Mencari Naurah (Bab 64)
Saturday, November 10, 2012
Novel | Mencari Naurah
‘Sesungguhnya
ALLAH hanya pada sisi-NYA sahaja pengetahuan tentang hari kiamat; dan DIAlah
yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tidak ada
seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa-apa yang diusahakan pada
hari esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana ia akan
mati. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali...’ surah Luqman
ayat 34 itu aku renungi.
~bersambung
AKU lihat, rakan-rakan sepejabatku begitu
rancak berbual. Sekejap-sekejap mereka ketawa girang tetapi acap kali juga muka
mereka nampak serius. Ada isu besar agaknya. Dari jauh, aku cuba mengamati
wajah-wajah mereka satu per satu. Hmmm… tidak dapat aku tafsirkan. Aku segera
menghampiri mereka dengan senyum terukir.
“ASHA!!!
Saya sangka Asha akan berkahwin dengan Anuar,” Preshnan merenungku dengan
pandangan yang begitu tajam. Mujur Asyraf tidak ada di sisi.
“Satu
minggu Asha cuti, satu minggu juga dia ambil cuti kecemasan,” tambah Ying Pei
bersungguh-sungguh.
“Saya rasa dia benar-benar kecewa. Ya! Teramat kecewa.
Pasti...” Dia memandang Preshanan yang masih lagi merenungku.
Marah
benar lelaki India ini. Apakan daya. Aku tidak mampu untuk memuaskan hati semua
pihak.
“Asha
tentu sudah maklum yang Anuar cintakan Asha,” Sook Kuan menyampuk. “Ya, pasti.
Dia benar-benar mencintai Asha,” ulangnya lagi.
“Rabu
lepas, Anuar dipanggil berjumpa dengan pihak atasan,” Preshnan tidak mahu kalah
menyampaikan berita. “Anuar nampak betul-betul sudah berubah. Tidak bermaya.
Tidak bertenaga. Tidak termotivasi. Bukan Anuar yang saya kenal dahulu,”
suaranya sedikit sebak.
Aku
tahu... Anuar yang dahulu gemar benar menyakat orang. Senyumnya tidak pernah
lekang dari bibir dan kata-katanya bisa membuatkan jiwa gembira.
“Secara
peribadi, saya berpandangan bahawa Anuar adalah paling sesuai dan serasi dengan
Asha. Walaupun sering sahaja tidak sekepala, kamu berdua nampak cocok tatkala
bekerjasama bersama. Lagipun, lelaki malang ini pernah mengakui bahawa dia
benar-benar cintakan Asha. Dia sanggup lakukan apa sahaja demi Asha tetapi...”
dahi Sook Kuan berkerut dan matanya yang sedia sepet nampak seolah-olah
terkatup.
“Asha
memilih untuk mengahwini lelaki lain. Siapakah lelaki ini?” sambungnya sambil
matanya memandang jauh ke arah Asyraf yang sedang galak berbicara mesra dengan
Anuar.
Aku
terdiam. Begitu cepat mereka menembak. Das tembakan pula tepat-tepat mengenai
jantungku. Habis berdarah sehingga meninggalkan parut yang begitu menjelikkan.
Hmm... Aku tidak berdaya dan tidak mampu untuk mempertahankan diri. Lidahku
kelu seolah-olah sudah berada di kandang si pesalah.
Salahkah
aku kerana memilih untuk menikahi Asyraf? Jawapannya ya dan tidak!
Ya...
kerana aku telah melukakan hati banyak pihak. Sepertinya, jiwa yang bernama
Natasha binti Zulkarnain ini merupakan seorang wanita yang begitu kejam serta tidak bertimbang rasa.
Tidak...
aku berhak membuat pilihan dan keputusan aku sendiri. Aku berkuasa untuk
memilih sesiapa sahaja yang aku kira paling cocok dan serasi denganku dan
pasti!!! Tidak ada seorang pun yang boleh menghalang keputusanku. Sesungguhnya,
aku benar-benar menyintai Asyraf.
“Asha..”
“Asha...”
Tersentak
aku daripada lamunan. “Ya, Preshnan,” aku memandang Preshnan sambil tersenyum.
Senyum yang dibuat-buat.
“Sebenarnya...”
Preshnan nampaknya ragu-ragu untuk meneruskan bait katanya. “Sebenarnya,
Anuar...” diam lagi.
