waktu buatku?

Justeru, aku kembali kepada Dia yang mencipta. Kesedihan yang aku alami, kukongsi dengan-Nya. Aku tahu… sesungguhnya Dia amat dekat denganku, lebih dekat daripada urat merihku sendiri. Dia tidak pernah meninggalkanku walau sesaat.

Satu ketika… aku pernah terfikir. Tidak comelkah aku? Burukkah akhlakku? Miskinkah aku sehingga tiada siapa yang sudi mendampingiku.

Tetapi kini kutahu jawabnya… Allah mahu aku bersama-Nya dan terus mengharapkan-Nya… kerana manusia itu kadang-kadang lupa.

Apabila sampai waktu yang sesuai bagi-Nya, Dia menemukan aku dengan orang yang betul. Betul bagiku belum tentu betul pada kaca mata insan lain. Namun, keserahkan segalanya kepada Tuhan yang membuat percaturan.

Dugaan berkasih bukan sekadar menghindarkan diri daripada dosa zahir tetapi “hati” juga memainkan peranan. Memiliki perasaan dimiliki kadang-kala membuatkan aku lupa… milik siapakah sebenarnya hati ini?

Jika dahulu… Allah adalah segalanya. Aku dapat merasai kehadirannya dalam segala tindak-tandukku. Tetapi kini, aku semakin alpa. Aku tidak mahu lupa tetapi kelemahan yang kumiliki membuatkan aku lalai.

Sedih? Berkongsi dengan dia yang sama-sama dicipta oleh Allah yang Esa.
Rasa sunyi? SMS dan telefon menjadi medium aku mendapatkan ketenangan.

Bukan lagi kalimah Allah yang kucari. Beriktikaf jauh sekali… Tidak seperti dahulu. Salah siapa?

Kuhisab kembali… Segala yang Allah caturkan, ada hikmahnya. Apa yang Allah berikan kepada kita, sudah cantik dan elok..

Sekiranya, dalam usia 23 tahun aku telah menemui cinta… sudah tentu tiga tahun aku bergelumang dengan masalah yang tidak dapat dilihat yakni permasalahan hati.

Allah telah memberi ruang kepadaku untuk menjaga hati dalam tempoh tersebut. Kerana Dia tahu aku tidak mampu mendepaninya.

Syukur kepada-Nya. Menemukan aku dengan cinta insani agak lewat. Menjadikan aku lebih terpelihara dan terjaga daripada noda. Terima kasih Tuhan…

Justeru, bilamana kita belum bertemu dengan sesiapa yang sesuai dengan kita, janganlah kita bersedih hati. Tersembunyi hikmah yang mungkin tidak terjangkau dek fikiran. Allah Maha Segalanya…

Muthiah : Kahwin oh kahwin… 18 Ogos 2008. Terima kasih Tuhan atas kebahagiaan yang dikurniakan...

Dakwah Fardhiah


Kebejatan sosial yang semakin menular di kalangan masyarakat menyebabkan tugas kita (pendakwah) semakin banyak. Kita tidak boleh duduk diam sekadar memerhati keruntuhan akhlak yang bermaharajalela. Namun bagaimana? Apa yang harus kita lakukan?

Mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah satu amalan mulia. Barangsiapa yang hendak berjual beli dengan Allah, nah inilah jalannya. Perlu memikirkan sesuatu untuk umat manusia. Kita sekali-kali tidak boleh mementingkan diri sendiri dan bersikap nafsi-nafsi. Kelak, setiap manusia akan saling menyalahkan antara satu sama lain.

Si kawan, akan menyalahkan sahabatnya yang tidak pernah menegur salah yang ia lakukan. Si anak, menjadikan ibu sebagai penyebab kemaksiatan yang ia kerjakan. Si isteri pula, menarik suami yang tidak pernah menegur kesilapannya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah.

Justeru, kita tidak boleh berpeluk tubuh dan memejamkan mata sedang anggota yang Allah kurniakan untuk kita sudah cukup sempurna. Bergeraklah… berjalanlah untuk mendapatkan ganjaran Allah. Mengajak manusia ke arah kebaikan bukanlah sesuatu yang merugikan. Meskipun ajakan kita ditolak, Allah akan tetap mengurniakan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang ikhlas. Namun bagaimana? Mudahkah untuk mengajak manusia kepada kebaikan?

1- Wujudkan hubungan dan perkenalan dengan mad’u (orang yang didakwahi)

Bina hubungan awal dengan mad’u. Kenali dirinya dan jadikan ia merasakan dirinya diberi perhatian. Wujudkan tautan dalam hati. Letakkan matlamat untuk menumbuhkan kepercayaan dalam diri mad’u. Pada peringkat awal, usah membicarakan persoalan dakwah sehinggalah hatinya terbuka untuk memahami mengenainya.

2- Membangunkan iman yang lesu di hati mad’u

Setelah mengenali dan memahami karektor orang yang didakwahi, mula berbicara tentang keimanan secara tidak langsung. Ambil pendekatan yang membolehkan mad’u itu berfikir sendiri tentang kekuasaan dan kebesaran Allah.

3- Membantu mad’u memperbaiki diri

Ajarkan mad’u dengan perkara-perkara ketaatan kepada Allah di samping ibadah-ibadah fardhu. Terapkan disiplin dalam diri dalam menunaikan hak Allah dengan menjauhi maksiat dan berakhlak dengan akhlak Islami. Usah ragu-ragu untuk menghadiahi mad’u buku-buku yang membincangkan persoalan aqidah, ibadah dan akhlak. Namun, jangan tinggalkan ia terus dengan buku-buku tanpa bimbingan.

4- Menjelaskan pengertian ibadah yang syumul

Dalam mengajar mad’u tentang Islam, perlu merangkumi segala aspek kehidupan dan tidak terbatas kepada sembahyang serta puasa semata-mata. Sedarkan mad’u bahawa segala apa yang dilakukan adalah ibadah andai kata ia melakukannya mengikut syariat serta kerana Allah SWT. Islam itu luas dan tidak sempit. Momokan tentang kekunoan agama Islam adalah satu penyakit yang mengancam penganutnya.

5- Menjelaskan kepada mad’u bahawa Islam itu milik semua

Masalah kita hari ini ialah sikap manusia yang hidup sendiri-sendiri. Ia tidak tahu bahkan tidak mahu ambil tahu tentang orang sekeliling. Lebih malang, mereka tidak kenal dengan jiran sendiri sehinggalah berlaku sesuatu peristiwa seperti kematian atau perkahwinan. Maka, perlu diperjelaskan bahawa Islam itu adalah cara hidup. Setiap manusia berperanan untuk menjalani kehidupan mengikut jalan Islam dan mengajak orang lain untuk turut serta menyertainya.

6- Dakwah tidak boleh dilakukan sendiri-sendiri


Dengan kata lain, dalam melakukan kebaikan, setiap induvidu harus memainkan peranan masing-masing. Bukan sekadar mengharapkan orang lain untuk menunaikan tanggungjawab tersebut. Pendakwah tidak semestinya seorang guru agama, mufti atau orang alim. Akan tetapi, KITA SEMUA ADALAH PENDAKWAH.
Labels: 0 comments | | edit post

Memupuk cinta (ii)


Sambungan lepas… selamat membaca…

5. Bermunajat kepada Allah

Di antara tanda cinta kepada Allah ialah dengan BERMUNAJAT dan BERUZLAH dengan Allah. Maka, untuk menuju kepada cinta Allah… perlu sanggup meluangkan masa ‘bermesra’ dengan-Nya.

Tatkala insan lain sedang lena diulit mimpi, kita sanggup bangun di tengah malam (QIAMMULLAI)… untuk apa???? Benar!!! Untuk berhubung dengan Dia yang Maha Segalanya.

Lazimkan diri membaca al-Quran, bertahajud serta menggunakan kesempatan malam untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Kita minta kepada-Nya.
Kita merayu dan merintih di hadapan-Nya.
Kita bermohon kepada-Nya agar dikurniakan rasa cinta itu.
Segalanya demi Kekasih tercinta. Kita tidak berasa jemu dan bosan.


Muthhraf bin Abu Bakar berkata, “ Orang yang mencintai Allah tidak pernah bosan berbicara dengan Kekasihnya.”

Yakinlah… Bilamana kita meminta kepada Pemakbul doa, pasti Dia tidak akan menghampakan kita. Yang penting, kita perlu terus berusaha ke arah mencapai impian itu. Firman Allah, " Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah Allah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." Ar-Ra’du ayat 28.

