Kembali bercinta

“Abang sayang Hajar tapi…” diam sejenak.
“Abang tak mampu menidakkan rasa cinta abang terhadap Sarah,” perlahan-lahan Ibrahim memujukku. Diam lagi.
“Sarah hadir sebelum abang mengenali Hajar namun ketetapan Tuhan mengehendaki kami berpisah buat seketika. Dengan takdir-Nya juga, kita bertemu dan jatuh cinta akhirnya berumahtangga. Akan tetapi, Sarah muncul tanpa abang duga. Kemunculan Sarah dengan seribu satu pengharapan atas kesetiaan dan pengorbanan,” ia menambah sambil merenung tajam mataku yang berkelip-kelip menahan rembesan air mata yang bisa gugur ke bumi. ‘Oh Tuhan, tabahkanlah hatiku,’ aku berbisik sendiri.
Aku memandang Sarah yang sedang menangis teresak-esak di pangkuan puteri sulungku. Arisya Maisarah dipeluk erat. Ibrahim beria-ia menamakan anak kami dengan nama ‘Maisarah’. Ada udang di sebalik batu rupanya dan ada cinta yang tidak mampu dikuburkan. Hatiku benar-benar sayu.
Hanya dia yang aku cinta dan kepada dia aku mencurah kasih namun cintanya kepadaku tidak sepenuhnya. Ada insan lain yang sebenarnya bertakhta jauh dalam lubuk hati kecilnya.
“Kak Hajar, maafkan Sarah,” kali ini kekasih silam suamiku melutut di kakiku. Lidahku kelu, tidak mampu mengungkap walau sepatah kata. Aku benar-benar terkesima dengan apa yang berlaku. Aku masih lagi diam. Suaraku tidak kedengaran.
“Hajar…” Ibrahim berkata perlahan, lebih perlahan daripada tadi.
“Maafkan abang kerana terpaksa mengecewakan Hajar. Percayalah bahawa cinta abang buat Hajar dan Arisya tidak kan luntur selamanya,” tiba-tiba, air mata lelakinya yang begitu mahal jatuh ke bumi. Aku tahu, Ibrahim berada di persimpangan, bak membelah kepayang muda; dimakan mabuk, dicampak sayang.
Kali ini, air mataku tidak dapat ditahan-tahan lagi. Sejak bila puteri bongsuku bertukar nama?
“Abi sayang Sarah…”
“Abi cinta Sarah…”
“Abi kasih Sarah…”
Itulah yang diucap Ibrahim sehari-hari namun setelah bertemu dengan Sarah yang ‘sebenar’, Arisya Maisarah sudah mendapat panggilan baru. ‘Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim... hamba-Mu ini tidak cukup kuat menghadapi ujian,’ aku menangis sendiri. Hari ini, genap lima tahun kami menjadi pasangan suami isteri dan pada tarikh keramat ini juga segalanya terbongkar.
Hati sang isteri tersentuh. Khabar gembira yang ingin kusampaikan buat suami tercinta kupendam di dalam hati. Tidak sanggup untuk berbicara kerana pasti Ibrahim lebih teruja dengan kehadiran Eisya Maisarah, jantung hati yang sekian lama menghilang…
“Tahniah puan. Puan disahkan mengandung 13 minggu,” kata Dr. Iman sambil tersenyum.
“Nampaknya, Sarah akan ada teman baru,” tambahnya lagi.
Itu pagi tadi tetapi kini??? Segalanya hancur dan musnah dengan kehadiran orang ketiga. Sarah yang menjadi orang ketiga itu atau aku yang menjadi penghalang cinta Sarah dan Ibrahim sedang hubungan mereka sudah terpateri sekian lama? Jantungku berdegup kencang. Air mataku terasa mengalir laju bak tsunami yang membanjiri halaman jiwaku. Tiba-tiba…
Uwek uwek uwek…
“Umi…” cepat-cepat Arisya Maisarah menghampiriku. Ibrahim pula masih diam kaku di tempatnya. Sah! Aku terasa diri diabaikan, semakin pudar kasih dan cinta Ibrahim kepadaku dengan kehadiran orang baru. Tidak! Orang lama yang baru muncul kembali.
Uwek uwek uwek…
