Salam sejahtera


Pening! Pening dibuatnya. Nak kata tak faham Bahasa Melayu, dilahirkan sah-sah sebagai anak jati Tanah Melayu. Nak kata tak dengar maki cerca, rasanya sudah berbakul sumpah-seranah kutujukan kepadanya. Aku sudah buntu! Buntu aku buntu, sudah tidak tahu apa yang harus kulakukan. Yang pasti, cintaku bukanlah untuknya. Ada insan lain terlebih dahulu mencuri, merompak, merampas hatiku yang sering kali bergelora. Oh, tidak…
“Kau ni apsal Sa? Berkerut dari pagi tadi….” Diam sejenak.
“Bukan-bukan… dari semalam, kelmarin, minggu lepas muka kau macam anak dara tua yang tak laku tetapi kepingin nak berlaki,” sambung Mas. Kawan baikku yang seorang ini memang tidak punya insuran mulut. Apa sahaja yang terlintas di benaknya, itulah yang akan diungkapkan. Kadang-kadang, bikin jiwaku yang sedia panas semakin panas. Aku hanya membisu. Sudah bosan mendengar bebelannya yang mengalahkan Mek Tom Pot Pet yang kerjanya pot pet pot pet.
“Ni mesti pasal budak Nik tu. Apa pula dia buat hari ni?” Suaranya dikendurkan sambil melihat-lihat ke luar tingkap. Lazimnya pada waktu-waktu begini, Nik akan memainkan lagu kegemaranku, ‘Kuucapkan salam sejahtera…’dengan suaranya yang sumbang semacam. Aik, tidak ada pun. Nik masuk ICU ke? Mana mungkin ia tidak melepak bersama-sama teman setianya.
“Pukul berapa sekarang Mas?” Tanyaku tanpa menjawab persoalannya sebentar tadi. Buat apa tanya aku? Aku bukanlah bibik anak Pak Khalid, bukan juga bininya sepertimana yang diwawar-wawarkan. Aku hanyalah seorang gadis yang tidak jelita tetapi comel dan menawan. Hehe… kalau bukan aku yang tekan lif, siapa lagi? Aku tersenyum sendiri.
“Pukul 4.30!” Jerit Mas sambil menepuk bahuku. Inilah Mas Ernie anak Pak Su Noor. Hobinya ialah menepuk bahuku yang tidak bidang. Aku tahu, ia punya cita-cita memiliki anak yang ramai untuk dibelasah sehari-hari namun apakan daya, setiap kali menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki, pasti terputus di pertengahan. Aku pun musykil. Nak kata tak lawa, ada rupa juga walaupun tetap tidak dapat melawan kelawaanku. Nak kata tak ada gaya, kadang-kadang kalah artis-artis karpet merah AIM, ABPBH… entahlah.
“Kau ni khayal la. Kau ingat siapa sebenarnya? Nik ke Sidi? Sampai sakit tekak aku menjerit,” Mas membulatkan matanya yang sedia bulat. Rambutnya yang seakan-akan rambut penyanyi Ezlyn diikat ketat, lebih ketat daripada sebelumnya.
“K k k… aku dengar. Saja nak buat cerdik. Jap, pukul berapa sekarang?” Aku bertanya lagi. Blur sebenarnya.
“Dengar la sangat,” ia mencebikkan bibirnya yang kemerahan. Hai, budak Mas ni sudah mula buat perangai. Nak merajuklah tu. Selain mempunyai hobi luar biasa menepuk bahuku, ia juga gemar merajuk. Mengalahkan adik bongsuku yang bernama Acap.
“4.30,” katanya tanpa memandang wajahku. Matanya melilau-lilau ke luar tingkap. Sah! Dia sedang mencari seseorang.
“Seman tak ada, jam 5.30 baru diorang lepak kat situ. Kenalah solat Asar dulu kalau nak lepak sekalipun,” aku memandangnya sambil tersenyum. Kali ini, sudah hilang rajuknya dan ia turut tersenyum bersama-samaku. Inilah sebuah persahabatan murni, tidak perlu mengambil masa yang lama untuk berlapang dada dengan sahabatnya meskipun kawan yang dekat dengannya itu begitu gemar menyakat dan mengenakannya. Akulah tu…jangan mare. Aku tersenyum sendiri.
*****
ILU…
Sekeping kertas pink terselit di dalam majalah Remaja yang baru kubeli dua hari sudah. Aku tahu, tak lain dan tak bukan ini mesti kerja Nik yang tidak faham bahasa. Bukan itu sahaja bahkan seawal pagi, telefon bimbitku menjerit-jerit membangunkan aku daripada lena. Pabila kuangkat, tiada pula suara yang kedengaran dan tidak sampai seminit selepas itu, sms yang tidak kuundang pula datang menyusul. Niklah tu… sekadar mahu mengucapkan, ‘ILU’ as known as ‘I love you’.
Aku pula, tanpa pertimbangan terus membalas, ‘Pergi blahlah lu…’Lantaklah apa yang ingin ia fikirkan. Aku brutal ka, aku kasar ka atau aku apa-apalah yang penting…jangan! Jangan lagi mengganggu hidupku kerana hatiku diciptakan bukan untukmu wahai Nik anak Pak Khalid.
Semalam, aku menerima sekuntum bunga ros berwarna merah daripada Nik. Katanya, sempena meraikan hari jadiku yang ke-23. Hm… aku pun confuse. Tahun ini, genap usiaku 22 tahun. Tua sangatkah rupaku sehingga ia menganjakkan umurku daripada yang sepatutnya. Bukankah tarikh lahirku telah berlalu beberapa bulan yang sudah? Pabila aku mempersoalkannya, ia hanya ketawa. Katanya, ia tertukar dengan tarikh kelahiran neneknya yang sudah lama meninggal dunia. Huh! Alasan yang sama sekali tidak boleh diterima. Kalau masuk court, sudah pasti kalah.
“Sa, janganlah jual mahal,” katanya sewaktu aku menghantar teh o’ limau ais yang dipesannya. Oh ya, sebelum aku terlupa, bapaku yang bernama Pak Salim dan ibuku yang dikenali sebagai Mak Limah nasi dagang sebenarnya memiliki sebuah gerai makan. Tugasku sehari-hari ialah membantu ibu dan bapaku di gerai tersebut. Kerjaku mudah! Tidak perlu mengopek bawang merah dan tidak perlu juga menyiang ikan, yang perlu kulakukan adalah menghantar pesanan pelanggan.
Nik pula merupakan pelanggan tetap kami. Sehari-hari, dia pasti datang minum petang di gerai makan ibu bapaku. Menu favourite-nya, tak lain dan tak bukan teh o’ limau ais. Kadang-kadang terfikir juga di benakku, tidak bosankah minum air yang sama setiap hari? Aku kira, sejak bapaku membuka gerai makan dua tahun lepas, dalam tempoh itu jugalah Nik akan datang dan memesan teh o’ limau ais.
Eh, sebelum aku terlupa. Ibu Nik juga berniaga. Nak tahu berniaga apa? Jangan terkejut, jangan panik dan jangan pengsan! Ibunya yang dipanggil Mak Jarah nasi kerabu juga membuka gerai makan bersebelahan dengan gerai makan keluargaku. Aku ulang, ‘Sebelah gerai makan keluargaku!’ Ha ha ha… bertuah punya anak. Mak punyalah penat-penat buka gerai makan, si anak teruna pula senang-senang minum di luar. Aku tersenyum sendiri.
“Teh ‘o limau ais RM1.20. Tak mahal pun…” aku diam seketika.
“Minyak naik, gula naik, beras naik… teh ni maintain RM1.20 sejak dari dulu lagi…” diam lagi.
“Buktinya, dua tahun lepas, teh o’ limau ais ni RM1.20 dan hari ini, harganya tetap sama,” kataku tanpa memberi peluang ia bersuara. Aku tahu, Nik akan sedaya-upaya mencari helah untuk mengenakanku. Minggu lepas, ia datang ke gerai makanku untuk membeli gula-gula. Yang menyebabkan aku naik berang, setiap botol gula-gula ditanya harganya tetapi yang dibeli, hanya sepuluh sen. Habis kubazirkan air liurku dan dia pula hanya pandai tersenyum macam kerang busuk. Aku kira, kerang itu sudah bertahun-tahun terperap di situ sehingga bau hapaknya menusuk hidung mancungku.
“Sa…” Nik lebih serius. Mataku direnung tajam. Aku masih lagi mencebikkan bibir yang original merah tanpa sebarang lipstick.
“Nik serius ni. Sa pun dah masuk 23 tahun. Kenalah kawan dengan lelaki. Nanti 24 tahun, nak kahwin kan?” Sungguh-sungguh ia memberi cadangan. Hello cik abang! Umurku baru 22 tahun daaa… kurang asam punya lelaki tua tak handsome yang mengaku macho tapi macam mana dia tahu rancanganku untuk mengakhiri zaman bujang pada usia 24? Ish, mesti Mas punya kerja ni.
“OK…” diam sejenak.
“Boleh…” aku memandangnya sambil tersenyum.
“Boleh blah,” aku dan ia berkata serentak. Mata kami berpandangan. Alamak! Apa pasal jantungku berdegup kencang? ‘Oh Tuhan tolonglah aku…’ bait-bait lagu Perjalanan Duka Min Malik kuungkapkan di dalam hati. Nik pula berlagak selamba menghabiskan minuman kegemarannya. Cepat-cepat aku berjalan menuju ke kaunter. Eh silap, tugasku bukanlah menjaga kaunter. Segera aku ke belakang. Dup dap dup dap…jantungku berdenyut kencang.
*****
“Saliza ya?” Aku ditegur seseorang. Gadis manis itu aku pandang atas bawah. ‘Cantik,’ bisik hatiku. Mesti anak orang kaya. Al-maklumlah, handbag-nya berjenama Polo. Baju pun, ala-ala artis. Boleh jadi best friend Mas ni.
“Ya saya,” kataku perlahan.
“Duduklah dulu,” Ia terus menghulurkan tangannya yang lembut. Ya, jemarinya lembut bak sutera. Tidak macam aku yang kasar bak…. bak apa ya? Apa-apalah, aku sendiri tidak tahu. ‘Cantik handbag, ori ke beli kat Mydin?’ Aku berbisik sendiri. Nakal juga gadis manis bernama Saliza ni.
“Ya,” kerusi plastik berwarna hijau itu segera kutarik. Segan pula rasanya duduk bersama gadis yang nampak educated ini. Macam langit dengan bumi. Sudahlah berjemari lembut lagi halus, mesti guna lotion Johnson & Johnson. Aku pakai juga, lotion asli yang diperbuat daripada kunyit. Adoi, sempat lagi aku mengelamun.
“Saya Marina… Marina binti Tan Sri Baba…” ia diam seketika.
“Tunang kepada Abang Sidi, Nor Hisyaidi bin Dato’ Che Teh,” gadis ini berkata dengan tenang. Sidi mana ni? Adakah Sidi yang dimaksudkan adalah sama dengan Sidi pujaan hatiku… jantung, paru-paru, usus dan ginggalku? Tetapi…
Anak dato’? Bila masa Sidi dilahirkan sebagai anak dato’? Argh! Aku tak percaya. Masakan anak dato’ kerjanya menjaga cyber café di kedai komputer anak Pak Mat Tote. Tidak tidak… aku tidak percaya. Lidahku kelu tanpa suara, tidak tahu apa yang harus kuungkapkan.
“Ini kad kahwin saya dengan Abang Sidi,” Marina menambah sambil menghulurkan sekeping kad berwarna emas kepadaku. Aku kira, kad ini berharga RM5 hingga ke RM10 sekeping. Kalau tempah banyak, mungkin boleh diskaun. ‘Cantiknya, macam kad kahwin Mawi dan Ekin,’ aku berbisik sendiri. Aku masih lagi membisu.
“Sebenarnya, mama dan papa kami yang merancang menyatukan kami berdua…” diam lagi.
“Of course, saya juga sudah punya pilihan hati sendiri sepertimana Abang Sidi,” ia memandang tepat anak mataku.
“Abang Sidi sudah ceritakan semuanya dan saya faham apa yang ia rasai,” kali ini, air matanya mengalir di pipinya yang gebu. Aku menjadi kaget, apakah tujuannya yang sebenar hadir menemuiku?
“Mama saya menghidap kanser payudara manakala papa diancam kanser paru-paru…”
“Cuma satu harapan mereka agar saya dan Abang Sidi bersatu…” air matanya mengalir semakin deras. Aku pula diam membisu. Mungkin juga kaget atau mungkin terkesima dek berita ‘panas’ ini.
“Saya tekad memutuskan hubungan dengan kekasih hati saya kerana saya tahu, tanpa mama dan papa siapalah saya di atas dunia ini,” sambungnya.
“Tapi…” kali ini esakannya semakin kuat kedengaran. Huaaaa, aku pula teresak-esak di dalam hati.
“Abang Sidi tekad untuk tidak menikahi saya dan ia setia menanti awak…”
“Walaupun awak tidak berpelajaran tinggi, saya tahu awak begitu istimewa di hatinya,” jemarinya menggesel-gesel hujung meja di hadapannya.
“Jadi….” Marina mahu meneruskan ungkapannya tetapi dengan segera kusentuh bibirnya yang kemerahan. Alaaa… macam dalam cerita ‘Cinta untuk Ain’ tu. Que Haidar tidak membenarkan Nabila Huda bersuara lantas berkata, “Saya cinta awak… saya cinta awak.’ Oh romatiknya.
Berbalik kepada respon aku kepada Marina, bibirnya yang kemerahan kusentuh perlahan. Eh silap, bibirnya berwarna pink. Mesti gadis ini menggemari warna merah jambu. Kalau tidak, masakan ia memilih menyarungkan kasut, skirt dan baju yang berwarna pink.
Sambil tersenyum, aku menganggukkan kepalaku. Meski perit menerima hakikat ini, aku perlu tabah dan kuat. Biarlah aku yang berundur. Lagipun aku dan Sidi seperti enggang dengan pipit. Terbangnya tinggi menggapai awan dan aku??? Untuk hinggap di atas atap rumah usangku pun belum pasti aku mampu. Maklumlah, sayapku koyak. Hu hu hu… kami tidak sekufu. Mana mungkin aku dapat melayari bahtera kehidupan bersamanya.
Petang itu, aku tidak membantu ibu dan bapaku di gerai. Aku lebih senang sendiri. Izinkan aku menenangkan diriku tanpa gangguan siapa-siapapun. Jam 6.00 nanti, biarlah ibuku pula menghantar pesanan teh o’ limau ais buat Nik. Aku mahu berehat…
*****
“Dah seminggu Sa tak jaga gerai. Pi mana?” Tanya Nik tatkala memesan minuman kepadaku. Aku hanya diam.
“Hari-hari saya datang tapi Sa tak ada. Teh o’ limau ais rasa tak sedap je. Tak macam biasa,” tambahnya lagi. Mahu tergelak dibuatnya tetapi aku tetap berlagak selamba. Selama ini pun, bukan aku yang menyediakan minuman kegemarannya itu. Tugasku hanyalah menghantar minuman tersebut kepadanya. Tiba-tiba…
Tiada secantik bahasamu
Kugubah lalu menjadi lagi
Tidak standing paras wajahmu itu menjadi rindu
…..
Sejauh mana pun berpisah
Kau di hatiku dan kusama
Dalam tidur dalam terjaga kuucapkan salam sejahtera
Aduh aduh, enggak ada perasaan malu bah? Aku memandang tepat anak matanya. Hm… handsome juga. Selama ni, buruk semacam saja. Aku yakin lagi pasti, Maslah yang membocorkan segalanya. Lagu ‘Salam Sejahtera’ nyanyian kumpulan Samudera ini memang lagu favourite-ku sejak aku menjalin cinta dengan Sidi tetapi sayang lagu ini dinyanyikan orang lain buatku.
“Saya beri tempoh satu bulan Sa membuat keputusan. Sudikah Sa menjadi suri di hati saya?” Kata Nik lalu menyerahkan sekuntum bunga ros berwarna merah kepadaku. Di samping bunga itu, ada sebuah bungkusan yang berwarna hijau.
“Bukalah,” katanya.
Tanpa control ayu, segera kubuka bungkusan tersebut. Nah! Satu set VCD Detektif Conan. Aku yakin lagi pasti Maslah yang membocorkan rahsiaku. Memang Shinichi Kudo adalah teman gelapku. Hah! Teman gelap? Tidak tidak tidak.
Aku hanya tersenyum. Meskipun cara lamaran Nik tidak kena pada tempatnya, ia sudah cukup menghiburkan hatiku yang sedang luka. Macam drama swasta dan aku adalah pelakon utamanya. ‘Terima kasih, terima kasih kerana mengundi saya,’ kataku mewakili Dynaz yang memenangi Anugerah Pelakon TV Popular dalam ABPBH baru-baru ini. Aku tersenyum lagi.
“Nak lamar, datanglah rumah…” kataku lalu meninggalkannya terkebil-kebil sendiri. Baru semalam aku terluka tetapi hari ini sudah sembuh. Mujur lukaku tidak lama dan sama sekali tidak meninggalkan parut pada tubuhku. Langkahku terhenti lantas aku berjalan kembali menuju ke arahnya.
“Pas ni, jangan nyanyi-nyanyi macam ni. Kita orang Melayu, kaya dengan adab dan budaya. Kita orang Islam, cantik dengan peraturannya,” aku mengakhiri kata-kataku sambil tersenyum nakal. Setelah dua tahun ia berjaya menyakatku, hari ini tiba masa bagiku untuk mengenakannya kembali. Nik Nik…
‘Andai ada jodoh kita tak akan ke mana-mana... pastikan sempurna harapan bersama…’ lagu ‘Flora Cinta’ nyanyian Min Malik aku nyanyi perlahan.
Labels: 0 comments | | edit post

