Mencari Naurah (Bab 66)

Novel | Mencari Naurah


MALAM itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Meskipun Asyraf sudah lena dibuai mimpi, mataku begitu berat untuk melabuhkan tirainya. Wajah mak dan adik-adik hadir silih berganti. Seperti tidak percaya bahawa aku kini menjadi milik insan lain. Manusia yang sebelumnya begitu asing dalam hidupku. Kata-kata Asyraf petang tadi berlegar-legar di mindaku...

“Mama minta Asha berhenti kerja,” ujar Asyraf perlahan sewaktu kami sama-sama sedang menikmati makan malam.

‘Awal sungguh makan malamku,’ desis hatiku. Maklumlah, bersuamikan seorang doktor.

“Tidur empat jam selepas makan,” pesannya satu ketika dahulu.

“Abang rasa?”

“Abang pun lebih suka Asha tinggal di rumah. Boleh berbaik-baik dengan mama. Lagipun, Asha boleh fokus menulis. Cerpen Palestin dahulu sudah siap?” Asyraf terus menyuapkan nasi ke dalam mulutku. Romantik sungguh suamiku...

“Sudah hantar ke majalah pun.” Aku tersenyum simpul. Malu juga bersuap-suapan begini.

“Majalah mana?” Nampaknya, suamiku ini begitu berminat ingin tahu.

“SDK,” jawabku ringkas.

“SDK?”

Seperti yang kuduga, dia pasti akan bertanya kembali. “Seri Dewi & Keluarga,” balasku dengan senyum nakal.

“Asha okey tak kalau Asha tak bekerja?” tanya Asyraf. “Abang mampu untuk menanggung Asha, insya-ALLAH.” Dia menambah perlahan.

Lidahku masih lagi kelu.

“Boleh, Sha? Demi abang...” Asyraf seakan-akan merayu.

“Insya-ALLAH.” Sebenarnya hatiku pilu untuk membuat keputusan itu. Wajah mak berlegar-legar di fikiranku. Bagaimana aku mahu membantu ibu sedangkan selepas ini aku akan bergantung sepenuhnya kepada suamiku?

“Sayang bini abang.” Asyraf tersenyum puas. Air teh o limau yang dipesan dihirupnya perlahan.

Aku pula sebenarnya sudah hilang selera untuk makan. Mujur Asyraf tidak menyedarinya. Kenangan bersama mak tiba-tiba menjelma…

“Mak, nanti Asha sudah kerja Asha akan bantu mak dan adik-adik. Sampai bila-bila,” ujarku kepada mak suatu hari.

“Nanti Asha kahwin, macam mana Asha hendak tolong mak?” Mak tersenyum manis.

“Bukankah duit Asha adalah hak Asha? Nanti, Asha akan tetap bantu mak, insya-ALLAH,” aku meyakinkan mak. Tidak sabar rasanya meringankan beban mak. Lagipun, umur mak sudah semakin lanjut. Sudah tiba masanya mak beristirehat.

“Apapun, mak akan tetap sayang Asha...” kata mak sambil tersenyum. “Yang penting, Asha tidak lupa mak sampai bila-bila dan yang paling utama, Asha kena taat kepada suami,” pesan ibu lagi.

Betul cakap mak, bila aku sudah bergelar isteri, suami itu lebih utama. Bukan bermaksud hendak mengenepikan mak di kampung tetapi aku harus lebih bijak dalam meletakkan keutamaan. Asyraf pasti punya sebab tersendiri dengan keputusan yang dibuatnya. Namun, adakah Asyraf tidak memikirkan makku di kampung? Ah, dia juga manusia biasa yang kadang-kadang wujud kekhilafan dalam tindak-tanduknya.

Gambar hiasan

Pertama, pasti dia mahu aku menjalinkan hubungan yang akrab dengan mamanya. Selain itu, boleh jadi juga dia mahu aku berdakwah kepada orang yang telah melahirkan dan membesarkannya. Busuk-busuk Datin Khatty pun, dia tetap mama kepada suamiku. Mana mungkin Asyraf sanggup melihat mamanya itu semakin jauh daripada ALLAH.

