Mencari Naurah (Bab 63)
Sunday, November 04, 2012
Novel |Mencari Naurah
Gambar hiasan
TERATAK burukku meriah dengan kehadiran
penduduk kampung, juga sanak saudara. Sejak tiga hari lalu, rumahku memang
telah dipenuhi oleh orang kampung yang tidak keberatan membantu. Alhamdulillah,
sedikit sebanyak meringankan beban keluargaku sementelah bapaku sudah tidak ada
lagi. Pok Piji pula telah 'menghadiahi' aku seekor lembu sebelum majlis berlangsung.
Hehe… bolehlah dibuat lauk untuk para
tetamu.
Menurut Adilla, aku adalah
satu-satunya pengantin perempuan di dunia ini yang menerima hadiah kahwin
berupa seekor binatang ternakan. Aku dan mak hanya tersenyum.
Aku melihat jam pada dinding kamar
pengantinku. Sudah pukul 10.55 pagi. Kata mak, tok kadi akan sampai pada pukul
11.00 nanti. Aku adalah pengantin ketiga yang bakal dinikahkannya hari ini.
Hmmm… memang sibuk betul tok-tok kadi sekarang ini. Musim kahwinlah katakan.
Dengan
dua kali lafaz, sahlah aku bergelar isteri buat Asyraf Daniel bin Ghazali, anak
tunggal Datin Khatty. Berdebar, terharu, gembira... semua perasaan ini hadir
bersilih ganti.
Berdebar
kerana bakal berkongsi hidup dengan seorang lelaki yang begitu asing dalam
hidupku. Seperti baru semalam aku berjumpa, berkenalan dan jatuh cinta.
Semuanya berlaku dengan pantas. Aku mengharapkan kasihnya tetapi tidak pula
membayangkan untuk hidup di sampingnya.
“Tahniah,
Sha,” Kak Rose memelukku erat. Kelopak matanya basah.
‘Adakah
Kak Rose menangis?’ aku bertanya sendiri. Bibirnya masih setia menguntum
senyuman yang begitu manis walaupun riak wajahnya tidak seperti biasa. Aku tahu
Kak Rose sebenarnya kecewa. ‘Maafkan Asha, Kak Rose,’ hatiku cukup-cukup sayu.
“Terima
kasih, kak,” ucapku perlahan. Air mataku tidak semena-mena mengalir.
“Tidak
elok pengantin baru menangis.” Kak Rose segera menyapu air mataku dengan tisu
yang sudah tersedia di tangannya.
Aku
hanya tersenyum. Hari bahagia ini begitu menyentuh naluri wanitaku. Hingga ke
sini aku melangkah dan aku tidak mampu untuk berundur kembali.
“Tampan
betul suami Asha dengan baju Melayu putih. Asha juga nampak begitu secocok
dengan dengannya. Moga ikatan kasih kalian akan sentiasa mekar sehingga ke
syurga,” ujar Kak Rose lagi.
“Insya-ALLAH,
Kak Rose,” aku cuba menahan sebak di dada.
“Terima kasih banyak-banyak kerana
sudi datang...” Aku cuba mengukirkan senyuman. “Akak datang dengan siapa?”
Keningku terangkat-angkat.
“Kami
naik Avanza. Anuar sponsor,” suara Kak Rose sedikit bergetar.
Aku
sekadar tersenyum. Agak tersentak apabila nama Anuar disebut. ‘Aku kini sudah
bergelar isteri Asyraf,’ bisik hatiku sendiri.
“Bagaimana
dengan perjalanan majlis hari ini?” soal Kak Rose. Masih lagi tersenyum.
Tiba-tiba...
“Assalammualaikum,”
satu suara memberi salam.
Aku
terkedu.
Si
pemberi salam memasuki kamarku perlahan-lahan.
Mak
pula sedang mengekorinya dari belakang. “Upacara membatalkan air sembahyang.”
Mak memberitahu dengar tidak dengar.
“Selepas
ini, Asha kena keluar dan bersalam dengan tetamu, tau.” Mok Teh muncul memberi
arahan.