Tidak Aku bebani ... (Al-Quran)


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa), "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri kemaafan buat kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." Al-Baqarah : 286.

...

Pernah rasa tidak cukup kuat?

Bilamana Muthiah melalui saat-saat yang Muthiah kira Muthiah tidak mampu untuk depani, Muthiah akan baca ayat ini. Muthiah ulang dan ulang berkali-kali. Alhamdulillah, lama-lama... hati menjadi tenang... Bukankah dengan mengingati Allah hati kan tenang? Hehe...

Jadi... percayalah bahawasanya kita tidak sendiri. Allah Maha Dekat dan Maha Tahu...

Aku ~ Hamba Allah (ii)


Sambungan halaqah lepas…

i) Selami ; Apa itu rukun Islam yang lima ~

i) Kita tidak sekadar mengucap kalimah syahadah tetapi memahami maksud di sebalik pengungkapan itu.

ii) Solat kita bukan setakat pergerakan anggota badan tetapi solat itu hadir dari dalam hati. Solat dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Menjadikan diri kita begitu kerdil di hadapan Tuhan. Membuatkan kita berasa takut untuk melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan-Nya.

iii) Puasa kita bukan setakat menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi bisa menjadikan kita insan yang lebih baik di sisi Tuhan serta manusia lainnya.

iv) Bersihkanlah diri dan harta kita melalui zakat. Bukan kerana ilmu semata-mata tetapi penuh dengan penghayatan. Segala apa yang ada pada tangan kita bukanlah milik kita yang mutlak. Itu semua adalah milik Allah. Kita hanya diberi pinjam buat seketika. Ingatlah… milik kita yang sebenar ialah harta yang diinfaqkan ke jalan Allah. Kenapa? Harta itulah yang akan membantu kita pada hari akhirat kelak. Sesungguhnya, kita tidak bisa membawa wang berjuta untuk disumbat bersama jasad kita di dalam liang lahat.

v) Tunaikan haji ke Baitullah….

j) Hayati rukun iman yang enam
i) Yakin dengan kewujudan Allah. Allah yang Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Menghitung dan Maha Segalanya. Jadi, mampukah kita melakukan sesuatu yang dilarang Allah di atas muka bumi-Nya?

ii) Yakin dengan kewujudan malaikat. Ada malaikat yang mencatat segala kebaikan dan keburukan kita. Ada juga malaikat yang akan mencabut nyawa kita. Jadi, masih mahu membuat perkara yang sia-sia? Ke manakah kita mampu pergi/ lari?

iii) Yakin dengan Rasul Allah. Rasul dan Nabi adalah utusan Allah yang telah diberikan wahyu buat mereka. Bilamana kita yakin dan percaya (dengan sepenuh hati), kita tidak akan ragu-ragu untuk mengikuti segala sesuatu yang telah diajarkannya. Perjuangan mereka jelas dan kita mahu menjadi salah seorang yang meneruskan perjuangan umat terdahulu.

iv) Yakin dengan kewujudan syurga dan neraka. Lantas kita kan sentiasa berkejar-kejar untuk memasuki syurga Allah dan berusaha keras menghindarkan diri daripada neraka yang membinasakan. Kita lakukan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Kita benar-benar takut dengan sesuatu pasti tidak kan dapat kita depaninya.

v) Yakin dengan qadak dan qadar. Sesungguhnya, segala sesuatu adalah ketentuan Allah. Redha dan bersabarlah. Allah itu dekat dan Allah Maha Adil terhadap setiap hamba-Nya.

k) Menjaga hak Allah sebaiknya. Apakah hak Tuan Punya alam ini? Hak untuk diabdikan diri. Hak untuk ditaati. Sekiranya kita bertungkus-lumus menjaga hak majikan kita sebaiknya, lebih-lebihlah lagi kita perlu mendahului hak Allah terhadap diri kita.

Hmmm…baiklah…tepu sudah. Kalau ada tambahan/ pembetulan, Muthiah alu-aluakn.

Muthiah : Memikirkan hak terhadap diri sendiri.
Labels: 0 comments | | edit post

Hendak dakwah pun perlu tauliah???


Masih ingat dengan isu ini? Mereka yang menyampaikan kuliah/ceramah tanpa tauliah daripada ‘pihak berwajib yang berkenaan’ telah ditangkap dan bakal didakwa di mahkamah. Gambar dan cerita mereka (yang ditangkap ini) disiarkan di dada-dada akhbar. Aduh aduh… Besar sungguh ‘jenayah’ yang dilakukan. Yang pelik bin ajaib… mereka ini bukanlah melakukan kesalahan menyampaikan ajaran sesat atau terpesong tetapi… BERDAKWAH TANPA TAULIAH!

Huhuhu…

Kes penceraian, zina, khalwat… semakin meningkat.
~ Masih ingat isu sang isteri yang ditangkap khalwat tatkala si suami sedang menunaikan haji?

Kes dera kanak-kanak, bayi, pembantu rumah… diperkata di sana sini.
~ Masih ingat isu si anak kecil yang dibelasah oleh teman lelaki si ibu sedang bapanya berada di dalam penjara?

Kes gejala sosial, sumbang mahram, seks bebas, dadah… hebat diperkatakan.

~ Masih ingat kes buang bayi, bunuh bayi, penangkapan artis (dan didapati positif dadah- oh, ikon??)?

Kes bunuh, rompak, curi, tipu, rasuah…
~ Masih ingat kes anak kecil yang dibunuh/ diliwat tanpa perikemanusiaan, kecurian pasir, bla bla bla?
Kes apa lagi???


Ada sahaja berita yang tidak enak didengar. Kenapa perkara ini berlaku? Tepuk dada, tanya iman. Tanyakan akal yang waras. Fikirkan secara rasional.

1- Kerana kurangnya kasih sayang?
~ Jadi… kasih sayang itu cuba dicari di serata tempat. Malang sekali, tersilap pilih. Akhirnya… hancur punah binasa.

