AMSH dibintangi oleh....

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Hmm... sudah berapa muka surat tadarus Al-Quran? Alhamdulillah. Semakin banyak dari sehari ke sehari. Moga kan terus istiqamah sampai sesudah Ramadhan. Kita mahu menjadi hamba yang dekat dengan ALLAH, bukan pada bulan ini sahaja bahkan sampai hujung nyawa. Salam sayang daripada Muthiah ^___^

Hari ini... jom kita berbicara serba sedikit (sedikit sahaja tau ^^) tentang watak-watak utama dalam Air Mata Siti Hajar...

Jeng jeng jeng...

Siti Hajar


Dalam hati, ada taman. Hajar mencintai Zulkarnain dalam diam. Sungguh. Kata hati itu hanya diketahui oleh TUHAN. Namun, ketentuan-NYA... Hajar menikahi Ibrahim. Jodoh. Ibrahim serius mahu menjadikan Hajar sebagai suri di hatinya. Namun, panas yang disangka sampai ke petang... hujan pula pada tengah hari T_____T

Khadijah benar-benar telah keterlaluan. Dia bencikan Hajar dan dia tidak dapat menerima kehadiran wanita itu di dalam hati abangnya. Biarlah... biarlah... Biar apa hendak jadi, Hajar dan Ibrahim mesti dipisahkan. Ibrahim pula... acap kali berada di dalam dilema. Adikkah? Atau isterikah yang harus disebelahi? Namun, acap kali Siti Hajar yang menjadi mangsa.

Dek kerana cinta, Hajar mampu bertahan dengan kerenah adik ipar dan ketidakadilan suaminya dalam membuat penghitungan. Namun... kehadiran Siti Sarah yang sekelip mata telah mengubah segalanya. Hajar tidak cukup kuat untuk menerima kehadiran wanita yang pernah muncul di dalam hati suaminya itu.

Ibrahim

Guruh tidak. Kilat pun tidak. Tidak semena-mena, hujan pun turun. Pelik bin ajaib. Tidak ada simpton menunjukkan lelaki ini menyintai Siti Hajar dalam diam. Namun tup-tup... pinangan dihantar, mahu memetik bunga yang sedang mekar di taman.

Alhamdulillah. Siti Hajar sudi menerimanya sebagai suami. Semudah itu? Tidaklah mudah tetapi pasti... kesabarannya membuahkan hasil, tidaklah sia-sia. Bukankah Siti Hajar temannya Ibrahim?

Namun... lelaki ini acap kali bertindak tidak adil apabila menghakimi adik dan isterinya. Akibatnya, rumah tangganya sedikit goyah. Semakin lama, semakin hilang roh kebahagiaan. Kehadiran Siti Sarah yang setia menantinya sejak sekian lama menambah kecelaruan. Hmm... bukankah Siti Sarah juga temannya Ibrahim?

Zulkarnain


Hmm... acap kali berlaku kebetulan yang tidak disangka-sangka. Dia pakai baju merah, Siti Hajar pun sama. Adakah benar mereka berjodoh? Entahlah. Apa yang pasti, di dalam hatinya juga ada taman. Ya. Zulkarnain turut menyintai Siti Hajar dalam diam. Hanya dia dan ALLAH yang tahu apa yang sedang bergelora di dalam hatinya. Ops. Siti Aisyah pun boleh jadi dapat meneka sama.

Namun, dek kerana persahabatan yang terjalin dengan Ibrahim... Zulkarnain memilih untuk mengundurkan diri. Bunga bukan sekuntum dan dia mengasihi saudaranya, Ibrahim melebihi rasa kasihnya pada dirinya sendiri.

Kecewakah Zulkarnain? Entahlah. Hanya dia dan ALLAH sahaja yang mengetahuinya.

Siti Sarah

Sarah bukanlah perampas cinta. Dia hanya mahu berkongsi kasih sementelah Ibrahim adalah kisah cinta lampaunya. Siti Sarah tidak berdaya membuang wajah lelaki itu dari kamus hidupnya. Itu pasti!

Maafkan Sarah, Hajar.... Mungkin inilah yang telah ditentukan buat mereka. Seperti Hajar yang tidak bersedia berpoligami, Sarah juga tidak mampu lagi menyahkan Ibrahim dari hatinya.

^_____________________^

Ehe... Air Mata Siti Hajar juga dibintangi oleh (Chewah. Macam filem pula)..

Siti Aisyah - kawan baik Hajar
Khadijah - adik Ibrahim

ps: Nantikan kata-kata hikmah di sebalik Air Mata Siti Hajar. Insya-ALLAH, Muthiah akan kongsikan secara berperingkat.

Moga kan mendapat manfaat daripada kisah ini ....
0 Responses