Kali ini, muntahku keluar tanpa henti. Mungkin disebabkan alahan mengandung dan mungkin juga dek tekanan yang kutanggung. Memang aku tidak kuat. Aku tidak cukup tega menerima kenyataan ini meskipun aku tahu aku tidak mampu mengubah apa-apa. Kata putus telah dibuat. Ibrahim memilih untuk menikahi Sarah demi cinta yang tidak pernah hilang. Katanya, ia simpati terhadap gadis yang sanggup menunggu cintanya sekian lama tetapi aku tahu, jauh di sudut hati Sarah itu adalah wanita idamannya.
“Hajar, mari abang hantarkan ke klinik,” kata Ibrahim perlahan. Nah! Tanggapanku tidak meleset. Suamiku ini terlalu memikirkan hati intan payungnya. Kalau tidak, mana mungkin ia memanggilku dengan nama Hajar sedang sebelumnya, panggilan ‘Sayang’ lebih kerap terungkap dari bibirnya. Sama seperti puteri sulungku yang diubah nama panggilannya, aku juga tidak terkecuali. Aku hanya menggelengkan kepala. Tidak sanggup memandang wajah insan yang telah melukai hatiku.
“Abang Ibrahim, Sarah pulang dulu,” kedengaran satu suara sayup-sayup. Diam… tiada jawapan yang diberi.
“Assalammualaikum,” katanya lagi sambil mencium tanganku yang kebasahan. Aku merenung Sarah sayu. Fahamilah hati seorang isteri yang tidak rela berkongsi kasih. Aku bukanlah seperti Siti Hajar yang sanggup berkongsi cinta dengan Siti Sarah. Aku juga bukan Saidatina Aisyah yang rela bermadu dengan isteri-isteri Rasulullah lainnya. Aku hanyalah seorang wanita yang banyak khilaf, banyak silap dan banyak salahnya. Aku aku…
“Maafkan abang Hajar…” sejurus selepas Sarah melangkah keluar rumah, Ibrahim pun turut sama menghilangkan diri. Aku sendiri tidak pasti ke mana hala tujunya. Boleh jadi sedang mengejar buah hati yang sedang berduka. Ya, Sarah beruntung kerana cinta Ibrahim tidak pernah luntur buatnya tetapi aku??? Seperti baru semalam aku mengenali Ibrahim dan masih banyak yang perlu kulakukan untuk menyelami hatinya.
“Umi…” Arisya menghulurkan sehelai kain tuala berwarna hijau kepadaku.
“Terima kasih sayang…” diam seketika.
“Sarah jangan tinggal umi ya,” aku mencium pipi puteriku bertalu-talu. Takut benar aku akan kehilangannya sepertimana aku kehilangan Ibrahim.
*****
“Malam ni, abang kena balik rumah Sarah. Alahannya teruk dan abang perlu temaninya,” kata Ibrahim suatu malam. Aku hanya diam.
“Insya-Allah, malam lusa abang balik rumah ya,” ia mencium pipiku sebelum keluar dari rumah.
“Abi!!!” Jerit Arisya Maisarah memanggil ayahnya.
“Abi nak pergi mana?” Ia bertanya sungguh-sungguh.
“Arisya sayang, abi kena pergi tengok Mama Sarah. Mama Sarah tak sihat. Dia muntah-muntah. Nanti, Arisya nak dapat adik baru,” pujuk Ibrahim.
“Oooo… Arisya nak ikut,” tersentak mendengar kata-kata Arisya tetapi aku tetap diam tanpa suara. ‘Ya Allah, izinkan Arisya Maisarah menemaniku,’ bisik hatiku.
“Alaa… Arisya nak ikut abi juga. Arisya nak ikut abi juga!” Arisya menghentak-hentakkan kakinya ke lantai.
“Arisya!!” Ibrahim berkata tegas sambil membulatkan matanya yang sedia bulat.
“Siapa nak teman umi kalau Arisya ikut abi?” Ibrahim merenung Arisya. Kali ini, suaranya dikendurkan sedikit.
“Alaaa… Allah kan ada? Kan umi dan abi cakap Allah selalu dekat dengan kita,” Arisya Maisarah berkata sejujurnya. Ibrahim terdiam, mungkin terkejut dengan kata-kata yang terpantul dari mulut puterinya.
“Abang bawalah Arisya bersama. Insya-Allah, ada yang menemani Sayang eh…” diam seketika.
“Ada yang menemani Hajar malam ni,” masih terkenang peristiwa lima bulan sudah, tatkala Ibrahim berterus-terang denganku perihal kehadiran Sarah dan kesediaan mereka untuk membina masjid bersama. Tiada lagi panggilan ‘Sayang’ yang terpacul dari bibir suamiku.
