Hati ~ Raja


“Ketahuilah bahawa di dalam badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah badan keseluruhannya. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah keseluruhannya. Ketahuilah! Itulah HATI.” HR Bukhari dan Muslim.

Sukarnya menjaga hati. Kadang-kadang, serasa berhadapan dengan tohmahan persekitaran lebih mudah dihadapi daripada berhadapan dengan persoalan hati. Hati itu sering kali sakit dan berdenyut kencang. Hati yang acap kali dikotori oleh debu-debu dosa yang mencacatkan keikhlasan dalam perjuangan. Hati yang tidak suci menyebabkan perjalanan dakwah terbantut dan tersekat. Begitu lemah hamba ini. Hanya mengharapkan nusrah dan kekuatan daripada-Nya.

Hati! Kebaikan dan kejahatan seseorang bergantung kepada hatinya. Hati adalah pusat yang menerbitkan tenaga perbuatan menurut arahannya, sedang anggota-anggota lain bertindak untuk melaksanakan pekerjaan yang diarahkan dan bekerja sebagai khadamnya. Wah! Begitu hebat kuasa hati.

Hati yang baik menyebabkan seluruh badan menjadi baik. Hati itu sentiasa ingat kepada Allah dan mematuhi segala perintah-Nya. Hati itu takut melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah. Ia hanya mahu melakukan kebajikan agar dirinya diterima oleh Tuhan yang mencipta. Apa yang Allah suka, itulah yang dikejarnya.

Manakala hati yang rosak adalah hati yang dipengaruhi serta dikuasai sepenuhnya oleh hawa nafsu serta syahwat jahat sehingga tidak lagi mengendahkan segala apa yang haram. Dia lupa ada malaikat yang mencatit setiap amal yang dilakukannya. Ia teralpa bahawa Allah itu adalah sebaik-baik Pengawas buat makhluk-Nya. Maka, rosaklah seluruh anggota badan angkara hati yang rosak. Akibatnya, membawa bencana bagi diri dan kehormatannya. Pendek kata, hati adalah raja bagi sekalian anggota.

Justeru, cuba koreksi hati kita. Adakah hati kita tergolong dalam lingkungan hati yang sihat atau pun hati yang sakit? Andai hati kita sihat, jagailah ia sentiasa agar tidak terjerumus bersama-sama hati yang sakit, hati yang mati. Bagaimana mahu mengenalpasti hati yang sihat? Mari kita kongsi bersama. Renung-renungkan… Banyak tanda orang yang sihat hatinya. Antaranya ialah:

i) Hati itu sentiasa mencintai Allah yakni sering mengingati-Nya. Dengan kata lain, setiap perbuatan, didahulukan dengan meletakkan Allah di hadapan. Bak kata pepatah Inggeris, “Where ever you go, what ever you do, always put Allah in front of you.”

Bilamana kita sentiasa meletakkan Allah di hadapan kita dalam setiap tindakan, pastinya kemaksiatan akan dapat kita hindari kerana kita yakin bahawasanya ada yang sedang mengawasi dan memerhatikan diri kita.

ii) Hati yang sentiasa mendorong orang yang memilikinya untuk selalu kembali dan bergantung kepada-Nya. Dia menjadikan Allah sebagai Tuan Punya yang memiliki segala apa di atas muka bumi ini termasuklah dirinya. Allahlah tempat bergantung, Dialah tempat berharap dan kepada Dia juga kita memohon pertolongan serta perlindungan. Firman Allah, “Kepada Engkau kami mengabdikan diri dan kepada Engkau kami memohon pertolongan.” Al-Fatihah ayat 4.

iii) Hati yang fizikalnya berasa letih dalam melakukan ketaatan kepada Allah tetapi hati (sendiri) tidak pernah jemu dalam interaksi itu(antara dia dan Tuhannya). Dia garang terhadap dirinya dalam melakukan ketaatan dan berusaha menghindari kemungkaran yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

