Kembali terjalin


Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa mengingatkan aku kepada kenangan semalam. Mana mungkin aku melupakan ‘cerita’ itu sedang aku adalah pelakon utamanya. Umpama Mahsuri … bak Saidatina Aisyah Ummul Mukminin yang difitnah dihina.
Namun, aku insan biasa yang tidak punya apa-apa. Mahsuri dibuktikan tidak berdosa dek darah putih yang mengalir. Humairah, kekasih hati Rasulullah apatah lagi. Disucikan dirinya dengan firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu kira berita bohong itu buruk bagimu bahkan baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang daripada mereka mendapat balasan dosa yang dikerjakan. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran bohong itu, baginya azab yang besar,’ (An-Nur ayat 11).
“Iman tak setia!” Diam sejenak.
“Iman tak setia dengan perhubungan ini,” tuduh Farid. Wajahnya yang putih bertukar kemerahan. Marah benar dia dengan kekasih hatinya itu. Mustahil Rahmah berbohong sementelah gadis hitam manis itu adalah rakan karib Iman.
Aku hanya diam seribu bahasa. Sebak hatiku untuk bersuara. Wajah Farid kupandang penuh sayu. Setelah lebih empat tahun aku dan Farid saling mengenali, ia tetap mahu mencurigaiku. Bagiku, hanya Farid yang bertahkta di dalam sanubariku. Tidak ada insan lain. Ya! Itu aku pasti.
“Abang percayakan Iman tetapi Iman mengkhianati kepercayaan Abang,” katanya lagi. Aku tahu, Farid masih belum berpuas hati meluahkan rasa. Aku masih lagi diam. Aku keliru… apa sebenarnya yang terjadi?
“Abang betul-betul kecewa dengan Iman dan…” Farid memalingkan mukanya daripadaku.
“Kita putus di sini,” terketar-ketar Farid mengungkapkan kata-kata itu.
“Abang…” kali ini, air mataku tidak tertahan-tahan lagi. Pilu… baru semalam rasanya kami bergelak-tawa tetapi hari ini, kegembiraan yang menyelubungi hidupku hilang sekelip mata. Lebih parah lagi, aku sendiri tidak tahu punca pertelingkahan ini.
Pagi tadi, Farid menghubungiku. Katanya, ada perkara penting yang ingin dibincangkan. Tidak ada tanda-tanda ia sedang marah tetapi apabila berhadapan denganku, Farid terus berubah wajah. ‘Apa salah Iman bang?’ Aku berkata sendiri.
“Sampaikan salam Abang pada Syamsul, buah hati Iman tu. Abang tahu, Abang tidak sekaya Syamsul tetapi Abang kaya dengan HARGA DIRI!” Farid berkata sambil tersenyum sinis. Ia kemudiannya berlalu pergi meninggalkan aku terkebil-kebil sendiri. Syamsul????
Ya! Lelaki itu memang sedang berusaha keras menawan hatiku tetapi tidak sekali-kali aku melayaninya. Syamsul bukanlah jejaka pilihan hatiku. Ia mungkin sahaja layak dijadikan teman akrab tetapi bukan suami! Tidak sama sekali kerana hatiku telah dicuri oleh insan lain.
Lelaki berperibadi mulia dan begitu menghormatiku selaku seorang wanita. Farid tidak pernah mahu mengambil kesempatan terhadapku bahkan sering sahaja menasihatiku agar menjadi wanita yang tepelihara… wanita yang tahu menjaga maruah diri. Aku kagum dengannya meskipun kadang-kadang kurasakan ia begitu strict dengan prinsip dan pendiriannya, “Sebelum ijabkabul, kita tidak boleh selalu bertemu dan kalau bertemu sekalipun tidak boleh berdua-duaan,” katanya satu ketika dahulu.
Argh! Aku buntu. Aku tidak ketemu jawapan yang pasti. Permasalahan yang berlaku umpama lava yang dimuntahkan gunung berapi tetapi aku sendiri tetap keliru. Di manakah silapnya dan kenapa nama Syamsul tiba-tiba disebut? Bagaimana Farid mengetahui tentang lelaki itu sedang hanya aku dan Rahmah maklum tentangnya.
Rahmah???? Adakah teman baikku ini memberitahu Farid tetapi bukankah ia sudah maklum bahawa aku telah menolak cinta anak Tan Sri Kamal itu? Ya, Syamsul memang golongan atasan tetapi kemewahan miliknya sama sekali tidak menjaminku untuk masuk syurga. Aku mahukan lelaki yang boleh membimbingku... boleh membawaku kepada Tuhan sementelah ibu dan bapaku tidak begitu menitik-beratkan persoalan agama. Farid adalah calon yang terbaik.
Kring kring…
Kring kring…
“Assalammualaikum, Iman ada?” Kata satu suara.
“Ya saya, siapa ni?” jawabku perlahan.
“Adoi, tak cam ke? Rahmah la ni…” Rahmah ketawa yang dibuat-buat.
“Oooo. Buddy, how may I assist you?” Aku berlagak seperti seorang CSO (customer service officer).
“Saja call kau. Ada OK? Lain macam saja suara tu,” ia bertanya lembut.
“Hmmmm…” diam sejenak. Aku cuba membina kekuatan dalam diri. Aku tidak akan menangis di hadapannya meski jauh di sudut hati aku begitu pilu menghadapi situasi hari ini. Huhu… Farid meninggalkan aku sendiri dengan tuduhan yang membuatkan aku hilang harga diri.
“Farid minta break…” diam lagi.
“Dia tuduh aku ada affair dengan Syamsul padahal aku manalah suka kat mamat tu,” aku meluahkan apa yang terpendam.
“Kau pun tahu kan…” aku diam seketika.
“Hanya Farid dalam hati aku dan Syamsul tidak sedikit pun mampu menjentik hatiku. hehehe…” aku sedikit bermadah.
“Lagipun, tidak mungkin aku menyukai Syamsul yang playboy tu,” aku meluahkan apa yang terpendam di dalam hati.
“Cool cool. Kau dah explain kat Farid?” Sungguh-sungguh Rahmah bertanya.
“Tak kuasa aku. Sepatutnya, dia percayakan aku sebab aku ni buah hatinya tetapi dia lebih percayakan orang lain. Bukan sehari kami kenal tapi sudah bertahun-tahun. It’s means … we know each other but never try to understand each other. Patut pun dalam rukun persahabatan, kena ada taaruf (kenal), tafahum (faham) dan takaful (saling menolong),” panjang lebar aku menerangkan. Siap bagi ceramah lagi.
“Dah la. Kau lupakan dia lagipun aku rasa dia pun tak setia. Petang semalam, aku nampak dia. Bukan seorang tetapi berdua. Cantik budak perempuan yang berjalan dengan dia. Berpegang tangan lagi tu,” gugup-gugup Rahmah bercerita.
“Hmmm… aku kenal Farid. Tak mungkin dia begitu. Kau salah orang tak?” Aku masih mahu membela Farid meski dia sebenarnya sedang menyakiti hatiku.
“Up to you friend,”kali ini Rahmah bersuara serius.
“OKlah. Aku nak jumpa kawan ni. Lain kali kita borak lagi,” kata Rahmah lalu meletakkan telefon. ‘Mak ai, lain macam perangai budak Rahmah ni,’ aku berkata sendiri.
Fikiranku melayang lagi. Wajah Farid dan Syamsul hadir bersilih-ganti. Aku tahu, Farid setia denganku tetapi disebabkan ego seorang lelaki, ia lebih tega untuk memutuskan perhubungan kami. Dayus jika ia masih lagi sudi berteman denganku sedang sudah jelas lagi terang aku curang terhadapnya. Namun, di manakah buktinya aku berlaku curang? Adakah dia melihat sendiri aku bermain kayu tiga di belakangnya? Farid, Farid…
“Sekiranya aku mengakuinya bermakna aku telah mengiyakan sesuatu yang tidak berlaku sedang Allah mengetahuinya. Seandainya aku menafikannya, semua orang tidak akan percaya. Muhammad dan ibu bapaku sendiri tidak menyebelahiku, inikan pula orag lain,” kata-kata Aisyah RA tatkala berhadapan dengan tuduhan zina ternging-ngiang di dalam kotak fikiranku.
Itu Aisyah! Dituduh berbuat mungkar dengan Sofwan Ibnu Al-Mu’atal oleh Abdullah bin Ubay. Aku? Aku sendiri tidak tahu siapa yang membuat tuduhan dan memfitnah diriku. ‘Ya Allah, berilah aku petunjuk dan jalan,’ aku berdoa di dalam hati. ‘Ya Allah, berilah aku kekuatan menghadapi ujian-Mu,’ kataku lagi. Tiba-tiba…
Kring kring…
Kring kring… telefon bimbitku berdering lagi.
“Kak Iman! Fatishah ni,” tanpa memberi salam, Fatishah bersuara. Adik bongsu Farid ini memang sentiasa terburu-buru tetapi… hatinya baik. Aku tersenyum sendiri.
“Ya sayang, ada apa-apa yang boleh akak tolong?” Aku bertanya mesra. Fatishah sudah kuanggap seperti adik sendiri sementelah tidak lama lagi ia bakal menjadi adik iparku. Itu dulu tetapi kini?
“Abang Farid nampak moody sekarang ni. Macam ada masalah saja…” diam sejenak.
“Then, Fatishah try tanya abang. Mula-mula abang tak nak cerita tapi bila Fatishah paksa, abang pun story kat Fatishah,” diam lagi. Aku hanya mendengar bait katanya tanpa respon. Tiba-tiba hatiku sebak. Sebak kerana jauh di sudut hati aku amat menyintai Farid.
“Hmmm…” kali ini, agak lama Fatishah membisukan diri.
“Akak?” Ia memanggilku perlahan.
“Ya sayang,” jawabku pendek.
“Abang cakap, Kak Rahmah kata akak ada hubungan dengan seorang lelaki. Fatishah lupa nama dia tapi menurut kata abang, lelaki tu anak orang kaya dan…”
“Rahmah yang cakap?” Aku mencelah. Mana mungkin Rahmah yang sepatutnya tahu perihal sebenar mengada-adakan cerita tentangku. Lebih-lebih lagi, Rahmah adalah kawan karibku. Kalau Ayun, Shida, Deq Ja yang mengadu-domba… aku tidak peduli kerana mereka bukanlah teman akrabku tetapi Rahmah? Kami adalah sahabat suka dan duka.
“Iya kak. Yakin 100% Kak Rahmah yang cerita kat abang. Sekarang, hari-hari Kak Rahmah call abang sampai serabut abang dibuatnya…”
“Abang pun ragu-ragu dengan berita tentang akak tapi disebabkan Kak Rahmah, kawan baik akak sendiri yang cakap, abang jadi serba-salah. Mustahil Kak Rahmah berbohong sedangkan akak dan Kak Rahmah macam isi dengan kuku,”terang Fatishah panjang lebar.
“Hmmm…” aku mengeluh kecil. Rahmah yang menjadi ‘Abdullah bin Ubay’?
“Kalau berita itu datang daripada kawan akak, akak tak boleh cakap apa. Mungkin Rahmah ada menyimpan perasaan kepada Farid dan akak tak salahkan tindakannya…”
“Hmmm…” aku mengeluh lagi. Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang kudengari.
“Apa yang boleh akak katakan, akak tidak ada apa-apa dengan Syamsul…”
“Akak rela berundur demi kawan baik akak,” terketar-ketar aku bersuara. Ikhlaskah aku?