“Mari sayang…” Ibrahim kemudiannya memimpin tangan puteriku yang halus. Dari kejauhan, aku memandang kereta Honda City milik suamiku keluar dari perkarangan rumah. Air mataku mengalir lagi…
“Nampaknya, puan telah keguguran,” kata Dr. Iman tatkala aku menemuinya malam peristiwa aku bertemu dengan bakal maduku. Aku kira, petang itu aku sekadar muntah-muntah tetapi tidak, tiba-tiba darah pekat mengalir laju menuruni kakiku.
“Kenapa Dr. sedang saya tidak sakit apa-apa?” Aku masih tidak berpuas hati meskipun aku sudah sedia maklum puncanya.
“Puan terlalu stress dan…”belum sempat Dr. Iman menyudahkan bait katanya, aku menangis teresak-esak di bahunya.
“Pagi tadi, saya menerima berita gembira kehadiran orang baru. Sarah akan dapat kawan baru…” diam seketika.
“Tetapi petangnya, saya dikejutkan dengan kemunculan orang baru yang bakal mengubah kehidupan saya… Ibrahim akan bernikah lagi,” tangisanku semakin kuat kedengaran.
“Dan malam ini, saya diuji Tuhan dengan khabar yang entah boleh entahkan tidak saya depaninya,” aku berkata sayu.
“Sabar puan. Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya dan sesungguhnya Allah lebih tahu,” doktor muda itu cuba menenangkanku...
‘Ya Allah, berilah aku ketabahan hati sebagaimana tabahnya hati Siti Hajar,’ aku berkata sendiri. Wajah Arisya, Ibrahim dan Sarah berlegar-legar di dalam kotak pemikiranku. Runsing mengenangkan keakraban mereka. Khuatir jika ‘harta’ yang paling kukasihi dirampas pergi. Ibrahim tentu risaukan Sarah. Maklumlah, cinta yang terpateri menumbuhkan benih yang bisa sekali membuatkan cinta semakin mendalam tetapi aku? Biarlah aku sendiri dan biarlah Ibrahim tidak tahu penderitaanku.
Malam itu, aku tekad untuk bercinta lagi. Bezanya, cintaku kali ini pasti tidak akan menghampakan dan aku yakin bahawasanya diriku tidak kan dipersia. Di atas sejadah hijau pemberian Ibrahim tatkala majlis perkahwinan kami aku sujud dengan penuh khusyuk. Kepada Dia aku berharap dan kepada-Nya jua aku memohon pertolongan. Kepada Dia aku mengadu dan kepada-Nya jua aku merintih sayu.
Allah tidak akan melakukan sesuatu sia-sia. Mungkin sahaja Dia mahu menyedarkanku daripada lena yang panjang. Aku terlalu menyintai Ibrahim sehingga melupakan cinta kepada selainnya. Cintaku utuh dan teguh terhadap lelaki itu. Aku lupa, ada yang lebih berhak mendapat cintaku. Siapa????
Ya, Allah-lah yang lebih layak memperoleh cinta dan kasih sayangku. Ah, bukan Dia yang memerlukan cinta tetapi aku yang sepatutnya berkejar-kejar mendapatkan kasih-Nya. Tanpa Ilah, siapalah aku. Tanpa Rab, aku tidak punya siapa-siapa di atas muka bumi ini kerana segalanya milik Dia.
Terima kasih Tuhan kerana tidak membiarkan aku terus alpa dan leka dalam dunia ciptaanku. Insya-Allah, aku kan lebih gagah dengan kehadiran cinta tulus-Mu.
Labels: | edit post
4 Responses
  1. Unknown Says:

    Masya Allah..karya yg sangat best dan menyentuh hati.
    semoga Hajar terus tabah..
    Harap ada sambungannya lagi..


  2. Alhamdulillah... terima kasih kerana sudi membaca... Moga kita kan sama-sama dirahmati-Nya ;)


  3. Che Hassan Says:

    liza..this is me,ayu....sgt menyentuh hati naskhah ni...sgt bes...suhanallah...sgt besar bakat yg dimiliki...teruskan sahabatku...


  4. jzkk, yu sebab sudi menjengah dan membaca.. hehe... alhamdulillah..berkat doa suami, keluarga dan teman-teman juga... ;)