2- Kerana tekanan hidup?
~ Tidak memiliki pekerjaan tetap… menganggur… tidak mampu melalui kehidupan dengan taraf hidup yang semakin meningkat. Ada banyak perut yang perlu diisi. Bil lagi… bayaran pinjaman lagi… PTPTN, kereta, rumah….’ahlong’… Adoi! Buntu. Apa yang harus dilakukan?

3- Kerana cetek ilmu pengetahuan?
~ Ilmu yang merangkumi segala aspek… ilmu semasa hidup di dunia… juga ilmu sebagai bekal untuk hari akhirat.

4- Kerana tidak ada yang mahu ambil tahu? Hidupnya nafsi-nafsi. Kau kau… aku aku…
~ Silap hari bulan, diri sendiri yang dapat susah. Jadi…biarkan dia terus menderita. Tidak pun… hanya pandai menuding jari… Hahaha… Terlupa pula. Satu jari menuding, empat jari kembali kepada diri sendiri. Huhu…

Jadi… apakah solusinya?

Ya! Sampaikanlah kerana mungkin ;

a) Mereka tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu.
b) Mereka tahu tetapi tidak faham.
c) Mereka faham tetapi tidak menghayati.
d) Mereka bisa menghayati namun belum cukup mendalami.
e) Mereka sudah mendalami tetapi kekangan menyebabkan mereka buat-buat tidak tahu dan tidak ambil peduli!

Hmmm…

Boleh jadi mereka tidak tahu bahawa manusia ini dicipta Allah selaku khalifah di atas muka bumi ini. Dan sebagai khalifah, setiap jasad yang mengucapkan ‘Tidak ada Tuhan yang diabdikan diri melainkan Allah’ ini berperanan ;

a) Mengabdikan diri kepada-Nya.
~ Perlu patuh kepada suruhan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang. Allah melarang zina. Allah juga melarang kezaliman. Bukan itu sahaja… segala perkara yang mendatangkan kemudaratan kepada diri dan manusia sejagat adalah dilarang Allah!

b) Menyeru manusia kepada Tuhan dan kebaikan.
~ Inilah peranan pendakwah. Sampaikanlah walau satu ayat. Namun… bagaimana ingin menyampaikan kalau halangannya terlalu ketara? Pelik… pelik… berdakwah tanpa tauliah – ‘diharamkan’ – lagi pelik : BUKAN SEBAB AJARAN YANG SALAH! Minum arak, judi, seks bebas – pejam mata pula? Lebih-lebih lagi apabila melibatkan individu berprofil tinggi. Sememangnya, kini kita sudah berada pada akhir zaman.

c) Memakmurkan alam.
~ Hahaha… Muthiah bagi ruang kepada teman-teman untuk berfikir sejenak (mana boleh suap sahaja sih). Macam mana hendak memakmurkan alam?


Alahai, panjang bangat celoteh hari ini. Gunakan akal yang waras untuk berfikir sewajarnya. Ingatlah… pangkat dan harta yang dimiliki sama sekali tidak dapat menjamin kita masuk syurga. Jadi??? Usah ikut membuta tuli. Banyakkan bermuhasabah.

Renung-renungkan…


Muthiah : Seronokkah dapat menangkap orang yang menyeru manusia kepada Allah? Macam kembali pada zaman jahiliah pula. Mereka yang mengajak kepada Allah ~ diburu… dikejar… dihambat… Hmmm…

Sayang isteri tinggal-tinggalkan…


Tidak sampai sebulan, suami akan mengikuti kursus induksi selama tiga bulan di Melaka. Haiyaaaa… tidak mahu fikir tetapi terfikir juga. Teringat sewaktu suami menghadiri kursus selama dua minggu pada bulan Jun tahun lepas. Mak ai, sedihnya… Tuhan sahaja yang tahu. Bukannya boleh ditahan perasaan ini. Itu baru dua minggu. Ini… tiga bulan!!! (bersamaaan lebih kurang tiga belas minggu)

Pernah ditinggalkan suami demi tugas?
Sedih?
Rasa keseorangan?

Hmmm…. Jadi, apa yang boleh kita lakukan, para isteri sekalian (hehe)?

1- Usah layan perasaan tetapi… macam mana pula kalau emosi ini yang tiba-tiba menerjah? Bukan kita minta pun…

2- Pilihlah untuk redha dan bersedia. Suami pergi bukan untuk suka-suka tetapi demi tugas dan kerjaya. Kalau minda tetap tidak mahu menerima dengan baik, kita akan menyakiti diri sendiri. Membazirkan air mata sendiri padahal tidak ada apa-apa pun. Jadi, berfikirlah secara positif. Caiyok caiyok.

3- Rehatlah sepuas-puasnya. Ha? Apa? Iyalah… tidak lagi perlu berfikir untuk menyediakan makan pagi, tengah hari, petang dan malam buat suami. Tidak perlu lagi bersusah payah membasuh dan menyeterika pakaian suami. Maka, manfaatkan waktu lapang yang ada dengan merehatkan diri dan minda. Alahai, bertuah punya bini.

4- Jaga diri hiasi peribadi. Hmmm… waktu suami tidak ada di sisi. Jagalah maruah diri baik-baik. Tidak melakukan sesuatu yang tidak disukainya. Ketiadaan suami bukan bermakna hidup kembali ‘bujang’. Hidup sememangnya tidak lari daripada tanggungjawab.

Justeru… kuatlah wahai hati. Katakan, ‘Ish… tidak ada apa-apa pun… Baru tiga bulan. Bukan tiga tahun!’

Muthiah : Hehe… peringatan untuk diri…

Qamar Bani Hashim


Muthiah dan suami menonton drama Arab yang berjudul Qamar Bani Hashim di saluran Oasis (106) jam 11.00 malam. Yang seronoknya, sebelum setiap babak dipaparkan, Muthiah akan mengkisahkan jalan cerita yang pernah Muthiah baca melalui buku sirah. Alhamdulillah… sama dan tidak pergi jauh.

Tiba-tiba, Muthiah segera masuk ke dalam bilik. Kenapa?

Huhu… Muthiah mengambil buku Biografi Nabi Muhammad SAW yang pernah Muthiah khatam berkali-kali dahulu.

Suami : Sememangnya cepat memberi respon semasa.
Muthiah : Hehe…
Suami : Agaknya, masa kecil-kecil dahulu, kalau ada iklan anak patung dan kebetulan punya anak patung itu, pasti ambil juga dan tayang depan TV.
Muthiah : Hehe…

Muthiah : Insya-Allah, kelapangan… Muthiah ingin berkongsi tentang sirah ringkas ini di dalam PPBSM ;)
Labels: 0 comments | | edit post

Nur Ilahi

‘Sesungguhnya orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah (Al-Quran), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka dan bagi mereka azab yang pedih,’ An-Nahl : 104.

“Daripada letak gambar motor… lagu yang tidak ada faedah… lebih baik letak gambar-gambar ulama… lagu Raihan ke…” kata Nurul Husna Mansor dalam satu majlis Al-Mulk. Terkesan dengan kata-kata pedas Husna, Marjan bangkit lalu membalas, “Kalau beginilah cara korang berdakwah, jangan harap korang dapat berdakwah dengan bohsia. Amar maaruf nahi mungkar konon. Tak ada maknanya. Pirah…” terus sahaja Marjan meninggalkan majlis tersebut.

Tersirap darah! Entah kenapa ia tidak dapat menerima teguran sinis Husna. Tahulah punya ilmu agama. Tahulah berasal daripada keluarga yang warak tetapi janganlah memperlekehkan orang lain. Cantik apa letak gambar motor. Poster Cagiva Mitto itu Marjan beli di pasar raya Mydin, Klang. Mula-mula, mahu menghiasi locker pakaiannya namun dibatalkan hajat itu apabila teringatkan Kak Maezah yang begitu strict sewaktu spot check dorm. Nasib tidak baik, dirampas poster tersebut.

‘Begini ya orang yang mahir tentang ilmu agama?’ Tanya Marjan sendiri. Menghina dan mengaibkan orang lain tidak tentu hala. Marjan teringat satu ketika sebelum ia diterima masuk ke sekolah agama ini. Ia bertemu dengan seorang gadis yang agak manis dalam penampilannya. Bertudung labuh dengan jubah disarungkan. Alangkah seronoknya andaikata Marjan dapat menjadi sepertinya. Nampak tenang…

Marjan terus menuju ke arah gadis tersebut. Dengan selamba, ia berkata, “Kak, cantik akak pakai macam ni.” Gadis itu memerhatikan Marjan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Dengan jeans lusuh, t-shirt ‘No Fear’… Marjan kelihatan tak ubah seperti minah-minah rempit yang tidak sayangkan nyawanya. Yang membezakannya hanyalah t-shirt yang dipakai. Bukan t-shirt baby. Tidak macho beb!

Gadis tersebut tidak membalas. Segan agaknya. Lebih-lebih lagi Marjan kelihatan agak brutal dengan rambut ala-ala skin. Marjan meneruskan bicara, “Nanti sampai seru, saya pun nak jadi macam akak.” Senyuman sumbang terukir di bibir menantikan balasan gadis comel itu. Ia memandang Marjan sekilas lalu berkata, “Dik oi. Kalau nak tunggu seru, tak dapatlah dik.” Ia berjalan meninggalkan Marjan terkebil-kebil sendiri.

‘Kurang asam punya perempuan,’ bisik hati Marjan. Hilang keinginan untuk menjadi sepertinya. Penampilannya sudah cantik namun kata-katanya mengalahkan aku yang sedia ganas. Terkedu! Lebih baik jadi begini. Tidak kacau orang… orang pun tidak ambil pusing. ‘Aku… akulah jua…’ Marjan menyanyikan lagu Semangat Yang Hilang dendangan XPDC.

Pelik dan ajaib. Beginikah ajaran Islam? Marjan teringat kembali kata-kata Ustazah Maziah yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolahnya. “Islam itu indah. Allah rencanakan yang paling baik untuk manusia mengikuti setiap ajaran dan suruhan-Nya. Kita akan tenang apabila menghayati Islam.”
“Macam mana nak hayati Islam ustazah?” Tanya Marjan.
“Kenal Islam. Tak kenal, maka tak cinta. Macam kamu semua ni. Kecil-kecil dah pandai nak berkenal-kenalan… bercinta-cintaan,” jawabnya disusuli dengan jenaka tersirat. Semua pelajar di dalam kelas ketawa. Tidak terkecuali Marjan yang over acting.

Namun, bagaimana nak kenal kalau tidak ada orang yang nak memperkenalkan? Mahu sahaja berkenalan, ada sahaja halangannya. Ada sahaja yang tidak cantik. Islam itu cantik tetapi kenapa tidak nampak cantik di mata Marjan? Adakah aku yang bersalah? Marjan memerhatikan cermin dalam tandas sekolahnya. Tidak ada apa yang kurang.

Sebelum memasuki sekolah ini, walaupun tidak bertudung, Marjan tidak menggatal… Marjan tidak pernah mengorat. Bukan itu sahaja malahan Marjan rapat dengan semua orang. Keselambaannya menyebabkan ia begitu disenangi. Marjan juga tidak pakai baju ketat. Macam kawan-kawan yang lain. Marjan tidak tinggal sembahyang walaupun ia bukan sekadar melaksanakan sembahyang ‘Subuh gajah’ bahkan sudah jadi ‘Subuh dinasor’. OK lah tu. Sekurang-kurangnya Marjan menunaikan rukun Islam yang lima. Eh, yang keempat dan kelima belum buat lagi. Apapun, Marjan sudah buat yang terbaik.

Memasuki sekolah ini mewajibkan Marjan mengenakan tudung kepala. Bukan sahaja perlu memakai tudung malahan bertudung labuh. Rimas juga pertama kali memakainya. Pakai tudung pendek tidak boleh ke? Ustazah Maziah pun tidak memakai tudung labuh. Yang Marjan ingat, ustazah mengenakan tudung biasa tetapi melepasi paras dada.

