Astagfirullah

“Ko pa hal?” Sergah Fasha. Diam…
“Ko pa kes nak masuk campur urusan aku?” Matanya yang sedia bulat dibulatkan. Kemarahannya membuak-buak sehingga tegang urat sarafnya. Masih lagi diam…
“Ko jangan ingat ko boleh jadi spy kat sini. Ko cakap kat mak, aku lempang sampai mati!” Kali ini, Fasha memberi amaran keras tanpa rasa belas. Nora yang sedari tadi membisu menundukkan wajahnya ke lantai. Razif pula hanya memandang tanpa suara, tidak kuasa campur tangan. Kadang-kadang, timbul rasa simpati di hatinya tatkala melihat Nora dimaki dihamun oleh kakak kandungnya sendiri namun siapalah Razif untuk menjadi pendamai. Mana mungkin ‘si rabun memimpin si buta’.
“Pekak! Masuk bilik sekarang!” Fasha merenung tajam adik bongsunya yang memakai seluar trek dengan baju labuh yang tertulis, ‘Wanita solehah bidadari dunia’. Nora memandang wajah kakaknya sekilas, ia mohon pengertian. ‘Usahlah terjebak…’ bisik hati kecilnya.
*****
Malam itu, Nora tidak dapat tidur lena. Bunyi hingar-bingar di ruang tamu kediaman kakaknya membuatkan ia tidak dapat duduk diam. Sekali-sekali, kedengaran suara kakaknya menjerit suka. Sekali-sekali, kakak kesayangannya itu ketawa gembira. Muzik Metallica yang dipasang membingitkan lagi suasana. Argh… Nora berdengus sendiri.
Kitab suci Al-Quran pemberian kakaknya diperhati penuh sayu. Entah di mana silapnya, kakak yang dicintai berubah sekelip mata. Bukan lagi sepertimana Fasha yang dikenali satu ketika dahulu. Tiba-tiba, kenangan silam menjelma. Senyuman kakaknya hadir dalam kotak pemikirannya..
“Nora sayang, Quran ni bukan barang antik…” diam seketika.
“Bukan juga barang mainan tapi …” Fasha mengusap rambut Nora yang panjang mengurai dengan penuh kasih sayang.
“Gigitlah ia, peganglah ia sepanjang masa. Pasti Nora tidak akan sesat selamanya,” kali ini, pipi adiknya yang gebu dicium perlahan. Fasha terlalu sayangkan adiknya yang seorang ini. Sejak bapa mereka meninggal dunia lima tahun sudah, Fasha hanya memiliki seorang adik yang sentiasa membuatkannya tersenyum.
Tok tok tok… pintu kamar Nora diketuk.
Nora tersedar daripada lamunan. “Siapa?” Ia bertanya perlahan. Diam... tidak ada suara yang menjawab pertanyaannya.
Tok tok tok… pintu diketuk bertalu-talu sehingga bergegar ruang bilik yang didudukinya.
“Siapa? Kakak?” Nora bertanya lagi lantas segera membuka pintu. Khuatir kakaknya akan mengamuk sekiranya ia perlu menunggu lama. Ya! Kakaknya sudah banyak berubah. Kalau dulu, kakaknya begitu sabar melayan karenahnya tetapi tidak kini.
“Kenapa ni?” Terkejut Nora pabila mendapati bahawa bukan kakaknya yang mengetuk pintu tetapi Razif yang meluru masuk ke dalam biliknya. Tudung yang diletakkan di belakang pintu ia capai cepat-cepat. Matanya yang bulat sepertimana mata Fasha dibulatkan tanda protes.
“Mana kakak?”
“Kenapa masuk bilik ni?” Nora menengking teman lelaki kakaknya yang tidak tahu adab dan tidak punya tatasusila.
“Saja… salah ke?” Razif berkata tersekat-sekat. Hanyir air daripada mulutnya yang kebiruan menjadikan Nora seakan hendak termuntah.