Aku
agak kaget apabila Asyraf sudah berada di hadapanku. Sampul surat berisi mas
kahwin diserahkan. Aku mengambilnya dengan tangan yang terketar-ketar.
Aku
mencari Kak Rose tetapi kelibatnya sudah tidak kelihatan. Hanya saudara-mara
terdekat yang mengerumuniku.
“Dia
keluar tadi,” Asyraf berkata perlahan. “Bila nampak saya masuk...” lelaki ini
seolah-olah tahu apa yang sedang bermain di fikiranku.
“Salam,
salam...” Adilla menjerit kuat.
‘Buat
malu kaum sahaja,’ omelku sendiri. Sejak malam tadi, dia tidak habis-habis
mengusikku. Aku memandangnya sambil tersenyum. Tangan Asyraf kemudiannya
kusalami.
“Cium,
cium...” Adilla ketawa yang dibuat-buat.
Begitu
juga dengan tetamu yang turut berada di dalam kamarku. Berdekah-dekah mereka
tergelak melihat diriku yang kepucatan.
Aku
menjeling Adilla sekilas. Dia hanya tersenyum sumbing. ‘Mak...’ batinku
menjerit.
“Cium
tangan suami, Sha.” Mak pula memberi arahan sambil tersenyum manis. Terpancar kebahagiaan
pada wajahnya yang sudah tua.
Aku
memandang Asyraf sekejap dan tunduk kembali. Lelaki ini nampak begitu tenang
meskipun tadinya terpaksa melafazkan akad nikah sebanyak dua kali. Mungkin
titik debarnya sudah dilepasi. Terketar-ketar aku mencium tangan Asyraf.
“Lama
sikit, lama sikit... hendak ambil gambarlah, kak.”
‘Argh...
budak kecil seorang ini,’ aku membulatkan mataku yang sepet ke arahnya.
Adilla
hanya buat tidak tahu. “Kahwin sekali sahaja seumur hidup, kak.” Dia menambah.
“Ya,
kahwin sekali sahaja seumur hidup. Asyraf sahaja yang ada peluang tiga kali
lagi,” tiba-tiba Anuar muncul di muka pintu.
Terkejut
tetapi kucuba berlagak biasa.
“Cium
dahi, cium dahi...” jerit Adilla lagi. Nampaknya, dia benar-benar teruja dengan
perkahwinanku.
“Adilla!
Layan tetamu di luar,” spontan ayat itu keluar dari bibirku.
Asyraf
yang sedari tadi berdiri, tiba-tiba duduk di sebelahku.
“Lenguhlah dari tadi
asyik berdiri. Bukan itu sahaja, hendak tunggu budak itu salam... mak ai,
lamanya.” Dia berseloroh.
Semua
yang berada di dalam bilik ketawa terbahak-bahak. Adilla, lagi-lagilah.
“Baru
pagi, cik abang. Takkan dah tak sabar nak duduk
atas katil kot?” Anuar mengusik.
Mukaku
berubah warna. Malu dengan kata-kata Anuar yang tidak punya insuran mulut itu.
“Kak,
baru pukul 11.30. Sepuluh jam lagi,” Adilla masih tidak puas mengenakanku.
“Sudah,
sudah... jangan main-main. Tetamu semakin ramai. Jom keluar.” Mak akhirnya
bersuara menyelamatkan keadaan.
Aku
dan Asyraf kemudiannya keluar beriringan. Mak dan Adilla pula sudah hilang
entah ke mana. Aku semakin kaget dan menggelabah. ‘Ramainya... Makkkk...’ aku
menjerit sendiri.
Aku
memandang Asyraf. Dia turut sama merenung mataku sambil tersenyum. ‘Asha malu,’
hatiku berkata mengharapkan pengertian. Aku tahu Asyraf tidak mendengarnya
tetapi aku begitu mengharapkan dia mengerti perasaanku. Aku masih kekok
meskipun sudah bergelar isteri buatnya.
Tiba-tiba,
Asyraf memegang tanganku dengan erat. “Jangan gabra sangat,” bisiknya. Nah, dia
tahu isi hatiku.