6- Tidak berduka apabila kehilangan sesuatu

Orang yang meletakkan kecintaannya terhadap Allah seharusnya TIDAK TERLALU BERDUKA apabila kehilangan sesuatu selain daripada Allah. Ia tahu segala apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ia tahu bahawa apa-apa yang dimiliki adalah milik mutlak Dia yang memberi.

Ia sedar bahawa miliknya kini sebenarnya adalah PINJAMAN daripada Allah dan Dia berhak untuk mengambilnya bila-bila masa mengikut kehendak dan kemahuan-Nya. Pastinya, segala ketentuan Allah itu adalah untuk kemanfaatan hamba-Nya jua dan Dia lebih tahu apa-apa yang lebih baik untuk makhlukan ciptaan-Nya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia adalah baik untukmu. Boleh jadi kamu cintakan sesuatu tetapi ia adalah tidak baik untukmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

Lantas, ia kembali berzikir tatkala dilanda kesedihan. Ia BERMOHON agar diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan yang datang. Ia berusaha MENGEMBALIKAN dirinya kepada Allah ketika mengalami kelalaian dengan cara BERTAUBAT dan KOREKSI diri.

7- Perasaan nikmat menjalani ketaatan

Orang yang ingin merasai rasa cinta terhadap Allah perlu sentiasa IKHLAS dalam pengibadatan kepada-Nya. Ia TIDAK BERASA BERAT untuk melaksanakan ketaatan dan menjauhi larangan-Nya. Dengan kata lain, ia berusaha untuk membuang rasa berat dalam dirinya.

Dia gembira tatkala bertemu dengan Tuhannya (sewaktu beribadah kepada-Nya). Dia berasa puas dan bahagia kerana dia tahu Zat yang Maha Agung itu sentiasa memerhatikan setiap tindak-tanduknya.

Ahli ulama sufi ada menyebut, “Beramal atas dasar kecintaan tidak akan meletihkan badan.” Nah… sudah jelas, bukan? Ia pasti (insya-Allah) berasa nikmat melakukan pengabdian dengan hati, walaupun pekerjaan itu terasa berat untuk dipikul. Bilamana badannya berasa lemah, perkara-perkara yang disukai akan MENGEMBALIKAN KEMAMPUAN dan MEMISAHKAN KELEMAHAN sehingga dirinya mencurahkan perhatian pada-Nya.

8- Menjalin kasih sayang sesama makhluk

Kata pepatah ada menyebut, "Cintailah saudaramu. Yakinlah bahawa akan ada orang yang akan mencintaimu. Andai tidak ada seorang pun manusia yang mencintaimu, yakinlah bahawa Allah akan mencintaimu."

Nabi SAW telah diutuskan kepada umat manusia untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya Ilahi. Dahulu, manusia itu hidup berpecah-belah dan berpuak-puak. Setelah Islam hadir, mereka kembali berkasih sayang. Ya, mereka berkasih sayang kerana Allah SWT.

Berkata Jaafar bin Abi Talib kepada Najasyi (sewaktu hijrah ke Habsyah), “ Dahulu kami menyembah berhala, kami makan binatang yang tidak disembelih, kami melakukan maksiat, kami bergaduh sesama sendiri dan kami memutuskan persaudaraan serta menyakiti orang lain. Selepas itu, datang kepada kami seorang lelaki daripada kaum kami, orang yang paling mulia di kalangan kami dengan agama daripada Allah Tuhan sekalian alam. Dia mengajak kami menyembah Tuhan yang Esa dan mengajak kami meninggalkan berhala-berhala batu yang tidak dapat memberi manfaat dan mudarat itu. Dia mengajak kami supaya bersaudara dan berakhlak mulia. Dia mengajak kami meninggalkan maksiat dan dosa.”

Ya… untuk menggapai cinta Ilahi… kita perlu menuruti segala apa yang dikehendaki-Nya. Dengan lain perkataan… bentuklah keamanan di atas muka bumi ini (peranan khalifah di atas muka bumi ; mengabdikan diri kepada-Nya, mengajak manusia kepada Allah, memakmurkan alam). Firman Allah, " Mereka keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang terhadap sesama mereka."

9- Takut berpaling daripada Allah

Orang yang mahu mengekalkan rasa cintanya terhadap Allah perlu merasa TAKUT!!!

Khuatir andai dirinya tersasar daripada Allah.
Ia takut… takut sekiranya rasa cinta itu lemah akibat kefuturan/ kekufuran dalam diri.
Ia takut… akan terdorong dan terjerumus kepada maksiat.


Kemaksiatan yang boleh menyungkurkannya dari jalan Allah sekaligus menjauhkannya daripada Pencipta. Maksiat yang dianggap kecil itu kelak kan memusnahkan dan menghancurkan dirinya sendiri.

Justeru, apabila ia takut… ia kan sentiasa , MENGINGATKAN dirinya agar tidak terlupa. Ia akan sentiasa KOREKSI diri agar tidak jatuh terduduk dan tidak mampu bangun kembali. Ia sentiasa berusaha untuk MENINGKATKAN dirinya dalam menuntut ilmu Allah di samping bersungguh-sungguh mencari KEBENARAN yang hakiki. Pastinya, kebenaran itu hanya milik Allah yang telah menjadikan.

Cinta yang agung adalah cinta Ilahi. Bukan mudah untuk menggapai cinta itu.

Perlu BERSUNGGUH-SUNGGUH … sedaya yang mampu.
Perlu MENANGIS dahulu sebelum memperolehinya.
Perlu MENGIKHLASKAN hati dan diri.
Perlu meletakkan PENGHARAPAN yang tinggi terhadap Tuhan.


Dia yang memberi rasa cinta. Dia juga yang memberikan cinta. Maka, teruslah berusaha ke arah menggapai cinta yang SATU.

Rujukan : Cinta dan Rindu Kepada Allah,- Imam Nawawi, Biografi Muhammad b. Abdullah - Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohd Yusoff

Iftar

Salam. Apa khabar semua? Muthiah? Alhamdulillah… cuma hati sahaja yang kurang sihat. Kenapa ya? Entahlah… teringatkan sesuatu yang tidak mahu diingat. Tiba-tiba… rasa…

Hendak tulis tentang apa ya hari ini? Suami sedang membasuh kereta. Muthiah? Hehe… Muthiah tahu naik sahaja. Dush dush…

Hujung minggu lepas?Hmmmm… Muthiah sibuk bangat… Sibuk sibuk sangat.

4 Sept 09 – Ada majlis berbuka puasa di surau Simpang. Bolehlah kalau Muthiah katakan sebagai surau P. Yang Muthiah biasa pergi (untuk solat tarawih) sebelumnya, Muthiah namakan sebagai surau B. Hehe… pertama kali berbuka di surau. Suami sudah ajak banyak kali tetapi Muthiah berasa lebih selesa berbuka di rumah.

Namun… tidak kenal maka tidak cinta. Sejak dari hari itu (waktu berbuka puasa di surau), Muthiah dan suami tidak lagi berbuka di rumah tetapi… hehe… iftar di surau. Sebab utama? Hmmm… rasa seronok pula berbuka beramai-ramai. Selepas makan kurma dan bubur lambuk (di sini dipanggil kanji), kami menunaikan solat Maghrib dahulu. Kemudian, baru makan makanan berat.

Teringat sewaktu Muthiah masih bujang. Muthiah gemar berbuka puasa di Masjid Jamek. Bukan apa… seronok iftar beramai-ramai. Lagipun, Muthiah jatuh hati dengan bacaan ayat suci Al-Quran imam masjid tersebut. Betul-betul menusuk kalbu. Jadi, sesudah solat Maghrib, Muthiah akan tunggu sehingga solat tarawih.

Selain Masjid Jamek, Muthiah juga selalu berbuka puasa dan bersahur di Masjid As-Syakirin, KLCC. Seingat Muthiah, pada sepuluh malam Ramadhan terakhir… ada qiammullai di sana. Seronok… pernah juga makanan yang disediakan untuk sahur dan berbuka puasa tidak mencukupi tetapi… tetap BEST. Kenangan oh kenangan….

5 – 7 Sept 09 – Tidak ada aktiviti ‘luar biasa’ yang Muthiah dan suami lakukan melainkan membeli keperluan raya buat diri dan keluarga.

Eh lupa. Selain itu, suami ada beli mesin rumput. Untuk mesin lalang di sekeliling rumah yang semakin banyak. Hmmm… tidak ada apa-apa yang mengujakan kecuali… bilamana Muthiah juga dibelikan topi oleh suami. Sebenarnya, suami membeli topi untuk menutup wajah daripada cahaya tatkala membuat operasi sekeliling rumah (tebas rumput). Muthiah? Mana aci suami sahaja yang ada topi???

