Mati!!!!
Wednesday, October 07, 2009
Teringat sewaktu berusia lima tahun. Sebelum tidur, mama mendodoiku dengan lagu asmaul husna (nama-nama Allah). Selain itu, mama juga mengajarku zikir-zikir munajat yang tidak kuketahui maknanya. Hmmm… bukan itu sahaja bahkan mama turut mendidikku melazimkan diri memberi salam kepada ahli kubur. Kemudian, menyedekahkan al-Fatihah buat mereka di sana. Mama oh mama. Moga rohnya dicucuri rahmat.
“Siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama anutanmu?...”
Terasa senang soalan di kuburan. Tuhanku Allah, nabiku Muhammad SAW dan agamaku anutanku, Islam. Setelah dewasa, aku berfikir kembali, sesenang itukah sewaktu temuduga yang diajukan malaikat Allah? Maka, boleh kuhafal dari awal lagi. Adakah cukup sekadar menghafal jawapan itu? Tidak!! Tidak sama sekali. Sebenarnya, perlu bekal yang secukupnya.
Jika mahu mendapat 4.0, perlu bersedia dari awal sebelum tiba waktu peperiksaan. Kuliah perlu dihadiri, hendaklah fokus di dalam kelas, mesti menyiapkan tutorial dan membuat pelbagai latihan. Semua ini adalah sebagai persediaan sebelum menempuh peperiksaan akhir. Dengan kata lain, perlu study smart dan tidak study last minute.
Benar, ada yang mampu cemerlang, gemilang dan terbilang meskipun belajar pada saat-saat akhir tetapi tidak semua orang mendapat kelebihan dan keistimewaan itu. Setelah membuat persedian rapi (well prepared), kita sendiri pastinya akan yakin tatkala memasuki dewan peperiksaan. Ditambah dengan keakraban dengan pensyarah yang mengajar. Membolehkan kita mendapat tips yang tidak semua pelajar (lain) perolehinya.
Bagaimana pula persiapan kita dalam menghadapi mati? Adakah kita telah well prepared sebelum berhadapan dengannya? Abul Laits ada menyebut, “Siapa yang yakin akan mati, maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amal yang soleh dan meninggalkan amal kejahatan. Hal ini kerana, tidak seorang pun yang mengetahui bilakah mati itu akan datang kepadanya.”
Maka, bersediakah kita? Atau kita masih ragu-ragu sama ada kita akan kekal hidup di dunia atau akan mati bertemu Tuhan. Ingatlah! Tidak ada sesuatu pun yang kekal di alam fana ini melainkan Allah yang Esa. Kata-kata hukama ada menyebut, “Wahai manusia, dahulu saya bercita-cita. Namun ajal merintanginya. Taqwalah kepada Allah semata. Yang menentukan tercapai tidaknya amalan kita.”
Mati itu pasti cuma tidak kita tahu waktu dan ketikanya. Sampai waktu, nyawa kita akan diambil oleh Dia yang mencipta. Entah bagaimana diri kita waktu itu. Adakah kita mati dalam keimanan atau sewaktu sedang alpa melakukan kemaksiatan? Nauzubillah. Moga Allah melindungi kita daripada azab-Nya.
Salman al-Farisi pernah berkata, “Ada perkara yang menghairankanku sehingga aku ketawa dan ada perkara yang menyedihkanku sehingga aku menangis. Adapun yang membuatkanku ketawa ialah:
i) Orang yang panjang angan-angan dalam hidupnya padahal ia dikejar maut.
ii) Orang lupa terhadap maut padahal maut tidak pernah melupakannya.
iii) Orang yang ketawa padahal ia belum mengetahui sama ada Allah redha terhadap perbuatannya atau tidak.
Sedangkan yang membuatkan aku menangis:
i) Aku akan berpisah dengan sahabat-sahabat dan kawan-kawan.
ii) Memikirkan kelak apabila berhadapan dengan Allah, ke mana aku akan ditempatkan.”