“Buat selamba sahaja. Anggap di hadapan kita, jam-jam yang
sudah kehabisan bateri.” Dia masih sempat mengusikku.
Aku
mencari-cari kelibat Datin Khatty. Tiada... “Datin Khatty makan di mana?”
soalku perlahan.
“Bukan
Datin Khatty lagi. Panggil mama sahaja. Bukankah dia sudah jadi mama Asha
juga?”
“Mama
ada lawatan ke Paris. Jadi, dia tidak boleh hadir hari ini,” Asyraf
berterus-terang.
Aku
terkedu mendengar kata-kata Asyraf tetapi kucuba berlagak biasa. Adakah dia
masih tidak sudi menerimaku sebagai menantu? Entahlah, aku yang memilih jalan
ini dan aku perlu kuat mendepaninya.
“Jom
kita pergi dekat Anuar,” ajak Asyraf lalu berjalan ke meja tempat Anuar dan
sahabat-sahabat kami yang sedang menjamu selera.
Aku
mengikutnya dari belakang.
“Terima
kasih kerana sudi meluangkan masa,” ucap Asyraf.
Anuar
ketawa. “Aku mesti datang punya,” balas Anuar. Dia kelihatan begitu ceria
mengalahkan kanak-kanak Ribena.
“Kau
bila lagi?” tanya Asyraf lagi.
Aku
lihat air muka Anuar berubah. Tidak pasti sama ada Asyraf menyedarinya atau
tidak.
“Insya-ALLAH,
kalau ada aku beritahu. Kalau tidak ada, aku tunggu kau punya anak,” seloroh
Anuar.
“Insya-ALLAH,
pasti ada,” balas Asyraf pendek. Mungkin menyedari kesilapannya yang bertanya
soalan yang tidak sepatutnya. “Mana Rose?” Dia tercari-cari kelibat Kak Rose.
Ya, Kak Rose tidak ada!
“Entahlah,
tadi aku nampak dia makan di tepi pokok sebelah sana,” jawab Anuar. Dia juga
melilau mencari Kak Rose yang sudah menghilangkan diri entah ke mana.
“Terima
kasih, War,” ucap Asyraf lagi.
Anuar
tersenyum. “Tahniah kerana dapat berkahwin dengan pilihan hati kau.” Dia
berjabat tangan Asyraf yang sudah tidak menggenggam jemariku.
“Awak,
saya hendak cari Kak Rose sekejap, boleh?” aku mencelah. Lelaki ini sudah
bergelar suamiku yang sah. Jadi, segala tindakanku perlu dengan izinnya.
“Aik,
panggil awak sahaja. Panggillah abang ka, darling ka, sayang ka...” usik Anuar.
Aku
sekadar tersenyum. Aku lihat, Asyraf juga tersenyum. Mungkin dia tahu apa yang
tersirat di dalam hatiku.
AKU tercari-cari
kelibat Kak Rose. 'Mana agaknya Kak Rose bersembunyi?' Aku bertanya sendiri.
Haaaa.. itu pun. Kak Rose kulihat sedang duduk-duduk memandang tetamu yang
hadir di meja yang letaknya tersorok sedikit di tepi pokok. Aku segera
menghampirinya.
Gambar hiasan
“Dah
makan, kak?” soalku mesra.
“Sudah,
sayang. Lama betul akak tidak makan gulai kawah,” balas Kak Rose.
Bunga
telur yang kuberi diperhatikan dengan teliti.
“Cantik
bunga telur ini. Tempah di mana?” Kak Rose membelek-belek bunga telur tersebut.
“Asha
buat sendiri,” aku tersenyum bangga.
“Mana
Asyraf?” Kak Rose mencari-cari kelibat Asyraf. Tidak ada...
“Dia
tengah melayan tetamu,” jawabku pendek. Aku memerhatikan wajah Kak Rose tanpa
berkelip. Aku masih tidak sedap hati
sebenarnya. Entahlah. Perkahwinan ini seolah-olah tidak mendapat restunya. Siapa
Kak Rose sampai aku tidak keruan begini? Ya, Kak Rose bukanlah siapa-siapa
tetapi dia adalah seorang kakak yang paling aku kasihi.
