Maaf ....


Dalam peristiwa pembukaan Mekah, Muhammad bertanya kepada kaum Quraisy, “Apakah yang kamu rasa aku akan lakukan kepada kamu semua?”
Berkata Quraisy, “Kamu adalah saudara yang mulia dan anak kepada saudara kami yang mulia.”
Kata Muhammad, “Kamu semua bebas.”

Begitu mulia pekerti Nabi junjungan, Muhammad SAW. Walaupun disakiti, dimusuhi dan ditentang sekian lama, mereka semua tetap mendapat kemaafan daripadanya.

Bagaimana pula halnya dengan kita yang mengakui membawa perjuangan Nabi? Adakah kita juga mudah memaafkan orang walau diri dihina dan dikeji? Mudahkah kita menguntum senyuman dengan ikhlas di hadapan insan-insan yang pernah membuatkan kita MENANGIS dan KECEWA? Muthiah…. Sukar tetapi… entahlah…

Teringat peristiwa Perang Uhud. Muhammad SAW menangis teresak-esak tatkala melihat mayat Sayidina Hamzah yang dibunuh dengan kejamnya oleh Wahsyi. Bukan itu sahaja malahan hati beliau dimakan manakala telinga dan hidungnya dipotong oleh Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan yang telah bersumpah untuk membalas dendam terhadap Sayidina Hamzah yang menyebabkan kematian bapanya, bapa saudaranya serta abang kandungnya.

Berkata Muhammad SAW, “Demi Allah! Belum pernah aku lalui dalam hidupku sesedih suasana ini.”

….

Hmmm… contohilah Rasulullah. Peribadi baginda terbukti begitu mulia. Akhlaknya tersohor merata-rata. Indahnya Islam dipamerkan melalui kecantikan tingkahlaku baginda yang membawa imej agama tauhid itu sendiri. Nabi SAW tidak berdendam… tidak dan tidak…

Seorang pendakwah perlu MENDIDIK DIRI dengan AKHLAK MULIA. Bilamana ia bergerak sebagai penyebar agama Allah, secara tidak langsung ia mencerminkan apa yang dibawa. Walaupun Islam itu cantik dan indah, akan nampak hodoh lagi jelek disebabkan oleh ketidakprihatinan pendokongnya terhadap agama Islam itu sendiri.

Mereka lupa, titik hitam yang kecil pada sehelai kertas lebih mudah disedari orang berbanding warna putih yang terdapat pada keseluruhan kertas itu. Dengan kata lain, orang lebih mudah melihat kesalahan dan keburukan daripada kebajikan yang kita lakukan.

Orang lebih ingat rasa sakit berbanding kesenangan yang dikecapi. Sepertimana seseorang itu lebih mudah meratapi kesakitan yang dialami sekali-sekala berbanding mengingati nikmat sihat yang telah Allah anugerahkan kepadanya. Ingatlah wahai teman! Kata-kata dusta mengenai kejelekan peribadi kita kan dapat ditangkis dengan akhlak sebenar diri yang tinggi lagi mulia.

Antara akhlak mulia yang harus dimiliki oleh setiap insan ialah sifat PEMAAF. Mudah untuk diperkata tetapi sukar untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi apabila KESAKITAN yang dirasai meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hati.
KEBENCIAN yang meluap-luap menyebabkan syaitan bersuka ria. Sukar untuk tersenyum ekoran dendam yang membara.

Rasa meluat, semuanya ada. Perasaan ini lahir disebabkan rasa marah dalam diri. Sukar untuk mengungkap maaf. Kadang-kadang, rayuan kemaafan sukar diterima. Sehingga ada yang berkata, “Andai parut ini tidak hilang. Sampai bila-bila tak kan memaafkan.”

Nah! Itulah manusia. Sukarnya memberi maaf sedang Allah yang Maha segalanya itu mudah sekali membuka ruang keampunan buat hamba-Nya yang sering lalai kepada-Nya ~ Boleh rujuk artikel bertajuk ‘Akhlak Nabi Junjungan, 28 September 2009,’.
Moga-moga kan dapat memotivasi dan mendorong diri kita dalam melembutkan hati kita untuk memberi kemaafan kepada orang lain.

Udah rujuk? Hehe…

Justeru, janganlah berasa sukar untuk memberi maaf. Maaf itu ibarat sebutir permata yang amat tinggi nilainya malahan lebih berharga daripada itu. Memaafkan orang bukan sahaja dapat menenteramkan hati orang yang membuat silap terhadap kita bahkan boleh melapangkan dada kita. Apabila hati kita bersih dan suci daripada sebarang kekotoran, hidayah kan mudah menyerap dalam lubuk hati kita. Maka, usahlah lepaskan peluang keemasan ini…

Akhir sekali, renung kembali. Kenapa sukar untuk memberi maaf? Letakkan diri kita sebagai pesalah. Lantaran cahaya yang Allah beri, kita menginsafi kesalahan lalu lantas bertindak untuk memohon kemaafan daripada orang yang telah kita aniaya. Tiba-tiba, maaf yang kita harapkan ditolak. Semangat yang berkobar-kobar dalam diri dalam memperbaiki diri mungkin sedikit luntur…

Huhu…bukan mudah untuk memaafkan orang lain tetapi ingatlah, Allah itu sentiasa dekat dengan orang-orang yang bersabar. Ingatlah! Maaf itu sesungguhnya lebih baik. Orang yang gagah itu bukanlah dikatakan orang yang menang di gelanggang lawan (gusti) tetapi ia dikatakan hebat kerana murah memberi kemaafan kepada orang yang menzaliminya.

Maka, siapakah yang mahu kita ikut? Adakah kita lebih mengutamakan keinginan desakan nafsu atau teladan yang ditunjukkan nabi SAW? Seorang teman pernah menyebut, “ Kenapa sukar memberi maaf? Allah yang Maha Esa, diengkari dan tidak ditunaikan hak-Nya masih murah dengan kurniaan-Nya. Inikan pula diri kita sesama manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.”

Muthiah : Berbelit rasanya menulis. Al-maklumlah… lama bercuti… RAYA..
Labels: | edit post
0 Responses