CC lebih besar daaa…


Assalammualaikum. Hmmm… hendak kata tepu… enggak tetapi mahu merehatkan minda seketika. Sebenarnya, Muthiah dalam proses menyiapkan P-1MRDPU. Muthiah target, dapat siap selewat-lewatnya Jumaat ini. Doakan ya;)

Huhu… sebenarnya, sewaktu pulang berhari raya baru-baru ini, suami telah meminta Muthiah memandu kereta ~ dari Tasik Kenyir ke rumah Muthiah, di Pengkalan Merbau dan dari rumah Muthiah ke Cabang Aring.

Pengalaman manis :

1-Muthiah berjaya memotong sebuah motosikal sewaktu di Pelong. Penunggangnya ~ wanita :) Sepanjang perjalanan, banyak kereta yang pintas Muthiah. Kira rekodlah…
2-Muthiah belajar menggunakan gear tinggi dan gear rendah.
3-Pertama kali Muthiah memandu melebihi 20km/jam ~ dalam 80km/jam. Selalunya, paling tinggi 20km/jam (dekat kawasan rumah).
4-Belajar ~ apa hendak buat apabila berhadapan dengan lubang.

Pengalaman pahit :

Satu sahaja iaitu sewaktu dimarahi tok guru sewaktu di Aring. Bagi sesiapa yang pernah melalui tempat ini, tentu tahu keadaan jalannya. Sudahlah sempit, berlubang-lubang pula. Berbanding di Tasik Kenyir, jalannya besar. Jadi, mudah bagi kereta lain untuk memintas Muthiah tetapi tidak di Aring, jalannya sempit. Hendak dijadikan kereta. Banyak pemandu yang terpaksa stres memandu di belakang Muthiah. Muthiah pun lagi stres sebenarnya.

Jadi, Muthiah cuba memandu lebih laju tetapi tiba-tiba… ada lubang besar dan jalannya pula sempit di hadapan. Dalam kegabraan dan ketidakselesaan, Muthiah tidak dapat mengawal kereta dan akhirnya, kereta yang Muthiah naiki pun mati di tengah jalan (betul-betul dekat lubang). Mujur tidak ada kenderaan lain pada arah bertentangan. Muthiah sudah tidak ada mood untuk drive tetapi tok guru tetap suruh Muthiah pandu. Katanya, “lagi susah, lagi baik.”

Cerita lawak :

Muthiah beritahu suami, “Tengok, semua kenderaan pintas Muthiah. Perlahan sangatkah Muthiah pandu…”

Apabila Toyota pintas, suami kata, “Itu Toyota, cc besar. Sebab itu boleh pintas.” Lega Muthiah. Maknanya, tidaklah teruk sangat pemanduan Muthiah.

Seterusnya, adalah Honda dan kereta-kereta ‘besar’ lain memintas. Jawapan suami tetap sama, “Itu kereta polan, cc besar. Sebab itu boleh pintas.”

Tiba-tiba, ada sebuah kereta yang sama jenis dengan kereta yang Muthiah naiki memintas Muthiah. Muthiah pun berkata, “Tengok, kereta sama pun boleh pintas.”

Suami menjawab, “Kereta sama tetapi enjin berbeza bla bla bla…” Baik… Muthiah boleh terima.

Namun, akhirnya… sebuah motor kapcai pintas Muthiah… Hmmmm… suami tetap memberi alasan yang sama tetapi tidak sama sekali dapat membohongi Muthiah yang sudah nampak kebenaran. Chewah, bahasa…

Inilah serba-sedikit pengalaman manis, pahit dan lawak yang Muthiah harungi sewaktu cuti perayaan baru-baru ini.

Muthiah : Moga-moga selepas ini markah pemanduan Muthiah meningkat. Asyik-asyik bawah 50%. Berilah tinggi sedikit, baru termotivasi.
Labels: | edit post
0 Responses