“Jauh termenung?” Tegur Kak Wa suatu hari.
“Tak ada apa kak. Tengah fikir kata-kata ustazah sekolah lama dulu,” balas Marjan.
“Apa yang ustazah cakap?” Tanyanya lagi.
“Ustazah cakap, Islam itu cantik tetapi kenapa saya tak nampak kecantikan Islam tu? Semua orang yang ala-ala alim rata-ratanya kasar. Menyakitkan hati. Mahu sahaja saya sepak semuanya. Masa zaman muda-mula dulu, saya pun kasar tetapi tak adalah sampai menyakitkan hati. Kalau tak fikir nak berubah, nak balik sekolah lama rasanya. Jumpa ustazah Maziah yang lembut tu.”
“Sekarang dah tua ke?” Kak Wa mula bergurau.
“Kak Wa ada belikan Marjan buku. Marjan baca ye. Akak kena jumpa Puan Zakiah, nanti kita borak lagi,” katanya lalu mencium pipiku. Ia terus berjalan menuju ke bilik warden.

Aku membelek buku yang diberikan Kak Wa. ‘Sirah Perjuangan Rasulullah dan Dakwah Fardhiah,’ bisikku. Melihatkan Kak Wa, membuatkanku bersemangat untuk mengenali Islam. Meskipun lahir dalam keluarga Muslim, hakikatnya aku masih jauh daripada jalan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah. Aku kira, bilamana aku tidak mengumpat mahupun mengeji, sudah sempurna keislamanku namun Islam itu lebih luas sebenarnya. Islam itu merangkumi segala aspek kehidupan. Semuanya cukup dan sudah diperjelaskan di dalam Al-Quran.

Ketika Nabi SAW sedang sembahyang di Kaabah, datang pembesar Quraisy melihatnya sambil mengejek baginda. Mereka saling mencabar siapakah yang berani meletakkan najis dan darah unta di atas kepala Muhammad. Berkata Uqbah bin Mu’it, “Aku akan melakukannya.” Lalu, ia pun mengambil najis-najis tersebut dan meletakkannya di atas kepala Muhammad tatkala baginda sedang sujud. Rasulullah meneruskan sujudnya tanpa bergerak. Fatimah pula menangis melihat penghinaan serta ujian yang ditanggung bapanya.

Nah! Begitu agung junjungan mulia. Tidak sekali-kali ia mendoakan kemusnahan mereka yang telah menghinanya. Sebagaimana peristiwa di Taif, bilamana malaikat Jibril ingin memerintahkan bukit-bukau serta gunung-ganang memusnahkan mereka yang menghina dan mencercanya, ia berkata dengan tenang, “Wahai Jibril, biarlah aku bersabar dengan kaumku. Semoga Allah kurniakan daripada zuriat mereka orang yang beriman kepada-Nya.”

Inilah Islam yang sebenar. Inilah hakikat Islam. Sepertimana yang dikatakan oleh Ustazah Maziah dan Kak Wa, Islam itu memang cantik. Islam mendidik manusia dengan akhlak dan peribadi terpuji. ‘Alah Marjan. Engkau baru dihina begitu sudah berputus asa dengan Islam. Sedang nabi junjungan diletakkan najis di atas kepalanya. Ia tetap bersabar,’ aku berkata sendirian.

Aku merenung kembali. Islam itu tidak ada cacat celanya. Yang merosakkannya adalah mereka yang tidak tahu tentang Islam yang sebenarnya. Islam tidak mengajar manusia menghina antara satu sama lain. Islam juga mendidik manusia agar sentiasa bersabar dengan apa-apa yang telah ditentukan oleh-Nya. Semua itu adalah untuk menguji keimanan umat manusia. Sesiapa di antara mereka yang sabar, beruntunglah ia. Jika tidak, moga-moga Allah memberi ruang kepadanya untuk kembali mengharapkan nusrah Ilahi.

Seandainya Amirul Mukminin kedua, Saidina Umar Al-Khattab jatuh cinta kepada Islam tatkala mendengar bacaan surah At-Thaha oleh adiknya yang bernama Fatimah, aku pula mula jatuh cinta kepada agama tauhid ini melalui sirah nabawiyah. Perjalanan hidup Rasulullah betul-betul menginsafkan aku. Islam itu kesopanan dan kelembutan. Islam tidak mengajar kita bermusuhan. Namun, perlu teguh mempertahankan hak sendiri. Sebagaimana siri peperangan kaum Muslimin, rata-rata demi mempertahankan hak umat sejagat.

“Marjan dah baca buku yang akak bagi?” Tanya Kak Wa suatu hari.
“Dah kak, tapi tak habis lagi. Terima kasih kak…” aku menjawab sambil tersenyum.
“Kak, dakwah fardhiah tu apa?” Aku bertanya pula. “Marjan tak sempat nak baca. Lagipun, macam susah nak faham buku tu,” tambahku sejujurnya.
Dengan senyuman manis yang tidak pernah lekang dari bibir, Kak Wa berkata ringkas, “Menyeru manusia ke arah kebaikan dengan hikmah.” Ia diam sebentar.
“Nanti, Marjan baca ya. Tak best la akak explain kat sini. Marjan tak faham, Marjan tanya akak. Tak pun, boleh tanya Kak Biah atau Kak Tim,” Kak Wa meneruskan kata-katanya.
“Baik, bos!” Aku berkata sambil tabik hormat.
“Nakal adik akak ya… Marjan, akak nak pergi dorm Kak Ila kejap. Ada hal sikit. Take care,” ia berkata lantas menciumku.

Aku suka Kak Wa. Kelembutan dan kasih sayangnya menyebabkan aku jatuh cinta. Jangan salah faham… aku jatuh cinta kepada Islam. Ia menggambarkan sosok hati seorang muslimah sejati. Kak Wa tidak pernah sama sekali ‘membasuhku’ dengan ceramah yang panjang lebar. Tidak macam Husna… sikit-sikit ayat Al-Quran… sikit-sikit hadis… aku bukannya tahu pun. ‘Menghabiskan boreh jah,’ bak kata orang Nogori. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tindakan Husna yang tidak pernah memikirkan perasaan orang lain menyebabkan aku sentiasa berusaha keras menjauhinya. Khuatir andaikata bom yang terpendam meletup. Siapa susah?

Aku merenung lagi. Kenapakah Tuhan menghantarku ke sini? Bumi waqafan… bumi tarbiyah… Sedang Dia tahu aku bukanlah yang selayaknya untuk sampai ke sini. Aku bukanlah gadis ‘baik’ yang elok penampilannya… cantik tingkahlakunya. Siapa tidak kenal Marjan? Silap sikit, pelempanglah jawabnya. Aku juga tidak menunaikan hak-Nya sebaiknya. Bukankah melengah-lengahkan sembahyang itu suatu dosa sedang aku… bukan sekadar ‘Subuh gajah’ bahkan ‘Subuh dinasor’ lagi. Rasa malu pada diri sendiri. Malu kerana tidak mengenali Tuhan meskipun sudah 17 tahun aku diberi peluang untuk menghirup udara-Nya di atas muka bumi ini.

“Marjan tahu… Walaupun Marjan tidak menyukai bunga, Marjan adalah umpama bunga di taman. Bukan bunga yang terbiar tu tapi yang terpelihara elok. Allah menyayangi Marjan dengan menghantar Marjan ke sini. Agar Marjan dapat menemui Nur Islam yang sebenar. Untuk Marjan mengenali-Nya dan seterusnya jatuh cinta kepada-Nya. Tidak ada yang lebih indah dalam kehidupan ini melainkan apabila kita berjaya memperoleh kemanisan iman dan mengecap cinta Ilahi,” kata Kak Rusni suatu hari.
“ Ya, kak,” kata Marjan pendek lalu meneruskan bacaan Al-Qurannya.

‘Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya,’ Al-Kahfi : 17.
Labels: 0 comments | | edit post

Hadis Arbain (3)


Daripada Abu Abdulrahman Abdullah bin Umar bin Khattab R.A. berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Islam itu didirikan di atas lima dasar : Bersaksi bahawa tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan,’. (HR Bukhari dan Muslim)

….

Banyak yang hafal tetapi sejauh mana kita menghayati rukun Islam?

Tanyakan pada diri :

1- Setakat mana kita menjadikan Allah sebagai Rab dan Ilah kita?
2- Adakah khusyuk solat yang kita kerjakan sehari-hari atau sekadar cukup syarat?
3- Sudahkah kita mengeluarkan zakat? Sedarkah kita bahawasanya zakat itu bisa membersihkan harta-harta kita?
4- Bagaimana halnya dengan ibadah puasa? Adakah berlapar semata-mata atau kita benar-benar menghayati erti ‘puasa’ itu?
5- Terpahatkah dalam hati kita untuk menunaikan haji satu hari nanti?

Fikir-fikirkan… renung-renungkan…

Muthiah : Hmmm… hehe...kurang ada motivasi untuk mulakan kerja…

Aku ~ Hamba Allah (i)


Assalammualaikum. Apa khabar semua? Muthiah? ‘Ala kullihal, Alhamdulillah. Masih seperti dahulu dan dahulu dan dahulu… Hehe.

Kalau sebelum ini, Muthiah ada menulis tentang misi dan visi. Insya-Allah, kali ini Muthiah ingin kecilkan lagi skop misi dan visi tersebut yakni :

Aku ~ Hamba Allah

Apakah peranan kita selaku hamba Allah?

Selaku khalifatullah di atas muka bumi ini, kita punya tiga peranan utama iaitu :
a) Mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah.
b) Menyeru manusia kepada Allah.
c) Memakmurkan alam.

Bagaimanakah caranya hendak mengabdikan diri kepada Allah?

a) Biarlah hidup dan mati ini hanya itu Allah ~ ‘Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam…’ Al-An’am ayat 162.

b) Beribadahlah dengan ikhlas ~ ‘Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus?...” An-Nisa’ ayat 125.


c) Beribadahlah dengan rasa ihsan ~ Beribadahlah seolah-olah kamu dapat melihat Allah. Sekiranya kamu tidak nampak Tuhanmu, yakinlah bahawa Dia sentiasa memerhatikan dirimu.

d) Buat yang Allah suka, tinggalkan yang Allah larang/ benci ~ Tanyakan pada diri, ‘Apakah yang disukai Allah?’ … Kemudian, tanyakan lagi, ‘Apakah yang dibenci Allah?’… Bilamana kita hendak melakukan sesuatu, fikirkan dahulu, ‘Allah suka atau tidak?... Mahukah kita melakukan sesuatu yang dibenci Tuhan?

e) Hiduplah secara wasatiah/ bersederhana ~ Berpada-padalah dalam sesuatu. Usah terlalu mengejar dunia sehingga memudaratkan diri sendiri. Usah terlalu mengejar nama dan pangkat sampai mengabaikan tanggungjawab selaku seorang isteri/suami/ anak/ anggota masyarakat. Redhalah dengan segala ketentuan Allah buat diri kita. Andai kita kaya, usah sekali-kali melupakan mereka yang berada di bawah kita. Sekiranya ditakdirkan kita hidup susah, percayalah bahawa Allah dekat untuk memberi pertolongan kepada kita. Apa yang penting, kita terus berusaha keras dalam menjalani kehidupan yang penuh pancaroba. Kejarlah akhirat... Manfaatkan kehidupan di dunia demi kehidupan yang kekal abadi.

f) Teruslah menuntut ilmu sehingga hujung nyawa ~ Penuhi diri dengan ilmu yang memanfaatkan diri sendiri serta orang lain. Hindari daripada menjadi seorang individu yang tertutup dan tidak tahu apa-apa tentang keadaan di sekelilingnya. Rasulullah SAW bersabda, ‘Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahukan dunia dan akhirat, dengan ilmu.’

g) Sentiasa mengislah diri untuk menjadi manusia yang lebih baik ~ Baik dari sisi peribadi mahupun dalam ibadah. Berakhlak dengan akhlak yang disenangi serta lakukan ketaatan dengan sebaik-baik kepatuhan.

h) Redha dan bersyukur dengan segala sesuatu ~ ‘Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.’ Ibrahim ayat 7.

