Tarbiyah Dzatiyah


Salam salam. Jom kita sambung tentang tarbiyah… Muthiah dapat informasi ini dalam majlis ilmu yang pernah Muthiah ikuti satu ketika dahulu (huhu… Muthiah tidak faham dengan tulisan Muthiah tetapi Muthiah cuba juga untuk berkongsi dengan suami)…

Muthiah kira, ada juga buku yang bertajuk Tarbiyah Dzatiyah (bukunya berwarna kuning). Dahulu, Muthiah pernah memilikinya tetapi… huhu… oleh sebab berpindah-randah, entah di mana Muthiah letakkannya.
Hmmm… apa itu tarbiyah dzatiyah? Ya, betul! Tarbiyah dzatiyah merupakan TARBIYAH TERHADAP DIRI untuk membentuk AKHLAK YANG SEMPURNA dari pelbagai aspek.

Kenapakah tarbiyah terhadap diri ini penting???

1- Untuk menjaga diri

Kita mengajak manusia lainnya kepada Allah. Kita mendorong orang lain untuk menjauhi api neraka namun kita melalaikan diri kita sendiri. Adilkah begitu? Kita menyeru orang lain untuk melakukan kebaikan (tidak berzina, tidak berjudi, tidak minum arak, tidak dan tidak) sedang diri kita… bersahabat baik dengan perkara yang dimurkai Allah. Kita membunuh… kita memfitnah… kita mencaci dan mengeji.

Muthiah pernah terbaca dalam Al-Quran… maksudnya, ‘Hendaklah kita memelihara diri dan keluarga dari azab api neraka…’ namun Muthiah terlupa surah dan ayat apa. Ada sesiapa yang tahu?

Apapun bagi diri kita… hendaklah menuruti segala perintah Allah, menjauhi larangan-Nya dan banyakkan bertaubat. Sesungguhnya, sebagai manusia yang selalu lupa… sebagai insan yang acap kali teralpa…banyak sekali kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan namun ingat… keampunan Allah itu begitu luas buat diri kita, hamba-Nya.

2- Hanya kita yang menjaga diri kita

Sang murabbi boleh menasihati mutarabbinya… ‘Jangan buat itu dan ini, khuatir mengundang kemurkaan Allah.’

Si ibu mahupun ayah boleh berpesan kepada anak-anak mereka… ‘Usah usah usah… takut memudaratkan diri.’

Sahabat handai, guru, pendakwah, bla bla… boleh memberi peringatan kepada kita (sama ada secara hikmah atau sebaliknya) tetapi … kitalah yang membuat PILIHAN. Sama ada mahu melakukan kemaksiatan tersebut atau menjauhinya. Hmmmm…

Yang penting, bermohonlah…berdoalah selalu kepada Allah agar dipelihara diri kita daripada azab api neraka… daripada segala sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah. Belajarlah… carilah ilmu yang boleh membawa kita kepada Allah… agar tidak tersungkur daripada landasan-Nya.

3- Hisab adalah bersifat individu

Dengan kata lain, kita tidak memikul dosa yang dilakukan orang lain. Yang penting, kita telah menjalankan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB yang telah ditaklifkan kepada kita sebaiknya.

Tanggungjawab sebagai isteri/ ibu…
sebagai suami/ ayah…
sebagai pekerja/ majikan…
sebagai pemimpin / orang yang dipimpin…
sebagai anggota masyarakat.


Kita tidak sambil lewa atau berlepas tangan terhadap sesuatu yang berlaku di sekeliling kita. Kenapa? Kerana kita adalah khalifah di atas muka bumi ini. Ada mata lihat (dan fikir), ada mulut tegur, ada tangan cegah…

Bilamana kita melihat kemungkaran, cegahlah dengan tangan (kuasa yang kita miliki)… dengan mulut/ bicara… Andai tidak mampu, bencilah dengan sebenci-bencinya (terhadap kemungkaran itu) di dalam hati…

4- Mampu merubah diri

Allah pernah berfirman bahawasanya Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya.

