Mencari Naurah (Bab 83)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan.

“Aku ceraikan kau...” kedengaran suara bapa mertuaku.

“Aku lepaskan kau dengan talak satu,” sambungnya.

“Hatimu sangat busuk. Kau terlalu bermegah dengan darjat milikmu. Engkau lupa bahawa engkau sebenarnya bukan siapa-siapa di sisi Tuhan,” ia berkata lagi. Aku mencelikkan mataku perlahan. Datin Khatty masih lagi tunduk.

“Papa,” aku memandangnya sambil tersenyum.

“Ya, Sayang,” Dato’ Ghazali segera berjalan ke arahku. Mama Melissa juga ada di sampingnya.

“Sabar, Sayang. Papa dan Mama Melissa akan sentiasa bersama Asha.” Dato’ Ghazali terdiam. Ia memandang Dewi yang tetap setia menemaniku.

“Sampai bila-bila pun Asha adalah anak Papa dan Mama,” ujarnya lagi. Mama Melissa segera merangkulku dengan erat. Kemudian, ia menghulurkan sekeping kertas yang berwarna merah jambu.

“Papa jumpa dalam kereta arwah,” suara Dato’ Ghazali kedengaran sayu. Cukup sayu...

‘Maafkan Abang, Sayang. Ketahuilah, Abang menyayangimu seluruh jiwa dan raga Abang...'

Sebak membaca tulisan tangan Asyraf, aku menyimpan nota tersebut di dalam laci meja yang terletak di sebelah katilku.

“Asyraf terlalu sayangkan Asha,” Mama Melissa tiba-tiba menangis teresak-esak.

“Sabar, Sayang. Asyraf pun mesti tidak mahu tengok kita meratapi pemergiannya. Yang penting, anak-anaknya tidak kita abaikan,” pujuk Dato’ Ghazali.

“Kakak!!!!” Kedengaran satu suara yang cukup aku kenal. Adilla hadir bersama ibu, Nasrul dan Farrah. Sudah begitu lama aku merindui wajah-wajah itu. ‘Mak...’ aku memandang ibu yang tidak berkelip memandangku. Kemudian, ia datang menghampiriku.

“Sabar, Sayang,” ibu memeluk erat tubuhku. Air mataku mengalir deras. Aku kehilangan seseorang yang amat aku cintai tetapi Allah menggantikannya dengan beberapa orang yang aku kasihi.

“Tinggal dengan Mak, Sayang,” ibu mempelawa lembut. Aku menganggukkan kepala.

Ibu yang tidak tahu apa-apa berjalan menghampiri Datin Khatty, “Terima kasih kerana menjaga Asha selama ini. Maaf segala salah silap yang dilakukannya. Halalkan makan minumnya.” Datin Khatty yang tadinya sudah berhenti menangis kembali mengalirkan air mata. Semakin lama, esakannya semakin kuat. Aku memandangnya simpati tetapi hatiku sudah mati. Aku tidak berdaya untuk menenangkannya walau dengan sepatah kata.

“Kak, Abang Arul sekarang tinggal di Kota Bharu. Uruskan syarikat Dato’ Azmi. Insya-Allah, bulan hadapan merpati sejoli ini akan bernikah,” Adilla mengenyitkan matanya kepadaku.

“Maafkan Arul, Kak. Arul terlalu banyak menyusahkan Kakak. Arul ....” aku segera menutup bibirnya dengan jari telunjukku.

“Sudah lama Akak maafkan Arul. Bukankah Arul adik kesayangan Akak?” aku merenung dalam matanya.

“Mana aci sayang Abang Arul seorang. Adilla pun adik Akak juga,” Adilla mencebikkan mukanya yang sudah naik beberapa biji jerawat di pipi.

“Aci aci buka pintulah...” Nasrul mengejek.

“Abang!!!” Dengan tangkas, Adilla menepuk belakang abangnya. Pang...