Di samping itu..huhu…Muthiah terpaksa belajar kereta dengan suami. Hari-hari Muthiah kena mengelilingi taman (dalam 2-3 pusingan). Mengikut perancangan suami, selepas hari raya… Muthiah MESTI (tanpa kompromi, insya-Allah) belajar memandu (dengan kata lain, ambil lesen). Ikut hati??? Tidak berani tetapi suami banyak memberi dorongan. Hmmm… dalam memberi dorongan pun… suami selalu beri markah tidak sampai 40% buat Muthiah. Hehe…

Yang paling Muthiah lemah ialah bilamana terpaksa berhenti kereta (seketika) kemudian jalan balik. Selalu sahaja mati. Bila enjin mati, Muthiah selalu tidak ada mood untuk memandu lagi tetapi suami tetap suruh Muthiah memandu. Alasan yang diberi… Muthiah kena biasakan diri. Untuk mendapatkan lesen adalah satu isu… satu isu lain, perlu mahir dalam pemanduan.

Apa yang suami lakukan? Hmmm… setiap hari, Muthiah yang jadi driver (setiap kali pergi dan balik surau). Malam semalam, suami minta Muthiah buat lima pusingan. Suami pula tidur (Muthiah agak, hanya berpura-pura tidur). Hehe.. Muthiah buat tiga pusingan sahaja. Huhu…

Baiklah…cukup coretan diari hatiku untuk minggu ini… Selamat berbuka puasa :)

Memupuk cinta (i)



Argh… argh… argh… hehe… hari ini TERPAKSA berbuka dengan …. Oh, tidak!!! Apabila suami memberitahu Muthiah tentang itu…huhu…

Apapun… ‘Setiap amal bermula dengan niat…’ Insya-Allah… bilamana kita berniat untuk melakukannya kerana Allah… pasti ‘itu’ yang akan kita miliki… Solusinya… usahlah… ARGH!!!

Jom…

Mudah untuk mengungkapkan cinta. Aku cinta kamu. Aku sayang kamu… CINTA CINTA CINTA

Realitinya, rasa cinta itu sebenarnya memerlukan PEMBUKTIAN daripada setiap orang yang mengaku mencintai. Begitu mudah melafazkan cinta sedang amat tinggi maksud pengakuan tersebut.

Beringatlah… berwaspadalah agar tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan dan nafsu bilamana diri mengakui mencintai Allah. Padahal pengakuan itu belum teruji dengan tanda-tanda yang menunjukkan cinta dan belum dibuktikan melalui dalil-dalil yang mendukung kebenarannya.

Bagaimana untuk merealisasikan impian itu? Impian untuk menggapai cinta Ilahi. Andai mahu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik, perlu bijak mengatur masa serta menyusun strategi yang padu dalam menjadikan misi itu satu realiti. Perlu memberi tumpuan di dalam kelas, membuat tugasan yang diberikan, banyakkan bertanya dan mengulangkaji pelajaran.

Bukan itu sahaja, bahkan perlu melakukan tugasan yang diberikan sebaiknya agar pulangan yang diterima setimpal dengan usaha yang dicurahkan. Begitu juga halnya andai mahu mengejar cinta Ilahi. Bukan sahaja perlu melakukan ketaatan sebaiknya malahan perlu lebih tekun daripada itu.

MUJAHADAH penting dalam mengawal hawa nafsu yang sering menuju kepada kemaksiatan yang membawa kepada murka Ilahi. Niat perlu sentiasa diperbaharui agar apa yang dilakukan tidak tersasar daripada visi asal yakni menggapai redha Allah. Dengan kata lain, IKHLAS adalah nadi dalam perjuangan menuju cinta dan kasih ar-Rahim. Cinta Ilahi adalah cinta agung yang begitu tinggi nilainya. Nilaian yang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.

1. Cinta kepada kematian

Apabila kita cintakan seseorang, kita pasti mahu selalu menemuinya. Ingin melihat dia setiap saat dan ketia… kerana hati begitu merindui senyum dan gelak-tawanya. Segala apa yang dimilikinya nampak sempurna. Tiada cacat-celanya dan kehadirannya sudah cukup membungakan hati kita.

Begitu juga halnya bilamana kita mencintai Tuhan. Hati sering sahaja mahu menjumpai-Nya. Rasa rindu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Barangsiapa lebih suka berjumpa dengan Allah, maka Allah suka menjumpainya." Riwayat Muttafaqun alaih daripada Abu Hurairah dan Aisyah R.A..

Maka, apabila seorang insan itu mencintai kematian, ia akan berusaha untuk BERSEDIA ke arah itu. Dia tidak menjadikan dunia sebagai tempat penghidupan abadi dirinya tetapi menjadikannya sebagai HAMPARAN bercucuk tanam sebelum menuju ke negeri abadi.

Dia ingin memperoleh hasil yang berkualiti. Maka, ia berusaha untuk mendapatkan sumber yang bermutu. Dengan kata lain, dia melakukan yang TERBAIK… sebagai persediaan menuju Ilahi.

Dia selalu meletakkan Allah di tempat yang tertinggi dalam setiap keputusan yang dilakukan. Dia takut kepada murka Allah dah berusaha menghindarinya. Dia hanya mahu melakukan kebaikan kerana dia tahu, Kekasihnya itu sukakan kebajikan dan kebaikan. Segalanya Allah dan untuk Allah.

2. Jihad di jalan Allah

Untuk membuktikan kebenaran cinta kepada Allah, ia perlu sanggup berjuang di jalan-Nya. Ia sanggup mengorbankan diri, harta benda dan jiwa raganya untuk mendapat keredhaan dan cinta Ilahi. Firman Allah, “Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh (sebagai) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan demikian itulah satu kemenangan yang agung.” At-Taubah ayat 111.

Ia tidak takut dengan mehnah yang datang kerana ia yakin bahawasanya Allah sentiasa ada untuk membantunya. Lihat sahaja kemenangan umat Islam dalam siri peperangan terdahulu. Kemenangan umat Islam dalam perang Badar sebenarnya sedikit sebanyak boleh memotivasi diri ; Sesungguhnya, tidak ada yang mustahil bagi Allah.

Yang penting, teruslah BERJIHAD dan MELANGKAH ke hadapan di samping meletakkan pengharapan dan pergantungan hanya kepada-Nya. Perlu OPTIMIS dengan apa yang dilakukan. Segala apa yang dilakukan itu, tidak lain semata-mata untuk memperoleh kasih dan cinta daripada yang Esa.

Sayidina Abu Bakar as-Siddiq pernah berpesan kepada Sayidina Umar al-Khattab yang berbunyi, “ Kebenaran itu berat, dalam keberatannya disertai rasa pahit. Kebatilan itu ringan, dalam keringangan tetap berpenyakit. Kamu pelihara pesanku ini, tidak akan ada suatu keghaiban yang lebih kamu sukai selain mati. Dan kematian pasti menjumpaimu. Akan tetapi, kamu mensia-siakan pesanku ini, tidak akan ada suatu keghaiban yang kamu benci selain mati. Sekalipun kamu tidak mampu menundukkan kematian.”

Daripada pesanan ini, dapat kita lihat bahawa menyampaikan kebenaran itu bukannya mudah. Nabi SAW sendiri ditentang habis-habisan dalam menyampaikan risalah dakwah. Nabi dan umat Islam diseksa dan dipulau kerana menyatakan kebenaran.

Pemboikotan terhadap suku Abdul Mutalib memperlihat kecekalan umat Islam yang tega dalam jihad di jalan Allah. Mereka tidak takut dan tidak gentar dengan dugaan yang mendatang. Mereka terus mara ke hadapan dengan keyakinan terhadap janji Allah. Akhirnya, kemenangan itu kunjung tiba. Ajaran Allah terus melata di atas muka bumi ini. Semuanya memerlukan pengorbanan. Ya, pengorbanan yang tinggi lagi padu.

3. Menundukkan hawa nafsu

Bilamana seseorang itu secara terus menerus mengikut hawa nafsunya, maka itulah kecintaan yang dikejar-kejar. Jadi, dalam menggapai cinta Allah, perlu baginya untuk MENUNDUKKAN hawa nafsu agar cinta itu tidak tersasar daripada kecintaan yang sebenar.

