Salam ~ Assalammualaikum


“Assalammualaikum ya ukhti. Assalammualaikum ya akhi.”

Ucapan ‘Assalammualaikum’ merupakan doa KESEJAHTERAAN dan KESELAMATAN yang harus dilafazkan ketika seorang Muslim bertemu dengan Muslim yang lain. Di samping itu, salam itu sendiri membawa maksud aman, sejahtera, selamat dan sebagainya.

Menjawab salam hukumnya wajib. Ia merupakan sunnah Rasulullah yang semakin dilupakan. Ia berperanan untuk membina PERPADUAN dan KESELAMATAN di kalangan umat Islam. Sabda Nabi SAW, “Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan, kamu bersatu padu dan berkasih sayang… iaitu sebarkan ucapan ‘assalammualaikum’ di atara kamu,” HR Muslim.

Sayangnya… dewasa ini, para remaja dan masyarakat lebih gemar mengucapkan ‘Good morning’, ‘Good evening’, ‘Hai, Sayang’ berbanding ungkapan yang diamalkan Rasulullah .Tidak salah untuk melafazkan yang sedemikian tetapi adalah lebih baik andai kita dapat mengikuti apa yang diamalkan Nabi SAW dalam pengucapan.

Bukan itu sahaja, berlaga pipi dan hidung juga seolah-olah telah menjadi trend masa kini~ begitu masyhur dipraktikkan. Ditambah-tambah… ditokok-tokok dengan rancangan hiburan terkini turut mempromosikan cara dan gaya hidup yang diamalkan oleh Barat ini.

Mungkin mereka merasakan bahawa cara ini lebih bertamadun dan dapat mengakrabkan perhubungan. Bukankah negara Barat merupakan negara maju yang harus diikuti? Ya! Amerika Syarikat merupakan pemegang kuasa dunia tetapi kita sering kali terlupa tentang kehancuran akhlak muda-mudi di sana serta kezaliman yang dilakukan mereka atas nama keamanan sejagat.

Adakah kita mahu menjadi seperti mereka? Jika hal sebegini berterusan, maaf cakap tidak mustahil satu hari, amalan bercium di khalayak ramai menjadi trend baru yang melanda muda-mudi harapan bangsa. Hmmm… tengoklah facebook… friendster… tidak ada lagi rasa segan memaparkan gambar-gambar yang… Nauzubillah…

Teman, tanyalah pada diri. Apakah yang kita mahukan di dalam kehidupan ini? Adakah kemajuan dan kemegahan SEMATA-MATA tanpa melihat kepada keberkatan Ilahi? Jangan tertipu dengan duniawi yang menghancurkan. Kembalilah kepada fitrah kita yakni agama Islam itu sendiri. Amalkan Islam secara keseluruhan dari sebesar-besar aspek sehinggalah kepada aspek yang kecil. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya…”

Menyebarkan salam contohnya. Sekali pandang, bukanlah perkara yang besar. Tiada keringat yang dikeluarkan. Hanya perlu mengungkapkan “Assalammualaikum.” Mudah bukan? Akan tetapi, masih ada yang mempersoalkan. Kenapa perlu menitikberatkan perihal salam sedang banyak lagi hal yang lebih besar yang harus difikirkan?

Benar! Banyak perkara yang lebih penting harus diutamakan tetapi ketahuilah bahawa hal yang kecil ini turut memberi impak kepada perkara yang besar. Melalui salam, ukhwah akan bersemi. Daripada ukhwah terpaut rasa sayang dan cinta. Apabila ikatan hati itu kuat, pastinya umat Islam itu mampu membina kekuatan dalam mengharungi cabaran hidup masa kini. Justeru, berilah salam… Firman Allah dalam suruh Yunus ayat 10, “Doa mereka di dalamnya (syurga) ialah ‘Subhanakallahumma’, dan salam penghormatan mereka ialah ‘salam’.”

Ibrahim bin Adham ada menyebut bahawa ucapan salam yang ikhlas akan menghindarkan kita daripada kejahatan dan musibah sebagaimana ucapan fitnah akan menimbulkan dosa dan malapetaka. Apa yang boleh diperhatikan di sini ialah keikhlasan dalam memberikan salam. Perlu bagi kita untuk menyebarkan salam semata-mata kerana Allah dalam merapatkan ukhwah sesama kita.

Apabila hati ini bersih dalam mengharapkan keredhaan Allah, pastinya Allah akan mentautkan hati-hati kita sekaligus memberi keamanan kepada kita semua. Tiada rasa benci dan busuk hati sesama manusia. Setiap makhluk ciptaan Tuhan punya kelebihan dan kelemahan masing-masing dan Allah itu Maha Adil dalam memberikan kurniaan-Nya.

Imam ar-Razi telah mengaitkan ucapan salam dengan tiga sifat orang Mukmin iaitu:

i) Jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, maka jangan engkau menyusahkan dia.

ii) Jika engkau tidak mahu menyusahkan dia, maka jangan engkau mendukakan dia.

iii) Jika engkau tidak mahu memuji dia, maka jangan engkau mencela dia.

Maka, usah gusar untuk menyebarkan salam. Jangan segan dan malu. Rendahkan diri di hadapan seseorang yang hendak kita ungkapkan salam kepadanya. Tidak salah memberi salam kepada orang yang kita rasakan lebih rendah darjat atau kedudukannya daripada kita. Ingatlah! Manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang bertaqwa.

Bilamana orang lain sibuk mempraktikkan cara salam ala Barat, kita harus menegakkan SYIAR kita dengan terus mengamalkan sunnah Rasulullah. Memang Islam itu kelihatan asing (masa kini) pada mata manusia tetapi janganlah kita menjadikan ia asing pada pandangan hati kita.

Yang penting ialah penilaian Allah. Allah tahu apa-apa di dalam jiwa kita. Allah tahu kita berusaha untuk terus mengamalkan sunnah Nabi ini meskipun kadang-kadang terasa janggal di hadapan manusia. Moga kita kan menjadi orang yang ‘hebat’ itu di sisiNya.

“ASSALAMMUALAIKUM….”

Muthiah : Teringat tatkala bekerja di bank dahulu. Bilamana memberi salam (kepada sesama Muslim), orang nampak pelik tetapi bilamana orang bersin dan berkata, “Excuse me…” hmmm…
Labels: | edit post
0 Responses