Dia tidak mahu yang dicintainya itu tidak senang dengan tindakan yang ia lakukan. Melihat kepada Nabi SAW, beliau sendiri bangun bermunajat kepada Allah sehingga bengkak kakinya. Sedangkan Nabi itu adalah maksum dan terpelihara daripada perbuatan keji dan noda. Sabdanya dalam HR Bukhari, Tirmidzi dan Nasa’i, “Tidakkah kamu suka jika aku menjadi hamba yang selalu bersyukur kepada Allah?”

iv) Hati yang merindukan saat untuk berkhidmat kepada Allah melebihi segalanya. Apabila seseorang merasakan manisnya berinteraksi dengan Tuhannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan ketaatan itu.

Tatkala ia terlupa dan teralpa, pastinya dadanya kan menjadi tidak keruan. Rasa sesak dan sebak di dalam dada hanya Tuhan yang tahu. Muhammad bin Abdullah as-Syibli pernah menyebut, “Jika engkau ingin merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, maka engkau harus garang terhadap dirimu. Apabila engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila engkau berpisah dengan-Nya.”

v) Hati itu akan tenang tatkala mengerjakan solat. Ia lupa permasalahan dunia yang menyesakkan fikiran. Dengan kata lain, hati yang sihat itu akan berasa damai dan tenteram apabila berada dalam solat. Ia tahu bahawa ia sedang berinteraksi dengan Pencipta yang Maha Tahu apa-apa yang terbaik buat dirinya. Sabda Nabi SAW, “Dan jadikanlah mataku sejuk dalam solat.” HR Nasa’i.

vi) Hati itu sentiasa memberi perhatian terhadap kualiti amal berbanding kuantitinya. Ia sering mahu melakukan yang terbaik untuk dihadapkan kepada Tuhannya. Dari semasa ke semasa, ia sering memperbaiki amalannya demi mengharapkan redha Tuhannya. Kata seorang pakar motivasi, “Andai ada 100 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada 50 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada 25 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada 10 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada 5 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada SEORANG umat terbaik, akulah orang itu.”


Teman… Tempatkanlah hati kita pada lokasi hati yang sihat. Hati yang sihat ini, meskipun tidak berjumpa dengan doktor pakar, tetap perlu dipelihara tahap kesihatannya (sentiasa). Mana tahu, kalau-kalau hati itu sedang sakit, nazak atau mahu mati umpamanya. Kena pula penyakit barah. Begitu mudah merebak dengan sekelip mata. Dikhuatiri, kelak akan menyukarkan diri untuk mengubati hati yang sedang tenat itu.

Maka, menjadi kewajiban bagi diri kita untuk sentiasa memelihara kesucian hati. Jangan sampai ia kotor dan usah dibiarkan ia sakit. Pepatah Inggeris ada menyebut, “Prevention is better than cure.”

Jadikanlah hati itu sebagai raja yang baik agar sekalian rakyat kan beroleh kemanfaatan daripadanya. Ingatlah! Hatilah tempat dipusatkan keimanan dan keyakinan terhadap Allah. Maka, janganlah dicemari. Jangan dibiarkan nur Ilahi sukar menembusi dada kita bilamana ia dikotori oleh debu-debu dosa yang merugikan. Sabda Nabi SAW, “Tidak lurus iman seorang hamba hingga lurus (terlebih dahulu) hatinya.”

Ibrahim bin Adham ada menyebut, “Hati orang yang beriman adalah bersih seperti cermin, kerana syaitan tidak dapat memperdayakannya dengan sesuatu, sebab ia lebih dahulu melihatnya. Akan tetapi, apabila ia sekali melakukan dosa, Allah campakkan ke dalam hatinya satu tompok hitam. Kalau ia bertaubat, hilanglah warna kehitaman itu. Andaikata ia kembali berbuat dosa, dan tidak bertaubat, timbullah semula tompokan hitam itu sehingga seluruh hatinya menjadi hitam. Waktu itu, tidaklah berguna lagi nasihat yang diberikan kepadanya.”

Muthiah : Sukarnya memelihara hati...
Labels: | edit post
0 Responses