“Ish, kita berada di hospital, Sayang,” ibu berpura-pura marah. Senyumannya terus terukir di bibir. ‘Syukur Asha selamat,’ bisik hatinya.

“Kami beransur dahululah, Mek Jarah,” kata Dato’ Ghazali.

“Papa tidak kisah Asha hendak duduk dengan siapa. Dengan Mek Jarah pun tidak apa. Dengan Papa pun O.K.,” ia menambah.

“Insya-Allah, Asha akan cari kerja.” Aku sudah tidak punya apa-apa. Kalau dahulu, aku bergantung hidup sepenuhnya kepada Asyraf. Tetapi kini, aku sudah tidak punya siapa-siapa. Betullah mutiara kata ada menyebut, ‘Cintakan bunga, bunga akan layu. Cintakan manusia, manusia akan mati. Cintakan Allah, itulah cinta yang hakiki. Cinta yang kekal abadi...’ Ya, pergantungan harus sepenuhnya kepada Allah yang Esa.

“Asha rehat dahulu. Sesudah melahirkan, baru fikir pasal kerja,” Dato’ Ghazali memberi cadangan.

“Kerja dengan Arul pun O.K., Kak. Jadi tukang bancuh kopi. Arul beri gaji RM2,000.00, cukup?” Nasrul bersuara, bergurau agaknya.

“Betul sangatlah begitu. Ini kira kroni,” sampuk Adilla.

“Cemburulah adik Abang yang seorang ini,” Nasrul mengejek adik bongsunya yang masih masam mencuka.

“Tidak ada maknanya hendak cemburu,” Adilla memuncungkan mulutnya.

“Sudah, sudah... bukankah Emak sudah pesan jangan gaduh. Hendak gaduh, balik rumah!” Ibu mencubit pinggang mereka perlahan. Adoi...

“Padan muka,” kataku riang. Hilang rasa duka di hati. Aku memandang ke arah Datin  Khatty. Ia masih lagi menangis.

“Siapa hendak jaga kakak malam ini?” soal Adilla sungguh-sungguh.

“Biar Mak jaga,” cepat-cepat ibu menjawab.

“Abang, bawa Dilla ke Sogo... MidValley...” Adilla sedikit merengek.

“Budak-budak ini, kakak awak sedang sakit. Ada hati hendak berjalan-jalan lagi,” ibu membebel perlahan.

“Tidak apa, Mak. Lagipun, Asha sudah sihat...”

“ Tidur mana malam ini?” aku memandang Nasrul yang sedang menjeling ke arah Farrah yang sedari tadi diam membisu.

“Abang Arul sponsor hotel lima bintang,” jawab Adilla.

“Suka hati dia sahaja,” Nasrul berpura-pura marah.

“Lepas ini, hendak tempah hotel. Kawasan sini juga rasanya,” sambungnya.

“Mak rehatlah di hotel. Asha tidak ada apa-apa,” aku berkata kepada ibu. Ibu hanya tersenyum...

“ASHA...” satu suara memanggilku lembut.

“Asha...” namaku disebut perlahan. Aku sedar tetapi berpura-pura masih lena.

“Maafkan Mama, Sha,” katanya.

“Maafkan Mama, Sha,” ia mengulanginya lagi.

“Asha...” diam.

“Tinggallah dengan Mama...”

“Mama berjanji akan berubah. Izinkan Mama menebus salah Mama pada Asha dan Asyraf,” kedengaran suaranya tersekat-sekat.

“Mama akan menjadi wanita yang paling baik di sisi Tuhan, insya-Allah...”

Tanpa sedar, air mataku mengalir. Doa Asyraf telah dimakbulkan Tuhan. Aku masih lagi berpura-pura tidur. Mama mengambil Al-Quran tafsir yang terletak di atas meja sebelah katilku.

Yaasin...

Entah bila aku benar-benar terlena. 

~bersambung

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.
0 Responses