Anak dara zaman loni (ii)


Assalammualaikum... Sambungan cerita tidak habis semalam. Ehe...

Sewaktu menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri di Ipoh baru-baru ini...

Seorang kakak dalam lingkungan usia 48 tahun tiba-tiba berkata, "Kita guna mangkuk dan pinggan pakai buang sebab anak dara zaman sekarang malas. PEMALAS." Fuh! Kalau ada yang makan cili, pasti akan terasa pedasnya. Namun, apabila direnung dan dihayati, mungkin ada benarnya.

Muthiah hanya tersenyum. Mengiyakan tidak. Menidakkan pun tidak. Hanya menjadi pendengar setia di situ. Duduk control-control dalam lingkungan emak-emak dan nenek-nenek...

Kemudian, seorang wanita lain menyampuk. "Betul. Tengok anak dara mak cik di rumah. Malasnya, tidak boleh cakap. Waktu hendak keluar bekerja, sudah bersih semuanya. Balik rumah, macam tidak ada anak dara yang tinggal sekali," kata-katanya terhenti di situ.

Muthiah tetap diam. Tidak mencelah walau sepatah kata.

"Bila kita marah, mulalah buat muka. Kata kita kuat membebel. Nanti dia jadi mak... jadi isteri, baru dia tahu. Hendak kahwin esok lusa tetapi perangai tidak juga berubah. Dia ingat, dia seorang sahaja yang letih bekerja. Yang si ibu, tidak letih???" Tambahnya lagi, meluah rasa yang terpendam di dalam hati.

Muthiah tersenyum kecil. Tidak berkedip memandang wajahnya yang semakin berkedut. "Insya-ALLAH, kahwin nanti... dia akan belajar sendiri," balas Muthiah pendek. Tidak berhajat untuk bercakap banyak.

"Mak cik bukan apa. Balik kerja penat-penat, tambah kerja pula di rumah. Anak dara? Bukan mak cik tidak tahu. Sama-sama letih bekerja tetapi tolong-tolonglah juga maknya. Bukan suruh buat kerja berat pun." Nampaknya, wanita ini masih tidak puas meluahkan rasa hatinya.

Jadi, apakah yang boleh direnung bersama?

Berubahlah. Kalau ada yang menegur, terimalah teguran itu dengan hati terbuka. Siapa pun yang memberi nasihat, dengar dahulu. Fikir dahulu. Tidak kira mak... ayah... abang atau kakak. Bukan menolak dan mengeji.

Ini tidak! Orang tegur, mulalah melenting... berburuk sangka... Sanggup pula bermati-matian mencari kesalahan orang lain pula. Ada sahaja yang tidak kena pada matanya. Tidak salah tetapi ikhlaskah kita?

Hmmm... Nampaknya, kita lebih senang bermasam muka. Menanam rasa benci dalam diri. Tidak pula mahu berusaha membaiki diri. Kita lebih suka syok sendiri. Rasa diri sudah cukup baik dan sempurna sampai tidak ada langsung yang boleh menasihati. Adakah kita lebih senang begitu? Kalau ya... nantikan sahaja saat tidak ada siapa yang mahu ambil peduli pada diri kita.

Siapa yang berani menegur jika kita cepat meradang dan naik marah tatkala dinasihati?

Sekali... bolehlah.
Dua kali... bolehlah.
Tiga kali... pun boleh tetapi tidak semua manusia yang dapat tahan dengan sikap kita yang sebegitu.

Hasilnya, kita akan terus berada dalam dunia kita. Boleh jadi, akan berterusan melakukan kesalahan dan kesilapan tanpa ada yang berani membetulkannya.

Fikir dan renung, wahai teman....

Lawak tetapi ada pengajarannya : Anak derhaka...

Akhbar hari ini : Proton tarik balik Gen2 dan Neo...

Muthiah : Ya, ALLAH. Pelihara diriku, suamikan dan mereka yang aku sayang daripada azab api neraka-MU.
Labels: | edit post
5 Responses

  1. Assalammualaikum. Ehe... cepat pula Muthiah mendapat respons entri ini... daripada seorang teman.

    Hmmm... apapun, Muthiah ingin mohon maaf andai ada yang terasa.. Betul... Muthiah tidak tujukan entri ini pada sesiapa... Hanya perkongsian hati seorang ibu yang telah tua.

    Ditambah dengan apa yang dibaca, dilihat, didengar dan mungkin pernah mengalaminya sendiri. Iyalah... setiap manusia, ada zaman jahiliahnya... zaman lalainya...

    Kalau rasa baik dan mahu ubah diri ke arah lebih baik, Alhamdulillah..bukan untuk diri Muthiah pun...

    Kalau merasakan entri ini untuk membidas diri... atau menyakitkan hati... apa yang mampu Muthiah katakan? Sekadar mahu diri (sendiri) dan teman-teman yang Muthiah kasihi menjadi lebih baik daripada semalam. Kitalah yang membuat pilihan.. sama ada mahu positif dalam apa yang dibaca atau negatif. Tepuk dada, tanya iman...

    Salam muhasabah :)


  2. Arfa Ardiya Says:

    Baca post akak yang ni buat saya tersenyum buat seketika. Tuntutan masa zmn skrg kadang2 mbuatkn 'anak dara' selalu ambil mudah dan kurang dengan sensitiviti orang2 tua... apa yg mereka tau, nak mudah aje.. Tapi, akan tiba masanya mereka akn sedar juga. Yang membezakannya samada cepat atau lambat sahaja. Dan menjadi tugas kita yang sedar ini untuk memberi kesedaran kepada mereka semua. ;-)


  3. ;)

    Ya... kadang-kadang, kita terlupa dan teralpa. Nama lagi manusia. Salahkah terlupa dan teralpa? Jawabnya tidak! Tidak ada manusia yang sempurna.

    Namun, kadang-kadang kita terlalu mengejar kesenangan dan kebahagiaan sendiri sampai mengabaikan hati dan perasaan orang lain.

    Ayuh... sama-samalah kita mengislah diri menjadi lebih baik daripada semalam. Insya-ALLAH, apabila hati kata mahu... jasad pula berusaha padu... satu masa, kita pasti akan mampu melakukannya.

    Senangilah hati mereka selagi mereka masih ada...

    Muthiah : Harta itu penting.. tetapi bukanlah segala-galanya. Apa guna harta menggunung andai diri tidak pernah memikirkan hati dan perasan ibu dan ayahnya. Keangkuhan diri menyebabkan diri lalai daripada peringatan-NYA.


  4. erin zehana Says:

    post yg menarik kak muthiah :)
    bagi kesedaran pada pembaca..
    mmg susah nak dgr luahan hati ibu-ibu dekat luar sana..