Mencari Naurah (Bab 65)
Sunday, November 11, 2012
Novel | Mencari Naurah
“APA yang Abang rasa sekarang?” soalku sewaktu kami sama-sama sedang
menghayati keindahan malam di Pantai Cahaya Bulan. Tidak ramai yang berkunjung
ke sini. ‘Mungkin kerana sekarang bukan musimnya,’ aku berfikir sendiri.
|
“Abang
rasa sangat bahagia...” Asyraf merenung tepat anak mataku. “Sangat sangat
bahagia,” bisiknya perlahan sambil memaut erat bahuku.
“Asha
pun rasa bahagia walaupun agak gusar pada awalnya.” Aku berterus-terang.
“Gusar?”
Asyraf mengerutkan dahinya.
“Khuatir
Datin Khatty tidak dapat menerima Asha. Lagipun, Asha orang kampung.” Aku
meluahkan apa yang terpendam di hati.
“Setiap
apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya, Sha. Bila kita sudah sampai ke tahap
ini, pasti ada sesuatu yang telah direncanakan ALLAH untuk kita. Yang penting,
kita perlu terus kuat dan meletakkan sepenuh pergantungan kepada-NYA. Dia Maha
Dekat, Sha,” Asyraf memujuk lembut.
“Asha pula bagaimana?” Dia memegang
tanganku erat. Seperti tidak mahu melepaskannya lagi.
“Maksud
abang?” Pandangan kami bertaut kembali. Dahiku berkerut. Aku tidak cukup jelas
dengan apa yang diperkata Asyraf.
“Apa
yang Asha rasa sekarang?” tanganku dilepaskan perlahan. Asyraf memandangku
dengan pandangan yang tajam.
Aku
menjadi malu sendiri.
Kemudian,
Asyraf duduk di atas pasir sambil memerhati ombak yang beralun perlahan.
“Marilah duduk tepi abang,” pintanya.
“Asha
bersyukur kerana dijodohkan dengan abang. Asha sungguh bahagia. Mungkin lebih
bahagia daripada bahagianya abang,” ujarku sambil membetulkan tudung yang
ditiup angin malam.
“Asha
tidak menyesal?” soal Asyraf lagi.
“Menyesal?”
aku memandang tepat anak matanya. Mata kami bertaut lagi. Menyesal?
“Tidak
ada apa...” Asyraf tersenyum lalu memaut bahuku. Lebih erat daripada pautan
tadi.
“Asha
tidak pernah rasa sesal bernikah dengan abang meskipun Asha tahu cabaran ada di
hadapan mata.” Sebenarnya, aku masih khuatir terhadap penerimaan Datin Khatty.
Tidak tahu bagaimana untuk aku menghadapinya tetapi aku tekad, aku akan terus
maju ke hadapan.
Gambar hiasan
“Macam
mana pulak untuk tinggal bersama keluarga abang? Asha rasa tidak selesa ke?
Asha?” bertalu-talu Asyraf menyoalku.
“Insya-ALLAH,”
balasku pendek. Aku tidak mahu berbohong kepada Asyraf. Jika aku beria-ia
mengatakan aku suka, bermakna aku telah berdusta kepadanya. Entahlah, sukar
untuk diungkapkan... perasaan yang tersembunyi dan tersirat. Apapun, tinggal
sendiri itu sebenarnya lebih baik.
“Abang
faham perasaan Asha. Kita cuba dahulu,” Asyraf membujukku dengan lembut.
Benar!
Seperti kata pakar motivasi, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, sebaiknya duduklah
berasingan. Tidak kira sama ada mertua di sebelah pihak lelaki mahupun pihak
perempuan. Kejanggalan akan tetap terasa.
Lagipun,
sebagai pasangan yang baru melangkah ke alam rumah tangga, banyak perkara yang
harus dipelajari. Bukannya tidak mahu belajar daripada orang yang sudah lama
makan garam tetapi... Argh! Sukarnya untuk aku terangkan. Hanya pasangan baru
bernikah memahaminya. Mungkin...
“Asha
okey?”
“Insya-ALLAH...”
Aku tersenyum manis.
“Mama
abang, mama Asha juga.” Asyraf menguis-nguis pasir dengan jari telunjuknya
perlahan.
“Insya-ALLAH...”
Aku mengiakan. Aku tahu, bila akad telah dilafazkan, keutamaan kini bukanlah
milik mak dan adik-adikku. Aku punya suami yang syurgaku terletak di bawah
tapak kakinya. Suamiku pula masih punya ibu yang telah melahirkan dan
membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Aku tahu semua itu.
“Apapun,
abang akan tetap menyokong dan memberi kekuatan kepadamu, sayang,” ucap Asyraf.
Aku
melentokkan kepalaku di bahunya. Malam itu, kami sama-sama merenungi keindahan
malam ciptaan TUHAN. Begitu cantik dan mengagumkan. Terima kasih ALLAH kerana
mengizinkan kami melalui saat-saat indah ini.
~ bersambung