Sejak
berjumpa dengan Kak Rose pagi tadi, rasa bersalah itu hadir dan terus
menghantuiku. Aku cuba untuk membuangnya jauh-jauh tetapi perasaan itu tetap
tidak mahu pergi. Dia datang semakin dekat dan terus menghampiri. Semakin cuba
kusedapkan hati, semakin perasaan itu menyalahkan diriku. Lebih-lebih lagi
tatkala melihat kelopak mata Kak Rose yang kebasahan. Seolah-olah baru sahaja
meluahkan rasa. Adakah dia sedih dan kecewa? Ah! Sudah gaharu cendana pula...
“Selepas
ini, Asha dan Asyraf akan tinggal di mana?”
Aku
mengelamun rupanya. Tinggal di mana? Ooo.... “Dengan keluarga mertua,
insya-ALLAH. Lagipun, Asyraf anak tunggal.”
“Semoga
berbahagia selalu,” Kak Rose menepuk-nepuk bahuku perlahan.
“Kak...”
aku memanggilnya perlahan.
Suaraku terasa sayu.
“Akak...
cepat masuk dalam rumah. Sesi bergambar sudah bermula!” jerit Adilla dari dalam
rumah.
Alahai,
adikku yang seorang ini. Tidak memberi ruang langsung untuk aku ‘berehat’
seketika. “Jom...” aku segera menarik tangan Kak Rose.
“Tidak
apa, Sha. Akak hendak makan lagi.” Air muka Kak Rose berubah.
“Cepatlah,
kak. Sudah lama Abang Asyraf tunggu,” jerit Adilla lagi.
“Asha
pergi dahulu, kak.” Aku serba salah.
“Pergi
la, sayang...” kata Kak Rose tanpa memandang wajahku.
Aku
berjalan cepat meninggalkan Kak Rose. Hatiku pilu. Tergamak aku! Namun, aku
tidak mampu untuk menolak kehadirannya. Aku sendiri menyukai lelaki yang turut
sama dicintai Kak Rose.
‘Maafkan
Asha, kak,’ desis hatiku. ‘Maafkan Asha, Kak Rose,’ aku menggeleng beberapa
kali. Tidak mahu memikirkan apa-apa yang bisa membikin jiwaku sesak dan
gelisah.
Langkahku
semakin laju. Lambat sungguh masa berlalu. Ikutkan hati, mahu sahaja aku
menghilangkan diri tetapi tidak kuketahui ke manakah langkahku nanti. Hatiku
begitu sebak dan aku tidak mahu kecelaruan ini disedari oleh siapa-siapa.
Lebih-lebih lagi... Asyraf.
Sebelum
menaiki tangga rumah, aku berpaling ke arah meja tempat Anuar dan
sahabat-sahabat yang lain sedang menjamu selera. Tiada kelibat Asyraf di situ.
Mungkin benar apa yang diperkata oleh Adilla yang Asyraf sudah lama menungguku.
Tiba-tiba...
Langkahku
terhenti! Mataku terpaku melihat Anuar yang sedang tunduk menghadap tanah.
Tadi, dia begitu ceria mengalahkan kanak-kanak tidak cukup umur tetapi mengapa
kini ditundukkan wajah pula?
‘Astaghfirullah...
astaghfirullah...’ aku beristighfar sendiri. ‘Ya, ALLAH. Berilah aku kekuatan
menghadapi saat-saat ini...’ Wajah Kak Rose dan Anuar hadir silih berganti.
“Kak
Sha, cepatlah.” Adilla mengintai dari jendela rumah. “Sudah letih Abang Asyraf
tunggu akak,” ujarnya lagi.
Aku
hanya tersenyum kambing.
“Dilla...”
aku menghampiri Adilla yang masih lagi berdiri di tepi jendela. “Sebentar...”
Aku menolaknya perlahan. Kemudian, aku menjenguk kembali ke luar rumah. Anuar
tetap seperti tadi. Masih setia menghadap tanah. Hatiku begitu sayu di hari
pernikahanku...
~ bersambung