Mencari Naurah (Bab 10)
TELEFON bimbitku berbunyi. Aku segera mengangkatnya. “Assalammualaikum...” |
“Waalaikumussalam. Kak Sha, Ifti ni. Waa... Ifti dah buat ulang kaji tetapi tetap tak dapat fokus dan memberi sepenuh tumpuan. Exam start jam 8.00 pagi esok, namun Ifti rasa macam tak buat apa-apa persediaan. Rasa kosong!” jerit Ifti dari corong telefon. Suaranya terketar-ketar.
“Ifti kat mana sekarang?”
“Ifti dalam bilik. Ifti stres, Kak Sha. Ifti takut gagal kertas ini. Ifti dah cuba tetapi sia-sia. Tidak tahu apa yang dibaca...”
“Tak apa. Ifti tenang, ya...”
“Akak... Ifti stres sangat! Stres sangat-sangat...”
“Tenang, sayang. Ifti pergi ambil wuduk dulu...”
“Dah ambil tadi tetapi tetap tak dapat fokus dalam pelajaran,” Ifti mencelah.
“Ifti...” aku menyebut namanya lembut.
“Mula-mula, Ifti kena betul-betul tenang...” suaraku perlahan membujuknya.
“Tenang, sayang. Maafkan semua orang di sekeliling Ifti. Dah hubungi mak ke?” aku bertanya ingin tahu.
“Belum,” jawab Ifti ringkas.
“Kalau begitu, Ifti hubungi mak dahulu. Ifti minta maaf kalau ada buat salah dan silap. Kalau Ifti rasa tidak berbuat apa-apa kesalahan, rendahkan diri dan minta maaf juga. Manalah tahu kalau-kalau ada ungkapan atau tingkah laku Ifti yang telah mengguris hati mak tanpa sedar. Kemudian, beritahu mak yang Ifti akan menduduki exam esok. Minta mak doakan. Akak yakin, mak sudah mendoakan Ifti, namun tidak salah bukan untuk memohon restu dan doa mak?” Aku diam seketika. “Ifti?”
“Ya, kak. Ifti dengar,” balas Ifti.
“Selepas Ifti hubungi mak, Ifti mengaji dahulu. Ifti tadarus sampai Ifti rasa lapang. Dalam masa yang sama, Ifti minta dengan ALLAH agar dipermudahkan segala urusan,” aku menambah.
“Ya, kak.”
“Ifti pernah ulang kaji kertas esok sebelum ini?” soalku.
“Sudah. Hari ini untuk persediaan akhir,” Ifti menjelaskan. Suaranya kembali kendur dan tidak beremosi seperti sebelumnya.
“Kalau Ifti rasa Ifti tetap tidak dapat belajar malam ini, Ifti mengaji sahaja sepanjang malam tetapi jangan lupa tidur awal. Ifti mengaji, solat dan banyakkan berdoa. Ifti dah berusaha, bukan?” aku bertanya lagi.
“Insya-ALLAH,” suara Ifti kedengaran ceria.
“Ifti yakin bahawa ALLAH itu dekat. Lebih dekat daripada urat merih kita. Setiap sesuatu yang telah direncanakan ALLAH, tentu ada hikmahnya. Boleh jadi sekiranya Ifti belajar dan dapat jawab soalan peperiksaan esok, timbul rasa riyak dalam diri. Ikutkan kemampuan, hendak angkat jari kelingking kita sendiri pun kita tidak mampu. Semua daripada ALLAH. Jadi, segala apa yang berlaku adalah dengan izin-NYA. Jika Ifti dah berusaha, bertawakallah kepada ALLAH. Ingat, sayang. Tidak ada yang mustahil bagi ALLAH untuk beri Ifti lulus atau gagal. Banyakkan istighfar, zikir... Kalau ada tafsir al-Quran, bacalah terjemahan ayat-ayat ALLAH,” aku memotivasinya panjang lebar.
“Insya-ALLAH, kak,” Ifti membalas.
“Esok peperiksaan tetapi akak tetap nak beri ‘kerja rumah’ buat Ifti petang ini.” Aku ketawa kecil. Mahu menghiburkan hatinya yang sedang gundah. “Nanti, ambil tafsir dan semak surah al-Baqarah ayat 45, ayat 186 dan ayat 286. Boleh?” sambungku.
“Insya-ALLAH. Terima kasih banyak-banyak, Kak Sha,” ucap Ifti lembut.
Aku hanya tersenyum dari corong telefon.
“LAMA bergayut? Junior telefon ke?” Kak Rose memandangku dari muka pintu.
“Ya, kak. Dia stres... maklumlah, minggu peperiksaan. Seribu satu gangguan datang,” jawabku sambil tersenyum.
“Dah selesai semuanya?” Kak Rose bertanya lagi.
“Alhamdulillah...” aku membalas pendek. Nampaknya, Kak Rose sedang mencari sesuatu. Setelah ‘menyepahkan’ buku-buku yang tersusun elok di atas meja, dia mengambil sekeping kertas putih yang terselit di antara buk-buku tersebut.
“Biasalah, Sha.” Kak Rose diam sejenak. “Akak nak ke surau. Nak saing ke?” ajaknya.
“Tak apalah, kak. Asha puasa hari ini. Insya-ALLAH...selepas berbuka, Asha turun. Asha dah janji dengan junior nak berbuka puasa bersama,” aku menolak dengan lembut.
“Akak berbuka dengan kurma dahulu. Selepas solat maghrib baru akak makan. Asha makanlah dengan adik-adik. Boleh rapatkan ukhwah serta mengikat hati,” tambahnya lagi lalu berjalan ke arah pintu bilik yang terbuka luas. “Assalammualaikum...” Dia memberi salam.
“Waalaikumussalam...” Jawabku sambil tersenyum.
~bersambung~