Aku bukannya orang gaji!

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... baik-baik sahaja. Doakan Muthiah mencapai cita-cita untuk bergelar penulis berjaya, ya. Insya-ALLAH, Amin...


------------------------------------------------------------------------

Baru-baru ini, Muthiah terbaca satu luahan hati dan perasaan di satu grup di Facebook. Ehe... mana lagi, kan? Facebook dan blog memanglah kawan baik Muthiah. 

Luahan tersebut berbunyi begini (lebih kurang)...

Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Kerja saya sehari-hari ialah menjaga anak-anak dan memberesi urusan rumah (memasak, membasuh, mengemas, menyidai pakaian dll). Untuk pengetahuan, adik ipar saya duduk menumpang di rumah kami.

Saya tidak ada masalah adik ipar hendak duduk bersama kami. Yang membuatkan saya berasa sangat kesal ialah sikap malasnya. Saya masak pagi, dia tolong makan sahaja sebelum keluar ke tempat kerja. Saya masak untuk makan malam, dia makan juga setelah balik dari tempat kerja. Kerja menyapu, membasuh tandas (termasuk yang digunakannya), semua saya buat. Dia hanya membasuh pakaian dia seorang sahaja. Saya tahu, dia bekerja... saya pula setakat suri rumah sepenuh masa yang hanya menjaga anak-anak. Namun, saya pun ada perasaan juga. Hal ini kadang-kadang membuatkan saya tertekan. Tidak bolehkah bangun awal untuk tolong sekali? Saya bukannya orang gaji.


#Cerita di atas Muthiah susun balik#

-Selesai-


Apa-apa, kita senyum dahulu. Bertenang... istighfar... ingat ALLAH. DIA tidak akan menguji kita sesuai dengan kesanggupan dan kemampuan kita. 

Antara komen yang diterima daripada post tersebut...
  • Maklumkan kepada suami dan biarlah suami yang menegur adiknya.
  • Ada juga yang tidak mengalami masalah sebegini apabila semua orang memainkan peranan masing-masing. 
  • Apabila tidak ada rasa tanggungjawab dan bertimbangrasa dalam diri, beginilah jadinya.
  • Fahamkan suami situasi yang dihadapi. Jangan pendam sendiri. 
  • Buat yang terbaik, yang mampu kita lakukan. Kalau masih punya mentua, moga apa yang dibuat menambah kasih mentua pada kita. 
Respons sahabat-sahabat pula bagaimana? 

_____________________________
_____________________________
_____________________________


Respons Muthiah... 

Adik lelaki pernah duduk sekali dalam tempoh lebih kurang dua bulan. Oleh sebab lelaki, tidaklah terasa sangat. Kerja rumah, Muthiah yang setelkan. Tolong buang sampah di luar tu, adalah dia buat sekali sekala. Baju, dia basuh sendiri. Lain-lain pengalaman, belum pernah Muthiah lalui. Maka... mungkin Muthiah dapat memahami tetapi tidak cukup mampu menyelami apa yang dihadapi sahabat kita ini. 

Namun, apa yang Muthiah boleh katakan...

1. Sikap malas itu sebenarnya kelak memakan diri sendiri. Tidak kisahlah ketika kita berada di rumah kakak, abang, keluarga, saudara mara, kawan atau menyewa sendiri. Paling merunsingkan... apabila sikap tersebut terbawa-bawa sampai setelah kita berumah tangga. Jangan  rajin ikut masa dan tempat sahaja. Orang memuji tetapi tidak akan ke mana.

2. Apabila kita duduk di rumah orang (tidak kiralah di rumah adik-beradik kita @ emak saudara kita @ ipar duai kita @ nenek kita )...
  • Hormatilah tuan rumah.
  • Ringankan tulang kita, jangan anggap diri tetamu sepanjang masa. Lebih-lebih lagi apabila kita menumpang untuk jangkamasa yang lama.
  • Buatlah sesuatu agar disenangi tuan rumah. Macam kes di atas... cuba korbankan diri, bangun awal pagi... membantu ipar kita di dapur. Walaupun kita penat dan stres di tempat kerja, cuba kita ambil hatinya dahulu. Kalau tidak mampu buat hari-hari, buatlah setakat yang mampu. Hendak seribu daya...
  • Jadikan rumah yang kita duduki itu (walaupun bukan rumah kita) macam rumah kita sendiri. Apa yang ingin Muthiah katakan di sini... bukanlah buat apa sahaja sesuka hati kita tetapi... kita jaga rumah tersebut elok-elok. Sapu sampah... buang sampah... basuh tandas... basuh pinggan mangkuk macam ketika kita duduk di rumah sendiri. Cuba tengok kebiasaan tuan rumah. Kemudian, ambil hati dia dengan membuat sama apa yang dia lakukan. Tidaklah kita memerap dalam bilik sepanjang masa.
  • Boleh juga berikan hadiah pada tuan rumah pada hari-hari penting mereka. Untuk ambil hati, mungkin.
  • Ada duit, bantulah juga tuan rumah. Kita kena ingat, beradanya kita di situ bermakna bertambah kos perbelanjaan mereka. Jangan kita beli itu ini di luar tanpa kita ingat orang yang membantu kita.
3. Bagi tuan rumah pula...
  • Bertenanglah. Tetamu itu membawa berkat. Insya-ALLAH, kita tidak akan miskin apabila membantu mereka yang memerlukan.  
  • Kalau ada yang tidak puas hati (macam kes di atas, boleh bincang dengan ketua keluarga). Cakap elok-elok agar tidak ada yang terguris. Kadang-kadang, sikap seseorang itu berpunca daripada didikan awal masa kecilnya. Maka, tidak boleh salahkan dia seratus peratus.
  • Cuba ajak sekali ipar tu tolong. Boleh jadi bukan mereka yang malas tetapi mereka segan. Ada ke? Lebih-lebih lagi apabila melihat keseriusan kita. Senyum tidak pernah. Terserlah rasa tidak suka kita terhadap orang yang duduk menumpang di rumah kita. Apa kata kita minta dia tolong di dapur.. tolong sapu sampah... tolong itu dan ini. Kalau dia tidak buat juga lain cerita.
  • Sesungguhnya, ALLAH bersama insan yang sabar.
  • Sayangi SEMUA orang sebagaimana kita sayangi diri kita dan keluarga. Bukan orang lain pun...
Sekiranya permasalahan tidak dapat diselesaikan juga...

Mohonlah kepada ALLAH agar ditunjuk jalan yang sebaiknya buat diri dan semua orang. 

Hmm.. cukup untuk hari ini. Perkongsian di atas adalah brain storming untuk pelbagai kes yang punya kaitan. Tidak terhad kepada permasalahan yang diutarakan di atas. Boleh guna mengikut kesesuaian. Mungkin ada yang sesuai. Boleh jadi juga tidak sesuai dengan situasi kita. Yang baik... ambil. Yang tidak baik, jadikan teladan. Muthiah tidak menyokong atau menyalahkan mana-mana pihak. ALLAH uji seorang manusia, tidak sama. Lain orang, lain kemampuannya untuk menghadapi sesuatu dugaan. Kalau kita mampu hadapi sesuatu perkara, jangan perlekeh orang lain yang tidak kuat mendepaninya. 

Yuk..

  • Tanamkan rasa tanggungjawab dalam diri.
  • Letakkan kaki kita ke dalam kasut orang lain dan rasai apa yang dia rasa.
  • Dekatkan diri sentiasa dengan ALLAH.
Moga ALLAH memberi kekuatan buat kita semua (atas segala ujian yang diturunkan-NYA).
0 Responses