Mencari Naurah (Bab 84)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan


“Opah!!! Is hendak pergi jalan-jalan,” jerit Iskandar, anak sulungku kepada neneknya. 

“Ya, umi hendak beli mainan banyak-banyak,” sampuk kembarnya, Maria. Tidak padan dengan perempuan. Ia cuba memanjat kerusi yang diduduki neneknya dengan sepenuh hati. Iyyah, iyyah.....

“Opah mahu ikut?” mereka bertanya serentak.

Datin Khatty hanya tersenyum lalu berkata, “Hendak beli hadiah banyak-banyak?”

“Betul, betul, betul...” jawab Iskandar sambil menganggukkan kepalanya yang sedia botak. Macam Ipin dalam siri animasi kanak-kanak Upin dan Ipin pula.

“Hmmm...” sambung Maria. Sah, anak-anak kecil ini sudah terpengaruh dengan watak Upin dan Ipin. Baru-baru ini, aku membawa mereka menonton filem Geng : Pengembaraan Bermula di pawagam dan mereka amat teruja menyaksikan gelagat adik-beradik kembar itu bersama rakan mereka, Rajoo.

“Opah penat. Nanti, Is belikan Opah mainan, boleh?” ujar Datin Khatty lembut. Ia menghirup air suam yang disediakan Dewi perlahan.

“Mana boleh!!!” Maria memuncungkan mulutnya.

“Kenapa tidak boleh?” Datin Khatty mengangkat Maria yang terjatuh dari atas kerusi.

“Mainan untuk budak kecil. Opah budak besar. Mana boleh main mainan,” ia menjawab dengan penuh yakin.

“Betul, betul, betul...” sampuk Iskandar.

“Hmmm...” secara spontan Maria menyambung ‘hmmm’nya.

“Iskandar, Maria hendak ikut umi atau tidak?” aku bertanya dari muka pintu.

“Hendak, hendak, hendak...” mereka menjawab serentak.

“Kalau hendak ikut, cepatlah,” aku menggesa mereka. Sepantas kilat mereka berlari mendapatkanku.

“Ha, lupa salam opah?” aku membulatkan mataku yang sedia sepet.
“Betul, betul, betul...” kata Iskandar.

“Hmmm...” balas Maria. Mereka segera berlari mendapatkan opahnya yang masih setia memerhatikan gelagat mereka.

“Apa yang betul, Is?” tanya Datin Khatty. Rambut Iskandar diusapnya perlahan.
“Tidak tahu,” jawabnya spontan.

“Ish, ish, ish. Maria tidak pakai tudung?” Datin Khatty memandang cucu perempuannya sambil tersenyum.

“Dengan umi. Pakai dalam kereta.”

“Asha pandu kereta baik-baik,” pesan Datin Khatty.

“Insya-Allah, Mama,” ujarku pendek.

“Umi tidak salam opah!” jerit Maria.

“Betul, betul, betul...” Iskandar mengiyakan.

“Hmmm...” Maria menyambung. Oh, aku terlupa untuk bersalam dengan Datin Khatty. Aku memandang putera puteriku sambil tersenyum. Bersyukur kerana dianugerahi Allah sepasang kembar yang sentiasa mengingatkanku tatkala aku lupa.

“Ya, Sayang. Mama salam opah dahulu,” cepat-cepat aku berjalan ke arah ibu mertuaku.
“Jaga diri baik-baik,” pesannya separuh berbisik lalu mencium dahiku.

“Insya-Allah,” balasku.

Aku pun membawa Iskandar dan Maria menaiki kereta Waja yang telah dihadiahi Dato’ Ghazali. Katanya, untuk memudahkanku berulang-alik ke tempat kerja. Aku menerima pemberiannya dengan senang hati.

Sekurang-kurangnya, Pak Alias dapat memberi tumpuan untuk menghantar ibu mertuaku ke sana ke mari. Kalau dahulu, ia gemar ke salun mahupun spa tetapi tidak kini. Surau dan masjid merupakan rumah keduanya. Kalau tidak solat berjemaah di sana, ia pasti mendalami ilmu agama. Secara tidak langsung, Pak Alias pun akan turut serta.

“Bye bye, Opah,” ucap Iskandar.

“Hi hi bye bye, Opah,” jerit Maria pula. Ish, dari mana dia belajar istilah ini? Ikut penyanyi Ezlyn? Lagu ciptaan KRU itu sememangnya mendapat tempat di hati para pendengar. 
Kalau tidak, masakan dapat memenangi hadiah utama kategori pop rock Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun sudah.

“Duduk elok-elok. Pakai tali pinggang. Baca doa naik kereta,” aku berpesan kepada Iskandar dan Maria.

“Allahumma barik lana fima razaktana waqina azabannar,” Iskandar memulakan bacaannya.

“Itu doa makanlah,” sampuk Maria.

“Samalah. Doa juga,” balas Iskandar.

“Mana ada nasi hendak makan?” Maria masih belum berpuas hati.

“Sudah, sudah... umi tinggal tepi jalan. Mahu kena tinggal?” aku berpura-pura marah.

“Abang baca doa salah,” kata Maria.

“O.K., Maria bacakan,” aku berkata kepada Maria.

“Bismikallahuma ahya wa amut,” ia terus membaca doa tersebut.

“Itu doa tidur daaa,” kataku sambil ketawa perlahan lalu membacakan doa menaiki kenderaan. Mereka adik-beradik turut sama ketawa.



Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.
0 Responses