Mencari Naurah (Bab 62)

Novel | Mencari Naurah

Gambar hiasan


“TAHNIAH, Sha...” ucap Sherry. “Untuk, Sha,” sambungnya lagi lantas menghulurkan sekotak hadiah yang telah dibalut elok.

“Hmm... cantik balutannya, secantik si pemberi hadiah,” aku memandangnya sekilas kemudian membelek kembali hadiah yang diberikan. 

“Terima kasih, Sherry,” tambahku sambil tersenyum gembira. Cukup gembira. Lebih-lebih lagi kerana hadiah ini adalah pemberian Sherry... 

‘Berat juga,’ desis hatiku.

“Cuti berapa lama?” Sherry tidak berkelip memandangku.

“Insya-ALLAH, dalam dua minggu. Satu minggu sebelum majlis dan seminggu sesudah majlis,” jawabku sejujurnya.

Sherry tersenyum yang sengaja dibuat-buat. Ada makna di sebalik senyuman itu. “Sha... Maaf atas segala salah dan silap. Dari sekecil-kecil hal sehinggalah perkara yang besar. Maaf, Sha,” wajah Sherry sedikit berubah. Kekesalannya terpancar jelas.

“Alaaa... Janganlah buat muka sepuluh sen macam itu. Tidak macholah...” hadiah yang diberi kuletakkan di atas meja. Kemudian, aku menggenggam erat kedua belah tangannya yang begitu halus dan lembut. Semakin lama, terasa semakin erat genggaman itu.

“Asha sudah lama maafkan Sherry dan tidak ada sekelumit dendam pun dalam hati Asha pada Sherry. Bukankah kita ini manusia yang lemah? Banyak pula melakukan kesilapan. Yang penting, kita sedar akan kesalahan yang telah kita lakukan,” aku menyeka air matanya yang gugur dari pipinya yang gebu.

“Terima kasih, Sha,” esakan anak Syed Azhar ini semakin kuat kedengaran.

Aku menepuk-nepuk belakangnya perlahan. Kasihan pula melihatnya berkeadaan begitu.

“Sebenarnya... Berkait dengan anugerah kecemerlangan. Bagi Sherry, Asha masih baru dan sedang belajar. Banyak juga kesilapan teknikal yang Asha lakukan tetapi... Asha tetap dipilih dan terpilih... Sherry sudah bekerja bersungguh-sungguh tetapi Sherry tetap tidak memperolehinya,”  Sherry berterus-terang. 

Esakannya sudah semakin mengendur, namun masih terpancar riak kekesalan di wajah. Diam...

“Satu lagi...” Dia seolah-olah mati akal. Tidak tahu bagaimana hendak meluahkannya.

Aku? Aku mahu menjadi pendengar yang baik buatnya dan kalau boleh, aku ingin menarik gadis manis ini menjadi salah seorang sasaran dakwahku. Ada harapan???

“Pertama kali Sherry jumpa Anuar. Sherry rasa...” Sherry diam. “Hmm... tidak ada apa-apa.” Dia tidak meneruskan kata-katanya.

“Sherry sukakan dia?” terjahku lembut sambil tersenyum. 

Anuar, Anuar... ke mana sahaja dia pergi, pasti ada yang terpaut hati kepadanya. Hanya dia yang terlalu memilih atau jual mahal atau....

‘Anuar, Anuar,’ aku berkata kecil.

“Ya, tetapi...” Sherry tunduk memandang lantai. 

“Dia sukakan Asha. Sebab itu Sherry sebarkan cerita buruk tentang Asha dan Anuar. Sherry terlalu bencikan Asha. Asha bukan sahaja merampas anugerah yang Sherry idam-idamkan tetapi lelaki yang Sherry telah jatuh cinta kepadanya.” 

Nah! Gadis ini berterus-terang. Seterang-terangnya. “Sherry betul-betul minta maaf, Sha.” Dia memandang wajahku kembali.

“Tidak apa. Lupakan sahaja perkara yang telah lalu. Asha tidak pernah menyimpan dendam. Jangan risau,” aku cuba membujuknya lembut. 

Persis seorang ibu yang sedang memujuk anaknya yang tidak sudah-sudah menyalahkan diri sendiri. “Jom. Asha belanja Sherry makan. Sebagai tanda perkenalan dan persahabatan.” Cepat-cepat aku menarik lengannya.

“Satu lagi...” 

Nampaknya, Sherry masih belum puas untuk meluahkan apa-apa yang terpendam dalam hatinya. 

“Terima kasih kerana menghadiahi Sherry buku-buku agama. Bukan satu bahkan sudah lebih sepuluh buah Sherry dapat. Terima kasih, Sha.”

“Hilda yang beritahu. Asha yang hadiahkan buku tersebut pada Sherry,” sambungnya lagi sambil tersenyum.

Hadiah itu kuberikan tanpa pengetahuannya dan dia tidak sepatutnya tahu siapakah gerangan pengirimnya.

“Hilda, Hilda,” ucapku perlahan.  Aku turut sama tersenyum.

“Mari kita pergi makan. Lapar daaa...”

Tanpa aku duga, Sherry menarik lenganku sepantas kilat. Habis berkedut baju kurung yang kugosok tidak kurang dari setengah jam itu. Aku sebenarnya mempunyai masalah dalam menggosok pakaian. Kelemahanku yang paling nyata!

“Jom,” balasku pendek.

Alhamdulillah, segalanya sudah berakhir. Tidak sia-sia kesabaranku selama ini. Aku yakin yang masalah yang tidak kuketahui hujung pangkalnya ini tentu ada jalan penyelesaiannya. Yang penting, sama sekali tidak boleh berputus asa! Perlu sabar dan terus bersabar sehingga ALLAH menunjukkan jalan-NYA.

Moralnya???

Sesungguhnya, akhlak yang terpuji bisa sahaja menarik hati manusia lainnya untuk jatuh cinta kepada kita. Kita??? Akulah...  Namun awas, jangan tersilap sasaran! Biarlah insan yang terpaut dengan perilaku kita itu adalah manusia yang betul dan selayaknya. Kalau tidak??? Terimalah akibatnya. Aku tersenyum sendiri sambil menyebut nama TUHAN-ku, ‘Ya, ALLAH. Ya, RAHMAN. Ya, RAHIM...’

 ~bersambung

0 Responses