Kita sedar bahawa kita akan kembali kepadanya tetapi kita seolah-olah telah dilupakan oleh tingginya angan-angan dan cita-cita. Kita berusaha mengejar impian sehingga lupa bahawa hidup ini ada batasannya, ada hadnya. Kita terlalai bahawa apabila sampai waktu yang telah ditetapkan, tiada siapa yang dapat membantu kita. Firman Allah di surah Yunus ayat 49 yang bermaksud, “…apabila tiba ajal seseorang kamu, tidak akan terdahulu dan tidak akan terkemudian sedetikpun dari waktu yang telah ditetapkan.”
Kita lupa dengan bekalan yang kita bawa sebelum menempuh peperiksaan yang lebih besar daripada peperiksaan yang ada di atas dunia ini. Sebagaimana kita bersungguh-sungguh untuk mendapat 4.0 dalam peperiksaan, kita juga perlu bersungguh-sungguh dalam mengejar syurga Allah.
Kelihatan, seolah-olah sama pengaplikasiannya tetapi sebenarnya jauh berbeza. Andai kita gagal dalam peperiksaan, kita boleh mengulang kertas (repeat paper) berkenaan. Akan tetapi, dalam berhadapan dengan Tuhan, kita hanya punya dua pilihan. Sama ada kita kan masuk ke dalam syurga atau akan dicampakkan ke dalam api neraka. Jika syurga tempat kita ditempatkan, beruntunglah kita. Akan tetapi, jika nerakalah yang menjadi tempat diam kita, rugilah kita selamanya.
Firman Allah di dalam al-Quran (tidak pasti surah apa), “Setiap jiwa akan mengalami mati dan tidak akan disempurnakan balasan terhadap amal perbuatanmu melainkan pada hari kiamat. Oleh itu, barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia adalah orang yang beruntung. Ketahuilah olehmu bahawa kehidupan dunia ini hanyalah tipu daya yang mempesonakan.”
Mati oh mati. Mereka sering ketawa seolah-olah mati itu tidak akan kunjung tiba. Mereka mengadu domba, memfitnah dan mencela. Di manakah kita meletakkan diri kita?
Sedarlah. Dengan mengingati mati, hati pasti kan tenang. Hati tenang kerana kita tahu hala tuju hidup kita. Kita sedar akan adanya pengakhiran penghidupan kita dan kita punya matlamat yang perlu dicapai. Kita tidak punya masa untuk melakukan kemungkaran yang boleh menghancurkan kita setelah dijemput Tuhan. Kemaksiatan yang menyebabkan Allah tidak memandang kita.
Abu Hamid al-Lafaf ada menyebut, “Sesiapa yang mengingati mati akan dimuliakan dengan tiga macam:
i) Segera bertaubat
.
ii) Tidak tamak.
iii) Rajin beribadah.
Sedangkan orang yang lupa mengingati mati akan terkena penyakit tiga macam :
i) Menunda-nunda taubat.
ii) Tamak dalam mencari rezeki.
iii) Malas beribadah.”
Maka, usahlah kita leka. Bertaubatlah atas kemaksiatan yang dilakukan. Pohonlah keampunan Allah sentiasa. Tidak rugi andai kita rajin membasahi lidah dengan istighfar. Tidak salah andai kita mengorbankan waktu tidur kita dengan solat menghadap Ilahi. Hal inilah yang kelak membantu kita di hadapan Tuhan.
Sesungguhnya, hidup di dunia bersifat sementara. Kita perlu berusaha dalam mengecap kehidupan dunia tetapi jangan sampai dunia melekakan kita dan mendorong kita menjadi seorang yang tamak dan haloba.
Kita mencari rezeki di bumi Allah tetapi tidak pernah mahu membelanjakannya ke jalan yang diredhaiNya. Kita lupa terhadap pengabdikan kepada Tuhan yang Esa. Ibadah itu ditunda-tunda. Kita berkira-kira untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah apabila usia bertambah sedang kita lupa bahawa ajal tidak pernah mengenal umur dan usia. Justeru, renung-renungkanlah wahai teman…
Sumber : Kasmuri Selamat MA, Darul Nu’man, 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat