Ayat Kursi (2:255)

Assalammualaikum. Hehe... sekadar ingin berkongsi...

Muthiah... baru dapat lesen. Setiap kali memulakan perjalanan (memandu), Muthiah suka amalkan ayat ini. Jom kita amal sama-sama ;)


'Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang tetap hidup, Yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka; sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya),' Al-Baqarah ayat 255.

DERA!!! (i)


Hmmm... selesai menulis B25 untuk P-SI, hajat di hati, hendak menulis blog namun...setelah berjam masa berlalu, idea tidak muncul-muncul. Muthiah pun belek-belek friendster, facebook, akhbar online... hmmm...idea tetap tidak datang. Macam mana, ya?

Hmmm... Muthiah baca kembali kisah kes dera kanak-kanak yang berlaku di Malaysia. Ayoyo... apa sudah jadi dengan norma masyarakat hari ini? (Mungkin ada lagi kes dera di luar sana yang tidak kita ketahui.Mana tahu?)

Muthiah terfikir sendiri, apakah punca kepada penderaan itu sendiri?

1- Tekanan hidup ~

i) Kos sara hidup semakin meningkat tetapi gaji tetap di takuk lama. Yang kaya, menjadi semakin kaya. Yang miskin, terus papa kedana dan meminta-minta. Hendak pinjam, malu... tidak pun, orang bolayan (dengan pandangan yang sinis lagi cukup menyakitkan).

Minta bos naikkan gaji, diberi kata putus ~ 'Mahu kekal gaji lama atau angkat kaki keluar dari tempat ini?' Hendak tidak hendak, terpaksalah bertahan. Daripada tidak ada langsung, baik ada sikit-sikit walaupun hendak beli beras lima kilo pun tidak mencukupi.

Stres! Tertekan! Marah! Semua orang tidak mengerti... Sesampainya di hadapan pintu rumah, ada yang sudah menanti... Alahai! Kena bebel pula. Sayang seribu kali sayang. Si anak kecil yang tidak tahu apa-apa buat hal dengan merengek itu dan ini. Hati yang sedia panas semakin membara. Apabila nafsu menguasai diri, iman diletakkan ke tepi. Lupa sudah pada yang memerhati. Akibatnya... Nauzubillah.

ii) Masalah di tempat kerja yang dibawa balik ke rumah. Hmmm... sudahlah pagi tadi dimaki bos di hadapan khalayak. Spoil mood kerja seharian. On the way balik pula, kena hon berkali-kali. Bukannya tidak mahu jalan, kereta di hadapan yang tidak gerak-gerak.

Sampai di rumah... alahai... tunggang-langgang semuanya. Kain tidak berlipat. Makan malam tidak tersedia. Susu anak tumpah atas permaidani. Kakak dan abang main kejar-kejar. Habis pecah pasu bunga. Isteri pula.... Adoi...

Dup dap dup dap... Gunung berapi sudah hendak meletus... Dan....

2- Ceteknya pengetahuan dalam ilmu kekeluargaan~

Si ibu/ isteri tidak menunaikan tanggungjawab selaku seorang ibu/ isteri. Suami pun tidak ada bezanya. Sama-sama tidak tahu/ ambil peduli/ peka terhadap peranan masing-masing dalam rumah tangga. Kena pula dengan sang suami yang panas baran/ kaki pukul (dan berjenis-jenis kaki lagi) serta mempunyai 1001 masalah dalam hidupnya. Masalah di tempat kerja... hutang kad kredit... hutang pinjaman bank... dan hutang ahlong, nauzubillah.

Kepala yang sedia serabut menjadi semakin berserabut. Naluri seorang manusia yang sepatutnya cintakan manusia lainnya hilang entah ke mana. Sifat binatang hadir dalam diri. Sudahlah bercelaru dengan macam-macam, dipertikai dan dipersalahkan pula. Syaitan pun bijak memainkan peranan!!!

Ia mungkin lupa... sebagai ibu/ ayah... ia punya amanah yang sedang menanti di hadapannya. Ia mungkin teralpa. Dek rasa marah yang membara, ia lupa segalanya...

bersambung nanti, insya-Allah ;) ~ Lagi tentang punca...

Muthiah : Bukan dera tetapi bunuh terus. Bunuh nyamuk aedes pembunuh.
Labels: 0 comments | | edit post

Kawan Akrab … (ii)


Apa yang menjarakkan? :

1- Jarak jauh yang memisahkan ~ Ada yang ke utara dan ada yang ke selatan. Ada juga yang berada jauh di perantauan. Namun, insya-Allah. Walau jauh di mata, sahabat itu akan tetap dekat di hati serta dalam doa.

2- Masing-masing mengikut haluan sendiri ~ Ada cita-cita yang perlu dicapai. Ada tanggungjawab besar yang harus dipikul sebaiknya.

3- Kerjaya ~ Ya… kadang-kadang, kita dihambat dengan kerjaya menyebabkan sukar untuk berhubung sentiasa dengan teman lama. Bukan tidak ingat tetapi tidak berkesempatan. Lumrah…

4- Sudah bertukar status ~ Tidak sama kehidupan sewaktu bujang dengan selepas berkahwin. Serius. Sebelum bergelar isteri, Muthiah memang kaki jalan. Antara lokasi utama ialah UNISEL. Namun, tanggungjawab terhadap keluarga membuatkan Muthiah membataskan sedikit perhubungan itu. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada suami. Bukankah sudah bergelar isteri?

5- Usia ~ Usia menyebabkan hubungan itu sedikit sebanyak terbatas. Semakin berusia seseorang, semakin banyak pengalamannya. Tidak mustahil ia akan menjadi ‘seseorang’. Mula-mula masuk kerja, jadi kuli. Setelah bertahun-tahun, jadi ketua pula. Semasa menjadi kuli, tidaklah sesibuk mana. Otak pun tidak ‘sakit’ sangat. Namun, setelah dinaikkan pangkat… perlulah menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan terlebih dahulu. Lagi satu, semakin tua…fikir-fikir sendirilah. Hahahaha….

6- Komitmen dan tanggungjawab ~ Komitmen dan tanggungjawab sebagai seorang pekerja, suami/ isteri, ibu/ bapa….

Apapun…

1- Kalau tidak mampu buat semua, usahlah tinggalkan segalanya. Carilah ruang untuk mencari teman-teman lama. Bukan untuk ber‘sms’ setiap saat dan waktu. Cukuplah dengan bertanya khabar… Setidak-tidaknya, memberitahu teman kita bahawa dirinya masih diingati.

2- Terima kasih buat teman-teman yang sentiasa bersama Muthiah saat suka dan duka. Mungkin ada waktunya kita berbeza pendapat tetapi percayalah… ikatan ukhwah itu kan terus mekar dalam sanubari.

3- Maaf segala salah silap sepanjang menjadi teman buat diri Muthiah.

4- Moga kita semua kan sentiasa dipilih Allah menjadi hamba yang taat dan patuh kepada-Nya.

Muthiah : Manusia berpegang pada janji, lembu berpegang pada tali. Apabila tidak mampu berpegang pada janji, peganglah pada tali dan jadilah….

Cabaran dakwah (ii)


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Apapun, PILIH-lah untuk POSITIF. Kenapa? POSITIF itu insya-Allah bisa menenangkan. Mengapa? Bilamana kita positif dan mencari peluang atas segala apa yang negatif, insya-Allah... hati kita akan semakin lapang dan tenang. PASTI!!! Dengan mengingati Allah, hati yang lara itu kan kembali TENTERAM. Apa punya catatan daaaa...

Hmmm... Seorang teman bercerita. Teman lagi? Hehe... Al-maklumlah... Bukankah Muthiah dilahirkan sebagai 'kaunselor' tidak diiktiraf. Kaunselor? Hmmm... selayaknya dipanggil ~ pendengar setia buat teman-teman yang dikasihi fillah..

HENDAK BAWA USRAH PAYAH...
HENDAK CARI USRAH PUN PAYAH...

MEMERLUKAN TAULIAH???

Al-kisah...


Si teman (A) telah berhijrah ke tempat baru. Tidak lama selepas itu, ia pun berusaha untuk mencari usrah. Kenapa? Agar dapat diperingatkan tatkala terlupa. Iyalah... Nama lagi manusia yang sememangnya alpa dan berbuat salah. Sekurang-kurangnya... apabila berada dalam usrah/ jemaah/ tanzim... boleh saling menasihati. Kalau bukan daripada kalangan adik-beradik satu usrah, bukankah murabbi berperanan selaku ibu yang mendidik?

Hmmm... A mengadu, "Usrah di sini tidak sama seperti yang di sana."

Muthiah bertanya, "Apa yang tidak samanya?" Teman Muthiah diam seribu bahasa.

Tidak lama selepas itu... A menghubungi Muthiah lagi. Katanya, berlaku konflik antara dia dengan murabbinya, (B). Konflik??? Konflik yang bagaimana?

Begini ceritanya...

A menghantar sistem pesanan ringkas buat B ~ lebih kurang, "Kak, usrah minggu ini ada atau tidak ada? Atau... batal lagi?"

Kemudian, si B pun membalas, "Tolong sikit... bukan Akak yang tidak buat usrah...bla bla bla..." (Tang 'tolong sikit' yang teman Muthiah tidak boleh lupa sampai sekarang).

Teman Muthiah amat terkedu dengan jawapan yang diberikan oleh sang murabbi yang selayaknya digelar 'ibu' ini. Kalau pun teman Muthiah salah... wajarkah seorang yang mengaku sebagai ketua murabbiah di kawasan itu menggunakan bahasa sedemikian? Hmmm... apapun bagi Muthiah... murabbi itu juga manusia biasa. Kadang-kadang ia terlupa dan kita perlu juga mengingatkannya.

Selepas itu, Muthiah bertanya ~ Apakah tindakan selanjutnya?

Hmmm... katanya... ia memang terkejut beruk (bahkan mungkin lebih daripada itu memandangkan si murabbiah siap memberitahu tentang pasangannya yang merupakan orang besar dalam gerakan,'. Iyalah... orang yang hebat... Tidak mungkin menunjukkan akhlak sebegini! Adoi...adoi... Sabar, sih. Sabar itu sebahagian daripada iman ;) Senyum.....

Teman Muthiah pun menghantar sistem pesanan ringkas kepada B tadi.

1- Ia menyatakan 'keterperanjatan'nya menerima balasan daripada si murabbiah.
2- Teman Muthiah menghantar sms tazkirah yang diambil daripada entri blog Muthiah ~ tentang murabbi (19/10/09 dan 20/10/09). Huhu...

Mungkin caranya tidak kena. Api... lawan pula dengan api...jadinya, terbakar. Panas... si murabbiah diam seribu bahasa. Teman Muthiah pun tidak pasti sama ada ia diam kerana ia sedang bermuhasabah atau disebabkan rasa ego dalam diri.

Muthiah bertanya... 'Selepas itu???'

Jawab teman Muthiah... Hmmm... pada minggu selepas itu, teman Muthiah bertanya lagi tentang usrah (terlupa pula ~ teman Muthiah ini selalu follow up murabbinya - bilakah usrah hendak dilangsungkan? Sebab ~ sebelum ini, usrah acap kali dibatalkan dan tidak pula diganti pada hari lain). Namun... si murabbi terus mendiam. Kemudian, teman Muthiah bertanya lagi tetapi kekal diam sehingga ke hari ini.

Putus asa dengan si murabbi, teman Muthiah mencari teman si Murabbi... Hmmm... diam dan terus diam juga... Setelah beberapa bulan berlalu... teman Muthiah meluahkan rasa kecewanya kepada Muthiah...

Katanya, "Letih sudah..."

Muthiah membalas, "Letih???" Teman Muthiah diam.. Kemudian, ia berkata kembali, "Letih mencari..."

Hmmm... Muthiah? Tidak berani komen.

Dedikasi buat teman Muthiah :

1- Sabarlah... kerana Allah tahu apa-apa yang telah kita usahakan. Hmm... bersabar dengan karenah dan karektor manusia.

2- Jom kita saling belajar daripada pengalaman dan kesilapan. Boleh jadi ada kesilapan dari sisi kita yang terlepas pandang. Menyebabkan orang itu bertindak sedemikian rupa. Lupakan kedudukannya selaku 'orang besar' dalam tanzim kerana setiap manusia ini tetap ada lemahnya. Ia mungkin lupa... Ia juga ada melakukan khilaf (tidak terkecuali diri kita, ya ;)

3- Usahlah berputus asa kerana rahmat Allah itu Maha Luas buat setiap hamba-Nya. Banyakkan berdoa dan bermohon agar terus dipilih-Nya untuk berada di atas landasan yang diredhai-Nya.

4- Balaslah kata-kata kesat itu dengan kata-kata yang lebih baik. Ya! Sebagai murabbi, sewajarnya ia lebih (dalam segenap hal) daripada mutarabbinya. Namun, perlu diingat. Murabbi ini juga insan biasa. Contohilah teladan Rasulullah dalam menyampaikan dakwah. Abaikan 'kedudukan' yang dimilikinya. Disebabkan 'kedudukan' itu... kita terlalu mengharapkan kesempurnaan (sang murabbi) sedang hakikatnya ia pun manusia biasa.

5- Maafkan dia. Kenapa? Kerana membiarkan teman Muthiah ini terkapai-kapai sendiri. Mungkin banyak yang perlu dimuhasabah sebenarnya. Usahlah jadikan permasalahan 'kecil' (sedang banyak lagi masalah ummat yang lebih besar) membantutkan gerakan. 'Kecil'???? Hmmm... Permasalahan kecil yang besar sebenarnya.

6- Banyakkan bermuhasabah. Setiap apa yang telah direncanakan Allah, pasti ada hikmahnya. Yakinlah... Allah sentiasa dekat dengan setiap hamba yang berusaha keras mencari naungan-Nya.

7- Berlapang dada dan bersangka baik. Hmmm... Muthiah sendiri sebenarnya terfikir macam-macam tetapi Muthiah cuba istighfar. Allah lebih tahu dan kita sama sekali tidak punya hak untuk menghukum manusia lainnya. Ya! Apa yang dilakukan bisa membuatkan orang lain menilai dirinya. Biarlah dia... serahkan pada Allah. Kalau kita mampu menegurnya, tegurlah dengan baik. Kalau tidak... Hmmm... (Hehe... bilamana Muthiah diam dan membiarkan...tandanya Muthiah tidak mahu ambil peduli lagi. Ish ish ish. Hendak kena sekeh betul).

8- Setiap kita adalah pendakwah. Hmmm...bersabarlah dalam menghadapi karenah mad'u yang macam-macam fiilnya. Ingatlah...syurga Allah menanti mereka yang tidak berputus asa berjuang di jalan-Nya.

9- Mereka ada buat salah ~ TIDAK TERKECUALI DIRI KITA... Ya, renungi diri... Kemudian, mohon agar ditunjuk jalan oleh Allah. Moga Allah memilih kita menjadi salah seorang hamba-Nya yang sentiasa berakhlak dengan sifat terpuji/ mulia ;)

Muthiah : Hmmmm...

Caution ! Wet Floor


Muthiah dan suami meninjau-ninjau barang di sebuah kedai berdekatan dengan The Store (lupa nama kedai). Dalam menengok-nengok, suami pun berkata, “Ha, beli yang ini satu.” Mata Muthiah yang tidak cukup bulat membulat (menurut kata suami). Muthiah memandang papan kuning yang tertulis. “Caution! Wet floor.” Kemudian, suami menambah, “Bukankah Muthiah suka mop lantai rumah?”

Huhuhu… sememangnya Muthiah selalu mop rumah. Hampir setiap hari. Maklumlah, rumah Muthiah dekat dengan jalan besar. Jadi, habuknya… mak ai. Jadi, hendak tidak hendak, ‘terpaksalah’ mop hari-hari. Kalau berhabuk, maknanya… adalah kerja yang tertinggal. Hehe…

Muthiah : Menjadi mak cik cleaner sekali-sekala.
Labels: 0 comments | | edit post

Cabaran dakwah (i)


Satu peristiwa telah berlaku menyebabkan Muthiah terkenangkan satu kisah lalu… Kisah dalam dunia dakwah yang berlaku di hadapan mata Muthiah. Ceritanya begini…

Seorang teman berbicara…

Watak :

1) A – Murabbi kepada B
2) B – Mutarabbi kepada A
3) C – seorang junior

A mengarahkan B untuk bertaaruf dengan C. C pula adalah anak kepada salah seorang pimpinan dalam gerakan Islam (kira orang besar). Nama lagi anak pimpinan. Tentu sahaja si bapa mahu anaknya turut sama dalam gerakan dakwah ini…

Maka, bermulalah sesi seruan dakwah…

B menghubungi C dan saling menetapkan waktu untuk bertemu.O.K…. Deal! Tarikh, masa dan tempat telah dipersetujui. Buat apa hendak jumpa? Hmmm… kenal dan jentik hati. Bukankah dari situ kan bermula satu ikatan dan persefahaman?

C tinggal di kampus manakala B sudah bekerja dan tinggal di luar. Jarak perjalanan dari tempat B untuk bertemu dengan C mengambil masa dalam 1 jam menaiki LRT dan bas. Sampainya di kampus, tempat C belajar… B pun menghubungi C…

1 kali…tidak ada jawapan…
2 kali… diam seribu bahasa…
3 kali… tetap membisu…

Alahai…sudah sampai waktu bertemu tetapi kelibat C tidak kelihatan lagi. B terus sabar (mungkin inilah yang dikatakan sebagai cabaran dalam dakwah). B hubungi dan terus menghubungi C. Setelah lebih dua jam menunggu… B cuba pula menghubungi C menggunakan telefon awam. Nah! Ada jawapan...

Namun sayang… apabila ditanya tentang janji yang telah dibuat, C menjawab. Ada kerja!!! Aduh aduh… inikah sikap anak sang pemimpin? Betullah yang diperkata Raihan, ‘Iman tidak dapat diwarisi.’ B berusaha untuk berjumpa juga dengan C. Iyalah… kalau tidak, semacam tidak berbaloi penantian. Tiba-tiba… telefon terputus. B cuba menghubungi lagi tetapi sampai ke sudah, tidak ada jawapan yang diperolehi.

B pulang dengan rasa kecewa. Namun, apabila ia menghisab diri dan merenung kembali perjuangan Rasulullah… hatinya kembali tenang. Pada hari lainnya… begitulah fiil C terhadap B. Layanannya acuh tidak acuh. Mesej yang dihantar sama sekali tidak dibalas. Temujanji tidak boleh dibuat. B tetap bersabar…

Namun… lain pula pandangan A. A menganggap B tidak buat kerja sebaiknya. Maklumlah, dari apa yang B lihat… dengan A, C nampak komited. Nampak sempurna. B hendak buka mulut… Huhu… takut dikatakan hanya pandai menuding jari dan memberi alasan. Jadi, B pun hanya berdiam diri. Walaupun A tidak nampak, B yakin Allah tahu apa yang dilakukannya.

Kini… B tidak tahu perkembangan terkini C. B sudah maafkan salahnya dan serahkan segalanya pada penghitungan Allah. Tidak perlu mengharapkan sesuatu yang buruk terhadap orang lain. Cukuplah kepercayaan yang tersemat dalam jiwa bahawasanya Allah Maha Tahu… Maha Adil lagi Saksama…

….

Hmmm… dapat tangkap apa yang ingin Muthiah sampaikan? Ya! Tidak mudah untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan tidak mudah juga untuk memiliki hati manusia lainnya. Apa yang penting, kita tahu peranan kita sebagai khalifah Allah. Kita sudah berusaha dan kita sudah cuba melakukan yang terbaik. Persetan segala pandangan dan kata-kata orang lain (tetapi jangan sampai menutup pintu hati mendengar teguran dan pandangan yang yang membawa kepada sesuatu yang positif). Yang penting, Allah tahu apa-apa yang tersimpan di dalam hati kita. Kalau kita salah, perbaikilah… Kalau orang lain salah, berlapang dada dan maafkanlah…

1- Sukarnya menjadi A
~ Manakan tidak sukar. Berhadapan dengan 1001 karenah manusia. Bukan mudah menjadi murabbi kepada banyak mutarabbi. Kadang-kadang, bisa terlepas pandang tetapi percayalah… bilamana kita ikhlas melakukan kebaikan ke jalan Allah, Dia pasti akan terus memelihara kita daripada sesuatu yang bisa menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Kita salah… kita sedar … beristighfarlah…

2- Sabarlah, wahai B
~ Hanya ini yang mampu diungkapkan. Sesungguhnya, dakwah bukanlah semudah yang disangka. Banyak cabaran yang harus dilalui… boleh jadi cabaran itu datang dari luar dan tidak mustahil andai mehnah itu sebenarnya dekat dalam diri. Mungkin, masih banyak lompang dalam diri kita yang tidak ditutup lagi. Berlapang dada dan maafkan mereka yang telah menyakiti. Bayangkan syurga Allah yang sedang menanti. Kita hidup di dunia ini tidak lama kerana panggilan maut boleh datang bila-bila masa. Ikhlaskan hati, betulkan niat. Kita tidak mengajak manusia kepada Allah disebabkan oleh orang lain. Kita lakukannya semata-mata kerana Allah. Banyakkan beristighfar dan memohon petunjuk daripada Allah agar terus dipelihara daripada sesuatu yang boleh merugikan diri sendiri.

3- Didiklah diri untuk menghormati orang lain, C sayang
~ Ya! Jadikan kelaziman untuk sentiasa merenung diri. Tidak ada seorang pun manusia di atas muka bumi ini yang sempurna termasuk diri kita (melainkan Nabi yang maksum). Bimbinglah jasad dan hati untuk menjadi seorang manusia yang tidak menjelikkan ~ pada mata manusia lainnya serta Allah. Percayalah… andai kita menyayangi orang … menghormati orang… peka terhadap orang… akan ada yang bisa menyayangi, menghormati serta peka terhadap diri kita. Kalau tidak ada… yakinlah bahawasanya Allah ada untuk terus mencintai kita. Namun… andai kita berterusan dengan akhlak jelik dan buruk… siapakah lagi yang mahu menyayangi kita dari dalam hati? Hmmm… mungkin ada tetapi berapa banyak yang mampu bertahan dengan sikap kita? Paling malang bilamana Allah tidak lagi mahu memandang kita dengan sifat rahim-Nya.

Renung-renungkan…

Muthiah : Moga-moga kan diterima amal oleh Allah SWT.

Manusia Bateri Jam


“Apa yang awak menungkan lagi, Lisa?”
“Bahan sudah cukup? Pengeditan sudah siap? Awak pun tahu kita semua mengejar deadline. Tidak boleh sambil lewa. Tidak boleh main-main,” bebel Asyraf bertalu-talu. Macam nenek kebayan bahkan lebih teruk daripada itu.
Namun, begitulah Asyraf setiap kali sampai waktu deadline. Selaku Ketua Editor di syarikat Lisza Nazim Publisher, ia bertanggungjawab memastikan semua kerja dibereskan tepat pada waktunya. Kalau tidak, berbaldi-baldilah syarahan yang bakal diterima. Siapa tidak kenal En. Nazim? Bos besar yang kurus melidi. Nampak sahaja macam cicak kubing tetapi jiwa dan hatinya kental.
“Sudah siap, Tuan,” Melisa memandang Asyraf sambil tersenyum kambing. Gemar benar menaikkan kemarahan ketuanya yang lebih terkenal dengan nama Manusia Bateri Jam. Manusia Bateri Jam? Entahlah. Hanya Melisa yang tahu. Dia yang menggelarkan lelaki itu dengan panggilan tersebut.
‘Baik, Manusia Bateri Jam,’ ia berbisik di dalam hati. Senyumannya semakin melebar.
Tanpa lengah, Asyraf segera berjalan laju ke arah Raffiq yang begitu asyik berborak melalui Yahoo Messenger. Kehadiran Asyraf yang sepantas kilat sama sekali tidak disedarinya.
“Haaa…” Sergah Asyraf dari belakang.
“Opocot mak engkau,” Amir yang cepat lemah semangat itu terlompat dari tempat duduknya. Air mukanya berubah kemerahan. Pucat dan panik. Tertangkap pada saat yang tidak dijangka. Amir tidak sempat menutup Yahoo Mesengger-nya. Kegelabahannya terserlah dan terpancar dari wajahnya.
“Kalau pun hendak berjiwang karat, bukan waktu deadline. Siap printing, mengayatlah puas-puas. Tidak mahu mandi dan makan pun dibenarkan,” Asyraf diam sejenak. Ia berkalih ke arah Melisa yang masih tidak lekang dengan senyum kucingnya.
“Sudah terima bahan daripada Lisa?” soalnya lagi serius. Asyraf memandang Yahoo Messenger Amir yang berlatar belakangkan hati berwarna merah jambu. Ia menggeleng berkali-kali. Amir pula tersengih kebuntuan.
“Belum lagi, Cap,” balas Amir pendek. Ia segera menutup Yahoo Messenger-nya lalu duduk kembali di atas kerusi. Berlagak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Lisaaa…” Asyraf menjeling Melissa tajam. Cukup tajam. Seperti seekor singa yang mahu menerkam mangsanya. Maklumlah, manusia bateri jam mana bisa membaham sasarannya. Hanya mampu menjeling dan terus menjeling.
“Assalammualaikum, Cik Abang. Cuba semak emel hari ini. Kalau ada, belanja Sa makan nasi goreng ikan masin.” Cepat-cepat Melissa mendapatkan Amir.
‘Anak Pak Mail ini nampaknya hendak meletakkan kesalahannya di bahuku. Kurang cili kering punya budak. Ini tidak boleh jadi. Langkah selipar jepunku dahulu,’ omelnya sendiri.
“Sudah, sudah. Bukan masanya hendak bertekak,” Asyraf yang sedari tadi memerhatikan gelagat orang bawahannya itu tiba-tiba mencelah.
“Amir, pastikan layout siap sebelum lusa. Kalau beres awal, emelkan dahulu kepada saya. Jangan jadi macam bulan lepas. Banyak sangat kesalahan yang tidak sepatutnya. Cuba kamu bayangkan. Pembeli membelanjakan RM4.50 untuk membeli barang kita. Kita pula, tidak pernah serius dalam menjaga kualiti. Berbaloikah RM4.50 itu? Kalau saya yang menjadi pembeli, sudah tentu saya tidak akan sudi menghabiskan wang saya untuk mendapatkan sesuatu yang tidak memuaskan hati. Faham?” Manusia Bateri Jam ini membulatkan matanya yang sedia bulat.
“Awak pula, Melissa. Saya manusia ciptaan Allah yang cukup sifat. Tidak ada maknanya awak memberi gelaran Manusia Bateri Jam kepada saya. Awak tidak untung dan saya pun tidak rugi apa-apa,” sinis benar kata-kata lelaki ini.
Melissa hanya diam. Wajahnya ditundukkan ke lantai. ‘Angkara siapakah ini? Berani sungguh membocorkan rahsiaku kepada Manusia Bateri Jam yang sedia cengil ini. Kurang air asam jawa punya pembelot!’ ia menjerit di dalam hati. Amir hanya tersenyum sumbing.
“Hmmm…” Asyraf mengeluh kecil. Ia berlalu meninggalkan Melissa dan Amir yang masing-masing masam mencuka. Pasti Melissa tidak berpuas hati kerana rahsianya telah dibocorkan seseorang. Amir pula… Entahlah. Hanya dia yang tahu.
*****
“Bilalah agaknya Mama boleh terima menantu?” Datin Khadijah berbasa-basi. Ia memandang Asyraf yang begitu ralit dengan komputer ribanya. Esok deadline dan ia mahu melakukan semakan terakhir.
Anak Dato’ Sabri ini sebenarnya bukan sahaja sesuai diberi gelaran Manusia Bateri Jam tetapi juga… Mr. Perfect. Kenapa? Ia begitu mendambakan kesempurnaan. Walaupun baik untuk menjamin kualiti kerja, tetap ada kelemahannya.
Selaku manusia, hidup dan mati sepatutnya kerana Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-An’am ayat 162 yang bermaksud, “Katakanlah; Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” Namun, yang terjadi ialah hidup dan mati empunya nama Asyraf ini diserahkan seratus lima puluh sembilan peratus kepada kerja yang tidak pernah putus. Tidak salah untuk melakukan yang terbaik tetapi jangan sampai mengabaikan diri sendiri.
“Umur Acap pun bukan muda lagi. Sudah dua puluh lapan tahun. Kalau kahwin lambat, lambatlah boleh anak. Kalau begitu, lambat lagilah Mama boleh menimang cucu,” suara Datin Khadijah sedikit kendur. Ia tidak berkelip memandang wajah anak bongsunya yang sedang berkerut seribu itu. Tentu ada ada sesuatu yang menyesakkan pemikirannya.
“Hmmm…” wanita berusia separuh abad ini mengeluh lagi.
“Harapan Mama, Acap pilihlah untuk menjadi manusia. Bukannya bateri jam,” kata-kata Datin Khadijah terhenti di sini. Asyraf yang tadinya begitu khusyuk dengan kerjanya tiba-tiba terpana dengan ungkapan ibunya. Bateri jam? Semacam biasa dengar sahaja istilah ini tetapi di mana?
“Ma…” Asyraf menghampiri ibunya yang sudah mula hendak melangkah pergi.
“Esok deadline. Acap mahu pastikan semuanya siap dengan sempurna. Acap mahu buat yang paling baik,” ujarnya perlahan.
“Kalau iya pun ada deadline, tidak akan sampai perlu bawa balik kerja itu ke rumah? Kerja kerja juga. Privasi diri pun perlu difikirkan. Ambil masa untuk bermesra dengan keluarga. Cari ruang untuk membina hubungan sesama jiran. Inilah yang dikatakan sebagai manusia dan insan itu hakikatnya adalah khalifah Allah di atas muka bumi ini. Banyak taklifan yang dipikul olehnya. Bukan kerja semata-mata,” Datin Khadijah meluahkan rasa hatinya. Suaranya sedikit bergetar. Mungkin sudah tidak tahan melihat karenah anak terunanya.
“Baik baik. Mulai lusa, Acap tidak akan membawa balik kerja ke rumah,” Asyraf cuba membujuk ibunya.
“Bulan lepas juga begini. Bulan lepas lepas pun sama. Setiap kali selepas deadline…” Datin Khadijah mencelah.
“Kali ini betul betul, Ma. Acap janji,” Asyraf memeluk ibunya kuat.
“Bagaimana pula dengan menantu Mama?” Anak mata Asyraf direnung tajam.
“Insya-Allah, Asyraf akan perkenalkan calon menantu Mama nanti,” beritahu Asyraf yakin tidak yakin.
“Bila?” Datin Khadijah masih tidak berpuas hati.
“Selepas deadline? Bulan hadapan? Tahun hadapan? Atau lima tahun akan datang?” Asyraf terkedu.
“Insya-Allah. Tidak lama lagi, Ma.”
“Baik. Mama pegang kata-kata Acap.” Kali ini, Datin Khadijah tersenyum puas.
*****
“Melissa, jumpa saya sekejap,” jerit Asyraf dari dalam bilik pejabatnya.
“Baik, Tuan,” balas Melissa.
‘Baik, Manusia Bateri Jam,’ hatinya berkata nakal. Ia segera melangkah menuju ke bilik Asyraf yang terletak betul-betul di hadapan tempat duduknya.
“Lapan puluh satu peratus bahan sudah siap dikumpul. Untuk cover, kita sudah buat temujanji dengan Amy Search di Restoren Cheng Ho dekat Wangsa Maju. Lain-lain, kita kena tunggu emel daripada Hajah Rohani untuk ruangan Tips Kewangan dan Dr. Ariza untuk slot kesihatan. Insya-Allah, sepuluh hari sebelum deadline, bahan akan siap dikumpul. Tujuh hari setengah sebelum itu juga, bahan siap disunting,” tanpa ditanya, Melissa segera memberi penerangan panjang lebar berkenaan perkembangan kerjanya kepada Asyraf. Mata lelaki itu membulat. Mulutnya pula ternganga luas.
“Sudah?” Soal Asyraf bersahaja. Ia bermain-main dengan pen berjenama Pilot dengan jari hantu dan telunjuknya. Melissa hanya diam. ‘Apa hal pula orang tua ini?’ ia berbisik sendiri.
“Hmmm…”
“Kenapa awak panggil saya Manusia Bateri Jam?” Asyraf mendongak ke arah Melissa yang tetap berdiri. Gadis berusia dua puluh lima tahun itu tetap membisu.
“Mama saya pun kata begitu. Saya seperti bateri jam…”
“Persoalannya…” Asyraf terdiam seketika.
“Kenapa bateri jam? Tidak ulat buku? Tidak juga Superman?” Bertubi-tubi anak Dato’ Sabri ini menyoal Melissa.
“Come on, Melissa. Kita sudah saling mengenali selama hampir tujuh tahun. Kita menjadi pasangan kekasih selama lima tahun tujuh bulan sembilan hari. Lisa yang saya kenal adalah seorang yang sangat telus dalam ungkapannya. Adakah saya seorang lelaki yang cukup membosankan?” Nah! Rahsia terbongkar. Melissa memandang ke luar bilik. Mujur tidak ada siapa-siapa yang berdiri berhampiran.
“Lisa marahkan Acap kerana mengabaikan Lisa? Atau Lisa bencikan Acap kerana sentiasa bersikap tegas sewaktu berada di pejabat?” Asyraf tunduk memandang lantai.
“Sebagai ketua, Acap perlu bersikap adil dengan semua orang. Bukan itu sahaja bahkan Acap tidak mahu menjadikan ruang yang begitu dekat ini sebagai satu platform bagi kita untuk lebih mendekat. Selaku manusia, iman kita tidaklah sekuat mana,” Asyraf kembali bermain-main dengan pen Pilot-nya.
“Bukan sebab itu…” Melissa mula bersuara.
“Acap terlalu mementingkan kerja sehingga mengabaikan orang yang berada di sekeliling Acap. Mana pernah Acap makan bersama kami. Bergurau senda apatah lagi. Terdapat jurang yang begitu luas antara Acap dan kami, staf-staf di sini. Hidup Acap adalah demi kerja semata-mata. Tidak ada seronok-seronok. Tidak ada gelak-tawa. Serius dua puluh dua jam lima belas minit. Apa yang Acap tahu dan mahu tahu adalah tentang kerja semata-mata. Acap tidak pernah ambil peduli tentang permasalahan lain anak buah Acap,” gadis sunti ini menambah.
“Acap yang berada di hadapan Lisa sekarang bukanlah sepertimana Acap yang Lisa kenal satu ketika dahulu. Acap yang dahulu adalah seorang yang peka dan prihatin. Acap tidak pernah mengabaikan orang di sekeliling Acap dan dalam masa yang sama, Acap tetap komited terhadap tugas yang diberikan,” Melissa berterus terang lagi.
“Baik. Acap akui kesalahan Acap tetapi kenapa Manusia Bateri Jam?” Asyraf menyampuk. Ia sebenarnya begitu mahu mengetahui rahsia di sebalik bateri jam itu.
“Hmmm…” Melissa mengeluh perlahan. Cukup perlahan.
“Selaku penulis dan editor, sememangnya kita mengejar masa. Kita dihambat oleh deadline. Jam adalah medium yang paling penting untuk kita mengetahui tentang masa,” ia memandang jam yang tergantung elok pada dinding.
“Kita khuatir jika bahan tidak dapat disiapkan sebelum waktunya. Jadi, semua orang memberi tumpuan kepada kerja yang dilakukan serta jam itu sendiri. Ya! Sememangnya, jam sering kali menjadi tumpuan setiap orang…”
“Namun…” suara Melissa tersekat-sekat.
“Sedarkah kita bahawasanya jarum jam itu bisa sahaja terhenti? Kapan waktu? Apabila bateri jam habis. Sedar-sedar, jam sudah mati dan kita sendiri tidak perasan tentangnya,” wajah Melissa berubah.
“Jadi, apakah kaitannya dengan Acap?” Nampaknya, lelaki ini masih belum mengerti apa-apa.
“Manusia yang terlalu mengejarkan dunia juga begitu. Kita tidak tahu bilakah kita akan dipanggil pulang. Kita terlalu disibukkan dengan kerja sehingga mengabaikan mereka yang menyayangi kita. Tahu-tahu, nyawa sudah berada di hujung kerongkong namun waktu itu, penyesalan tidak lagi berguna. Orang yang tersayang menderita. Kerja yang hendak dibereskan pun tertangguh. Macam bateri jam tadi. Tengok-tengok, jarum jam sudah tidak bergerak. Maknanya, bateri sudah habis,” panjang lebar Melissa menerangkan.
“Hmmm…” Asyraf mendengus kuat. Kata-kata Melissa ada benarnya. Ia begitu mendambakan kerja yang tidak pernah habis. ‘Benarkah aku seperti bateri jam?’ ia bertanya sendiri.
“Baik. Minggu hadapan, keluarga Acap akan masuk meminang Lisa. Tidak boleh tunggu lagi kerana tidak tahu sampai bila ‘bateri jam’ ini akan terus berfungsi…” Asyraf yang sentiasa optimis ini mengambil langkah drastik dalam melakukan perubahan terhadap hidupnya. Melissa kaget. Mulutnya terlopong. Perkara yang dibangkitkan sama sekali tidak ada kena mengena dengan perbincangan dia dan Asyraf sebentar tadi. Namun… Alhamdulillah. Melissa tersenyum gembira.
“Jom…” pelawa Asyraf.
“Hendak ke mana? Mahu cari cincinkah?” Wajah Melissa berubah kemerahan.
“Cincin apanya waktu-waktu begini? Baru pukul 9.35 pagi. Mari kita sama-sama bertungkus-lumus menyiapkan bahan untuk terbitan bulan hadapan. Kita cuba siapkan seminggu sebelum deadline,” ujar Asyraf selamba.
Mata Melissa yang sedia sepet membulat. ‘Sememangnya Manusia Bateri Jam,’ ia merungut sendiri. Asyraf hanya tersenyum…

Kewajiban mencintai sesama Muslim (Hadis 13)


Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik R.A., pelayan Rasulullah SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Seorang di antara kalian tidak (dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (HR Bukhari dan Muslim)

….

