Kenali Allah


Sering kali, kita mengingati Pencipta apabila diri berada di dalam kesulitan. Kita acap kali mencari Tuhan apabila berada di dalam kebuntuan. Waktu itu, Allah-lah segalanya bagi kita. Tanpa nusrah Allah, entah apa yang akan berlaku.

Kita tahu, Allah itu Pemilik segala-galanya yang mengambil dan memberi. Maka, kita meletakkan pergantungan itu hanya kepada Allah. Akan tetapi, cuba koreksi diri…

Bilakah kita mengingati Allah?
Adakah kita hanya ingat Tuhan apabila ditimpa musibah?
Di manakah kita meletakkan Allah tatkala senang?


Itulah manusia yang sering lupa. Lupa bahawa dirinya telah diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Firman Allah dalam surah Az-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud, “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.”

Kita tahu bahawa solat itu wajib tetapi masih mahu melalaikannya. Dengan kata lain, kita bukan sahaja tanpa rasa bersalah melengahkan solat tetapi tidak khusyuk di dalamnya. Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 3 dan 4 yang bermaksud, “Maka celakalah orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai terhadap solatnya.”

Bukan itu sahaja. Kita lupa taklifan kita sebagai makhluk di atas muka bumi ini. Allah tidak akan menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Begitu juga dengan penciptaan kita. Kita dijadikan, bukan sekadar suka-suka tetapi diciptakan untuk menjadi hamba yang taat dan patuh kepada-Nya serta menjadi khalifah yang bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi.

Apabila masuk ke kolej kediaman, pelajar baru akan mencari senior. Kenapa? Jawabnya, kerana mereka lebih lama di kampus. Sudah lebih termakan garam. Mujur tidak terkena darah tinggi.

Pelajar baru ini beranggapan, kakak-kakak dan abang-abang pastinya mempunyai nota-nota yang diperlukan. Mereka juga pastinya lebih tahu selok-belok kolej kediaman serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Mereka kenal dengan orang kuat kolej dan apabila hubungan kita dengan mereka mantap, pastinya tidak terlalu sukar untuk stay college pada sesi seterusnya.

Lebih-lebih lagi halnya dalam kita cuba mengenali Allah…

Dia yang memberi peluang kepada kita untuk hidup di atas muka bumi ini.
Dia juga lebih tahu selok-belok bumi ciptaan-Nya.


Untuk mendapat nota dengan cara yang mudah, perlu bodek/ berbaik dengan senior. Maka, bagaimana caranya andai kita mahu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat?

Pastinya kita perlu kembali kepada Allah.
Perlu taat kepada segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Dan… Ketaatan ini tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada manusia kerana Allah ini Maha Segalanya.

Andai Allah murka, apa yang akan berlaku? Gelaplah hidup kita. Walau berharta, kita pastinya tidak dapat hidup dengan tenang. Hati ini tentunya gundah-gulana dengan kemaksiatan yang dilakukan. Jika tidak punya rasa apa-apa, berwaspadalah. Takut sekiranya Allah melupakan kita. Takut Dia membiarkan kita dan meninggalkan kita dalam kesesatan.

Berbalik kepada kenali Allah… Sejauh mana kita kenal dengan Pencipta?

Kita tahu nama-nama Allah tetapi sejauh mana kita menghayati tauhid asma wal sifat itu?
Kita tahu Allah itu Maha Mengetahui tetapi kita tidak segan silu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.


Mungkin kita terlupa waktu itu. Kita teralpa daripada mengingati bahawa kamera Allah ada di mana-mana. Ingatlah, Allah tahu segala apa di dalam hati kita. Dia tidak terleka daripada perkara yang nyata dan tersembunyi. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 255 yang bermaksud, “….Allah itu mengetahui apa-apa yang ada di hadapan dan mengetahui apa-apa yang ada di belakang mereka….” Maka, hisablah diri sentiasa.

Kenalilah … Allah itu Maha Sempurna yang tiada cacat celanya. Apabila kita sakit, ketahuilah bahawa Allah tahu kita sedang diuji dengan kesakitan. Pastinya, Dia lebih tahu bahawa kita mampu menerima dugaan itu. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya.”

Bukan itu sahaja bahkan ujian yang kita terima itu merupakan tanda kasih sayang Allah terhadap hamba pilihan-Nya. Bukan calang-calang hamba dipilih oleh Tuhan. Ada yang tidak pernah ditimpa musibah sehingga tanpa sedar telah mengalpakannya.

Dia sangka, dialah hebat. Dia sangka, dialah yang berkuasa. Dia terlupa bahawa ada yang Maha Hebat dan Maha Kuasa yang tidak leka memerhatikannya, yang akan menghitung setiap baik buruk amalannya. Firman Allah dalam surah Al-Zalzalah ayat 7 dan 8 yang bermaksud, “Barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya.”

Perjanjian AUKU sebagai contoh (relevankah??? 8=) ). Perjanjian antara pelajar dan pihak universiti yang memastikan para pelajar tidak melanggar peraturan yang telah digariskan. Sekiranya pelajar tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan, tindakan tatatertib akan diambil. Pelajar mungkin boleh dibuang kolej, universiti atau ditarik keistimewaan yang diberikan.

Itu perjanjian antara manusia dengan makhlukan. Bagaimana pula dengan perjanjian manusia dengan Allah? Apa fungsinya kita melafazkan kalimah syahadah, “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.” ???

Bukankah itu penjanjian yang lebih besar impaknya? Apa akan jadi sekiranya kita engkar? Padahnya, kitalah yang akan menanggungnya.

Justeru, fikir-fikirkan...

Kepada siapa kita berharap, kepada siapa kita bermohon pertolongan?
Sejauh mana kita memelihara diri kita daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah?

Kita khuatir, tanpa sedar kita telah melupakan Allah dan meletakkan Dia bukan pada tempatnya. Allah yang sepatutnya sentiasa berada di tempat yang teratas, kita ketepikan. Kita ingat Allah hanya pada waktu-waktu tertentu dan kita lebih banyak melalaikan ingatan kita terhadap-Nya. Kita TIDAK KENAL Allah sebenarnya…
Labels: | edit post
0 Responses