Apabila ia telah berjaya dalam MUJAHADAH itu(menundukkan hawa nafsu), tidak akan ada kenikmatan baginya tanpa mengaitkan Kekasih yang dicintainya. Bukan mudah untuk melawan hawa nafsu. Perlu KEKUATAN dan KEAZAMAN yang tinggi. Kekuatan itu tidak akan diperolehi tanpa izin daripada Pencipta. Dari situ, wujudlah KEAKRABAN dengan Ilah yang secara tidak langsung telah melahirkan rasa cinta yang mendalam terhadap-Nya.

Setelah Allah mencintai dia, Allah akan MENJAGA dan MEMELIHARANYA daripada musuh termasuklah musuh hawa nafsu dan syahwat. Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 45 yang bermaksud, “ Dan Allah lebih mengetahui musuh-musuhmu. Dan cukuplah Allah menjadi pelindungmu dan cukuplah Allah menjadi penolongmu.”

Disebut di dalam satu kisah, Nuaiman sering menghadap Rasulullah lalu Nabi SAW memberi arahan kepadanya supaya membatasi dirinya daripada kemaksiatan yang banyak. Sehingga suatu hari, Nuaiman menghadap baginda lalu Nabi SAW memberi arahan supaya membatasinya dirinya (daripada maksiat) lagi.

Seseorang yang mengetahui peristiwa tersebut mencela Nuaiman dengan berkata, “Alangkah banyak perkara yang dibawa menghadap Rasulullah.” Rasulullah seterusnya bersabda, “Engkau jangan mencelanya. Sebenarnya Nuiaman mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Di sini, dapatlah dilihat bahawa kecintaan kepada Allah dapat jua kita peroleh bilamana kita berusaha menundukkan hawa nafsu.

4. Sentiasa berzikir kepada Allah

Untuk memupuk rasa cinta terhadap seseorang, kita perlu sentiasa MENGINGATINYA. Perlu sentiasa menyebut KEBAIKANNYA dan memerhatikan KEISTIMEWAANNYA. Dari situ, secara tidak langsung boleh memupuk rasa cinta terhadap individu tersebut.

Begitu juga halnya andai kita mahu memupuk rasa cinta terhadap Tuhan. Lidah perlu tidak kelu untuk menyebut nama-Nya, mengingati-Nya serta segala sesuatu yang berkait dengan-Nya.

Bagaimana hendak mendekatkan diri Allah? Hmmm… bacalah Al-Quran - sebagai kalam-Nya, mencintai Rasul - sebagai utusan-Nya serta mencinta orang yang mencintai Rasul dan agama-Nya.

Sahal menyatakan, “Tanda-tanda mencintai Allah ialah dengan mencintai al-Quran. Tanda-tanda mencintai Allah dan al-Quran ialah dengan mencintai Nabi SAW. Tanda-tanda mencintai sunnah Nabi SAW ialah dengan mencintai akhirat. Tanda-tanda mencintai akhirat ialah dengan membenci dunia. Tanda-tanda membenci dunia ialah dengan tidak mengambil bahagian apapun daripadanya kecuali sekadar bekal yang menghantar ke akhirat.”

Panjang bangat. Kita sambung nanti ya… ada lima isi lagi. Tunggu…

Muthiah : Memupuk cinta terhadap seseorang yang banyak menyakiti… jauh di mata, lagi jauh dalam hati…

Good luck for exam… BOBO!




Salam.

Dikesempatan ini, Kakak ingin mengucapkan :

1- Good luck for UPSR. Maaf, terlewat untuk ucap di sini. Sudah dapat kad, bukan?


2- Usaha, doa dan tawakal. Kakak percaya Bobo pasti akan berjaya. Malaysia boleh! Eh, silap… Bobo boleh…

3-Jaga solat … ingat Allah sentiasa… tidak kira sewaktu sibuk mahupun lapang. Insya-Allah, DIA dekat dengan setiap hamba-Nya. Lebih dekat daripada urat merih kita sendiri.

4- Hehe… ringankan tulang;

a) Tolong mama dan papa…

b) Jaga Asyraf…

c) Hormat Abang dan Amir… Dengan kata lain, hormati orang yang lebih tua. Panggil dengan nama yang elok dan berbicara dengan adab dan sopan.

Apapun… Kakak akan sentiasa bersama Bobo dunia dan akhirat. Dan Kakak yakin… Bobo boleh menjadi yang terbaik dari kalangan yang paling baik.

Sayang selalu … Daripada Kakak dan Abang Azim yang jauh di mata tetapi dekat di hati, insya-Allah ;)

Kenali Allah


Sering kali, kita mengingati Pencipta apabila diri berada di dalam kesulitan. Kita acap kali mencari Tuhan apabila berada di dalam kebuntuan. Waktu itu, Allah-lah segalanya bagi kita. Tanpa nusrah Allah, entah apa yang akan berlaku.

Kita tahu, Allah itu Pemilik segala-galanya yang mengambil dan memberi. Maka, kita meletakkan pergantungan itu hanya kepada Allah. Akan tetapi, cuba koreksi diri…

Bilakah kita mengingati Allah?
Adakah kita hanya ingat Tuhan apabila ditimpa musibah?
Di manakah kita meletakkan Allah tatkala senang?


Itulah manusia yang sering lupa. Lupa bahawa dirinya telah diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Firman Allah dalam surah Az-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud, “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.”

Kita tahu bahawa solat itu wajib tetapi masih mahu melalaikannya. Dengan kata lain, kita bukan sahaja tanpa rasa bersalah melengahkan solat tetapi tidak khusyuk di dalamnya. Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 3 dan 4 yang bermaksud, “Maka celakalah orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai terhadap solatnya.”

Bukan itu sahaja. Kita lupa taklifan kita sebagai makhluk di atas muka bumi ini. Allah tidak akan menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Begitu juga dengan penciptaan kita. Kita dijadikan, bukan sekadar suka-suka tetapi diciptakan untuk menjadi hamba yang taat dan patuh kepada-Nya serta menjadi khalifah yang bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi.

Apabila masuk ke kolej kediaman, pelajar baru akan mencari senior. Kenapa? Jawabnya, kerana mereka lebih lama di kampus. Sudah lebih termakan garam. Mujur tidak terkena darah tinggi.

Pelajar baru ini beranggapan, kakak-kakak dan abang-abang pastinya mempunyai nota-nota yang diperlukan. Mereka juga pastinya lebih tahu selok-belok kolej kediaman serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Mereka kenal dengan orang kuat kolej dan apabila hubungan kita dengan mereka mantap, pastinya tidak terlalu sukar untuk stay college pada sesi seterusnya.

Lebih-lebih lagi halnya dalam kita cuba mengenali Allah…

Dia yang memberi peluang kepada kita untuk hidup di atas muka bumi ini.
Dia juga lebih tahu selok-belok bumi ciptaan-Nya.


Untuk mendapat nota dengan cara yang mudah, perlu bodek/ berbaik dengan senior. Maka, bagaimana caranya andai kita mahu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat?

Pastinya kita perlu kembali kepada Allah.
Perlu taat kepada segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Dan… Ketaatan ini tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada manusia kerana Allah ini Maha Segalanya.

Andai Allah murka, apa yang akan berlaku? Gelaplah hidup kita. Walau berharta, kita pastinya tidak dapat hidup dengan tenang. Hati ini tentunya gundah-gulana dengan kemaksiatan yang dilakukan. Jika tidak punya rasa apa-apa, berwaspadalah. Takut sekiranya Allah melupakan kita. Takut Dia membiarkan kita dan meninggalkan kita dalam kesesatan.

Berbalik kepada kenali Allah… Sejauh mana kita kenal dengan Pencipta?

Kita tahu nama-nama Allah tetapi sejauh mana kita menghayati tauhid asma wal sifat itu?
Kita tahu Allah itu Maha Mengetahui tetapi kita tidak segan silu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.


Mungkin kita terlupa waktu itu. Kita teralpa daripada mengingati bahawa kamera Allah ada di mana-mana. Ingatlah, Allah tahu segala apa di dalam hati kita. Dia tidak terleka daripada perkara yang nyata dan tersembunyi. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 255 yang bermaksud, “….Allah itu mengetahui apa-apa yang ada di hadapan dan mengetahui apa-apa yang ada di belakang mereka….” Maka, hisablah diri sentiasa.

Kenalilah … Allah itu Maha Sempurna yang tiada cacat celanya. Apabila kita sakit, ketahuilah bahawa Allah tahu kita sedang diuji dengan kesakitan. Pastinya, Dia lebih tahu bahawa kita mampu menerima dugaan itu. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya.”