Tepuk dada, tanya iman.

Sejauh mana kita mencintai saudara kita?
Apakah bukti cinta kita itu?

Percayalah… saudara yang mencintai saudaranya bukanlah saudara yang hanya membenarkan perlakuan saudaranya yang lain (walau bertentangan dengan Islam). Ia senang melihat kemungkaran serta maksiat yang dilakukan. Adakah dinamakan cinta andai teman itu tidak berasa apa-apa melihat saudaranya sedang menjerumuskan diri ke neraka?

Saudara yang mencintai saudaranya ialah teman yang (jujur) berkata yang benar dalam membetulkan kesalahan temannya itu. Nasihatnya penuh hikmah. Marahnya dan tegurannya tanda sayang. Ia tidak betah membenarkan saudaranya terus berada di awang-awangan. Leka dan alpa dalam kehidupan yang tidak pasti. Tidak jelas dengan yang halal serta yang haram. Ia mahu masuk ke dalam syurga dan ia tidak mahu meninggalkan teman yang dikenalinya itu tersungkur di pintunya.

Justeru…

Ayuh, wahai saudaraku. Salinglah memperingati kerana kadang-kadang manusia ini lupa. Ia terlupa kerana fitrahnya seorang yang lemah dan terbatas pemikirannya.

Muthiah : Marahkan seorang teman kerana sayang. Membiarkan teman yang lain kerana….

Rasa bersalah tetapi... (iii)


Assalammualaikum. Ketemu kembali ;) Apa khabar, semua? Muthiah? 'Ala kullihal Alhamdulillah.

Hehe... Sambung entri semalam...

Namun sebelum itu...

1) Muthiah ingin mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR kepada bapa mertua Muthiah. Moga-moga, dirinya akan sentiasa berada di bawah lindungan dan naungan ALLAH. Moga panjang umur, murah rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik serta ... BERBAHAGIA DUNIA DAN AKHIRAT.

2) Muthiah ingin mengajak kawan-kawan untuk sama-sama merenung kembali. Sabda Nabi SAW, "Tidak dikatakan beriman seorang Muslim itu selagimana dia tidak mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri."

Bagaimana dengan diri kita???
Sejauh mana kita mencintai saudara kita???

Kita tidak mahu disakiti - Adakah kita berusaha untuk tidak menyakiti saudara kita?
Kita mahu masuk syurga - Adakah kita mendorong teman-teman kita untuk masuk syurga bersama?
Kita takutkan api neraka - Adakah kita menarik tangan teman kita daripada mendekati tempat yang cukup azab itu?

Hehe...

Berbalik kepada isu sebelum ini...

.... Jadi, bagaimana pula jika hal sedemikian berlaku kepada ALLAH? Kita rasa bersalah kerana tidak berbuat amal lantas kita berhenti daripada melakukan ibadah terus?"

Pertama...

Tanyakan kepada diri;

i) Kenapa rasa bersalah pada ALLAH - kerana tidak berbuat amal.
ii) Kenapa tidak berbuat amal - kerana lemah dan lain-lain.
iii) Kenapa lemah (dan lain-lain) - kerana tidak kuat.
iv) Kenapa tidak kuat - kerana ...

Jawabnya, kerana kita adalah hamba dan selaku hamba, kita sememangnya lemah (haha..berputar-putar antara soalan dan jawapan). Kita tidak cukup kuat meskipun kita merasakan sudah cukup bagus (kalau tidak berasa bagus, masakan bisa bercakap besar/ berkata yang sia-sia - antara ciri-ciri orang jahiliah). Jadi, BAGAIMANA???

Hendak tidak hendak kita perlu KEMBALI KEPADA ALLAH. Bagaimana?
Mahu tidak mahu kita perlu MENDEKATKAN DIRI KEPADA-NYA. Bagaimana?
Bagaimana, bagaimana, bagaimana???

Kembalilah bersujud kepada DIA Yang Maha Tahu, Maha Dengar, Maha Lihat dan Maha Segalanya. DIA tahu kita tidak punya kekuatan. DIA tahu setiap sisi kelemahan dalam diri kita. Jadi, merintih, merayu, mengharaplah kepada DIA agar dikurniakan kekuatan itu. Masih tidak peroleh? Usah sekali-kali berputus asa. Minta dan minta lagi. Bukankah dalam tauhid asma wa sifat telah menerangkan bahawa ALLAH itu Maha dan Maha...

Jadi, fikirkanlah kembali.... Wajarkah kita menghilang atau menjauh terus andai kita ada berbuat salah sebelum ini????

Fikirkan... Kita terjatuh di dalam lubang yang besar...

i) Kita berusaha untuk bangkit. Kita mahu keluar dari lubang itu. Sukar? Namun kita terus berusaha. Rasa sakitnya! Kita tetap tidak berputus asa. Kita buat perlahan-lahan dan lama-lama, kita cuba melangkah laju. Tetap tidak boleh! Carilah tangan yang bisa menarik kita. Tidak ada! Hmmm... ALLAH ada... ALLAH sangat dekat dengan setiap hamba-NYA. Insya-ALLAH, satu ketika kita akan berjaya keluar dari lubang itu.

ii) Kita tidak berusaha dan tidak mahu bangkit. Kita takut untuk berasa sakit. Kita malu dilihat orang. Baju kita kotor kerana terjatuh tadi. Kita gusar orang akan menggelakkan kita. Kita tidak bersedia. Jadi? Kita mahu terus berada di dalam lubang itu? Hmmm... kalau hujan lebat, air memenuhi lubang, bagaimana? Kita pula tidak pandai berenang. Kalau pandai pun, selama mana kita mampu bertahan dalam kesejukan???

Kedua...

Muthiah ingin kaitkan hal di atas dengan perihal TAQWA.

Apakah yang kita fahami dengan taqwa??? - Takut.
Takut yang bagaimana??? - Takut melakukan sesuatu yang dilarang ALLAH.
Lantas??? - Kita berusaha untuk menghindari perkara yang dilarang itu.

Sepertimana kisah Sayidina Umar dengan seorang sahabat...

Sayidina Umar : Apakah yang kamu fahami tentang taqwa?
Sahabat : Apakah yang akan kamu lakukan tatkala berjalan di atas jalan berduri?
Sayidina Umar : Akan berjalan dengan penuh hati-hati.
Sahabat : Itulah TAQWA...

** HATI-HATI**

Kalau rasa bersalah dengan orang, kita menjauh kerana segan.
Kalau takut dengan orang, kita turut juga menjauh.

Kalau salah dan takut dengan ALLAH, ADAKAH KITA AKAN MENJAUH juga?

Tidak, bukan???

i) Bila salah - kita mendekat kerana mahukan keampunan daripada-NYA. Bagaimana hendak mendekat? Melalui amal dan ibadah. Melalui segala sesuatu yang boleh mendekatkan kita kepada ALLAH. Kalau melupakan ibadah terus? Khuatir kan semakin menjauh...

ii) Bila takut - kita juga mendekat kerana mahukan petunjuk daripada-NYA. Kita takut tersilap dan tersasar jalan. Maka, kita selalu bermohon kepada DIA agar ditunjukkan lorong yang diredhai.

Jadi....

Huhaha... panjang bangat. Moga apa yang Muthiah coretkan ini dapat memberi manfaat kepada rakan-rakan semua. Buat Ukhtie yang yang Muthiah kasihi fillah khususnya... Percayalah bahawa Ukhtie tidak seorang dan tidak sendiri dalam mengejar cinta dan redha-NYA.

Maaf andai ada kekurangan dan terkasar bahasa.

Salam sayang...

Muthiah : Jelik dengan mereka yang tidak peka....

Rasa bersalah tetapi .... (ii)


bersambung dari entri semalam.

"Kita berasa malu kepada seseorang kerana ada berbuat salah kepadanya. Maka, kita bertindak menjauhkan diri daripadanya.

Jadi, bagaimana pula jika hal sedemikian berlaku kepada ALLAH? Kita rasa bersalah kerana tidak berbuat amal lantas kita berhenti daripada melakukan ibadah terus?"

Hmmm....

Pertama, sewajarnya... kita asingkan dahulu.

i) Rasa bersalah kepada sesama manusia; Tindakan - menjauhkan diri.
ii) Rasa bersalah kepada ALLAH; Tindakan - berhenti terus daripada beramal.

Persoalannya, wajarkah tindakan kita itu?

Sedikit tentang rasa bersalah kepada sesama manusia. Mungkin kita berasa malu untuk berdepan dengannya. Ya! Memang selaku insan biasa kita banyak melakukan khilaf. Namun, acap kali keegoan diri membuatkan kita berasa berat hati untuk merendahkan diri mengakui kesalahan yang telah dilakukan. Lantas, kita menjauhkan diri.

Soalkan pada diri sendiri :

a) Sampai bila kita mahu menjauh?
b) Sampai bila kita hendak berasa hati?

Bayangkan... hari ini, kita berbuat salah kepadanya. Kita berasa malu yang amat sangat. Jadi, kita bertindak menjauhkan diri daripadanya. 1 hari... 2 hari.... 1 minggu... 2 minggu... Tup tup... kita mendapat khabar bahawa dia telah dipanggil kembali atau kita sendiri yang dijemput ILAHI.

a) Apakah perasaan kita waktu itu?
b) Adakah kita menyesal?

Namun, nasi sudah menjadi bubur...

Jadi...

a) Berusahalah untuk berlapang dada.
b) Kuatkan hati untuk memaafkan.
c) Cari ruang untuk merendahkan diri.

Cari ruang untuk merendahkan diri? Ya... menjauh seketika tidak ada salahnya. Ambil tempoh untuk bertenang dan menghisab diri sendiri. Namun, jangan terlalu lama. Khuatir kita lebih banyak bermain dengan emosi daripada menggunakan akal yang rasional. Ditambah dengan peranan iblis laknatullah yang giat menjalankan kerjanya.

Mintalah kepada ALLAH agar diberi kekuatan hati. Kemudian, kembalilah menjalinkan ukhwah. Tidak ada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini. Kita juga tidak terkecuali.

Hahaha... belum menjawab persoalan pokok. Insya-ALLAH pada entri yang ketiga. Kita kupas satu-satu. Manalah tahu, yang tidak utama ini bisa dimanfaatkan sesiapa yang membacanya. Sabar, ya Ukhtie ;)

Muthiah : Teman tetapi mesra..

Rasa bersalah tetapi... (i)


Assalammualaikum.

Apa khabar, teman-teman yang Muthiah kasihi fillah? Muthiah... 'Ala kullihal Alhamdulillah. Masih dikurniakan dengan nikmat ISLAM dan IMAN. Nikmat yang tidak terhingga nilaiannya. Syukur kerana dilahirkan sebagai seorang MUSLIM dan moga-moga satu hari nanti... nikmat ini akan terus berkekalan sehingga ke hujung nyawa, insya-ALLAH.