Kedua, aku tahu Asyraf mampu untuk menanggungku. Lebih-lebih lagi kami tidak perlu berfikir untuk menyewa atau mencari peralatan kediaman. Semuanya sudah ada dan tersedia di hadapan mata. Memudahkan kerja kami selaku pengantin baru.

Ketiga... mungkin juga hati seorang suami tidak gemar isterinya berhubungan dengan seseorang yang pernah tergila-gilakannya. Bukankah Anuar bekerja satu pejabat denganku? Asyraf mungkin tidak tahu bahawa lelaki itu sebenarnya sudah berhenti kerja dan kami tidak lagi bergelar rakan sepejabat. Lelaki! Mereka punya ego yang begitu besar. Cemburunya juga tidak boleh dinafikan. Dayuslah sang suami sekiranya tidak berasa sesuatu bila isterinya bergaul mesra dengan orang lain.

Aku? Aku tahu batasan seorang isteri tetapi aku tidak dapat membuang rasa cinta Anuar terhadap diriku. Seperti aku sanggup mengenepikan dua insan lain bagi memenuhi kehendak hatiku, begitu juga hendaknya diri Anuar.  Boleh jadi dia masih sukakanku dan boleh jadi dia sudah berlapang dada dengan pernikahanku. Namun, tidak ada siapa yang mampu menduga hati seorang manusia. Ia begitu kompleks dan mengelirukan. Kalau tidak, masakan dia mampu berlakon senang di hadapan orang lain sedangkan hatinya sebenarnya sedang menderita.

Satu persoalan yang masih berlegar-legar di fikiranku. Asyraf yang mahukan aku duduk di rumah atau mamanya yang berkehendakkan begitu? Ah, sukar rupanya mengharungi alam rumah tangga. Aku kira, hidup bersama orang dicintai sudah cukup untuk meleraikan segala permasalahan yang timbul tetapi kehidupan suami isteri itu sebenarnya lebih mencabar.

Tidak mudah untuk memenuhi kehendak semua orang dan sukar untuk menyedapkan hati sendiri dalam menggembirakan hati orang lain. ‘Astaghfirullah...’ aku memohon ampun kepada ALLAH.

Tidak sabar menempuh ujian-NYA. Ini baru persoalan keluarga, belum lagi menyentuh perihal agama. Aku harus lebih tenang dan memberi ruang kepada hati untuk berfikir. Aku mesti berfikir secara waras dan bertindak berlandaskan iman. Aku akui, kadang-kadang nafsuku mendahului akalku. Akibatnya, jalan yang kuturuti menjatuhkan diriku sendiri.

Seperti baru semalam aku bergelar isteri. Hari ini, cukup tiga hari Asyraf menjadi suamiku. Baru tiga hari! Mungkin sahaja kerana masih baru, aku terkontang-kanting sendiri. Aku terlalu gopoh membuat anggapan. Anggapan yang membuatkan aku sedih sendiri sedangkan sebenarnya tidak ada apa-apa pun. Aku sahaja yang berlebih-lebihan.

‘Natasha, bangkit daripada kesilapan kau,’ aku memotivasi diriku. Mungkin harapanku terhadap Asyraf terlalu tinggi sehingga aku kecewa sendiri bila dia tidak seperti yang aku sangkakan. Dia juga manusia biasa yang tidak dapat membaca hati dan fikiran manusia lainnya.

‘Berusahalah, Natasha!’ Aku menjerit sekuat hati.  Jeritan yang hanya boleh didengari oleh telingaku. Aku perlu berusaha keras mengenali suamiku dengan lebih mendalam. Bukan setakat tahu nama, tahu siapa ibu dan bapanya bahkan lebih daripada itu. Wujudkan komunikasi dua hala yang berkesan dan fahami hati budi masing-masing.

Aku bukanlah seperti pasangan lain yang sudah terlebih kenal sebelum nikah. Maka, saat inilah aku harus mengulangkaji sendiri tentang diri suamiku. Banyak juga kerja rumah yang harus dibuat. Patutlah Asyraf memintaku menjadi suri rumah tangga. Aku tersenyum sendiri. Entah bila aku terlelap. Sedar-sedar, aku sedang diulit mimpi...

~bersambung

0 Responses