Bukan itu sahaja bahkan ujian yang kita terima itu merupakan tanda kasih sayang Allah terhadap hamba pilihan-Nya. Bukan calang-calang hamba dipilih oleh Tuhan. Ada yang tidak pernah ditimpa musibah sehingga tanpa sedar telah mengalpakannya.

Dia sangka, dialah hebat. Dia sangka, dialah yang berkuasa. Dia terlupa bahawa ada yang Maha Hebat dan Maha Kuasa yang tidak leka memerhatikannya, yang akan menghitung setiap baik buruk amalannya. Firman Allah dalam surah Al-Zalzalah ayat 7 dan 8 yang bermaksud, “Barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya.”

Perjanjian AUKU sebagai contoh (relevankah??? 8=) ). Perjanjian antara pelajar dan pihak universiti yang memastikan para pelajar tidak melanggar peraturan yang telah digariskan. Sekiranya pelajar tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan, tindakan tatatertib akan diambil. Pelajar mungkin boleh dibuang kolej, universiti atau ditarik keistimewaan yang diberikan.

Itu perjanjian antara manusia dengan makhlukan. Bagaimana pula dengan perjanjian manusia dengan Allah? Apa fungsinya kita melafazkan kalimah syahadah, “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.” ???

Bukankah itu penjanjian yang lebih besar impaknya? Apa akan jadi sekiranya kita engkar? Padahnya, kitalah yang akan menanggungnya.

Justeru, fikir-fikirkan...

Kepada siapa kita berharap, kepada siapa kita bermohon pertolongan?
Sejauh mana kita memelihara diri kita daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah?

Kita khuatir, tanpa sedar kita telah melupakan Allah dan meletakkan Dia bukan pada tempatnya. Allah yang sepatutnya sentiasa berada di tempat yang teratas, kita ketepikan. Kita ingat Allah hanya pada waktu-waktu tertentu dan kita lebih banyak melalaikan ingatan kita terhadap-Nya. Kita TIDAK KENAL Allah sebenarnya…

Di sebalik musibah


“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang paling baik perbuatannya,”al-Kahfi ayat 7.

Musibah yang berasal dari perkataan “ashaaba”, “yushiibu” dan “mushiibatan” membawa maksud sesuatu yang menimpa diri baik berupa kesenangan mahupun kesulitan. Namun, pabila disebut tentang musibah ia lebih difahami dengan kesukaran. Sedangkan, kesenangan yang dirasai pada hakikatnya merupakan satu musibah daripada Allah. Dengannya, Allah SWT hendak menguji siapa yang paling baik amal di kalangan hamba-Nya.

3 golongan manusia yang menghadapi musibah :

1- Individu yang menganggap musibah itu sebagai hukuman dan azab kepadanya.

Ia merasakan Allah telah menghukumnya atas kesilapan dan dosa yang ia lakukan. Lantas ia sentiasa merasa sempit dada dan sering kali mengeluh.

2- Individu yang menilai musibah itu sebagai penghapus dosa baginya.

Tanda Allah kasih dan sayang kepadanya. Ia redha dengan apa yang menimpanya dan menyerahkan segalanya kepada Allah.

3- Individu yang melihat musibah sebagai ladang peningkatan iman dan takwa.

Ia yakin Allah mahu meninggikan darjatnya di sisi-Nya. Ia sentiasa tenang dan percaya bahawa segala apa yang berlaku ke atas dirinya adalah demi kebaikan daripada Allah untuknya.

Kategori musibah :

1- Musibah yang berlaku di dunia.

Berupa ketakutan, kelaparan, kematian dan lain-lain; sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Dan Kami pasti menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

2- Musibah akhirat.

Bagi sesiapa yang tidak punya amal soleh dalam hidupnya sehingga ia jauh daripada pahala. Nabi SAW bersabda, “Orang yang terkena musibah bukanlah seperti yang kalian ketahui tetapi mereka yang tidak memperoleh kebajikan(pahala) dalam hidupnya.”

Ingatlah… Tatkala kita menerima musibah berupa kesusahan di dunia, kita hadapinya dengan sabar, ikhtiar dan tawakal kepada Allah, yakinlah bahawa ganjaran Allah sedia menanti.

Sebaliknya, jika musibah kesenangan yang kita kecapi menyebabkan kita alpa dan leka, maka tunggulah ketentuan daripada Allah untuk kita. Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Aku akan menambah nikmat kepadamu tetapi jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka pasti azab-Ku amat berat.”

Allah berfirman dalam hadis Qudsi, ''Demi keagungan dan kemuliaan-Ku, Aku tiada mengeluarkan hamba-Ku yang Aku inginkan kebaikan baginya dari kehidupan dunia, sehingga Aku tebus perbuatan-perbuatan dosanya dengan penyakit pada tubuhnya, kerugian pada hartanya, kehilangan anaknya. Apabila masih ada dosa yang tersisa dijadikan ia merasa berat di saat sakaratul maut, sehingga ia menjumpai Aku seperti bayi yang baru dilahirkan.''

Muthiah : Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya… (2:286)

Jangan bersedih


Anda sedih? Usahlah menjadikan kesedihan itu sebagai batu penghalang bagi kita untuk memberikan senyuman. Bukankah “Senyum itu sedekah?” Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286, “Tidak Aku bebankan seseorang sesuai dengan kesanggupannya…”

Jangan masukkan setiap peristiwa dalam hati

Dengan kata lain, tidak SEMUA perkara dalam kehidupan sehari-hari perlu difikirkan secara MENDALAM. Contohnya, mudah terasa dengan teman-teman. Ayat best, sikit-sikit terasa… sikit-sikit terasa…

Secara tidak langsung, hal sedemikian membuatkan kita terbantut untuk menyampaikan kebenaran. Al-maklumlah, hati tidak tenang. Ada perasaan mazmumah dalam diri. Susah susah susah… Sebenarnya, jiwa yang benar sentiasa belajar daripada kehidupan.

Hmmm… kita sebenarnya berhadapan dengan 1001 karektor manusia serta cabaran hidup. Dari situlah kita belajar. Dan daripada pembelajaran itu (bagi yang mahu belajar dan berfikir), kita masukkannya di dalam kaedah seruan kita (ke arah kebaikan). Yang penting, perlu berani dan tabah!

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 96 yang bermaksud, “Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah) dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.”

Jangan sampai masalah kecil menghancurkan diri

Disebabkan sesuatu yang kita rasa sukar mendepaninya, kita mengambil jalan singkat. Kita merasa tertekan dengan sesuatu perkara. Lalu, kita membuat keputusan untuk melarikan diri terus. Lari daripada masalah, lari daripada tanggungjawab. Lari dan terus lari. Entah ke mana kita mahu pergi…

Check balik diri. Kita mahu masak nasi dan ayam paprik buat suami. Suami berhajat! Beras ada… ayam ada… bawang ada… daun limau purut ada… garam tiada… tapi gula ada… hehe… letak garam dan gulakah dalam masakan kita?

Maka, jangan disebabkan tiada garam kita tidak mahu menyediakan ayam paprik buat suami kita (Bukankah sos tiram itu sudah sedia masin? Hehe).

Begitu juga bilamana kita moody sewaktu bekerja/ belajar. Jangan disebabkan moody itu, kerja pula terbengkalai… dan… amanah yang sepatutnya kita laksanakan terabai begitu sahaja.

Ambil masa… ambil ruang. Banyakkan berzikir dan beristighfar kepada Allah. Masih moody lagi? Ambil wuduk… Tetap juga moody… hmmm…. mengaji Al-Quran. Masih dan masih… Huhu…. Teruskan bertadarus sehingga tenang hati kita. Masih masih… carilah seseorang yang kita percayai. Berkongsilah dengan dia. Tidak boleh! Rahsia Negara!!! Hmmm…

Macam mana pula hendak kategorikan masalah tersebut? Besarkah atau kecilkah? Boleh jadi bagi kita… masalah itu besar bangat tetapi tidak bagi orang lain. Susah juga ya… Huhu, hanya kita yang dapat menilainya. Namun, nilailah pada sisi Allah (dengan kata lain, letakkan Allah di hadapan kita dalam menilai sesuatu perkara).

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 49 yang bermaksud, “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu) dan sesungguhnya azab jahanam meliputi orang-orang yang kafir.”

Redha dengan anugerah Allah

Redha… alangkah bagusnya jika kita sentiasa berlapang dada. Pabila ditimpa ujian, kita kata kita redha tetapi masih mengeluh. Menangis tidak salah tetapi menangislah dalam mengharapkan keampunan Allah dan kekuatan dalam mengharungi dugaan.