Hmmm... Dua hari lepas, Muthiah menerima satu sistem pesanan ringkas (sms) daripada seorang teman yang jauh di mata tetapi dekat dalam jiwa, insya-ALLAH. Dia mengajukan Muthiah dengan satu soalan yang berbunyi :

Bagaimana hendak menghilangkan rasa bersalah kepada ALLAH tetapi tidak terus melakukan amal?

Contoh yang diberikan pula :

1) Kita berasa malu kepada seseorang kerana ada berbuat salah kepadanya. Maka, kita bertindak menjauhkan diri daripadanya.

2) Jadi, bagaimana pula jika hal sedemikian berlaku kepada ALLAH? Kita rasa bersalah kerana tidak berbuat amal lantas kita berhenti daripada melakukan ibadah terus?

Hmmm... Muthiah sebenarnya bukanlah orang yang selayaknya untuk berkata-kata di sini. Namun, Muthiah akan cuba sedayanya berkongsi apa-apa yang Muthiah tahu.

Pertamanya... kembali kepada soalan pokok :

a) Bagaimana hendak hilangkan rasa bersalah...

Hmmm... kita tanyakan kepada diri..

i) Apakah yang menyebabkan kita rasa bersalah pada ALLAH?

- Mengabaikan perintah-NYA.
- Membuat sesuatu yang dilarang.
- Atau merasakan diri kita lebih teruk dari sebelumnya.

Dengan kata lain, kita koreksi diri dari akar permasalahan utama.

ii) Kenapa kita hendak menghilangkan rasa bersalah itu?

Dari satu sisi, rasa bersalah itu penting kerana dengannya, kita bisa kembali kepada PENCIPTA. Khuatir, andai kita tidak berasa apa-apa, kita akan semakin lalai, alpa dan leka.

Namun permasalahannya...

Kita rasa bersalah tetapi tidak pula melakukan perubahan dalam beramal. Kita semakin jauh dan terus menjauh. Perasaan bersalah itu tidak memberi apa-apa kesan kepada kita. Sekadar rasa bersalah pada TUHAN tetapi tidak ada tindakan selanjutnya..

iii) Kenapa tetap tidak beramal?
- Malas.
- Tidak berdaya.
- Tidak punya kekuatan.
- Tidak termotivasi.
- Tidak tahu kenapa tetap tidak beramal.

iv) Solusinya?
- Bilamana kita berasa malas, kita perlu paksa diri menjadi rajin. Sepertimana kata-kata Abdullah bin Muhammad As-Syibli, "Jikalau engkau ingin merasai KEMANISAN berhubung dengan TUHAN-mu, engkau harus GARANG terhadap dirimu. Bilamana engkau telah merasai KEMANISAN perhubungan itu, tahulah engkau betapa PAHITNYA apabila berpisah dengan-NYA." Jadi ~ perlu GARANG pada diri sendiri dalam melakukan amal.

- Bilamana kita tidak berdaya, tidak punya kekuatan, tidak termotivasi, carilah DAYA, KEKUATAN dan MOTIVASI. Bagaimana? Tidak lain, carilah melalui/ daripada ALLAH. Merintih, merayulah kepada-NYA. Sesungguhnya DIA Maha Tahu, Maha Mendengar dan Maha Segalanya. Pasti!!! Hanya DIA jua yang boleh memberi kekuatan, motivasi dan daya itu sendiri. Malas untuk minta kepada-NYA? Berbalik kepada isi di atas yakni perlu garang kepada diri sendiri.

- Peranan orang sekeliling juga penting untuk menyedarkan kita. Kawan-kawan, suami/ isteri khususnya. Sebagai manusia, kita kadang-kadang lupa, teralpa dan leka. Sebab itu, pentingnya sahabat-sahabat untuk saling mengingatkan. Hadis Nabi SAW juga ada menyebut. 'Hendaklah menyintai saudara sebagaimana kita menyintai diri sendiri.' Bilamana kita peka terhadap diri kita, kita sama sekali tidak boleh melupakan orang di sekeliling kita. Sebagai contoh, kita hendak masuk syurga tetapi membiarkan mereka yang berada di kiri kanan depan belakang kita. Kita tidak peka terhadap mereka. Kita sangka, kita telah meninggalkan mereka namun hakikatnya... Merekalah yang akan menarik kita menjauhi syurga yang kita damba-dambakan. Kenapa? Kerana kita tidak pernah mahu mengajak mereka kepada ALLAH. Mereka pula menyalahkan kita apabila disoal ALLAH kelak.

Huh... panjang bangat. Baru intro... Belum menjawab keseluruhan soalan. Bersambung nanti, ya.

Boleh jadi, apa-apa yang Muthiah coretkan ini lari daripada tajuk namun harapan Muthiah, apa-apa yang baik dan boleh diambil iktibar. Yang silap, jadikan sempadan.

OK. Moga ketemu lagi.

Salam kemaafan daripada Muthiah.

Muthiah : GARANG...

Cemburu punya pasal


Sekembalinya suami daripada menunaikan solat Isyak di surau, ia telah melakukan sesuatu menyebabkan Muthiah menangis. Huhu… begini ceritanya.

Al-kisah… tersebutlah kisah…

Pada hari tersebut, surau Simpang telah mengadakan tahlil dan bacaan Yasin (seperti lazimnya pada setiap hari Khamis/ malam Jumaat). Suami yang baru balik dari surau seakan-akan sedang menyorokkan sesuatu. Tindakan dan perlakuan suami agak ketara. Apabila Muthiah menghampiri, suami semakin menjauh. Sahih! Memang sedang menyembunyikan sesuatu daripada Muthiah.

Muthiah : Abe ada makan apa-apa?
Suami : Adalah.
Muthiah : Abe makan apa?
Suami : Hmmm… Tidak boleh cakap.

Berkali-kali Muthiah bertanyakan soalan yang sama. Akhir sekali, suami pun berkata, “Makan mee dan teh sahaja.” Muthiah pun berpuas hati. Muthiah kembali menulis. Tiba-tiba…

Suami : Abe makan KFC sahaja. (Kemudian, suami menutup kembali mulutnya)
Muthiah : Sampai hati Abe makan tidak ajak.

Entah kenapa Muthiah rasa terkedu. Tup tup… Muthiah pun menangis. Top top… suami tergelak sakan.

Suami : Hmmm… kalau bab makan, cemburunya melampau-lampau.
Muthiah : Dah… Abe makan KFC tidak ajak. Muthiah…kalau makan apa-apa mesti simpan untuk Abe.
Suami : Dah dah… Abe gurau sahaja. Siapalah yang hendak belanja KFC?
Muthiah : Mana tahu. Macam surau di PJ. Selalu jamu KFC.
Suami : Abe sudah agak….
Suami pun terus tergelak… Kemudian, Muthiah pun tergelak sama.

Adoi!!! Macam ini pun ada? Entahlah…

Muthiah : Biasa cemburu bab makan dan tidur.
Labels: 0 comments | | edit post

Sesal


“Jahat macam mana pun Farah, dia tetap anak mak!” Kata Mak Som sambil menangis teresak-esak. Air matanya mengalir laju, menterjemah kepiluan yang menusuk kalbunya. Habis basah t-shirt Arsenal yang dipakainya. Entah baju siapa yang disarung, Mak Som tidak peduli. Yang penting, dia mahu Farah kembali ke pangkuannya. Lupakanlah perkara lalu dan binalah hidup baru. Sudah lama Mak Som memaafkan kesalahan anak bongsunya itu.

“Lupakanlah Farah mak. Dia bukan ingat kita lagi…” diam seketika.
“Kalau Farah sayangkan kita, dia tak akan buat kita macam ni mak…” Asdi memandang wajah Mak Som sayu. Jauh di sudut hati, ia masih sayangkan Farah namun kedegilan adik bongsunya itu membuatkan Asdi menjadi bosan. ‘Ya! Farah sudah melampau,’ hati kecilnya bersuara.
“Kalau Farah fikirkan mak, dia tak akan kahwin lari mak,” pujuknya lagi. Asdi tahu, Mak Som tidak akan mendengar bait katanya tetapi ia harus menyedarkan ibunya agar tidak terus berharap. Farah seakan orang asing dan anak manja Pak Mat itu seolah-olah sudah lupa asal-usulnya. Farah lupa… tanpa Mak Som dan arwah ayahnya, dia tidak akan mampu melihat dunia, dia bukanlah siapa-siapa.

Mak Som hanya diam. Tidak ada butir bicara yang terungkap dari bibirnya yang masih merah. Mungkin dek sireh yang dimakannya. Mak Som memandang ke luar jendela. Wajah manis Farah berlegar-legar di fikirannya. ‘Adakah mak yang bersalah sayang,’ Mak Som berkata sendiri. Kenangan silam menjelma…

“Farah nak kahwin,” kata Farah suatu hari.
“Kau nak kahwin dengan siapa? Belajar dulu, jangan buat tindakan melulu,” sampuk Asdi. Baginya, Farah masih terlalu muda untuk berumahtangga. Masak nasi pun tidak lepas, ada hati mahu bina keluarga?
“Biar adik cakap dulu Die,” Mak Som berkata lembut.
“Mak….” Asdi memandang ibunya tanda protes. Farah tidak boleh dimanjakan sangat, nanti naik minyak. Kemudian, Asdi berjalan menuju ke ruang tamu. Ia mencari-cari sesuatu. ‘Nah! Ini dia,’ bisiknya.
“Ni apa?” Tanya Asdi sambil melemparkan slip keputusan peperiksaan Farah ke mukanya.
“PNGK, 1.90. Ada hati nak bernikah? Habiskan belajar dulu. Ingat Farah, aku yang tanggung kau selama ni. Bulan-bulan, aku yang bagi duit. Aku buat pinjaman…” Asdi terdiam.
“Semuanya aku buat untuk kau. Ini balasan kau pada aku?” Asdi meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya. Ya, Asdi punya sebab untuk marah. Dek sayang, ia sanggup berkorban demi adik bongsunya. Disebabkan rasa sayang jualah ia tidak teragak-agak membuat pinjaman dengan Lim Ah Long. Harapannya satu, agar adiknya berjaya dan menjadi orang berguna. Marahnya kepada Farah bukan kerana benci tetapi dek cinta yang mendalam buatnya. Farah hanya diam seribu bahasa namun jauh di sudut hati, kebencian terhadap abang kandungnya itu semakin membuak-buak. Ah, Farah masih terlalu mentah dalam membuat pertimbanganya.

Esoknya…
Tok tok tok… diam.
Tok tok tok… diam lagi.
“Farah, bangun. Dah Subuh sayang,” kata Mak Som lembut dari luar bilik. Begitulah Mak Som sehari-hari. Kalau Farah berada di kampus, ia hanya perlu mengejut Asdi dari tidur. Kalau kedua-duanya berada di rumah, kedua-dua bilik anaknya itu perlu diketuk. ‘Tidur mati gamaknya,’ fikir Mak Som.

Mak Som cuba menolak pintu bilik Farah. Kuak… tidak berkunci!
“Farah…” panggil Mak Som.
“Farah!!!” Tiba-tiba Mak Som menjerit. Anak gadisnya tidak ada di atas katil. Ke manakah ia pergi?
“Asdi!!!” Mak Som segera memanggil anak sulungnya. Asdi, yang kelazimannya begitu liat untuk bangun pagi tiba-tiba sudah terpacak di hadapan Mak Som. Terkejut agaknya dengan jeritan Mak Som yang lebih kuat daripada jeritan Nohara, mamanya Shin Chan.
“Ish, menyusahkan betul budak ni,” bebel Asdi. Segera ia menuju ke katil Farah. Adik bongsunya memang tidak ada. Kemudian, Asdi berjalan ke arah almari pakaian. Pakaiannya juga tidak ada. Tiba-tiba, Asdi terpandang sekeping kertas yang diletakkan di birai katil. Tanpa melengahkan masa, Asdi mengambil kertas putih itu lantas membaca bait kata yang dicatatkan di atasnya.

Mak,
Maafkan Farah kerana terpaksa membuat keputusan ini. Farah tekad untuk mengikut Cagan. Farah cintakannya dan Farah mahu bersamanya….