“Anuar
telah belikan Asha sebentuk cincin yang sangat istimewa. Bertatahkan berlian
dengan bentuk hati. Pasti mahal harganya. Lelaki itu sungguh ceria dan amat
bahagia. Anuar terlalu yakin terhadap cintanya. Ya! Dia betul-betul teruja
untuk menyerahkan cincin tersebut kepada Asha. Anuar tentu tidak menyangka
bahawa cinta yang diagung-agungkannya itu akan ditolak. Ashalah pilihan hatinya
dahulu, kini dan selamanya,” wajahnya berubah.
“Saya
betul-betul simpati kepadanya. Saya kira, Anuar akan menjadi seperti Rahul yang
akhirnya mendapat cinta Anjali tetapi nampaknya jauh panggang dari api,”
sambungnya lagi dengan suara yang tersekat-sekat.
“Saya
faham apa yang dirasainya. Sepertimana Anjali yang awalnya tidak mendapat cinta
Rahul.” Nampaknya, lelaki India ini begitu taksub dengan watak Kajol dan Shah
Rukh Khan dalam Kuch Kuch Hota Hai.
“Kami
pun sebenarnya berharap agar Asha dapat bernikah dengannya. Kami nampak sinar
bahagia pada matanya tatkala melihat Asha. Bukan itu sahaja bahkan kami juga
menyedari keprihatinan Anuar terhadap Asha. Ya! Dia terlalu banyak berkorban
untuk Asha,” celah Sook Kuan.
“Moga-moga
Asha akan dapat menjadi isterinya pada kehidupan lain,” Preshnan tiba-tiba
menyampuk.
“Kehidupan
lain?” aku mengerutkan dahi.
“Maksud
saya, Asha
dan Anuar bertemu semula setelah kalian mati. Kemudian, jalinkan hubungan cinta dan… mendirikan rumah tangga,” balas Preshnan.
“Kami
Muslim. Kami tidak mempercayai hal sebegitu,” aku menerangkan lembut.
“Oh,
begitu,” ujar Preshnan dengar tidak dengar. Kecewa agaknya.
Ya.
Sebagai seorang yang beragama Islam, aku perlu meyakini segala apa yang telah
ditetapkan ke atasku. Suamiku ialah Asyraf Daniel dan bukan Khairul Anuar.
Sudah tercatat sejak azali.
Maka,
aku tidak boleh ragu-ragu apatah lagi menyesal dengan keputusan yang telah
kuambil. Jalan ini kupilih dengan izin-NYA. ALLAH yang telah menentukan
segalanya. DIA punya kuasa yang Maha Besar untuk menyatukan dan DIA juga boleh
menjauhkan. Walaupun seribu manusia mengkehendaki aku untuk bersama insan lain,
sama sekali tidak dapat menidakkan ketentuan takdir. Mana mungkin ada kuasa
yang lebih hebat daripada kuasa TUHAN yang menghidup dan mematikan.
“Sha,
kami minta maaf kerana berterus-terang. Sebagai sahabat, kami perlu bercakap
sejujurnya. Asha dan Anuar adalah rakan karib kami. Apa yang kami ungkapkan ini
datang betul-betul dari dalam hati kami,” Ying Pei yang tadinya membisu
tiba-tiba bersuara.
“Anuar
tetap yang terbaik. Dia tidak patut melalui saat sukar sebegini. Dia terlalu
jujur dalam cinta. Asha tidak sepatutnya buat begini,” Preshan masih tidak
berpuas hati. Entahlah. Lidahku kelu.
Aku
hanya mampu menjadi pendengar setia. Biarlah mereka meluahkan segala apa yang
terpendam asalkan mereka berasa bahagia.
“Cuba
tengok. Anuar cuba untuk menutup kesedihannya tetapi saya tahu...” suara Sook
Kuan sebak.
Aku
segera berpaling ke arah Anuar yang masih rancak berbicara dengan Asyraf.
“Dia
pasti sangat sedih dan dukacita,” sambung Ying Pei sedikit beremosi. Air
matanya mengalir perlahan.
Aku
kaget. Sudah dua jasad yang mengalirkan air mata pada hari pernikahanku.
Pertama...
Kak Rose.
Kedua...
Ying Pei.
Siapa
pula yang ketiga??? Aku? Bukankah aku juga sudah menangis pagi tadi?
“Kasihan
benar, Anuar,” Sook Kuan pula mencelah. Sama seperti Ying Pei, dia pun tidak
dapat menahan air matanya daripada gugur ke bumi.
Bagaimana
dengan Preshnan? Mahu memangis juga??? Hatiku semakin sebak. Semua orang
seolah-olah tidak merestui pilihanku.