Kita redha dengan rezeki yang diberikan. Redha dengan tubuh badan yang dikurniakan. Semua cantik molek. Ada mata untuk melihat… telinga untuk mendengar… mulut untuk berbicara. Namun, sejauh mana kita mensyukuri kurniaan Allah itu?

Adakah mata, telinga serta mulut yang telah kita miliki itu benar-benar digunakan ke jalan Allah? Kadang-kadang, mata melihat yang haram… telinga mendengar yang salah… mulut berkata-kata yang sia-sia. Hmmm… kita, bukannya tidak tahu tetapi masih mahu melupakan peringatan Allah ini.

Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 144 yang bermaksud, “…oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur.”

Ingatkan diri dengan syurga

Adakah kita sentiasa mengingatkan diri kita tentang syurga? Benarkah syurga yang kita cari dan kejar-kejarkan?

Namun, kita masih meletakkan Allah bukan pada tempatnya. Bibir menyebut nama Allah. Hati pula bagaimana?

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 24 yang bermaksud, “Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot. Dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”

Bersikap dengan sewajarnya

Orang yang menyeru kepada kebaikan perlu menjaga akhlaknya kerana akhlak itu mendahului percakapan. Lazimnya, orang lebih melihat apa yang dibuat daripada apa yang diperkatakan. Sesungguhnya, manusia yang mengikut hawa nafsu adalah manusia yang sengsara.

Muthiah : Hmmm… coretan ini… Muthiah lupa bilakah masanya Muthiah menulisnya. Tetapi, lazimnya… Muthiah menulis tatkala mahu memberi respon semasa, tidak mampu Muthiah ungkap / luah dengan kata-kata… maka, Muthiah menulisnya dengan pena. Peringatan untuk diri Muthiah yang mungkin saat itu sedang bersedih hati…

Tarbiyah Dzatiyah


Salam salam. Jom kita sambung tentang tarbiyah… Muthiah dapat informasi ini dalam majlis ilmu yang pernah Muthiah ikuti satu ketika dahulu (huhu… Muthiah tidak faham dengan tulisan Muthiah tetapi Muthiah cuba juga untuk berkongsi dengan suami)…

Muthiah kira, ada juga buku yang bertajuk Tarbiyah Dzatiyah (bukunya berwarna kuning). Dahulu, Muthiah pernah memilikinya tetapi… huhu… oleh sebab berpindah-randah, entah di mana Muthiah letakkannya.
Hmmm… apa itu tarbiyah dzatiyah? Ya, betul! Tarbiyah dzatiyah merupakan TARBIYAH TERHADAP DIRI untuk membentuk AKHLAK YANG SEMPURNA dari pelbagai aspek.

Kenapakah tarbiyah terhadap diri ini penting???

1- Untuk menjaga diri

Kita mengajak manusia lainnya kepada Allah. Kita mendorong orang lain untuk menjauhi api neraka namun kita melalaikan diri kita sendiri. Adilkah begitu? Kita menyeru orang lain untuk melakukan kebaikan (tidak berzina, tidak berjudi, tidak minum arak, tidak dan tidak) sedang diri kita… bersahabat baik dengan perkara yang dimurkai Allah. Kita membunuh… kita memfitnah… kita mencaci dan mengeji.

Muthiah pernah terbaca dalam Al-Quran… maksudnya, ‘Hendaklah kita memelihara diri dan keluarga dari azab api neraka…’ namun Muthiah terlupa surah dan ayat apa. Ada sesiapa yang tahu?

Apapun bagi diri kita… hendaklah menuruti segala perintah Allah, menjauhi larangan-Nya dan banyakkan bertaubat. Sesungguhnya, sebagai manusia yang selalu lupa… sebagai insan yang acap kali teralpa…banyak sekali kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan namun ingat… keampunan Allah itu begitu luas buat diri kita, hamba-Nya.

2- Hanya kita yang menjaga diri kita

Sang murabbi boleh menasihati mutarabbinya… ‘Jangan buat itu dan ini, khuatir mengundang kemurkaan Allah.’

Si ibu mahupun ayah boleh berpesan kepada anak-anak mereka… ‘Usah usah usah… takut memudaratkan diri.’

Sahabat handai, guru, pendakwah, bla bla… boleh memberi peringatan kepada kita (sama ada secara hikmah atau sebaliknya) tetapi … kitalah yang membuat PILIHAN. Sama ada mahu melakukan kemaksiatan tersebut atau menjauhinya. Hmmmm…

Yang penting, bermohonlah…berdoalah selalu kepada Allah agar dipelihara diri kita daripada azab api neraka… daripada segala sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah. Belajarlah… carilah ilmu yang boleh membawa kita kepada Allah… agar tidak tersungkur daripada landasan-Nya.

3- Hisab adalah bersifat individu

Dengan kata lain, kita tidak memikul dosa yang dilakukan orang lain. Yang penting, kita telah menjalankan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB yang telah ditaklifkan kepada kita sebaiknya.

Tanggungjawab sebagai isteri/ ibu…
sebagai suami/ ayah…
sebagai pekerja/ majikan…
sebagai pemimpin / orang yang dipimpin…
sebagai anggota masyarakat.


Kita tidak sambil lewa atau berlepas tangan terhadap sesuatu yang berlaku di sekeliling kita. Kenapa? Kerana kita adalah khalifah di atas muka bumi ini. Ada mata lihat (dan fikir), ada mulut tegur, ada tangan cegah…

Bilamana kita melihat kemungkaran, cegahlah dengan tangan (kuasa yang kita miliki)… dengan mulut/ bicara… Andai tidak mampu, bencilah dengan sebenci-bencinya (terhadap kemungkaran itu) di dalam hati…

4- Mampu merubah diri

Allah pernah berfirman bahawasanya Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya.

Ya, dengan tarbiyah dan peringatan yang berterusan bisa sahaja menyedarkan kita. Boleh sahaja membangkitkan kita daripada lena. Setelah berdoa kepada Allah, berusahalah untuk mengubah diri ke jalan yang lebih baik… jalan yang diredhai Allah. Tidak cukup kuat?? Masih lagi tidak berubah… terus menerus melakukan kemaksiatan??? Mohonlah lagi kepada Dia yang memiliki segala sesuatu di atas muka bumi ini.

Usah malu… usah segan untuk menyatakan kelemahan diri kita kerana sesungguhnya Dia sebenarnya sudah sedia tahu. Dia Maha Teliti… Maha Mengetahui segalanya… yang tersirat dan tersurat di dalam hati kita.

5- Tarbiyah merupakan method untuk kita tetap / istiqomah di atas jalan-Nya.

Setiap kita… lemah. Kita tidak cukup kuat sebenarnya mengharungi kehidupan yang banyak pancaroba. Kita juga sering kali terlupa dan teralpa. Kita lupa bahawa Allah itu dekat. Kita teralpa bahawa kamera Allah ada di mana-mana walau orang lain tidak melihatnya.

Maka, perlu ada sesuatu yang mengingatkan kita. Bagaimana? Melalui tarbiyah… tarbiyah yang mungkin sahaja kita perolehi daripada usrah, halakah ataupun majlis-majlis ilmu (dan lain-lain). Bukan itu sahaja, boleh jadi tarbiyah Ilahiyah itu kita terima daripada pengalaman dan pengamatan. Yang penting, kita harus sentiasa berfikir dan terus bermuhasabah. Berfikir tentang kebesaran Allah. Bermuhasabah tentang kekurangan diri… betapa kerdilnya diri di hadapan Tuhan.

6- Tarbiyah merupakan method dakwah yang paling kuat.

Muthiah teringat dengan tulisan Almarhum Syeikh Fathi Yakan dalam bukunya yang bertajuk Tergelincir dari Jalan Dakwah (buku tersebut berwarna biru). Antara punca perpecahan/ kejatuhan dalam sesuatu jemaah itu adalah kelemahan dari sisi tarbiyah.

Bilamana tarbiyahnya lemah… dirinya juga akan mudah menjadi lemah. Ia tidak kuat untuk berhadapan dengan ujian. Kerana apa? Kerana pergantungannya kepada Allah itu lemah. Ia merasakan dirinya kuat. Dengan jawatan yang disandang, ia merasakan dirinya hebat. Namun ia terlupa… yang kuat dan hebat itu bukanlah sosok dirinya tetapi segalanya adalah milik Allah.

7- Merupakan cara yang tepat untuk membaiki realiti (bangsa/ masyarakat)


Bermula daripada pentarbiyahan diri… kemudian, diteruskan kepada keluarga. Keluarga itu seterusnya berkembang membentuk masyarakat. Ya! Bermula daripada diri sendiri. Kita dahulu yang teguh dan faham… kita terlebih dahulu yang menghayati dan mengamalkan cara hidup Islam.