Pendek tetapi padat. Asdi meramas-ramas kertas putih yang terkandung coretan daripada Farah. Mak Som ditenung penuh simpati. Asdi tahu, mungkin ia terlalu tegas dengan Farah tetapi adik bongsunya itu betul-betul telah mengecewakannya. Asdi sayangkan Farah, Asdi rela berkorban untuknya tetapi mungkin ketegasannya dalam mendidik membuatkan Farah berasa tersisih. Salahkah ia sedang itu adalah sifat semulajadinya? Asdi menundukkan kepalanya ke lantai. Air mata lelakinya jatuh jua ke bumi. Asdi terkilan…

Tahukah Farah tindakannya yang tidak mahu serius dalam pelajaran membuatkan dia tertekan? Ditambah dengan keputusan Farah untuk bernikah, dan bakal suami pilihannya bukanlah seorang yang terjamin masa depannya. Asdi kenal lelaki itu…

Cagan anak Pak Mail adalah mat rempit yang begitu masyhur di kampungnya. Ia berbangga dengan luka dan parut yang mendiami tubuhnya. Minggu sudah, khabarnya Cagan telah ditahan di dalam lokap kerana merempit dan meragut. Aduh aduh, entah apa hendak jadi dengan pemuda hari ini, Asdi pun tidak tahu. Farah pula, tersilap langkah dengan memilih lelaki sebegitu sebagai teman lelaki.

“Hahhhhh…” Asdi tiba-tiba menjerit. Ia betul-betul tertekan! Manakan tidak tertekan… seandainya adik perempuannya itu kandas, siapakah yang akan membantunya melangsaikan hutang Lim Ah Long? Bukan Asdi tidak tahu dengan sikap ceti yang cekik darah itu tetapi ia terpaksa. Dia tidak punya pilihan, harta apatah lagi dan dia hanyalah seorang tukang cuci.

Gajinya tidak seberapa dan dia bukan siapa-siapa. Sebab itulah lamarannya untuk memperisterikan Salmah, anak Pak Leman nombor tiga ditolak beberapa kali. Walaupun Salmah turut bekerja sebagai tukang cuci, Pak Leman tetap mengimpikan menantu berkereta besar dengan mahligai mewah.

“Asdi…” Mak Som memanggil-manggil anak lelakinya. Tanpa mengendahkan panggilan Mak Som, ia segera meninggalkan bilik tersebut dan menuju ke ruang tamu. Dicapainya kunci motor Honda 50cc lantas membuka pintu rumah dan terus berlalu meninggalkan Mak Som terkebil-kebil sendiri. Entah ke mana Asdi hendak pergi, Mak Som sendiri tidak tahu. Pagi itu, Mak Som hanya duduk di beranda rumah memerhati langit yang sentiasa mendung tetapi tetap tidak mahu menurunkan hujan. ‘Farah… Asdi, sudah lama mak ampunkan kalian,’ Mak Som berkata sendiri.

Tok tok tok… pintu rumah diketuk.
Mak Som yang tadinya sedang hanyut dalam dunianya tersedar daripada lamunan. Perlahan-lahan Mak Som berjalan ke muka pintu. ‘Siapakah mereka ni?’ Fikir Mak Som di dalam hati.
“Alo… itu Asdi ada ka?” Tanya seorang lelaki cina berkepala botak dengan tatu di lengan.
“Ada… tunggu sebentar tauke,” jawab Mak Som lantas masuk ke dalam rumah, terlupa agaknya Asdi baru sahaja keluar dari rumah.
“Die… Die… Die…” panggil Mak Som perlahan. Tadi, anak lelakinya sedang minum air di dapur. ‘Ke mana pulak budak ni pergi,’ bisik hati Mak Som. Segera ia berjalan ke luar, khuatir tetamu di luar menanti terlalu lama.
“Maaf tauke. Tadi ada, sekarang hilang. Lu mahu pesan apa-apa?” Mak Som berkata sejujurnya.
“Macam inilah makcik. Anak makcik hutang sama saya RM3,000…” diam sejenak.
“ Katanya, itu amoi dapat masuk universiti. Sekarang, sudah tiga tahun hutang belum habis bayar. Jadi, itu bunga sudah naik sampai RM10,000. Makcik tolong bagi ini hadiah pada anak makcik. Kasi tahu sama dia, kalau dia lari, saya kasi tembak,” kali ini, lelaki bermisai tebal tersebut berkata tegas. Mungkin inilah dia Lim Ah Long.
“Ingat ya makcik,” katanya lagi dengan suara yang dilembutkan. Belum sempat Lim Ah Long berlalu pergi, ia dilanggar oleh Seman, anak Pak Dollah.
“Mak Som… Mak Som… Abang Asdi berlanggar dengan lori balak. Habis kepalanya pecah,” katanya tercungap-cungap.
“Asdi!!!” Jerit Mak Som lalu jatuh pengsan.
“Aiyaa… itu budak ada mati ka? Siapa mahu bayar sama ini hutang?” Lim Ah Long menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Lu ceti… orang sudah mati lu pikir itu wang lagi ka?” Tanpa rasa gentar, Seman menempelak lelaki cina itu. Cepat-cepat ia mendapatkan Mak Som yang sudah tidak sedarkan diri.
“Lain kali, saya datang lagi,” dengan angkuh Lim Ah Long berkata. ‘Manyak lugi maaa,’ ia mengomel-ngomel sendiri.
“Mak Som, Mak Som…” Seman memanggil-manggil nama Mak Som. Tiada respon.
“Mak Som…” panggilnya lagi.
“Kenapa dengan Mak Som tu Seman?” Tanya Mak Piah yang baru sampai ke rumah Mak Som. Setelah mengetahui kemalangan maut yang menimpa Asdi, cepat-cepat Mak Piah ke rumah rakan karibnya itu.
“Tak tahu Mak Piah. Tiba-tiba dia jatuh pengsan,” kata Seman yang seolah-olah sudah hilang akal, tidak tahu apa yang harus dilakukan.
“Som…” panggil Mak Piah. Dada Mak Som dipegang perlahan. Hmmm… nadinya tidak berdenyut. Mak Piah kemudiannya meletakkan jari manisnya pada hidung Mak Som yang tidak mancung. Hmmm… tidak ada udara.
“Seman! Pergi panggil misi Noriah cepat. Mak Piah tak pandai nak …” belum habis Mak Piah memberi penerangan, Seman sudah berlari kencang ke atas jalan. Dia mengagak…

“Innalillahiwainnailaihirajiun…” misi Noriah berkata tatkala ia menjamah tubuh Mak Som. Ya, Mak Som telah pergi tak akan kembali, bersama-sama anak terunanya yang belum sempat menikmati kehangatan hidup berumahtangga. Kasihan Asdi, menemui ajal sebelum sempat bergelar suami. Meskipun Pak Leman menolak, jauh di sudut hati ia mencintai anak gadis Pak Leman itu dan ia pasti, Salmah juga mempunyai rasa yang sama.

Setelah mayat Mak Som dan Asdi siap dikapankan, banyaklah penduduk kampung yang datang berziarah. Mak Piah kelihatan sugul dengan pemergian Mak Som. Al-maklumlah, Mak Som adalah teman gosipnya. Begitu juga dengan Salmah. Ia menangis teresak-esak tatkala melihat jenazah Asdi. Ia memandang Pak Leman yang sepertinya orang kalah judi dengan renungan yang tajam. Mungkin sahaja Pak Leman menyesal menolak lamaran Asdi. Entah siapalah yang inginkan anak gadisnya yang jongang itu.

Bukan itu sahaja, Pak Atan pun hadir menyembahyangkan kedua-dua jenazah. ‘Aku halalkan hutang-hutang kau Som,’ bisik hatinya. Kasihan Pak Atan melihat keluarga itu. Mak Som tidak bekerja dan hanya mengharapkan Asdi yang kerjanya tidak seberapa. Seman yang tadinya memandang luar jendela tiba-tiba tersentak. Lim Ah Long juga datang?

“Tauke, lu mahu minta hutang ka?” Tanya Seman tatkala Lim Ah Long menjejakkan kaki ke dalam rumah.
“Betul. Manyak lugi ooo,” kata lelaki cina itu bersungguh-sungguh.
“Lu pergi minta dengan itu mayat la,” sindir Seman.
“Aiyaaa… lua-lua sulah mati oooo…” diam sejenak.
“Gua balik lulu oooo. Nanti gua kena itu suwei,” katanya lagi lantas terjun ke tanah tanpa menggunakan tangga. ‘Apa daaa,’ Seman berkata sendiri sambil tersenyum. Tiba-tiba, Seman tersentak lagi. Matanya memandang tepat ke arah wanita bertudung yang sedang berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah Mak Som, eh arwah Mak Som. Di sampingnya, ada seorang anak kecil. Tidak seperti wanita bertudung itu, budak lelaki berbaju ‘Upin Ipin’ tersebut berlari laju meninggalkan ibunya yang seolah-olah berat hendak melangkah.

“Mak…”
“Abang Die… ampunkan Farah,” jerit wanita berkerudung hitam itu sambil menangis teresak-esak.
“Mak… ampunkan Farah,” jeritnya lagi.
“Mak dengan abang kau dah tak boleh dihidupkan balik. Dah dah… jangan kau meratap kat sini. Baik kau pergi dari sini,” sergah Seman. Geram betul dia dengan Farah. Dahulu, Seman memang tergila-gilakan Farah tetapi gadis itu menolaknya. Farah bukan setakat menolak tetapi menghina dan mencercanya. Nah, sekarang terimalah pembalasannya.
‘Pembalasan kerana menolak cintaku…’
‘Eh, pembalasan kerana menderhaka kepada ibu…’
‘Pembalasan kerana mementingkan diri sendiri…’ Seman tahu semuanya sementelah Asdi adalah rakan karibnya dan ia sedia maklum tentang pergolakan dalam keluarga Mak Som.

Cagan telah meninggalkan Farah bersama-sama ‘hadiah’ yang paling berharga. Walaupun ia menangis keluar air mata darah sekalipun, virus HIV yang berenang riang di dalam jasadnya tidak akan mahu meninggalkannya. Walaupun Farah menangis sehingga banjir jadinya, Mak Som dan Asdi tidak akan dapat dihidupkan kembali. Farah kesal… Farah menyesal dengan keterlanjuran. Ia memandang anak kecilnya dengan pilu. ‘Maafkan mama sayang,’ bisik hati kecil Farah….

Anak adalah.... (Hadis)

Assalammualaikum. Muthiah paste daripada Facebook seorang teman.. Begitu mendalam maksud hadis ini membuatkan Muthiah terfikir dan terus terfikir sendiri...

Anak adalah majikan selama tujuh tahun, hamba selama tujuh tahun berikutnya, dan menjadi menteri selama tujuh tahun berikutnya...

Apa itu majikan?
Apa itu hamba?
Apa pula yang dimaksudkan dengan menteri?

Hmmm... mari kita renung-renungkan...

Muthiah : Hendak jadi hamba Allah yang taat selamanya, insya-Allah.

Kisah Uqbah bin Mu’it (Bedah buku)


Assalammualaikum…

1- Pernahkah kita terguris/ disakiti???
2- Pernahkah merasakan… ‘Allah tidak makbul doa…’?

Insya-Allah, bedah buku hari ini Muthiah ingin berbicara tentang sirah Nabi SAW yang telah disakiti oleh Quraisy namun… junjungan besar itu tetap bersabar. Akhirnya….

Ringkasan cerita

Sewaktu Nabi SAW sedang sujud di Kaabah, datang Uqbah bin Mu’it (salah seorang pembesar Quraisy) kepadanya dengan membawa perut serta najis unta. Selepas itu, ia pun meletakkan kotoran-kotoran tersebut di atas kepala Muhammad. Nabi SAW tetap diam dalam sujudnya manakala para pembesar Quraisy yang memerhati peristiwa itu ketawa terbahak-bahak. Fatimah yang melalui kawasan itu pula menangis tatkala melihat penghinaan dan ujian yang ditanggung bapanya.

Setelah Muhammad bangun daripada sujudnya, ia memandang pembesar Quraisy itu satu persatu. Kemudian, Nabi SAW berdoa kepada Allah dengan menyebut setiap nama mereka yang berada di situ. Menurut kata seorang perawi hadis, setiap nama yang didoakan Muhammad pada ketika itu mati terbunuh sewaktu perang Badar.

