Bekal … (iii)


Ikhlas….

Ungkapan yang mudah disebut tetapi sebenarnya sungguh sukar untuk dihayati. Untuk diamalkan apatah lagi. Nabi SAW pernah bersabda, “Setiap amal bermula dengan niat dan seseorang itu akan mendapat apa-apa yang telah diniatkan olehnya…”

Firman ALLAH dalam surah al-An’am ayat 162 yang bermaksud, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk ALLAH, Tuhan semesta alam.”

Mengikut Kamus Dewan, IKHLAS membawa maksud ~ hati suci, tidak menipu atau tidak berpura-pura, tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Hmmm... sukarnya hendak menyucikan hati. Terlalu banyak bintik hitam dalam diri. Menyebabkan cahaya sukar memasukinya. Jadi, bagaimana? Bagaimana mahu ikhlas andai bintik-bintik hitam dan noda ini terus bermaharajalela?

Jawabnya ~ KEMBALILAH KEPADA ALLAH. Banyakkan istighfar dan mengingati TUHAN kerana sesungguhnya... dengan taubatlah membuatkan diri yang semakin kotor itu bersih kembali ;)

Dari segi istilah, IKHLAS bererti ~ niat seseorang mengharapkan redha ALLAH semata-mata tanpa menyekutukan-NYA.

Dengan lain perkataan, setiap apa yang dilakukannya adalah kerana ALLAH, untuk ALLAH. Dia hanya mengharapkan ALLAH dan pandangan-NYA. Dia hanya mahu melakukan yang terbaik dan dia hendak membuat apa-apa yang ALLAH suka. Matlamatnya, hanya ALLAH. Bukan untuk kepentingan diri sendiri. Bahkan, dia takut dan gusar andai terjerumus dalam sifat riyak dan meninggi diri.

Dia sedar, dia bukanlah siapa-siapa. Segala kehebatan itu hanyalah milik ALLAH yang Maha Segalanya. Dia hanyalah manusia biasa yang banyak khilafnya. Acap kali terlupa dan selalu pula teralpa.

Sukar untuk ikhlas? Sukar untuk merendahkan diri di hadapan TUHAN???

Hmmm... perbaharuilah niat kita sentiasa. Banyakkan berdoa kepada ALLAH agar digolongkan bersama mereka yang ikhlas. Jangan mudah berputus asa dalam mengharapkan petunjuk daripada ALLAH. Letakkan ALLAH di tempat yang teratas sebelum kita hendak membuat sebarang pertimbangan mahupun keputusan.

Muthiah : Cuba ikhlaskan diri selalu.
Labels: | edit post
0 Responses