Seterusnya, kita menerapkannya di dalam keluarga yang kita bina. Biarlah keluarga itu menjadi keluarga sakinah yang diredhai Allah. Anak-anak yang lahir adalah pejuang agama Allah yang taat dan patuh kepada segala perintah-Nya. Selepas itu, anak-anak itu menunjukkan akhlak yang baik kepada masyarakat yang ditemuinya. Bukan itu sahaja… anak-anak itu jua yang kelak bakal menjadi ibu / ayah buat anak-anak generasi akan datang.

Aduh.. berbelit. Tidak apa… yang baik, ambil. Yang tidak baik… jadikan sempadan.

Muthiah : Insya-Allah, nanti Muthiah kongsi tentang ; 1) Sebab tarbiyah diri diremehkan, 2) Method tarbiyah diri pada masa akan datang. Tungguuuu…
Labels: 0 comments | | edit post

Keharusan Tarbiyah (i)


Assalammualaikum ;) Hmmm… bilamana Muthiah melihat blog teman-teman, banyak sekali yang mengupas tentang tarbiyah. Mungkin sebagai respon awal terhadap kata-kata yang diungkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperti yang tertulis di dalam Utusan Malaysia bertarikh 26 Ogos 2009…

“Rasa simpati, belas kasihan serta tarbiah merupakan inti pati dalam Islam dan itu yang diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.”

“Oleh itu, apabila mengenakan hukuman (terhadap pesalah) proses tarbiah sepatutnya lebih penting berbanding hukuman fizikal kerana ia sejajar dengan sifat Islam yang simpati dan belas kasihan kepada umatnya,” katanya.

(Petikan Muthiah ambil dari Utusan Malaysia Online)…

Hmmm… Muthiah tidak mahu mengulas, memberi komen atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Sudah banyak yang telah memberi respon tetapi… Muthiah ingin berkongsi ilmu yang Muthiah ketahui tentang T.A.R.B.I.Y.A.H. Selamat membaca… yang baik, jadikan teladan… yang silap… tegur-tegurkan. Moga-moga Allah mengampuni dosa Muthiah dalam sedar mahupun sebaliknya.

Pertamanya, tarbiyah itu merangkumi :

1- Pembentukan.

2- Pemeliharaan.

3- Pengarahan.

4- Perkembangan.


Dengan kata lain, tarbiyah itu :

1- Harus membentuk peribadi.

2- Harus boleh memelihara.

3- Memberi arahan kepada setiap manusia.

4- Bertambah lebih baik dari segala aspek.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung,” Ali-Imran ayat 104.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik,” Ali-Imran ayat 110.

…..

Proses T.A.R.B.I.Y.A.H merupakan proses PEMBENTUKAN PERIBADI seseorang yang meliputi AKAL, JASAD dan ROH dari yang TIDAK BAIK menjadi LEBIH BAIK dan dari BAIK menjadi SEMAKIN BAIK.

Sebagai khalifatullah di atas muka bumi ini, kita berperanan untuk :

1- Mengabdikan diri kepada Allah.

2- Menyeru manusia kepada kebaikan (Allah).

3- Memakmurkan alam.


Dengan lain perkataan, kita semua adalah PENDAKWAH. Yakni, manusia yang MENYERU, MENGAJAK manusia lainnya kepada Allah. Kita mengajak mereka untuk mentaati segala perintah Tuhan dan menjauhi larangan-Nya. Bukan itu sahaja, kita mengajak mereka untuk mengenali Allah… kemudian, jatuh cinta dan mendambakan diri kita kepada-Nya.

Jadi, hendak tidak hendak… kita memerlukan T.A.R.B.I.Y.A.H. Kenapa? Kerana, mereka yang tidak memiliki apa-apa (ilmu)… masakan dapat menyampaikannya kepada orang lain. Perlu diingat… tarbiyah itu umpama pengecas serta minyak (bagi kereta). Jika bateri tidak dicas… minyak pula tidak diisi setelah digunakan, lama-kelamaan… akan habis. Justeru….

Sesungguhnya, T.A.R.B.I.Y.A.H itu tidak akan berjalan tanpa :

1- Iman yang sempurna ~ Maka, perlu faham. Apa yang dimaksudkan dengan iman yang sempurna???

2- Cinta yang anggun ~ Hendaklah kita mencintai dan membenci sesuatu kerana Allah. Namun, sejauh mana kecintaan dan kebencian kita itu hadir kerana Allah SWT semata-mata? Boleh jadi rasa cinta itu hadir kerana keprihatinan insan yang dicintai (sehingga kita lupa dari mana hadirnya rasa prihatin orang yang kita cintai itu). Boleh jadi juga rasa benci itu datang disebabkan perasaan dendam yang mendalam dalam jiwa.

3- Pengorbanan ..


Muthiah : Nanti sambung ya.
Labels: 0 comments | | edit post

Tetamu itu pembawa barakah…

Salam. Apa khabar semua? Ada OK? Apa macam ibadah puasa?

Alhamdulillah, tidak tinggal solat tarawih lagi…
Tahniah… sudah khatam Al-Quran.
Hebat! Berjaya memelihara diri daripada sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah.


Insya-Allah, Allah itu sentiasa dekat dengan kita… begitu hampir keampunan-Nya buat hamba-hamba yang bertaubat.

Hmmm… minggu lepas?

28 Ogos 2009 – Hmmm… Muthiah dan suami berbuka di luar. Mula-mula, malu juga. Rasa macam diperhatikan (padahal tidak pun). Iyalah, makan di luar. Muthiah merasakan bahawa Muthiahlah satu-satunya manusia/ perempuan yang membeli makanan luar di luar (tidak masak). Sebenarnya, hendak masak paprik tetapi suami ajak Muthiah bertemu dengan seseorang (atas urusan tertentu). Muthiah kan peneman suami??? Sekembalinya suami dari tempat kerja, kami terus keluar. Tup tup… sudah lewat. Jadi, berbukalah di luar.

29 Ogos 2009 – Terima kasih teman… Sahabat Muthiah dari UniSel datang menziarahi Muthiah di Taiping. Seronok menerima kehadiran tetamu. Asalnya, Muthiah dan suami merancang untuk menziarahi sepupu suami di Manjung, tetapi sahabat Muthiah datang… kami pun tangguhkan dahulu perancangan asal kami. Sahabat Muthiah dan ibunya berbuka di rumah. Alhamdulillah, seronok…

30 Ogos 2009 – Lupalah… ada keluar atau tidak hari ini. Eh, ada. Membeli keperluan dapur untuk minggu hadapan. Lainnya, Muthiah dan suami berbuka puasa dengan nasi lemak (menu kegemaran Muthiah). Cuma, Muthiah goreng ikan cencaru sumbat untuk menu tambahan.

31 Ogos 2009 – Merdeka??? Paginya, Muthiah dan suami tidak ke mana-mana. Muthiah membuat operasi rumah manakala suami iktikaf di surau. Jam 10.00 pagi, Muthiah menonton cerita Sarjan Hassan lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Alhamdulillah, hari ini pun rumah Muthiah didatangi tetamu dari Ipoh. Kawan suami dan isterinya datang bertandang (tetapi tidak berbuka di rumah).

Huhu… hehe… Muthiah minta tolong sesuatu pada suami. Kalau dapat, Muthiah hendak belanja… apa sahaja yang suami mahukan (dengan harapan, suami tidak dapat menyelesaikan permasalahan ‘besar’ yang Muthiah hadapi). Dengan izin Allah, berjaya. Maka, Dengan sukacitanya… Muthiah pun belanja suami makan…. Sebenarnya, gembira rasanya melihat suami yang tercapai hajatnya untuk makan di situ.

Selain itu, Muthiah dan suami juga ke Popular (petangnya). Hehe… Muthiah beli buku kegemaran. Buku apa? Ya betul!! Hehe… Detektif Conan, volume 56. Bukan itu sahaja, Muthiah juga membeli sebuah buku yang bertajuk Kasih Nan Agung (Pemenang Kategori Novel Remaja, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan). Hmmm… Muthiah belum baca buku ini. Insya-Allah, selepas ini. Lagipun, suami belum mencoret apa-apa di dalam buku tersebut.