Pengajaran

1- Mereka yang membawa kalimah tauhid, pasti akan ditentang oleh mereka yang tidak mahu tunduk kepada Allah. Boleh jadi secara terang-terangan dan tidak mustahil secara halus. Hmmm… secara halus itu sebenarnya lebih merbahaya.

2- SABAR itu penting bagi seorang dai’e. Pernah rasa terguris dan terhiris? Imbas kembali sirah Rasulullah yang melalui saat yang lebih hebat daripada itu. Setidak-tidaknya, kita tidak pernah melalui pengalaman dipulau oleh penduduk setempat, tidak juga diburu (untuk dibunuh)… Justeru, jadikan sirah Nabi SAW ini sebagai satu motivasi bagi diri kita untuk lebih kuat dan tabah dalam mengharungi dugaan serta ujian dalam berdakwah.

3- Banyakkan berdoa kepada Allah. Kemudian, bersabarlah. Serahkan segalanya kepada penghitungan Allah. Kita mahu orang yang menyakiti itu merasai apa yang kita rasa? Tidak perlu! Allah yang Saksama itu lebih tahu mana yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Keadilan-Nya tidak terjangkau dek fikiran. Lihat sahaja kisah di sebalik perjanjian Hudaibiyah.

4- Berbicara tentang doa, Nabi SAW pernah bersabda, “Akan dimakbulkan doa selagimana ia tidak gopoh dengan Tuhan.” Sahabat bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan gopoh itu, wahai Muhammad?” Nabi SAW menjawab, “Iaitu orang yang berkata, aku sudah berdoa dan berdoa tetapi masih tidak dimakbulkan oleh Allah.”

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan…

Muthiah : Pernah terguris. Apa yang Muthiah buat? Berdoa dan solat! Serahkan segalanya kepada penghitungan dan keadilan Allah.
Labels: 0 comments | | edit post

Sepagi di pejabat....


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Bagaimana dengan kerja? Muthiah??? 'Ala kullihal Alhamdulillah. Berkat kesabaran, ALLAH telah menunjukkan 'jalan' yang paling baik untuk Muthiah dan keluarga.

Hmmm... Satu SOALAN cepuk emas ;)

Pernah rasa 'kecewa' tatkala berurusan dengan mana-mana jabatan (tidak kira kerajaan mahupun swasta)? Hehe... Kalau pernah, apakah kesannya?

Di kesempatan ini, Muthiah ingin berkongsi satu cerita yang mungkin kurang enak tetapi boleh sahaja dijadikan iktibar.

Bagini...

Muthiah dan suami telah turun ke Subang Jaya untuk menguruskan sesuatu urusan yang agak penting ~ perjalanan dari Taiping.

Sesampainya di tempat tersebut, kami pun ke kaunter pertanyaan dan bertanya kepada staf yang bertugas.

Muthiah : Saya hendak uruskan .... Sudah lama terbengkalai dan tidak ada siapa yang mahu uruskan. Dengan siapa saya boleh bertemu?
Staf (1) : Oh, boleh pergi ke kaunter 9.

Muthiah dan suami pun beratur ke kaunter yang disarankan.

Huhuhu... sayang seribu kali sayang. Sudahlah Muthiah datang dari jauh untuk menguruskan perkara ini tetapi layanan yang diberikan amatlah mengecewakan. Bayangkan... Muthiah bertanya, respons yang diberikan??? Huhuhu...Sudahlah jawapan sambil lewa, tidak mesra pelanggan pula itu.

Mungkin petugas di kaunter tersebut sibuk tetapi kalau dilihat pada mata kasar, dia hanya duduk di situ. Memandangkan datang jauh, banyak perkara yang ingin Muthiah tanyakan tetapi... huhu.... sedih...

Kemudian, Muthiah sudah sebak (maklumlah, Muthiah ini sensitif sebenarnya. Ditambah dengan rasa penat yang belum surut). Suamilah yang cuba berurusan dengan pekerja tersebut. Kami datang bukan dengan tangan kosong. Ada maklumat yang telah kami bawa dan kami ingin bertanya perkara yang kami tidak faham tetapi dia tidak mahu melayannya.

Bukan itu sahaja... selepas itu, dia pun meninggalkan kaunter dan kami buntu sendiri.

Hmmmm...

Apa mengecewakan Muthiah??? Entahlah...banyak.

Namun, PUJIAN harus diberikan kepada PAK CIK JAGA yang bertugas. Muthiah pun cuba bertanya kepada dia dan jawapannya amatlah menyenangkan hati. Walaupun pak cik ini (mungkin tidak berpelajaran tinggi) sebagaimana petugas di kaunter, apa yang ditunjukkan JAUH lebih baik daripada apa yang harus dilakukan oleh petugas kaunter.

Moga-moga, pihak yang berkenaan dapat mengambil perhatian perkara ini. Kasihan mereka yang mahu berurusan dengan jabatan X. Macam Muthiah, sudahlah datang dari jauh, dilayan sebegitu pula.

....

Namun, di sebalik kesukaran ini... ALLAH permudahkan perkara lain pula. Urusan lain Muthiah pada hari tersebut dan hari-hari seterusnya berjalan lancar.

Muthiah muhasabah balik... Mungkin ada hikmah di sebalik sesuatu. Dan... Muthiah kembali redha tetapi... Muthiah perlu sampaikan juga di sini agar orang lain boleh ambil iktibar dan pengajaran. Dan...

1) Kita perlu sedar yang hidup ini tidak semuanya indah. Namun, kita perlu sentiasa positif dengan apa-apa yang telah ditentukan oleh ALLAH.

2) Susah untuk mengikhlaskan hati dalam bekerja atau melakukan sesuatu namun cubalah... Cubalah semai keikhlasan dalam diri kerana ALLAH.

3) Setiap sesuatu yang tidak menyenangkan hati, anggaplah sebagai ujian/ kafarah dosa kita. Bukankah dengan terpijak duri pun dosa kan bisa terampun? Inikan pula sesuatu yang mungkin lagi menyakitkan.

Muthiah : Moga-moga kan dapat menyelesaikan perkara tersebut...

Oh, Mama... SAYA MAHU KAHWIN (i)


Siapa hendak kahwin, angkat tangan?

Hehe... nampaknya, semua punya keinginan untuk mendirikan rumah tangga. Eh, ada seorang tidak angkat tangan.

Kenapa, Dik?
Tidak ada duit, Kak...

Bukan tidak ada, Dik tetapi belum mencukupi. Umur berapa?
20 tahun, Kak...

Alahai, sememangnya belum bersedia (belajar pun belum habis lagi). Namun jangan terperanjat, ada yang sudah bersedia mental dan fizikal. Lain orang lain kemampuannya. Tepuk dada, tanya iman.

Kenapakah mahu kahwin?

Hmmm... satu... dua... tiga... seratus! Banyaknya yang angkat tangan. Ada seratus jawapan yang berbeza agaknya. Ya?

1- Mengelakkan maksiat - maksiat mata, tangan, kaki, telinga, mulut...

2- Memenuhi fitrah manusia - perlukan penerangan? Hmmm... Cari sendiri!

3- Menjaga hati/ diri - maklumlah. Fitrah magnet melekat pada lawan cas.

4- Memenuhi salah satu daripada tuntutan agama.

5- Sunnah Nabi.

6- Menjaga keturunan.

7- Mak sudah bising di kampung - Alahai, umur sudah meningkat tetapi senyap sahaja... Hmmm... sesungguhnya, jodoh itu ketentuan Allah. Namun, menurut Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, perlu berusaha mencarinya. Ia tidak datang bergolek.

8- Ingin menyayangi dan dikasihi oleh seseorang yang berhak - Mahu berkongsi rasa hati... Chewaaaah.

9- KERANA CINTA - CINTA... Cinta sementara di dunia yang fana ini kerana CINTA yang hakiki dan abadi hanyalah milik Allah, Tuan Punya alam ini. Namun...huhu (peringatan untuk diri Muthiah juga)... sering kali juga terlupa dengan CINTA...

10- Untuk menunjuk-nunjuk - Hehe... hantaran kau RM5K, aku? Laki kau kerja buruh, aku? Huhuhu...nauzubillah. Minta jauh dari diri Muthiah dan rakan-rakan.

Ada lagi??? Marilah kongsikan bersama.

Adoi... Itu baru pengenalan. Apa yang sebenarnya Muthiah mahu coretkan ialah tentang hutang sebelum dan sesudah kahwin.... Alahai... tidak ada kaitan langsung dengan pembukaan. Maaf, ya ;)

Bersambung ...

Muthiah : Alhamdulillah. Urusan perkahwinan Muthiah dahulu dipermudahkan Allah dengan semudah-mudahnya...

Buas punya budak


Sewaktu sedang membeli barang keperluan dapur baru-baru ini, Muthiah telah melakukan sesuatu di luar jangkauan Muthiah. Apa?

Hendak dijadikan cerita, semasa hendak memilih timun, terdapat sebatang timun yang kelihatan seperti sedang bercantum (ala-ala kembar). Muthiah pun membelek timun tersebut. Eh, bukan belek sahaja tetapi… Muthiah turut cuba memisahkan timun-timun itu. Iyalah… mahu mengenalpasti. Benarkah timun ini betul-betul bercantum?

Tup-tup… timun terpatah dua (TER – bermakna tanpa sengaja). Alahai…. Terpaksalah Muthiah membelinya. Itulah… gatal tangan sangat.