Bersambung pada minggu akan datang, insya-Allah.

Muthiah : Allah ya Allah…
Labels: 2 comments | | edit post

Kawan Akrab (i)



Assalammualaikum, semua. Apa khabar? Hehe…

1- Sepanjang hidup, adakah kita memiliki kawan baik?
2- Kalau ada… baguslah. Kalau tiada, kenapa?
3- Apakah kelebihan memiliki teman baik?

Alhamdulillah, sepanjang hidup, Muthiah punya kawan yang Muthiah kira akrab dengan Muthiah (walaupun mungkin hanya pada sisi Muthiah dan tidak padanya). Seingat Muthiah, sejak berada dalam darjah satu. Tadika? Huhu… sudah tidak ingat.

Imbasan memori :

1- Sewaktu bersekolah di SRK (2) Kelana Jaya ~ Nana (tetapi sekarang sudah lost contact. Kalau balik PJ, baru jumpa. Itu pun jarang sekali)

2- Sewaktu bersekolah di SK Sg. Tong ~ Ayu (pun sama. Sudah lost contact. Langsung tidak pernah berjumpa lebih-lebih lagi setelah berumah tangga)

3- Sewaktu sekolah menengah :

a) Azmar (sampai sekarang masih akrab cuma sudah berkurangan berbanding sebelumnya)

b) Geng ‘derat’– Su, Yah, Azmar, Ja, Yani (masih berterusan dengan Yah dan Azmar. Yang lain, sejak masing-masing sudah berumah tangga, lost contact)

c) Geng ‘studi’ – Mazni, Mashitah, Bedah, G (Hmmm… bukan kawan berkongsi cerita tetapi kawan studi. Betul? Entahlah… Sekarang sudah lost contact)

4- Sewaktu di matrikulasi :

a) 3A – Afni, Aidah dan Adik [Muthiah sendiri]

b) Rabiah, Ainien

c) Sutera Kasih ~ lagu kegemaran Muthiah waktu matriks dahulu…. (apa punya kaitan daaaa)

5- Sewaktu di universiti

a) FSKTM – Che Su, Nono (lost contact dengan Nono)

b) Kak Ida – kakak yang boleh Muthiah percayai (kadang-kadang berhubung~jarang)

c) Ying Pei – selalu makan dengannya (kadang-kadang berhubung~jarang)

6- Tamat pengajian ~ Kak Aida – kakak angkat tetapi sudah lost contact sejak berumah tangga.

7- Kini dan selamanya ~ Suami tercinta….insya-Allah.

Hmmm…

Kawan baik datang dan pergi. Namun, kehadiran seseorang yang bergelar teman akrab itu sememangnya amat dihargai.

Tatkala berteman :

1- Boleh meluah rasa.

2- Boleh berkongsi cerita.

3- Boleh pinjam duit (ada ka? Hahaha). Jangan lupa bayar daaa…

4- Boleh menghiburkan diri tatkala kesepian/ kesedihan.

5- Boleh pergi mana-mana bersama.

6- Boleh suka/ gembira bersama-sama.

7- Boleh jadi posmen tanpa gaji.

8- Boleh jadi kakak/ adik yang sentiasa peka dan prihatin.

Apa yang telah menjarakkan? Hmmm Bersambung… Tungguuuu…

Muthiah : Pernah jadi posmen tanpa gaji. Hehe.

Peraturan Jalan Raya & Peraturan Allah (ii)


Peraturan jalan raya

Info :

a) Insya-Allah mereka yang membuat peraturan ini sedikit sebanyak telah mahir dan arif tentang jalan raya. Kalau tidak, masakan boleh menentukan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh.

b) Pengguna jalan raya terdiri daripada kita semua.

c) Banyak kemalangan berlaku di atas jalan disebabkan kecuaian pemandu sendiri. Contohnya : Memotong di tempat yang tidak sepatutnya, memandu melebihi had laju, cuai dan lain-lain.

d) Adanya tanda-tanda amaran tersebut membuatkan kita lebih berwaspada dan berhati-hati.

Sesungguhnya, kehadiran papan tanda atau apa-apa yang berkait dengannya sedikit sebanyak membantu Muthiah (serta pengguna jalan raya lainnya) dalam pemanduan. Ia memberitahu secara langsung dan tidak langsung...Apa yang perlu dibuat?

Contohnya : Apabila nampak papan tanda selekoh tajam, secara automatik, kita tahu kita perlu rendahkan kelajuan, turunkan gear kepada gear yang lebih rendah...

Kalau tidak ikut? Selekoh tajam dan Muthiah terus memecut... boleh jadi tersasar ke jalan yang bertentangan. Akibatnya, nauzubillah, kemalangan yang tidak dipinta.

Jadi, untuk menjamin keselamatan... perlu mematuhi dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Kalau hendak cuba nasib... cubalah tetapi...sebaiknya, elakkan sesuatu yang merugikan. Hehe...

Peraturan Allah SWT melalui Al-Quran dan As-Sunnah

Info :

a) Allah merupakan Tuan Punya yang menjadikan alam ini. Tidak ada satu pun yang terlepas daripada penghitungan-Nya.

b) Sebagai Tuan Punya... Allah lebih tahu dengan segala sesuatu yang terdapat di atas muka bumi ciptaan-Nya.

c) Setiap apa di atas muka bumi ini adalah milik Allah. Kita hanyalah peminjam yang sering kali terlupa bahawasanya ada yang lebih berhak ke atas diri kita.

d) Nabi SAW pernah bersabda, 'Kita tidak akan sesat selagimana kita menggenggam erat Al-Quran dan As-Sunnah.'

Berbalik kepada perihal memandu tadi...

Untuk menjamin keselamatan, Muthiah perlu peka terhadap jalan raya. Patuhi peraturan yang telah ditetapkan serta memandu dengan penuh hemah. Muthiah sama sekali tidak boleh menafikan kepentingan papan tanda yang sudah tersedia. Ya! Sememangnya papan tanda tersebut amat penting sebagai penunjuk arah/ jalan dan lain-lain.

Bagaimana pula halnya dengan kehidupan seorang Muslim?

Selaku seorang manusia yang lemah, kita perlu memegang erat tali yang telah tersedia buat diri kita. Apa? AQIDAH. Bilamana kita mematuhi setiap suruhan dan meninggalkan larangan Allah yakni Tuan Punya alam ini, insya-Allah... kita pasti akan selamat, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.

Huhu... Tersampai apa yang ingin Muthiah kongsikan?

Ya...

Setiap ketetapan Allah adalah untuk kebaikan kita sendiri...

1) Kenapa perlu jauhi arak?
- Bisa menimbulkan kecelaruan... otak tidak dapat berfikir sewajarnya.

2) Kenapa perlu jauhi zina?
- Untuk memelihara diri dan keturunan.

3) Kenapa perlu menutup aurat?
- Pasti... insya-Allah, untuk menjaga diri kita juga.

Justeru.... JOM KITA PATUHI SURUHAN ILAHI... Untuk siapa? Untuk diri kita sendiri...

Muthiah : Pena terasa tidak tajam untuk menulis... Huhuhu...

Tension


Assalammualaikum.

Tension?
Kenapa?

Kita hendak belajar tetapi tidak dapat fokus dalam pelajaran.
Kita hendak bertugas tetapi tidak dapat bekerja sebaiknya.

Ada sahaja yang mengganggu fikiran dan hati kita. Ada sahaja yang tidak kena tetapi kita sendiri tidak dapat merungkai 'sesuatu' yang tersembunyi ini. Apa yang kita tahu...

Kita tension...
Kita tertekan...
Kita bersedih hati...


Hmmm... cuba kenalpasti punca...

Ada buat salah?
Ada tersalah cakap?
Ada terburuk fikir?

Atau... kerja bertimbun membuatkan kita terlalu banyak berfikir dan terus berfikir?
Hmmm... Kerja memang banyak tetapi bukan itu persoalannya.

Jadi apa?
Tidak tahu! Tidak tahu! Tidak tahu!

Aduh aduh aduh. Bagaimana Muthiah boleh bantu?

1- Semak hubungan dengan Allah... Beres???

2- Semak hubungan dengan ibu dan ayah... Beres???

3- Semak hubungan dengan suami... [bagi posisi Muthiah selaku seorang isteri]
~ Ada menyakiti hati suami?
~ Ada tidak menunaikan hak suami?
~ Ada membuatkan suami terguris dengan sikap dan tingkahlaku kita?

Ada buat seseorang terkenangkan sesuatu yang pahit? Dan pahit itu datangnya pula daripada kita... Adakah ia telah redha dan berlapang dada? Hmmm...

1- Banyakkan istighfar dan mohon keampunan daripada Allah atas segala kekhilafan kita dalam sedar mahupun tidak.

2- Tunaikanlah hak mereka yang berhak sebaiknya. Percayalah... kehidupan yang kita dambakan tidak akan ke mana andai kita hanya mahu mengejar sesuatu (yang penting) namun dalam masa yang sama mengabaikan sesuatu yang lebih utama. Hmmm... suami contohnya... Huhu...peringatan buat diri sendiri sebenarnya.

3- Sudah minta maaf kalau buat salah? Sudah memaafi kesilapan mereka yang telah menyakiti?

Sudah dan sudah....

Muthiah : Serah segalanya pada penghitungan Allah.
Labels: 0 comments | | edit post

Maafkan aku

“Kenapa mama nangis?”
“Siapa buat mama? Nanti Aman pukul dia.”

Aku terus mengesat air mata yang mengalir. Begitulah sehari-hari. Tatkala aku dirundung duka, Habiburrahman hadir membuatkan aku tersenyum. Dialah penghibur… dialah penyejuk jiwa. Putera bongsuku ini amat bijak memainkan peranannya. Seolah-olah dapat menyelami hati dan perasaanku… seperti ia tahu mamanya ini sedang berdukacita. ‘Sayang anak mama,’ bisik hatiku.

Melayari bahtera kasih bersama insan tercinta merupakan impian setiap manusia. Bilamana akad nikah dilafazkan, berlakulah satu transaksi dalam kehidupan. Keutamaan ketaatan bukan lagi dititipkan kepada ayahanda bonda. Priority kini diberikan buat suami. Suamilah yang menjadi tulang belakang bagi seorang isteri. Itu pasti. Redhanya dicari untuk menuju destinasi yang kekal abadi.

“Sayang, baju ni dah basuh belum?”
“Sayang, kenapa seluar ni berkedut?”
“Sayang, kari ni masam sangat.”
“Sayang, bil air naik bulan ni. Terlebih guna?”
“Sayang…”
“Sayang…”

Entah mengapa. Adakah aku terlalu sensitif? Perasaan ini hadir dan terus hadir. Sesuatu yang tidak pernah kupinta. Begitulah juga halnya dengan baju yang belum dibasuh… seluar yang berkedut… kari yang terlalu masam. Aku cuba lakukan yang terbaik tetapi ada sahaja yang tidak kena di matanya. ‘Maafkan Nur kerana tidak sempurna,’ bisik hatiku lagi.

“Muthiah, apakah perlunya peralatan ini?” Tanya Saidatina Fatimah tatkala melihat segelas air, sehelai kain dan sebatang rotan di samping Siti Muthiah.
“Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini pula kuhidangkan buatnya. Kutahu, ia tentu kehausan setelah seharian membanting tulang mencari rezeki buatku dan anak-anak.”
“Bagaimana pula dengan rotan?”
“Jika layananku tidak memuaskan hatinya, aku rela dipukulnya…”

Terpamer rasa kecewa pada riak wajah isteri kesayangan Saidina Ali tatkala dikhabarkan ada wanita lain yang mendahuluinya masuk syurga. Hebatkah wanita itu sehingga disebut namanya oleh Rasulullah? Namun, setelah bertemu dua mata dengannya, Fatimah berkata, ‘Sesungguhnya kamu layak mendahuluiku dengan ketaatanmu.’