Terlupa pula Muthiah… kaca mata Muthiah sebenarnya rosak. Mata Muthiah asyik berair dan berasa gatal-gatal. Jadi, Muthiah dan suami ke kedai kaca mata dan …. beli baru. Alhamdulillah, kuasa (power) cermin mata Muthiah menurun (dari 600+ kepada 500+) tetapi silaunya bertambah. Mungkin kerana Muthiah banyak berinteraksi dengan komputer riba. Apapun, terima kasih buat suami ;) Insya-Allah, Khamis atau Jumaat ini dapat…

Muthiah : Ibadah - melakukan sesuatu kerana Allah.

Jual beli


“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…” at-Taubah ayat 111.

Apabila sesuatu benda/ barang dijual, maka pemilikan secara automatik menjadi milik pembeli. Hmmm… begitu juga halnya sekiranya kita melakukan urusan jual beli dengan Allah. Maka segala aspek kehidupan akan menjadi milik Tuan Punya secara menyeluruh. Itulah yang dikatakan jual beli dengan Pencipta. Dia yang mencipta alam, dalam masa yang sama turut menjadi Pembeli atas apa yang dicipta-Nya.

Antara ciri orang yang berjual beli dengan Allah ialah ia sentiasa berkomunikasi dengan Allah pada setiap langkah dan aktiviti kehidupan. Ia meletakkan Allah di hadapan sebelum membuat sebarang keputusan. Ia berhati-hati dalam tindak-tanduk serta tingkah-laku agar segala apa yang dilakukan tidak mendatangkan kemarahan Pembeli yakni Allah.

Selain itu, individu yang menjual diri kepada Allah ialah insan yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan mengenal-Nya. Ia banyak melakukan ibadah sunat tanpa mengabaikan ibadah wajib. Ia umpama seorang abid yang mengabdikan diri kepada Tuhannya di malam hari dan menjadi seperti seekor singa yang hebat berjuang pada siangnya.

Ciri lain orang yang menjual diri kepada Allah ialah merasakan diri benar-benar seorang hamba. Apabila perasaan ini wujud dalam diri, ia akan melakukan ketaatan tanpa bantahan dan bersungguh-sungguh menunaikan hak Tuan Punya. Ia tidak ragu-ragu dengan segala ketetapan Pemilik yang serba tahu segala yang terbaik buatnya.

Bukan itu sahaja, orang yang menjual diri kepada Allah bukan sekadar berkeinginan dibeli oleh Allah tetapi Allah sememangnya telah membeli dirinya. Allah pasti memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang mahu berjuang di jalan-Nya.

Jual Beli Dengan Allah

1- Pasti mendapat keuntungan

• Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…”

• Akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

2- Semua orang/lapisan mampu berjual beli dengan Allah

• Allah menerima jual beli daripada orang kaya, miskin, tua, muda, berpendidikan atau sebaliknya.

• Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya.”

3- Janji Allah benar dalam urusniaga dengan-Nya

• Ar-Rum ayat 60 yang bermaksud, “Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.”

• Perjuangan ke jalan Allah pasti kan memperoleh kemenangan. Firman Allah surah al-Imran ayat 12-13 menunjukkan bahawa Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakinya.

4- Jual beli yang berbaloi/membuahkan hasil

• Akan mendapat balasan yang baik daripada Allah.

• Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 47 bermaksud, “...dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung) dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.”

5- Tidak memerlukan modal

• Allah melihat kepada kegigihan kita dalam melakukan kebaikan yang dituntut Allah. Dia jugalah yang membuat pilihan dalam keberjayaan kita.

• Surah at-Taubah ayat 79 yang bermaksud, “Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian daripada orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya. Allah akan membalas ejek-ejekan mereka dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

6- Dilakukan secara berjemaah

• Dakwah Nabi SAW dilakukan secara berjemaah.

• As-Saff ayat 4 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

7- Menyebabkan diri semakin akrab dengan Allah

• Manusia akan berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan mengenal Allah.


Jual Beli Dengan Manusia

1- Boleh jadi untung/rugi

• Belum tentu akan mendapat balasan syurga (jika tidak menurut syariat Allah).

• Tidak balik modal / rugi / ditipu.

• Balasan kejahatan diterima di dunia dan akhirat.

2- Tidak semua orang berkemampuan

• Jual beli dibuat mengikut kemampuan kewangan diri.

• Barangan mewah sekadar mampu dibeli oleh mereka yang berkemampuan


3- Penipuan/penyelewengan boleh berlaku

• Boleh berlaku penipuan dalam timbangan dan sukatan.

• Al-Maidah ayat 85 bermaksud, “.....Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya...”

4- Jual beli boleh jadi sia-sia

• Sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat tetapi ia sebenarnya tidak bermanfaat bahkan berdosa.

• Allah ada berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 216 bermaksud, “...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

5- Memerlukan sumber kewangan

• Untuk menjual, memerlukan modal.

• Untuk membeli, memerlukan wang/ harta.

6- Dilakukan secara persendirian/berjemaah

• Ada perniagaan persendirian dan ada berbentuk perkongsian.

• Keuntungan dinikmati bersendirian/bersama.

7- Boleh jadi akrab/makin jauh daripada Tuhan

• Kesibukan mengejar / membelanjakan harta dunia mendorong manusia untuk menjadi semakin lalai, lupa, dan alpa.

• Jika memiliki duit yang banyak tetapi dibazirkan/ tidak digunakan sebaiknya menjadikan diri semakin jauh daripada Tuhan.

Muthiah: Sebenarnya, Muthiah sudah buat perbandingan antara jual beli dengan Allah dan jual beli dengan manusia (guna table) tetapi tidak pandai pula untuk masukkan di dalam blog. Selamat membaca ;)dan berfikir...
Labels: 0 comments | | edit post

Pengertian Dua Kalimah Syahadah


Kalimah syahadah… kalimah yang kita ungkap sehari-hari. Tika azan bergema, kita dengari kalimah tauhid diungkapkan. Kita juga menyebutnya di dalam solat kita.

Umumnya, kita menghafal kalimah syahadah dan menyebutnya dengan lancar tetapi sejauh mana kita mendalami serta mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari?

Jika dilihat di sekeliling kita, cara hidup Islam sudah jauh daripada pegangan masyarakat masa kini. Pemakaian yang tidak mengikut syariat, pergaulan bebas, filem-filem yang merosakkan akidah serta banyak lagi. Meskipun mereka yang terlibat mengakui bahawa “Tiada Tuhan yang diabdikan diri melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, mereka masih tersasar jauh dari landasan hidup yang telah ditetapkan Allah, Rabbul Izzati.

Kalimah syahadah merupakan TIANG AGAMA dan landasan penting bagi RUKUN ISLAM. Tanpanya, akan runtuh rukun Islam yang lain di samping runtuhnya rukun-rukun iman. Dengan tertegaknya syahadah, maka kan TEGAKLAH IBADAH dalam hidup seorang Muslim.

Nabi SAW pernah mengisyaratkan, Islam bagaikan sebuah bangunan. Bangunan Islam harus disokong dengan lima tiang pokok yakni kalimah syahadah, solat, puasa dan haji ke Baitul Allah al-Haram.

Apabila turun perintah Allah untuk berdakwah, “Nyatakan dengan apa yang telah kamu diperintahkan,” al-Haj ayat 94…

Nabi SAW telah memanjat bukit Qubais. Muhammad berkata, “Wahai Quraisy, kalau aku katakan di belakang bukit ini ada tentera yang ingin menyerangmu, adakah kamu akan mempercayaiku?”

Mereka berkata, “Kami percaya kerana tidak pernah kami ketahui engkau berkata sesuatu yang tidak benar.”

Lantas Muhammad pun berkata, “Sesunggunya aku adalah orang yang memberi peringatan kepada kamu daripada azab Allah yang maha pedih.”

Abu Lahab lalu membalas, “Celaka kamu wahai Muhammad. Adakah kerana ini engkau kumpulkan kami. Kerana itu kami meninggalkan kerja-kerja kami?”

Penolakan Abu Lahab bahkan Abu Jahal terhadap seruan tauhid bukanlah kerana tidak memahami kalimah itu tetapi sebaliknya. Mereka tidak mahu menerima sikap yang mesti TAAT, TUNDUK dan PATUH kepada Allah. Dengan kata lain, setiap individu yang bersyahadah, pasti kan menjadi KHALIFAH di atas muka bumi ini.

Maka, syahadah mesti difahami dengan jelas kerana di dalamnya terdapat makna yang sangat tinggi. Dengan syahadah, kehidupan akan TERJAMIN di dunia, mahupun akhirat. Ingatlah! Syahadah adalah KUNCI HIDUP dan TIANG AGAMA. Justeru, marilah bersama kita menghayatinya.
Labels: 0 comments | | edit post