Muthiah : Hendak patahkan…
Labels: 0 comments | | edit post

Kembali terjalin


Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa mengingatkan aku kepada kenangan semalam. Mana mungkin aku melupakan ‘cerita’ itu sedang aku adalah pelakon utamanya. Umpama Mahsuri … bak Saidatina Aisyah Ummul Mukminin yang difitnah dihina.
Namun, aku insan biasa yang tidak punya apa-apa. Mahsuri dibuktikan tidak berdosa dek darah putih yang mengalir. Humairah, kekasih hati Rasulullah apatah lagi. Disucikan dirinya dengan firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu kira berita bohong itu buruk bagimu bahkan baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang daripada mereka mendapat balasan dosa yang dikerjakan. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran bohong itu, baginya azab yang besar,’ (An-Nur ayat 11).
“Iman tak setia!” Diam sejenak.
“Iman tak setia dengan perhubungan ini,” tuduh Farid. Wajahnya yang putih bertukar kemerahan. Marah benar dia dengan kekasih hatinya itu. Mustahil Rahmah berbohong sementelah gadis hitam manis itu adalah rakan karib Iman.
Aku hanya diam seribu bahasa. Sebak hatiku untuk bersuara. Wajah Farid kupandang penuh sayu. Setelah lebih empat tahun aku dan Farid saling mengenali, ia tetap mahu mencurigaiku. Bagiku, hanya Farid yang bertahkta di dalam sanubariku. Tidak ada insan lain. Ya! Itu aku pasti.
“Abang percayakan Iman tetapi Iman mengkhianati kepercayaan Abang,” katanya lagi. Aku tahu, Farid masih belum berpuas hati meluahkan rasa. Aku masih lagi diam. Aku keliru… apa sebenarnya yang terjadi?
“Abang betul-betul kecewa dengan Iman dan…” Farid memalingkan mukanya daripadaku.
“Kita putus di sini,” terketar-ketar Farid mengungkapkan kata-kata itu.
“Abang…” kali ini, air mataku tidak tertahan-tahan lagi. Pilu… baru semalam rasanya kami bergelak-tawa tetapi hari ini, kegembiraan yang menyelubungi hidupku hilang sekelip mata. Lebih parah lagi, aku sendiri tidak tahu punca pertelingkahan ini.
Pagi tadi, Farid menghubungiku. Katanya, ada perkara penting yang ingin dibincangkan. Tidak ada tanda-tanda ia sedang marah tetapi apabila berhadapan denganku, Farid terus berubah wajah. ‘Apa salah Iman bang?’ Aku berkata sendiri.
“Sampaikan salam Abang pada Syamsul, buah hati Iman tu. Abang tahu, Abang tidak sekaya Syamsul tetapi Abang kaya dengan HARGA DIRI!” Farid berkata sambil tersenyum sinis. Ia kemudiannya berlalu pergi meninggalkan aku terkebil-kebil sendiri. Syamsul????
Ya! Lelaki itu memang sedang berusaha keras menawan hatiku tetapi tidak sekali-kali aku melayaninya. Syamsul bukanlah jejaka pilihan hatiku. Ia mungkin sahaja layak dijadikan teman akrab tetapi bukan suami! Tidak sama sekali kerana hatiku telah dicuri oleh insan lain.
Lelaki berperibadi mulia dan begitu menghormatiku selaku seorang wanita. Farid tidak pernah mahu mengambil kesempatan terhadapku bahkan sering sahaja menasihatiku agar menjadi wanita yang tepelihara… wanita yang tahu menjaga maruah diri. Aku kagum dengannya meskipun kadang-kadang kurasakan ia begitu strict dengan prinsip dan pendiriannya, “Sebelum ijabkabul, kita tidak boleh selalu bertemu dan kalau bertemu sekalipun tidak boleh berdua-duaan,” katanya satu ketika dahulu.
Argh! Aku buntu. Aku tidak ketemu jawapan yang pasti. Permasalahan yang berlaku umpama lava yang dimuntahkan gunung berapi tetapi aku sendiri tetap keliru. Di manakah silapnya dan kenapa nama Syamsul tiba-tiba disebut? Bagaimana Farid mengetahui tentang lelaki itu sedang hanya aku dan Rahmah maklum tentangnya.
Rahmah???? Adakah teman baikku ini memberitahu Farid tetapi bukankah ia sudah maklum bahawa aku telah menolak cinta anak Tan Sri Kamal itu? Ya, Syamsul memang golongan atasan tetapi kemewahan miliknya sama sekali tidak menjaminku untuk masuk syurga. Aku mahukan lelaki yang boleh membimbingku... boleh membawaku kepada Tuhan sementelah ibu dan bapaku tidak begitu menitik-beratkan persoalan agama. Farid adalah calon yang terbaik.
Kring kring…
Kring kring…
“Assalammualaikum, Iman ada?” Kata satu suara.
“Ya saya, siapa ni?” jawabku perlahan.
“Adoi, tak cam ke? Rahmah la ni…” Rahmah ketawa yang dibuat-buat.
“Oooo. Buddy, how may I assist you?” Aku berlagak seperti seorang CSO (customer service officer).
“Saja call kau. Ada OK? Lain macam saja suara tu,” ia bertanya lembut.
“Hmmmm…” diam sejenak. Aku cuba membina kekuatan dalam diri. Aku tidak akan menangis di hadapannya meski jauh di sudut hati aku begitu pilu menghadapi situasi hari ini. Huhu… Farid meninggalkan aku sendiri dengan tuduhan yang membuatkan aku hilang harga diri.
“Farid minta break…” diam lagi.
“Dia tuduh aku ada affair dengan Syamsul padahal aku manalah suka kat mamat tu,” aku meluahkan apa yang terpendam.
“Kau pun tahu kan…” aku diam seketika.
“Hanya Farid dalam hati aku dan Syamsul tidak sedikit pun mampu menjentik hatiku. hehehe…” aku sedikit bermadah.
“Lagipun, tidak mungkin aku menyukai Syamsul yang playboy tu,” aku meluahkan apa yang terpendam di dalam hati.
“Cool cool. Kau dah explain kat Farid?” Sungguh-sungguh Rahmah bertanya.
“Tak kuasa aku. Sepatutnya, dia percayakan aku sebab aku ni buah hatinya tetapi dia lebih percayakan orang lain. Bukan sehari kami kenal tapi sudah bertahun-tahun. It’s means … we know each other but never try to understand each other. Patut pun dalam rukun persahabatan, kena ada taaruf (kenal), tafahum (faham) dan takaful (saling menolong),” panjang lebar aku menerangkan. Siap bagi ceramah lagi.
“Dah la. Kau lupakan dia lagipun aku rasa dia pun tak setia. Petang semalam, aku nampak dia. Bukan seorang tetapi berdua. Cantik budak perempuan yang berjalan dengan dia. Berpegang tangan lagi tu,” gugup-gugup Rahmah bercerita.
“Hmmm… aku kenal Farid. Tak mungkin dia begitu. Kau salah orang tak?” Aku masih mahu membela Farid meski dia sebenarnya sedang menyakiti hatiku.
“Up to you friend,”kali ini Rahmah bersuara serius.
“OKlah. Aku nak jumpa kawan ni. Lain kali kita borak lagi,” kata Rahmah lalu meletakkan telefon. ‘Mak ai, lain macam perangai budak Rahmah ni,’ aku berkata sendiri.
Fikiranku melayang lagi. Wajah Farid dan Syamsul hadir bersilih-ganti. Aku tahu, Farid setia denganku tetapi disebabkan ego seorang lelaki, ia lebih tega untuk memutuskan perhubungan kami. Dayus jika ia masih lagi sudi berteman denganku sedang sudah jelas lagi terang aku curang terhadapnya. Namun, di manakah buktinya aku berlaku curang? Adakah dia melihat sendiri aku bermain kayu tiga di belakangnya? Farid, Farid…
“Sekiranya aku mengakuinya bermakna aku telah mengiyakan sesuatu yang tidak berlaku sedang Allah mengetahuinya. Seandainya aku menafikannya, semua orang tidak akan percaya. Muhammad dan ibu bapaku sendiri tidak menyebelahiku, inikan pula orag lain,” kata-kata Aisyah RA tatkala berhadapan dengan tuduhan zina ternging-ngiang di dalam kotak fikiranku.
Itu Aisyah! Dituduh berbuat mungkar dengan Sofwan Ibnu Al-Mu’atal oleh Abdullah bin Ubay. Aku? Aku sendiri tidak tahu siapa yang membuat tuduhan dan memfitnah diriku. ‘Ya Allah, berilah aku petunjuk dan jalan,’ aku berdoa di dalam hati. ‘Ya Allah, berilah aku kekuatan menghadapi ujian-Mu,’ kataku lagi. Tiba-tiba…
Kring kring…
Kring kring… telefon bimbitku berdering lagi.
“Kak Iman! Fatishah ni,” tanpa memberi salam, Fatishah bersuara. Adik bongsu Farid ini memang sentiasa terburu-buru tetapi… hatinya baik. Aku tersenyum sendiri.
“Ya sayang, ada apa-apa yang boleh akak tolong?” Aku bertanya mesra. Fatishah sudah kuanggap seperti adik sendiri sementelah tidak lama lagi ia bakal menjadi adik iparku. Itu dulu tetapi kini?
“Abang Farid nampak moody sekarang ni. Macam ada masalah saja…” diam sejenak.
“Then, Fatishah try tanya abang. Mula-mula abang tak nak cerita tapi bila Fatishah paksa, abang pun story kat Fatishah,” diam lagi. Aku hanya mendengar bait katanya tanpa respon. Tiba-tiba hatiku sebak. Sebak kerana jauh di sudut hati aku amat menyintai Farid.
“Hmmm…” kali ini, agak lama Fatishah membisukan diri.
“Akak?” Ia memanggilku perlahan.
“Ya sayang,” jawabku pendek.
“Abang cakap, Kak Rahmah kata akak ada hubungan dengan seorang lelaki. Fatishah lupa nama dia tapi menurut kata abang, lelaki tu anak orang kaya dan…”
“Rahmah yang cakap?” Aku mencelah. Mana mungkin Rahmah yang sepatutnya tahu perihal sebenar mengada-adakan cerita tentangku. Lebih-lebih lagi, Rahmah adalah kawan karibku. Kalau Ayun, Shida, Deq Ja yang mengadu-domba… aku tidak peduli kerana mereka bukanlah teman akrabku tetapi Rahmah? Kami adalah sahabat suka dan duka.
“Iya kak. Yakin 100% Kak Rahmah yang cerita kat abang. Sekarang, hari-hari Kak Rahmah call abang sampai serabut abang dibuatnya…”
“Abang pun ragu-ragu dengan berita tentang akak tapi disebabkan Kak Rahmah, kawan baik akak sendiri yang cakap, abang jadi serba-salah. Mustahil Kak Rahmah berbohong sedangkan akak dan Kak Rahmah macam isi dengan kuku,”terang Fatishah panjang lebar.
“Hmmm…” aku mengeluh kecil. Rahmah yang menjadi ‘Abdullah bin Ubay’?
“Kalau berita itu datang daripada kawan akak, akak tak boleh cakap apa. Mungkin Rahmah ada menyimpan perasaan kepada Farid dan akak tak salahkan tindakannya…”
“Hmmm…” aku mengeluh lagi. Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang kudengari.
“Apa yang boleh akak katakan, akak tidak ada apa-apa dengan Syamsul…”
“Akak rela berundur demi kawan baik akak,” terketar-ketar aku bersuara. Ikhlaskah aku?
“Fatishah…” kedengaran satu suara. Terkedu dibuatnya tatkala mendengar suara itu. Farid sedang memanggil adik kesayangannya.
“Gayut dengan siapa tu? Balak ye?” Tanyanya lagi.
“OKlah kak, nanti kita sambung lagi. Assalammualaikum,” cepat-cepat Fatishah meletakkan telefon. Aku terkebil-kebil sendiri. Rahmah??? Air mataku tiba-tiba mengalir lagi, sedih mengenangkan diri yang dikhianati teman sendiri.
Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Kalau dulu, air mata tidak pernah lekang dari pipiku tetapi tidak kini. Aku sudah temui semangat baru… sudah kutemui kekuatan baru. Dari mana?
“Sesungguhnya orang yang mengatakan, ‘ Tuhan kami adalah Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka; maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan, ‘Janganlah kamu takut dan janganlah kamu berasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang dijanjikan Allah kepadamu,” Al-Fussilat ayat 30.
Aku tidak sendiri. Aku punya Ilah yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Tahu. Allah sama sekali tidak membiarkan aku keseorangan dan Dia sentiasa dekat denganku. Farid juga adalah makhluk Tuhan yang tidak dapat lari daripada melakukan khilaf. Aku redha walaupun tuduhannya satu ketika dahulu hampir sahaja menyungkurkanku. Begitu juga dengan Rahmah. Dia juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada berbuat dosa. Dosanya ialah memfitnah diriku, teman karibnya sendiri.
“Apa rasanya kak?” Tanya Khai, adikku nombor tiga.
“Akak tak menyesal kahwin terburu-buru ni?”
“Tak pernah jumpa pun dengan bakal suami akak,” katanya lagi. Aku hanya tersenyum. Setelah berpisah dengan Farid, aku memberi kebebasan penuh pada ayah untuk menentukan calon suamiku. Aku yakin, ayah tidak akan mensia-siakan hidupku dan bakal suamiku pastinya yang paling baik buatku.
“Akak serah segalanya pada Allah SWT,” kataku perlahan. Sebenarnya, berdebar juga rasa hati. Jam 10.00 pagi nanti, sahlah aku bergelar isteri buat seseorang. Aku yakin dengan istikharah yang aku lakukan, Allah kan sentiasa bersamaku.
Tok tok tok…
Pintu kamarku diketuk perlahan.
“Pengantin lelaki nak sarung cincin,” ibu berbisik perlahan. Aku hanya menundukkan wajahku ke lantai. Rasa takut tiba-tiba menyelubungi hatiku. Menyesal rasanya tidak taaruf dahulu. Aku serik sebenarnya… serik dengan perhubungan yang terjalin sekian lama tetapi akhirnya putus di pertengahan. Empat tahun bukanlah tempoh yang sekejap tetapi tidak ada siapa yang mampu menolak ketentuan Ilahi.
“Assalammualaikum,” suara itu memberi salam. ‘Macam cam tapi bukanlah,’ aku berkata sendiri. Perlahan-lahan aku mengangkat kepalaku. Kaget!!! Farid berada di hadapanku dengan pakaian pengantin.
“Mana pengantin lelaki mak?” Aku bertanya ragu-ragu. Aku memandang ibu yang tersenyum manja.
“Sayalah…” diam sejenak.
“Kamil Farid bin Abdullah,” sambungnya lagi.
“Abang saja nak buat surprise kat akak. Kan nama penuh abang Farid ialah Kamil Farid,” Fatishah tiba-tiba muncul di depan mata.
“Rahmah?” Nama teman akrabku terpancul dari bibirku yang kemerahan.
“Abang tak dapat terima cintanya kerana bagi Abang, cinta itu hanya itu Iman,” Farid berkata lembut. Aku masih lagi blur. Macam drama swasta… macam dalam cerpen dan novel yang sering kubaca. Aku tersenyum manis. Kasih yang terputus kembali terjalin. ‘Terima kasih Tuhan,’ aku berkata di dalam hati.