Aku ingin menjadi seperti Siti Muthiah. Wanita agung yang menyenangkan hati suami. Kepatuhannya menjadi penawar duka. Ketaatannya menjadi penyejuk jiwa di samping melahirkan permata hati buat suami sebagai tanda cinta bersatu. Bukan itu sahaja, redha suami kuharapkan terbuka luas buatku. Sesungguhnya, syurga isteri terletak pada keredhaan suami. Itu aku tahu.

Namun… andaikata disediakan rotan, adakah dia akan memukulku? Siti Muthiah dipeluk dengan mesra oleh suaminya, sebagai tanda berpuas hati dengan layanan yang diterima. Penat lelahnya sepanjang hari berbaloi dengan layanan lima bintang si isteri. Bagaimana pula halnya dengan diriku? Adakah Muhammad akan memelukku sebagaimana Siti Muthiah dipeluk suaminya? Bilamana kukenang kari yang terlalu masam, harapanku untuk menjadi seperti srikandi Islam itu luntur sama sekali. ‘Aku tidak layak,’ aku berkata sendiri.

‘Abang, maaf. Baju sudah basuh tetapi masih lembap.’
‘Abang, maafkan Sayang. Terlalu letih melayan Siti dan Aman tadi. Tidak sedar masih berkedut seluar tu.’
‘Abang, so sorry. Siti dan Aman begitu asyik berkejaran di dapur. Risau terkena minyak panas. Terlupa untuk menambah air ke dalam kari.’
‘Abang, Aman tidak mahu mendengar kata. Makin dimarah, makin menjadi. Berlama-lamaan di dalam bilik air.’
‘Abang…’
‘Abang… maafkan Nur kerana tidak sempurna.’

Kringggg… tersentak aku dari lamunan. Deringan jam loceng menandakan aku punya lagi satu jam untuk menyediakan minum petang buat Muhammad. Sekiranya Siti Muthiah menghidangkan segelas air buat suaminya, aku pula mahu melakukan yang lebih baik daripada itu.

‘Mahu buat kuih apa ya?’ Aku berfikir sendiri lantas segera menuju ke dapur. Siti dan Aman pula sedang ralit menonton rancangan kegemaran mereka, Spice Girls. Mujur tidak mengekoriku sepertimana biasa. Sekurang-kurangnya, aku dapat bersiap awal menanti kepulangan Muhammad dari tempat kerja.

“Papa balik… papa balik…” Aman melompat girang.
“Papa, tadi Aman tarik rambut Siti,” tidak sabar-sabar ia mengadu kepada papanya. Memang anak-anakku agak rapat dengan Muhammad berbanding diriku sendiri.

Siti pernah berkata, “Mama macam mama Shin Chan.” Aku tersenyum sendiri, Muhammad pula tergelak-sakan tatkala mendengar kata-kata Siti. Garang sangatkah diriku? Sepanjang hari aku bersama mereka dan sepanjang waktu itulah aku melihat kenakalan mereka. Pening kepala dibuatnya.

Aku berjalan menuju ke arah Muhammad lalu kucium tangannya sebagaimana biasa. Seperti kelaziman juga, Muhammad mencium dahiku. Namun, kali ini ia nampak tergesa-gesa. Ada urusan lainkah?

“Abang keluar dulu. Ada appointment dengan client,” kata-kata Muhammad merungkai persoalan yang terlintas dalam benakku.
“Abang pergi dengan siapa?”
“Em…” diam seketika.
“Abang pergi dengan Zaliza, staf baru tu,” jawabnya lantas meninggalkan aku terkebil-kebil di muka pintu.

Kulihat air teh ‘o limau di atas meja. Kuih cek mek molek yang kugoreng pun tidak diusik. Muhammad pulang sekadar untuk mengambil failnya yang tertinggal. Rupanya staf baru tersebut sedang menunggunya di dalam kereta.

Aku memandang dari jauh. Kulihat Aman dan Siti begitu asyik dengan coklat yang baru dibeli Muhammad. Cantik sungguh perancangan Tuhan. Dia tahu aku ‘keletihan’ hari ini. Jadi, Dia memudahkan aku dalam menguruskan putera-puteriku. Benarlah janji-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 286, ‘Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya,’.

“Abang… sampai bila-bila kita kena macam ni ya?” Aku berkata suatu hari.
“Iya sayang. Sampai tua kita akan begini…” Muhammad menjawab.
“Kita akan berada dalam mood honey moon sampai bila-bila,” tambahnya lagi.

“Mama… Aman nak ambil semua,” jeritan Siti mengejutkan aku daripada lamunan. Terkenang saat-saat awal perkahwinan kami. Aku beruntung kerana bertemu jodoh dengan calon pilihan hati. Tidak seperti teman rapatku, Aida. Terpaksa kahwin paksa!

Sedih mengenangkan nasibnya. Tidak dapat aku bayangkan… terpaksa menyerahkan diri kepada insan yang tidak disukainya. Kudengar, bapanya kuat berjudi. Akibat mahu melangsaikan hutang dengan cara yang paling mudah, ia nekad ‘menjual’ anak sendiri. Benarlah, amaran Allah pasti ada hikmahnya, ‘Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya minum khamar, berjudi, berkorban (untuk berhala), menilik nasib dengan anak panah adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka, jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan,’ Al-Maidah ayat 90.

Aku berjalan perlahan ke arah Aman. “Papa tak ada, nakal ya?” Kataku lantas mencium pipinya.
“Mama, nak dukung. Mama tak dukung Aman lagi hari ni.”
“Mama tak sihat sayang. Nanti, baby sakit,” pujukku lantas meletakkan tangannya pada perutku yang semakin membesar. Insya-Allah, lagi lima bulan aku akan melahirkan anak yang ketiga. Gembira rasanya menantikan saat itu tetapi… mengenangkan sikap Muhammad yang semakin berubah, menyebabkan aku pilu sendiri.
“Sayang baby,” kata Aman lalu mencium perutku.
“Aman jangan nakal-nakal ya. Nanti baby marah. Aman nak kawan dengan baby kan?”
“Ya…” Aman menjawab dan terus menonton TV bersama-sama kakaknya, Siti Muthiah.

“Pukul 7.00 mandi ya,” kataku lagi kepada Siti dan Aman lalu menuju ke meja makan. Hatiku kembali sebak. Kulihat air dan kuih yang belum disentuh. Malam tadi pun Muhammad tidak makan, kenyang katanya makan bersama client. Tidak terkecuali staf baru yang bekerja bersamanya. Hati seorang isteri semakin sayu.

Meskipun aku tahu Muhammad bekerja keras mencari rezeki buat kami anak-beranak, hatiku tidak dapat membuang perasaan sedih tatkala mengenangkan dirinya dengan wanita tersebut. Mereka naik kereta bersama berdua-duaan? Jika mereka perlu berjumpa client pada waktu malam, bermakna mereka…

Muhammad pula, pulang ke rumah dalam keletihan dan terus tidur. Satu ketika dahulu, Muhammad pasti mencium pipi putera-puteri kami sebelum memasuki kamar tetapi kini, rutin tersebut semakin dilupakan. Dia juga tidak lagi bercerita denganku tentang aktivitinya pada hari tersebut. Aku bukanlah queen control, sekadar untuk merapatkan hubungan suami isteri dengan berkongsi rasa. Aku pula begitu bersemangat dengan cerita anak-anak kami yang semakin membesar.

Fikiranku melayang lagi. Kenapakah kamu hadir Zaliza? Ditambah dengan tempelan baby pada rahimku sering membuatkan emosiku tidak stabil. Muntah-muntah perkara biasa. Memang Muhammad mahu mencarikan aku pembantu rumah untuk meringankan kerja-kerjaku namun aku lebih gemar melakukannya sendiri. Aku berasa puas dapat membesarkan anak-anakku sendiri… membasuh baju… memasak… mengemas rumah untuk suami. Aku puas apabila melihat Muhammad tersenyum senang. Senyuman itu kelak dapat membantuku masuk syurga kelak, insya-Allah.

Tetapi kini, sukar untuk melihat senyuman Muhammad. Mungkin letih dengan kerjanya yang semakin bertambah. Dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Pemasaran membuatkan aku dan Muhammad tersenyum girang. “Rezeki anak,” kata kami serentak. Namun, semakin tinggi jawatannya … semakin besar gajinya … semakin jauh pula daripadaku. Ia seolah-olah berubah. Muhammad bukanlah seperti Muhammad yang pernah kukenal. ‘Sibuk… sibuk… sibuk…’ bentakku sendiri.

Aku tidak kisah hidup sederhana asal dapat mengembalikan Muhammad yang dahulu. Aku tidak kisah andai kami masih menaiki Kancil SE (Special Edition) asal dengan kereta itu kami dapat dating bersama. Boleh dikira dengan jari berapa kalikah aku menaiki kereta Honda yang baru dibelinya. Kadang-kadang aku terfikir sendiri, ‘Kecil itu lebih baik.’ Rumah kecil… kereta kecil dan segalanya wasatiah. Biarlah tidak bermewah-mewah asal kebahagiaan yang pernah kukecapi bersama Muhammad kembali ke pangkuanku.

“Abang, balik makan petang ni?”
“Maaf Sayang. Hari ini, Abang ada appointment lagi. Abang makan di luar.”
“Dengan Zaliza lagi?” Aku bertanya. Diamnya membuatkan aku menangis sendiri. Aku sudah tidak mampu untuk bersuara.

Tidak salah berpoligami andai mampu dan sememangnya Muhammad tergolong dalam golongan yang berkemampuan tetapi begitu sukar bagiku untuk menerima hakikat hidup bermadu. Aku tidak sanggup! Tidak sanggup berkongsi kasih dengan wanita lain. Sebagaimana aku hanya mahu menyerahkan cintaku buat Muhammad, bukan Muhammad sahaja bahkan putera-puteriku jua, dan tidak terkecuali buat Allah dan Rasul-Nya yang banyak memberi kekuatan spiritual buatku. Terdetik rasa bersalah dan berdosa dalam diri. Aku khuatir andai aku telah menidakkan hukum Allah tanpa aku sedari.

“Sayang sabar ya. Insya-Allah semuanya akan selamat,” kata Muhammad tatkala menghantarku ke wad kecemasan. Kulihat mukanya pucat. Aku tersenyum melihat wajah itu. Sudah lama ia tidak menunjukkan rasa prihatin terhadapku. Bagus juga sakit begini. Aku tersenyum ceria namun tidak mampu untuk berkata-kata. Aku mahu gagahkan diri tetapi kudratku tidak mengizinkannya.
“Abang…ampunkan segala dosa Sayang pada Abang. Halalkan makan minum Sayang,” aku bersuara tersekat-sekat. Kulihat air mata Muhammad mengalir. Sudah lama ia tidak mengalirkan air mata buatku. Aku tersenyum lagi.
“Abang redha pada Sayang ya,” tambahku. Aku ingin bersuara tetapi suara itu tidak terkeluar dari kerongkong.

“En. Muhammad, kami tidak punya pilihan dan kami perlu melakukan pembedahan agar bayi tidak lemas. Kami akan berusaha untuk menyelamatkan keduanya. Penyakit asma yang dihidapi Puan Nur agak kronik. Kita perlu banyak berdoa…” diam sebentar.
“Dan tidak ada yang musthail bagi Tuhan,” sambung Dr. Samsiah. Muhammad sekadar diam membisu.

Terdengar tangisan bayi di dalam bilik pembedahan. Muhammad lega. ‘Terima kasih Sayang,’ bisik hatinya. Ia bangun menuju ke pintu bilik tersebut.

“Tahniah En. Muhammad, Puan Nur telah melahirkan seorang anak lelaki,” beritahu Dr. Samsiah namun ia terdiam seketika, mukanya berkerut.
“Maafkan kami…” diam lagi.
“Kami tidak dapat menyelamatkan Puan Nur. Beliau kehilangan banyak darah,” tambahnya. Doktor muda itu kelihatan ragu-ragu untuk berkata-kata.
“Kami dapati, Puan Nur ada menggenggam sekeping kertas. Mungkin kertas ini untuk En. Muhammad,” sambung Dr. Samsiah lantas menyerahkan sekeping kertas berwarna pink kepada Muhammad.

