Mengajar/ dakwah melalui teladan (beratur)


Salam. Apa khabar semua? Hmmm… Muthiah sekarang sedang bertungkus-lumus menyiapkan P-SAKM. Baru siap muqaddimah dan mahu berehat seketika. Jadi, Muthiah ambil kesempatan ini untuk menulis blog. Mana tahu, ajal menjemput. Banyak pula yang belum dikongsi atau disampaikan.

Sewaktu Muthiah bekerja di YMH, satu pengalaman berharga yang pernah Muthiah kutip ialah bilamana berpeluang menemuramah mereka yang dikenali. Antaranya ialah Dato’ Harun Din, Dato’ Dr. Khoo Kay Kim, M. Nasir serta Amy Search. Banyak yang Muthiah belajar walaupun tidak terlalu mahir dalam dunia kewartawanan.

Pertama kali menemui Dr. Khoo Kay Kim, Muthiah rasa… ‘teruja bangat’. Sebabnya, papa Muthiah pernah bercerita tentang beliau. Maklumlah, anak didik Prof (Prof. Emeritus). Sesampainya di Universiti Malaya, Muthiah dibawa ke sebuah bilik (pantri), mungkin untuk keselesaan Muthiah (memandangkan bilik Prof. berselerak dengan buku).

Hmmm… yang ingin Muthiah ceritakan di sini ialah bilamana Prof. membukakan pintu bilik (pantri tersebut) serta memberi laluan kepada Muthiah. Awalnya, Muthiah menolak dengan lembut (untuk menghormati Prof. yang lebih tua). Bagi Muthiah, lebih baik mendahulukan beliau memandangkan Prof. bukanlah calang-calang orang. Akan tetapi, Prof. tetap meminta Muthiah jalan dahulu.

Menurut kata Prof., “Pada waktu kecil, saya diajar sebegitu. Saya diajar untuk sentiasa memberi laluan. Namun, situasi kini jauh berbeza. Di kantin, pelajar memotong laluan tanpa rasa apa-apa. Mereka sudah DIDIDIK begitu.”

Tambah Prof. lagi, “Zaman dahulu, kita dididik untuk MENGHORMATI ORANG TUA tetapi tidak zaman sekarang. Nilai sosial tidak lagi dititikberatkan. Ia tidak lagi penting dalam sistem pendidikan. Ibu bapa juga ‘KURANG AJAR’. Sebab itu anak-anak menjadi begitu.”

“… zaman dahulu, golongan muda perlu diajar. Sekarang, mana ada?” tokok beliau menjelaskan frasa ‘kurang ajar’ yang disebut.

Dapat tangkap atau tidak maksud yang tersurat dan tersirat daripada kata-kata Prof.? Fikir-fikirkan dan renung-renungkan… Hehe…

Dush dush. Di sini, Muthiah ingin berkongsi satu cerita yang mungkin dipandang enteng oleh masyarakat umum. Apalah sangat… bukan memberi kesan kepada diri pun? Tidak luak pun? Apa lagi???

Sewaktu Muthiah berbuka puasa di surau, kami perlu beratur untuk mengambil makanan (ala-ala buffet). Panjang juga barisan Muslimat hari itu. Tiba-tiba, datang seorang kakak (yang Muthiah kira usianya dalam lingkungan 30-an) memotong barisan Muthiah. Di belakangnya, 2 orang puteri sedang menuruti.

Muthiah? Muthiah senyap sahaja, tidak berkata apa-apa. Muthiah hanya memerhati tindakan kakak berkenaan. Ia mengambil makanan untuk dirinya dan juga 2 orang anak perempuannya (usia dalam 7 dan 10 tahun, mungkin). Hmmmm…

Apakah pengajaran yang boleh diambil?

1- Tidak mudah menjadi ibu sebenarnya. Ada mata yang memerhati setiap gerak-gerinya. Mata siapakah itu? Ya, tidak lain dan tidak bukan adalah anak-anaknya. Khuatir… kita khuatir akhlak yang tidak baik itu menjadi ikutan kepada anak-anak. Salah siapa?

2- Usahlah memandang enteng sesuatu perkara. Contohnya ialah potong barisan (tidak kira sewaktu mengambil makanan, di bank atau sewaktu ingin menaiki kenderaan awam). Ingat!!! Tidak semua orang boleh redha dengan tindakan jelik kita.

Bayangkan… sekiranya si Polan bin Polan sudah beratur selama lebih 1 jam untuk mendapatkan teksi. Kemudian, kita yang baru sampai terus memotong barisan dan mengambil haknya. Tidakkah zalim namanya itu? (Zalim : Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya). Bayangkan jika Polan bin Polan itu menyumpah seranah diri kita. Bukankah satu doa yang tidak baik begitu?

Bukan itu sahaja… kita khuatir, tindakan tanpa sedar kita itu bisa mengundang FITNAH kepada agama kita. Renung-renungkan… kita berpakaian Muslimah namun… membuang sampah merata-rata, tidak beratur dan banyak lagi. Rasanya, siapakah yang akan dipersalahkan?

Ambil contoh mereka yang memakai tudung tetapi melakukan sesuatu yang dilarang Allah, dibenci masyarakat. Acap kali kita mendengar suara-suara berkata, “Tengok, budak pakai tudung pun buat macam itu. Aku yang tidak pakai tudung…” Manusia ini lupa… yang salah, bukanlah tudung, tetapi insan yang memakai tudung itu (Boleh jadi ia lupa, alpa mahupun jahil). Jadi???

3- Islam itu merangkumi segala aspek kehidupan. Kadang-kadang, kita prihatin terhadap sesuatu perkara tetapi mengabaikan perkara lainnya. Bukankah setiap kita ini pendakwah? Dan dakwah yang paling baik ditonjolkan melalui perilaku dan tindakan. Kita berbicara tentag menghormati orang lain tetapi tanpa sedar kita sebenarnya tidak menghormati mereka yang berada di sekeliling kita. Bukan itu sahaja bahkan kita sebenarnya tidak menghormati diri kita sendiri (dengan menjatuhkan maruah diri).

Justeru… jom kita beratur… Hehehe…

Muthiah : Teringat iklan di dalam radio (kisah seorang budak). ‘Tidak apa membuang sampah ke luar kereta.’ Ia nampak orang di sekelilingnya berbuat demikian. Akan tetapi, timbul konflik dalam diri. Apa yang ia nampak tidak sama dengan apa yang diperkata gurunya, ‘Entah apa yang dilihat betul atau cikgu yang betul???’

.... Oh.... biarkan si luncai terjun dengan labunya...
Labels: | edit post
0 Responses