Aku
tertunduk seketika. Cuba mencari kekuatan yang termampu. Aku perlu tega dengan
keputusan yang telah aku ambil. Aku kira, hanya Kak Rose, Datin Khatty dan
Tengku Amalin sahaja yang akan kecewa tetapi lebih daripada itu. Kejamkah aku?
Aku
memandang Anuar yang masih lagi berbual-bual dengan Asyraf. Sekejap-sekejap dia
nampak serius. Acap kali juga dia tergelak sakan. Pandai benar anak Dato’
Baharin ini berpura-pura.
‘Maafkan
Asha, Anuar,’ bisik hatiku.
“Pandai
Anuar berlakon. Dia mungkin boleh menipu pengantin lelaki dengan lakonannya
tetapi tidak kami,” Sook Kuan menuding jarinya ke arah Anuar.
“Ya,
saya pun dapat lihat kemantapan lakonannya. Mengalahkan Amitha Bachan,” Preshan
menyampuk. Matanya tidak berair tetapi tetap merah!
Hmm...
Baru sebentar tadi aku lihat Anuar tunduk ke bumi seolah-olah tidak mahu
mengangkat kepalanya kembali tetapi kini dia tidak henti-henti
menggeleng-gelengkan kepalanya sambil ketawa.
‘Maafkan
Asha, Anuar...’ ucapku lagi. Hanya itu yang mampu kuungkapkan.
Beberapa
minit kemudian, aku meminta diri daripada mereka lalu menghampiri Asyraf dan Anuar. “Gelak sakan
nampak.” Aku memandang Asyraf yang tidak henti-henti berbicara. Tidak macam
raja sehari.
“Anuar
cakap pasal jam Asha yang mati,” cerita Asyraf. Mereka masih ketawa.
Aku
memandang Anuar sekilas. Tidak sanggup melihat lakonannya. Tidakkah Asyraf
menyedarinya? “Ooo... mengutuk ya. Tak apa, ada lori ada bas,” aku berpura-pura
merajuk.
“Malam
ini jangan buka pintu bilik. Biar Asyraf tidur di luar,” Anuar mengusik penuh
makna.
Aku
sekadar tersenyum. Asyraf pula tidak henti-henti ketawa. Entah apa yang
menggelikan hatinya, aku tidak berapa pasti.
“Jadi,
Asha tinggal dengan keluarga Asyraf selepas ini, ya?” dahi Anuar sedikit
berkerut.
“Insya-ALLAH,”
jawabku sambil memandang wajah Asyaf yang tampak begitu tampan dengan pakaian
pengantinnya yang serba putih.
“Dah
bersedia duduk dengan mentua ke? Bukankah Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah cakap
seeloknya duduk sendiri?” Anuar nampak ragu-ragu.
“Insya-ALLAH.
Lagipun, Asyraf anak tunggal. Kasihan datin dan dato’ berjauhan dengan anak
teruna kesayangan mereka ni.” Aku berterus-terang. Aku tahu, bukan mudah untuk
tinggal sebumbung dengan keluarga mertua. Banyak cabarannya tetapi aku akan
cuba sebaiknya. Aku perlu lebih kuat dan tabah.
“Berbulan
madu di mana?” Anuar tidak henti-henti dengan soalan terjahnya.
“Tak
rancang apa-apa pun. Tengok keadaan. Lagipun, bukan mudah hendak dapat cuti,”
jawab Asyraf mewakiliku.
“Semoga
kalian berbahagia selalu,” ada sedikit getaran pada suara Anuar. “Asha dan
Anuar memang cocok bersama,” sambungnya lagi.
Terkejut
dengan kata-kata spontan Anuar, aku memandang Asyraf. Kulihat air mukanya turut
berubah.
“Eh,
silap. Asha dan Asyraf memang cocok bersama,” Anuar membetulkan pernyataannya.
Aku
lihat air muka Anuar juga berubah.
“Insya-ALLAH,”
aku dan Asyraf berkata serentak.
“Asha
hendak layan tetamu lain sekejap.” Aku memandang Asyraf yang tidak berkelip
melihatku.
“Jangan
pergi jauh-jauh. Nanti cik abang tidak dapat duduk diam. Minggu hadapan baru
okey kalau hendak berjauhan pun. Hari ini tidak sesuai.” Anuar masih mahu
menyakatku. Dia tetap tidak berubah walaupun kini aku sudah bergelar isteri
buat teman karibnya. Aku memandang Asyraf sekilas lalu meninggalkan mereka
berdua.
“Anuar
sememangnya pelakon yang baik,” ujar Preshnan apabila aku berjalan di
hadapannya. “Saya harap keputusan Asha ini tepat,” tambah Presnan lagi.
Aku
sekadar tersenyum.
~bersambung