Terdiam dan kelu… Muhammad mengambil kertas tersebut lalu membuka lipatannya…

Abang…
Sayang rindu saat kita makan bersama… dating bersama… berbual bersama…
Sayang rindu saat Abang menolak kereta Kancil kita yang kehabisan petrol…
Sayang rindu dengan senyuman Abang… jenaka Abang…
Maafkan Nur kerana tidak sempurna…

Muhammad tertunduk sayu. Ia tidak dapat mengawal air matanya lantas menangis teresak-esak. Razi, suami Zaliza menghampiri Muhammad lalu memegang bahunya.
“Bersabarlah,” katanya.
Muhammad memandang sekeliling. Semua mata memerhatikannya. Ia melihat Zaliza bersama salah seorang anaknya yang menghidap penyakit sindrom down turut sama mengalirkan air mata.
Labels: 1 comments | | edit post

Ayat 1000 dinar


At-Thalaaq

(2) …. Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

(3) Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

….

Justeru, mohonlah sesuatu kepada Allah dengan penuh takwa dan sabar. Allah lebih tahu apa-apa yang tidak kita ketahui.

Muthiah : Sabar ialah ubat kesengsaraan.

How to start? (iii)


4- Langkah awal yang boleh dilakukan :

a) Hmmm… banyakkan membaca. Bacalah apa sahaja (Terutama apa-apa yang berkait dengan apa yang kita hendak tulis. Adoi, bahasa!). Sekurang-kurangnya, kita dapat belajar sesuatu daripada apa yang kita baca. Gaya bahasa, corak penulisan dan pasti… ilmu yang bermanfaat. Kalau malas… buatlah berdikit-dikit. Pupuk minat membaca dan jadikan sebagai satu hobi bagi mengisi masa-masa senggang kita.

b) Mulakan menulis. Kita hendak menulis tetapi tidak cuba untuk menulis. Apapun, menulislah dahulu. Tulis apa sahaja yang mahu kita coretkan. Dari situ, kita akan nampak kelebihan dan kekurangan kita dalam penulisan. Baiki yang kurang, perbaik yang sedia baik. Bandingkan dengan penulisan yang sedia ada. Cari di manakah kurangnya.

Hmmm… apa yang pasti, usah sekali-kali berputus asa bilamana kita merasakan hasil penulisan kita tidak memuaskan hati kita sendiri. Orang lain apatah lagi. Cuba lagi dan terus cuba. Mungkin tahun pertama kita masih tidak mahir menulis. Kita tidak dapat menterjemah apa-apa yang berada di dalam hati dan pemikiran kita tetapi siapa tahu… sepuluh tahun mendatang kita bisa menjadi penulis mapan yang bisa menjentik hati sesiapa sahaja yang membaca tulisan kita. Usaha dan terus usaha. Kemudian, serahkan semuanya kepada Allah.

c) Rajin. Dengan kata lain, tidak malas. Kalau kita mahu, tetapi malas… tidak akan ke mana. Kena kuatkan hati membuang sifat malas itu. Malas membaca… malas menulis… malas bertanya… semuanya akan membuatkan kita tidak dapat bergerak ke hadapan.

d) Tidak berputus asa. Ya… sedangkan baby bermula dengan meniarap… merangkak dan kemudian bertatih perlahan-lahan. Bukannya sekelip masa. Ia mengambil masa. Namun, disebabkan mahu berjalan sepertimana ibu dan ayahnya, si anak kecil berusaha keras untuk berjalan. Ia jatuh tetapi cuba bangun kembali. Akhirnya, ia mampu berjalan bahkan berlari.

Begitu juga kalau hendak menulis. Sama sekali tidak boleh berputus asa dan berasa kecewa apabila tidak mencapai matlamat dan cita-cita. Cuba lagi. Jadikan kegagalan awal itu sebagai satu peluang untuk lebih berjaya pada masa hadapan. Hmmm… bukan gagal pun sebenarnya. Lebih baik jika dikatakan ~ Belum tiba masanya lagi untuk mengecap jaya. Akan datang… insya-Allah.

Hmmm… apa lagi, ya? Haha… Muthiah pun tidak berapa arif sebenarnya. Apapun, moga-moga coretan Muthiah ini sedikit sebanyak dapat memotivasikan teman Muthiah yang punya keinginan untuk menulis itu.

Muthiah : Kadang-kadang, terlalu tepu untuk menulis. Oh, Tuhan tolonglah…

L @ XL @ XXL @ XXXL (iv)


Assalammualaikum.

Hmmmm... bilamana Muthiah masuk KISAS... corak pemakanan sudah mula berubah. Al-maklumlah, duduk di perantauan (haha... macam belajar di luar negara pula. Betul, Hanim?). Walaupun makan 5 kali sehari, faham-faham sahajalah kehidupan di asrama. Tambahan pula, bertemu dengan sahabat-sahabat Islamik yang selalu berpuasa Isnin dan Khamis. Jadi, terikut-ikut juga meskipun waktu itu tidak berapa jelas dengan niat berpuasa.

Alahai. Buat karangan Bahasa Melayu pula. Bagaimana untuk mengurangkan berat badan? Hmmm... mungkin ada cara yang lebih baik atau praktikal tetapi di sini, Muthiah kongsikan corak pemakanan Muthiah dahulu... Hehe...sekarang... entahlah... huhu...:

1- Makan mengikut waktu yang sepatutnya ~ Muthiah makan banyak (tidaklah melampau-lampau) tetapi ikut waktu. Elakkan makan pada tengah malam. Kalau boleh, ambillah makan malam sebelum jam 8.00.

2- Kurangkan minum minuman bergas ~ Sememangnya Muthiah kurang gemar minuman bergas. Kalau minum pun, mungkin 100 Plus. Hmmm... sebenarnya, bukan sahaja minuman bergas tetapi minuman manis (kandungan gulanya tinggi).

3- Kurangkan makan junk food ~ Ada orang, suka mengunyah sewaktu menonton atau mengulangkaji tetapi tidak Muthiah. Kadang-kadang, memang buat namun tidak dijadikan amalan.Iyalah. Mana tahu... sudah berbungkus-bungkus makanan ringan yang masuk dalam perut kita. Kita pula tidak menyedarinya kerana ralit.

4- Kurangkan makan makanan berlemak/ berminyak ~ Huhu... Muthiah cuba amalkannya. Cuma apabila hendak masak tumis merah, lazimnya Muthiah suka guna minyak banyak (ikut petua orang tua).

5- Minum air suam ~ Dapat menyegarkan badan lagi.

6- Banyakkan berjalan ~ Kalau hendak tahu, sewaktu Muthiah belajar di UM, Muthiah akan berjalan setiap hari dari KK1/ Vista Angkasa ke FSKTM. Bukan dekat. Dalam 30-45 minit juga. Bukan apa... malas menunggu bas yang kadang-kadang tidak dapat naik.

7- Banyakkan bersenam ~ Huhu... sekarang Muthiah kurang bersenam tetapi insya-Allah akan diusahakan sedikit demi sedikit. Risau juga bilamana suami mengatakan bahawa Muthiah semakin berisi. Suami kata, yang menjadikan berat badan kita naik ialah bilamana kita kurang beraktiviti. Ada orang, makannya banyak tetapi banyak bergerak ke sana ke mari. Jadi, makanan tadi boleh terbakar dengan sendiri. Kalau makan dan duduk dan tidur... nampaknya...

8- Makan sedikit tetapi kerap ~ Hmmm... petua daripada seorang teman. Dia makan cukup sedikit tetapi berkali-kali. Alahai, Muthiah boleh ikut bahagian 'belakang' (kerap), hehe... jadi 'Makan banyak dan kerap.' Adoi.

Apa lagi, ya?

Cukuplah buat masa ini. Kalau ada cadangan/ petua lain... bolehlah kongsi bersama ;)

Selamat mencuba...

Muthiah : Lapar sih...

Peraturan Jalan Raya & Peraturan Allah (i)


Assalammualaikum.

Huh... Sibuk bangat Muthiah hari ini. Banyak pula kerja yang tertangguh.

1- 4 kes (hehe). Macam kaunselor lak.
2- P-SI
3- C-bulanan

Moga-moga kan dipermudahkan urusan dan perancangan.

Hmmmm...

Balik Raya Cina baru-baru ini, Muthiah dan suami bertolak dari Taiping ke Pasir Mas seawal jam 5.00 pagi. Yang seronoknya, hehe... Muthiahlah yang menjadi 'pemandu'. Yang lagi menyeronokkan, kebiasaan perjalanan dari Taiping ke Kelantan lazimnya mengambil masa selama 5 jam tetapi apabila Muthiah drive, jadi 8 jam. Salah siapa? Hmmm...tidak ada salah siapa-siapa. Berhenti makan di Tasik Banding 1 jam, berhenti jalan-jalan di Bukit Bunga 1 jam dan berhenti jenguk Masjid Beijing 1 jam. Cukuplah 3 jam...

Coretan kali ini...

Apabila memandu di jalan Gerik (pada awal pagi pula)...jalannya :

1- Naik turun bukit.
2- Banyak sangat selekoh.
3- Gelap.

Menggerunkan... lebih-lebih lagi, Muthiah masih baru dan tidak mahir memandu. Rasa takut... risau... maklumlah, Muthiah ada 'bawa' 1 nyawa bersama Muthiah.

Jadi, selain membaca doa menaiki kereta di samping bacaan-bacaan lain... satu lagi perkara yang membantu ialah papan tanda yang tersedia serta garisan putih pada jalan. Boleh gambarkan apa yang Muthiah sampaikan?

Hmmm... Tatkala berada dalam situasi begini, apakah yang perlu kita lakukan?

1- Fokus pada pemanduan.
2- Beri perhatian pada papan tanda. Contohnya, kalau ada papan yang menunjukkan selekoh tajam, kurangkanlah kelajuan. Begitu juga pada garisan dua (double line), mana boleh memotong di sini!
3- Tenang dan tidak gelabah. Terutama apabila bertembung dengan lori/ bas besar.

Dalam pada ini, Muthiah terfikir... antara peraturan jalan raya yang perlu Muthiah ikuti serta peraturan Allah yang telah ditetapkan kepada Muthiah dan seluruh umat manusia lainnya.

Hmmm... setiap apa yang telah Allah tetapkan untuk kita, sebenarnya adalah yang paling baik untuk diri kita....

Bersambung ....

Muthiah : Balik kampung oo balik kampung..

Di sebalik tarikh


Assalammualaikum. Pagi tadi, Muthiah menerima sistem pesanan ringkas daripada Mama. Tazkirah ringkas yang boleh difikirkan. Hmmm… sesuatu yang boleh direnung-renungkan…

27/11/2009 ; JUMAAT – Hari Raya Aidil Adha

18/12/2009; JUMAAT – Tahun Baru Hijrah

25/12/2009; JUMAAT – Hari Natal (Krismas)

01/01/2010; JUMAAT – Tahun Baru Masihi (2010)

26/02/2010; JUMAAT – Hari Keputeraan Nabi SAW

02/04/2010; JUMAAT – Matinya Yesus Kristus

28/06/2010; JUMAAT – Hari Wesak

27/08/2010; JUMAAT – Nuzul Al-Quran

10/09/2010; JUMAAT – Hari Raya Aidil Fitri

05/11/2010; JUMAAT – Deepavali

Dan…

Muthiah : Takut mengenangkan hari pembalasan. Bersediakah aku? Hanya mengharapkan rahmat daripada Allah SWT.
Labels: 0 comments | | edit post

Bezday Card (26/02)



Kad ini dedikasi daripada adik Muthiah di Kolej Kediaman Pertama. Cantik dan kreatif, bukan?