“Fatishah…” kedengaran satu suara. Terkedu dibuatnya tatkala mendengar suara itu. Farid sedang memanggil adik kesayangannya.
“Gayut dengan siapa tu? Balak ye?” Tanyanya lagi.
“OKlah kak, nanti kita sambung lagi. Assalammualaikum,” cepat-cepat Fatishah meletakkan telefon. Aku terkebil-kebil sendiri. Rahmah??? Air mataku tiba-tiba mengalir lagi, sedih mengenangkan diri yang dikhianati teman sendiri.
Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Kalau dulu, air mata tidak pernah lekang dari pipiku tetapi tidak kini. Aku sudah temui semangat baru… sudah kutemui kekuatan baru. Dari mana?
“Sesungguhnya orang yang mengatakan, ‘ Tuhan kami adalah Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka; maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan, ‘Janganlah kamu takut dan janganlah kamu berasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang dijanjikan Allah kepadamu,” Al-Fussilat ayat 30.
Aku tidak sendiri. Aku punya Ilah yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Tahu. Allah sama sekali tidak membiarkan aku keseorangan dan Dia sentiasa dekat denganku. Farid juga adalah makhluk Tuhan yang tidak dapat lari daripada melakukan khilaf. Aku redha walaupun tuduhannya satu ketika dahulu hampir sahaja menyungkurkanku. Begitu juga dengan Rahmah. Dia juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada berbuat dosa. Dosanya ialah memfitnah diriku, teman karibnya sendiri.
“Apa rasanya kak?” Tanya Khai, adikku nombor tiga.
“Akak tak menyesal kahwin terburu-buru ni?”
“Tak pernah jumpa pun dengan bakal suami akak,” katanya lagi. Aku hanya tersenyum. Setelah berpisah dengan Farid, aku memberi kebebasan penuh pada ayah untuk menentukan calon suamiku. Aku yakin, ayah tidak akan mensia-siakan hidupku dan bakal suamiku pastinya yang paling baik buatku.
“Akak serah segalanya pada Allah SWT,” kataku perlahan. Sebenarnya, berdebar juga rasa hati. Jam 10.00 pagi nanti, sahlah aku bergelar isteri buat seseorang. Aku yakin dengan istikharah yang aku lakukan, Allah kan sentiasa bersamaku.
Tok tok tok…
Pintu kamarku diketuk perlahan.
“Pengantin lelaki nak sarung cincin,” ibu berbisik perlahan. Aku hanya menundukkan wajahku ke lantai. Rasa takut tiba-tiba menyelubungi hatiku. Menyesal rasanya tidak taaruf dahulu. Aku serik sebenarnya… serik dengan perhubungan yang terjalin sekian lama tetapi akhirnya putus di pertengahan. Empat tahun bukanlah tempoh yang sekejap tetapi tidak ada siapa yang mampu menolak ketentuan Ilahi.
“Assalammualaikum,” suara itu memberi salam. ‘Macam cam tapi bukanlah,’ aku berkata sendiri. Perlahan-lahan aku mengangkat kepalaku. Kaget!!! Farid berada di hadapanku dengan pakaian pengantin.
“Mana pengantin lelaki mak?” Aku bertanya ragu-ragu. Aku memandang ibu yang tersenyum manja.
“Sayalah…” diam sejenak.
“Kamil Farid bin Abdullah,” sambungnya lagi.
“Abang saja nak buat surprise kat akak. Kan nama penuh abang Farid ialah Kamil Farid,” Fatishah tiba-tiba muncul di depan mata.
“Rahmah?” Nama teman akrabku terpancul dari bibirku yang kemerahan.
“Abang tak dapat terima cintanya kerana bagi Abang, cinta itu hanya itu Iman,” Farid berkata lembut. Aku masih lagi blur. Macam drama swasta… macam dalam cerpen dan novel yang sering kubaca. Aku tersenyum manis. Kasih yang terputus kembali terjalin. ‘Terima kasih Tuhan,’ aku berkata di dalam hati.
0 Responses