Paya Indah Wetland, Dengkil


Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Awasi perbelanjaan harian anda. Membelilah mengikut kemampuan sendiri. Ada RM10, jangan makan di hotel lima bintang. Sekiranya tidak, anda bukan sahaja bakal menyusahkan diri sendiri bahkan orang lain juga. Haha… Peringatan untuk diri sendiri.

Okey. Hari ini, Muthiah berkongsi lagi lokasi menarik yang boleh dilawati. Jeng jeng jeng…

Tarikh : 26 Januari 2013

Pengembaraan bermula

Selamat datang ke Paya Indah Wetland.

Apabila mula-mula sampai, Muthiah dikejutkan dengan kehadiran burung merak yang bersiar-siar ikut suka hati dia.

Selain burung merak, anda juga boleh berkenalan dengan Sang Kancil yang kecil molek.

 Jika ada rezeki, anda boleh melihat burung merak jantan mempamerkan kemachoannya.


 Oh, ya. Jangan lupa mendaftar di sini dahulu, ya. Tiada bayaran dikenakan.

Cantik tak ikan ini? Anda boleh melihatnya dekat dengan kaunter pendaftaran.


Selesai mendaftar, anda bolehlah berjalan-jalan di sekitar Wetland. Muthiah dapati, ada yang berjalan kaki. Bagi penduduk setempat, naik motosikal mungkin lebih menyenangkan. Muthiah dan suami pula memilih untuk menyewa basikal. Basikal couple ini disewa dengan harga RM10.00. Bagi single pula, harganya ialah RM5.00 setiap sebuah basikal. Basikal kanak-kanak pun ada. Anda boleh menyewanya dengan harga RM3.00 untuk 2 jam.

Dan… perjalanan pun bermula dengan senang hati. Lalalala…. Gambar menunjukkan seorang wanita sedang riang ria mengayuh basikal seolah-olah sudah terlalu lama meninggalkan aktiviti berbasikal ini. Gembira bangat! ‘Moga tidak jatuh tergolek, kak.’

Tempat parkir kenderaan di sini pun luas. Boleh bawa satu kampung. Logik?

Insya-ALLAH. Anda tidak akan berada di dalam kesesatan di sini. Ada papan tanda yang cukup jelas. Benar! Dalam kehidupan pun begitu. Apabila kita patuh pada suruhan dan menghindari larangan ALLAH, insya-ALLAH hidup kita akan sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Moga ALLAH tunjukkan jalan.

Okey. Jom jengah Kolam Hippo. Pastikan anda mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Nampak tak dua ekor binatang yang sedang beristirahat ni. Kenal? Senang hidup, bukan? Tak payah berfikir pasal pembunuhan, kekejaman, rasuah, pecah amanah, kad pengenalan, blablabla…

Ehe. Inilah badak air. Nampak sahaja comel tetapi berupaya mengejar kita dengan mata terpejam sebelah tau (Oh, ini bohong semata-mata). Nak bagi makan? Boleh! Setiap hari dari jam 10.00 hinga 10.30 pagi. Tidak ada caj dikenakan.

Soalan : Apakah mamalia daratan pertama dan kedua terbesar di dunia?

Cantik sungguh ciptaan TUHAN. Kita sahaja acap kali lupa untuk bermuhasabah kembali.

Baiklah. Kita beralih melihat Kolam Buaya pula.

 Hati-hati… air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Sekali dia ngap, kita pun ‘ngot’. Hendak cuba bagi sang buaya makan? Bisa diatur. Setiap hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, dari pukul 11.00 hingga 11.30 pagi.

Kelihatan burung helang sedang melilau mencari mangsanya.

Bunga teratai yang cantik. Jangan jadi teratai layu di tasik madu, sudah.


Tidak jauh dari Kolam Buaya, kita akan dapat melihat Tasik Teratai. Hendak berkayak pun boleh, RM7.00/ unit/ setengah jam. Boleh tengok angsa dan itik juga.

Rumah Melayu ditutup. Mungkin buat sementara waktu. Berhadapan dengan Rumah Melayu, ada habitat landak yang berkongsi dengan kura-kura. Mereka terpaksa menjadi best friend.

Kura-kura ini sedang meninjau kawasan persekitaran. Bagus. Sesungguhnya, setiap kita akan dipertanggungjawabkan atas amanah yang diberikan. 

… yang ini pula, sedang terbongkang keletihan. 

Macam-macam ada. Kura-kura ini pula sedang menjamu selera dengan penuh berselera sampai tidak pandang ke kiri dan ke kanan lagi.

Menara Tinjau - Ditutup untuk tujuan penyelenggaraan.

Bagi yang ingin bermalam di sini, bolehlah duduk di tempat penginapan yang tersedia. Harga? Untuk chalet, RM120/ unit/ hari. Bagi yang hendak duduk asrama pula, RM9.00/ orang/ hari. Mahu berkhemah? Pun boleh, RM9.00/ tapak/ hari.

Kafe pun ada. Jadi jangan risau. Insya-ALLAH, anda tidak akan kelaparan. Harga? Milo ais RM1.70 manakala air mineral pula berharga RM1.30. Mahal ke murah?

Tandas awam yang disediakan. Hmm… seingat Muthiah, dekat dengan Rumah Melayu pun ada tandas awam juga. Tak perlu bayar untuk membuang air kecil mahupun besar.

Pusat Interpretasi - Muthiah pun tidak pasti tempat apakah ini. Sewaktu Muthiah sampai, tempat ini ditutup.

Jom tengok pemandangan di kawasan berdekatan (Pusat Interpretasi). Menenangkan hati? Sesungguhnya hati akan tenteram dengan mengingati ALLAH.

Lagi pemandangan…

Soalan : Bunga apakah ini? Muthiah pun tidak tahu sebenarnya.

Ehe. Bunga ini tentu semua tahu, kan?

Burung merak sedang bergosip. Entah isu apa yang dibangkitkan. Khusyuk belaka kesemuanya. Mungkin mereka tidak gusar untuk makan daging saudara mereka sendiri.

Burung merak jantan ini mengalu-alukan kami datang… mengharapkan juga agar kami cepat pulang kerana ia mahu berehat. Keletihan dek kerana menjadi talent tidak berbayar tadi. Terima kasih, bos.

Sekian untuk hari ini. Untuk info lanjut, boleh hubungi Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara di 03-90866800 atau Penguasa Paya Indah Wetland di 03-87687616.

Muthiah : Sejak bila jadi jurucakap pelancongan ni?
































Labels: | edit post
0 Responses