Yang ini, kad pemberian teman-teman serumah di Vista. Muthiah dapat cawan. Terima kasih Che Su, Kak Nik, Kak Ila dan Kak Ina…



Pemberian Shida (PCM). Terima kasih, adikku ;)


Muthiah : Pernah punya pengalaman… memberi hadiah kepada seseorang (hadiah tersebut Muthiah buat sendiri) tetapi hadiah itu disimpan merata-rata. Mula-mula, kecil hati juga tetapi lama-lama, sudah OK.
Labels: 2 comments | | edit post

Wasilah

Kringgggggg…
Aduh, 5.30 pagi!!! Beratnya kepala… beratnya kaki… beratnya tangan. Asal jangan tambah berat badan, sudah. Baru-baru ini, BMIku berada pada kedudukan yang selamat. Alhamdulillah, maintain slim gitu.

Dalam kemalasan, aku gagahkan diri untuk bangun. Aik, tidak gerak-gerak. ‘Bangunlah… bangunlah…’ Aku memujuk diri. Banyak perkara yang perlu aku bereskan. Report ‘A’ belum siap lagi. Report ‘B’ pula menanti. Pada peringkat awal, aku sering membawa pulang kerjaku ke rumah. Namun, setelah di ‘basuh’ oleh bapaku, aku sekadar membuat kerja sebagaimana yang telah diamanahkan ke atasku. “Kakak hanya dibayar gaji untuk bekerja dari 8.30 pagi sehingga 5.30 petang,” begitulah leteran ayahku setiap kali aku merungut dengan kerja yang tiada tanda mahu surut. Bertambah sehari-hari. Pening aku dibuatnya.

Bebanan kerja bertambah… masa kerja meningkat… hanya gaji yang tidak mahu naik. Sudah tahu kerja banyak, tambahlah pekerja. ‘Tak luak pun duit company menggaji budak SPM,’ marahku. Setakat marah dalam hati. Maklumlah, aku sekadar kuli yang dibayar gaji oleh majikan. So, please shut up! Aku tidak punya hak untuk bersuara…

Benar, kadang-kadang aku membebel sendiri. Akulah buat kerja admin… aku juga yang menjadi orang HR… kerja marketing pun aku sapu. Kalau diikutkan, memang multi-tasking. Semua aku boleh buat. Eh, ada satu perkara yang aku tidak mampu buat. Aku tidak pandai membodek bos. Mungkin sebab itulah gajiku tidak naik-naik sampai sekarang. Nasib badan… Beruntunglah mereka yang pandai mengipas. Moga-moga, suatu hari aku dapat belajar cara mengipas yang paling baik dan berkesan. ‘Dengan siapa agaknya?’ Aku mula berfikir sendiri.

“Nurul, jangan lupa bayar bil telefon. Nanti, dipotong pula talian telefon kita. Susah nak deal dengan customer,” pesan bosku suatu hari. Aku sekadar memandang tanpa reaksi. ‘Aku kuli,’ bisikku dalam hati.

“Nurul, pastikan invois kepada syarikat di pantai timur diletakkan di atas meja saya sebelum lunch,” pesannya lagi. Mataku berkelip-kelip. ‘Aku kuli,’ aku berbisik sekali lagi.

“Nurul, air Tongkap Ali sudah habis…”
“Nurul, duit claim bila boleh dapat?”
“Nurul, kenapa bilik saya berhabuk?”

Begitulah sehari-hari. Aku memohon kerja di syarikat ini untuk jawatan Eksekutif Pentadbiran. Namun, setelah sebulan berada di sini, barulah kutahu bahawa skop kerjaku bukanlah selaku seorang eksekutif pentadbiran semata-mata tetapi merangkumi semua perkara yang melibatkan urusan syarikat. Mula-mula, aku berasa seronok. Al-maklumlah, sudah tentu banyak pengalaman yang dapat aku timba. Bukan mudah untuk menjadi pekerja yang serba boleh. Versatile gitu. Hanya insan-insan terpilih sahaja berpeluang menjadi sepertiku. Siapa mahu cuba? Angkat tangan!

Ada yang sekadar boleh mengarah dan mengemukakan idea. Macam… Ops. Tidak boleh cakap. Tidak pasal-pasal, gajiku dipotong nanti. Ada yang hanya boleh bercakap, berkata-kata, talking… samalah semuanya tu.

Akan tetapi, setelah aku merasai sesak nafas dalam meneruskan kehidupan di kota metropolitan ini, aku mula berkira-kira. Barang naik, cukai pintu naik, minyak naik (turun balik tetapi tidak banyak), bil air naik… beruntunglah mereka yang tinggal di negeri Selangor. Kenapa ya? Tanyalah penduduk setempat. Hidup YB! Sayangnya, gaji tidak naik-naik meskipun aku telah mendambakan diriku di sini setelah sekian lama. Mahu menjadi loyal staff tetapi keadaan tidak mengizinkan. Tekananku bertambah sehari-hari.

Entahlah. Mungkin majikanku tidak sedar. Atau mungkin, bebanan yang ditanggung syarikat besar. Maklumlah, syarikat kami masih baru dan persaingannya pula hebat. Untuk memberi kenaikan hatta sebanyak RM50 seumpama memberi sedekah sebanyak RM500. Banyak tu…

Tetapi, aku bukan meminta sedekah. Aku bekerja untuk syarikat dan aku telah mendambakan diriku buat syarikat tercinta. ‘Tercinta? Nurul, biar betul!’ Aku berkata sendiri. Kalaupun aku menjadi pengemis, tidak salah untuk menderma. Bukankah tangan yang memberi itu dipandang tinggi oleh Allah SWT? Aku mula mencari-cari dalil yang sesuai untuk menyokong hujahku.

“Nurul, tolong saya hubungi En. Hashim. Setkan appointment untuk saya dengannya dalam minggu ni,” kata En. Sakari, penolong bosku. Alahai, telefonlah sendiri. Aku perlu keluar segera. Tadi, pihak TNB telefon. Kami diberi tempoh sehingga petang ini. Jika masih tidak menjelaskan bil api tertunggak, elektrik akan dipotong serta-merta. Nanti, aku juga yang dipersalahkan. Telefon bimbitku juga yang akan berdering-dering. Semua salah aku. Tension!

Entahlah. Sukar untuk menghadirkan rasa ikhlas dalam diri. Kubelek majalah Mingguan Wanita yang baru kubeli dari kedai Pak Abu. Terdapat satu ruangan tazkirah yang menerangkan tentang ikhlas. Bilamana kita melakukan sesuatu ikhlas kerana Allah semata-mata, pasti ada ganjaran yang besar buat kita. Sekiranya kita tidak mendapatnya di dunia, yakinlah bahawa kita pasti memperolehinya pada hari akhirat kelak.

Namun, masih sukar untuk mengikhlaskan diri. Himpitan hidup menjadikan aku begitu berkira dengan syarikat. Meskipun bosku tidak strict seperti Ravi Gopal (majikanku terdahulu), aku masih tidak mampu untuk menghadirkan diri dalam kerjaku. Kalau dahulu, kerja yang aku lakukan adalah untuk kemajuan syarikat tetapi tidak kini. Aku kini bekerja untuk mendapatkan wang.

Ada perut yang perlu diisi. Bukan perutku sahaja bahkan perut Kancilku. Aku sekadar makan nasi tetapi Kancilku… ‘makan’ minyak, ansuran bank, road tax, maintenance dan banyak lagi. Boleh botak kepalaku. Mujur aku bertudung. ‘Nurul, Sesungguhnya amal seseorang bermula dengan niat (Hadis Arbain : 1)!’ Satu bisikan muncul. Astaghfirullah. Aku bertudung kerana Allah, bukan untuk menutupi kekurangan diriku.

Aku berfikir sendiri. Kenapakah aku bekerja di sini? Kenapa aku masih bertahan? Ya, pekerjaan ini menjadi wasilah buatku untuk memperoleh fulus. Daripada gaji yang kuterima, membolehkan aku meneruskan kehidupan sehari-hari. Membolehkan aku membayar pinjaman PTPTN… memberi sedikit wang kepada keluarga di kampung.

Sedih apabila dikenangkan. Usai kecil ibu bapa banyak berkorban untukku. Namun, setelah berjaya di menara gading, aku masih tidak mampu untuk membantu mereka. Sikit-sikit bolehlah. Untuk memberi lebih, sukar. Aku tidak boleh berbangga dengan Ijazah Sarjana Muda yang aku peroleh. Meskipun budak ‘U’, aku diberi gaji setaraf gaji diploma. Argh… ‘Dan tatkala Tuhanmu memaklumkan : Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih (Ibrahim :7),’ bisikan hadir lagi. Astaghfirullah. Aku terlupa buat kesekian kalinya. Syukur kerana diingatkan Allah melalui tarbiyah-Nya.

Minggu depan, aku akan menghadiri KMK atau nama panjangnya, ‘Kursus Mutu Kerja’. Bagiku, tiada gunanya kursus ini dianjurkan. Mutu kerja bukannya meningkat. Daripada menganjurkan kursus sebegini, lebih baik digunakan duit tersebut untuk memberi bonus kepadaku serta pekerja-pekerja lain yang masih setia di sini. Bukan mudah untuk setia. Jika pasangan tidak concern pun boleh berpaling arah. Inikan pula kerja. Yang kaya, hanya bos dan mungkin kroni-kroninya. Aku? Beginilah jua. Mujur peluang kerja tidak banyak menyebabkan aku masih di sini.

“Mengapakah kamu semua dihantar ke sini?” Tanya fasilitator kepada para peserta.
“Untuk meningkatkan mutu kerja,” jawab Olan bersungguh-sungguh. Mamat Kelantan yang seorang ni memang sentiasa bersemangat waja dengan tindakannya.
“Untuk apa kamu bekerja di sini?” Tanyanya lagi. Handsome jugak pakcik fasi ni. Sudah berpunya ke belum? Aku single but not available namun masih boleh dirunding. Ketampanannya menjadikan aku bersemangat untuk mengikuti kursus kali ini.
“Nurul?” Alamak, aku berkhayal tadi. Kacau daun betul.
“Ya saya, En. Ajib.”
“Boleh berikan pendapat kamu tentang soalan saya tadi,” ia berkata dengan senyuman di bibirnya yang merah. Sebagai tanda ia tidak merokok. Memang memenuhi ciri-ciri jejaka idamanku.
“Maaf, saya tidak faham soalan tadi,” aku cuba cover line. Kulihat teman-temanku tersenyum sumbing. Kurang asam punya kawan.
Dengan senyuman yang tidak lekang ia berkata, “Mengapakah kamu memilih untuk bekerja di sini?” Aduh, malunya aku. Susahnya soalan (dalam bracket).
Dengan yakin aku menjawab, “Sebagai wasilah untuk mendapatkan duit.” Eh, betul atau tidak jawapanku ini?
“Iya, bagus Nurul. Pekerjaan merupakan wasilah bagi kita untuk mendapatkan rezeki. Ia juga menjadi wasilah kepada kita untuk menimba sebanyak mana pengalaman. Memang, kadang-kadang kita down. Mungkin kerana workload, gaji yang tidak setimpal, rakan sekerja yang tidak sekepala tetapi percayalah bahawa melalui pengalaman yang kita perolehi, menjadikan kita manusia yang lebih kuat untuk mengharungi kehidupan,” terangnya panjang lebar.

Benar katanya. Kerja ini sebagai wasilah untuk menggapai sesuatu. Ia sebagai wasilah daripada Allah untuk memberi rezeki kepadaku. Ia juga menjadi wasilah bagiku untuk menimba 1001 pengalaman manis dan pahit dalam kehidupan. Aku harus lebih bersemangat. Cayok… cayok… gambatte…Tidak sabar untuk hadir ke pejabat dengan semangat baru.

Di pejabat, tiga hari selepas KMK…

“Nurul, air kopi sudah habis!”

Semangatku luntur kembali… ‘Jawapannya di sini… semangat kita yang hilang…’ Aku menyanyi sendiri.
Labels: 0 comments | | edit post