Ya, dengan tarbiyah dan peringatan yang berterusan bisa sahaja menyedarkan kita. Boleh sahaja membangkitkan kita daripada lena. Setelah berdoa kepada Allah, berusahalah untuk mengubah diri ke jalan yang lebih baik… jalan yang diredhai Allah. Tidak cukup kuat?? Masih lagi tidak berubah… terus menerus melakukan kemaksiatan??? Mohonlah lagi kepada Dia yang memiliki segala sesuatu di atas muka bumi ini.

Usah malu… usah segan untuk menyatakan kelemahan diri kita kerana sesungguhnya Dia sebenarnya sudah sedia tahu. Dia Maha Teliti… Maha Mengetahui segalanya… yang tersirat dan tersurat di dalam hati kita.

5- Tarbiyah merupakan method untuk kita tetap / istiqomah di atas jalan-Nya.

Setiap kita… lemah. Kita tidak cukup kuat sebenarnya mengharungi kehidupan yang banyak pancaroba. Kita juga sering kali terlupa dan teralpa. Kita lupa bahawa Allah itu dekat. Kita teralpa bahawa kamera Allah ada di mana-mana walau orang lain tidak melihatnya.

Maka, perlu ada sesuatu yang mengingatkan kita. Bagaimana? Melalui tarbiyah… tarbiyah yang mungkin sahaja kita perolehi daripada usrah, halakah ataupun majlis-majlis ilmu (dan lain-lain). Bukan itu sahaja, boleh jadi tarbiyah Ilahiyah itu kita terima daripada pengalaman dan pengamatan. Yang penting, kita harus sentiasa berfikir dan terus bermuhasabah. Berfikir tentang kebesaran Allah. Bermuhasabah tentang kekurangan diri… betapa kerdilnya diri di hadapan Tuhan.

6- Tarbiyah merupakan method dakwah yang paling kuat.

Muthiah teringat dengan tulisan Almarhum Syeikh Fathi Yakan dalam bukunya yang bertajuk Tergelincir dari Jalan Dakwah (buku tersebut berwarna biru). Antara punca perpecahan/ kejatuhan dalam sesuatu jemaah itu adalah kelemahan dari sisi tarbiyah.

Bilamana tarbiyahnya lemah… dirinya juga akan mudah menjadi lemah. Ia tidak kuat untuk berhadapan dengan ujian. Kerana apa? Kerana pergantungannya kepada Allah itu lemah. Ia merasakan dirinya kuat. Dengan jawatan yang disandang, ia merasakan dirinya hebat. Namun ia terlupa… yang kuat dan hebat itu bukanlah sosok dirinya tetapi segalanya adalah milik Allah.

7- Merupakan cara yang tepat untuk membaiki realiti (bangsa/ masyarakat)


Bermula daripada pentarbiyahan diri… kemudian, diteruskan kepada keluarga. Keluarga itu seterusnya berkembang membentuk masyarakat. Ya! Bermula daripada diri sendiri. Kita dahulu yang teguh dan faham… kita terlebih dahulu yang menghayati dan mengamalkan cara hidup Islam.

Seterusnya, kita menerapkannya di dalam keluarga yang kita bina. Biarlah keluarga itu menjadi keluarga sakinah yang diredhai Allah. Anak-anak yang lahir adalah pejuang agama Allah yang taat dan patuh kepada segala perintah-Nya. Selepas itu, anak-anak itu menunjukkan akhlak yang baik kepada masyarakat yang ditemuinya. Bukan itu sahaja… anak-anak itu jua yang kelak bakal menjadi ibu / ayah buat anak-anak generasi akan datang.

Aduh.. berbelit. Tidak apa… yang baik, ambil. Yang tidak baik… jadikan sempadan.

Muthiah : Insya-Allah, nanti Muthiah kongsi tentang ; 1) Sebab tarbiyah diri diremehkan, 2) Method tarbiyah diri pada masa akan datang. Tungguuuu…
Labels: | edit post
0 Responses