“By the way, kakak kau dah masuk bilik dengan kawan baik aku, Amirul. Yang lain, ada ‘kerja’ masing-masing kat ruang tamu tu. Kau nak tengok?” Tangan Nora ditarik dengan rakus.
Pang…
“Jangan kau berani sentuh aku… kalau tidak!!!” Tangan Nora terketar-ketar.
Pang… sekali lagi pipi lelaki itu ditampar. Nora geram! Lelaki ini telah membawa kakaknya ke lembah hina. Sampai bila-bila ia tidak akan memaafkannya.
“Relax relax. Jangan kabut. Kau tak try lagi, kau tak tahu…” diam.
“Kakak kau seronok-seronok dengan jantan lain. Aku tak ada teman la. Kau temankan aku malam ni,” pujuk Razif. Ia lupa, gadis di hadapannya itu bukanlah gadis lemah yang mudah tergugat imannya.
“Astaghfirullah! Allahu akbar! Allahu akbar!” Jerit Nora lantas menolak Razif keluar dari biliknya, jatuh terjelopok di muka pintu. Segera ia mengunci pintu dari dalam. Bukan itu sahaja, tanpa lengah Nora menolak meja solek mengenai pintu tersebut. Kali ini, pasti selamat.
Hatinya yang tadinya berdegup kencang masih lagi berlari pantas. Seperti tidak percaya apa yang telah berlaku. Mujur Allah masih sayangkannya dan mujur sekali Allah memberi peluang untuknya memelihara diri. ‘Alhamdulillah,’ Nora berkata sendiri.
Tiba-tiba, air mata Nora mengalir kencang. Wajah kakak dan ibu hadir bersilih-ganti. Ia sayangkan kakaknya tetapi lidahnya kelu untuk bersuara. Adakah ia bersubahat dengan maksiat yang dilakukan oleh kakaknya? Tidak! Nora tidak sanggup diheret bersama kakaknya tetapi ia betul-betul buntu. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya. “Ayah…” kata Nora perlahan.
*****
Pagi itu, takut-takut Nora membuka pintu kamarnya. Ikut rasa hati, mahu sahaja ia berdiam diri di atas katil empuk yang dikongsi bersama kakaknya namun ia perlu ke bilik air mengambil wudhu’. Lagi 30 minit, masuk waktu solat Subuh dan ia perlu segera agar sempat menunaikan solat sunat taubat dan tahajjud. Bukankah solat sunat yang paling afdhal itu merupakan solat tahajjud dan sebagai insan lemah, ia perlu sentiasa memohon keampunan daripada Tuhannya atas segala kekhilafan yang dilakukan.
Meskipun kemudaratan di hadapan mata, Nora tekad untuk keluar dari bilik itu. Boleh jadi tidak salah baginya bertayamun tetapi ia masih ragu-ragu. Masih banyak perihal agama yang perlu ia pelajari.
Nora memandang sekeliling. Bau hanyir arak dan muzik Metallica masih lagi berkumandang. Perlahan-lahan Nora berjalan ke arah radio yang terletak bersebelahan dengan peti telivisyen. Tiba-tiba, kakinya terlanggar sesuatu. ‘Allah,’ Nora berbisik perlahan. Rupa-rupanya, kakinya terpijak muka Razif yang terbaring di atas lantai. “Astaghfirullah,” terungkap istighfar dari bibirnya yang tebal. Teman lelaki kakaknya itu dipandang dengan penuh kebencian. “Kau perosak dan merosakkan!” ia berkata lantang, masih mahu mengucapkannya meskipun ia tahu lelaki itu tidak mendengar apa-apa walau sepatah pun.
‘Astaghfirullah…’ kali ini istighfarnya semakin panjang. Di atas sofa, kelihatan tiga pasangan remaja sedang tidur berpelukan. Apa yang harus dilakukan? Ingin menghubungi pegawai agama? Nanti, kakaknya pasti kan diheret sama tetapi bagaimana? Ah Nora, rasa kasih dan sayang pada Fasha membuatkan dirinya buta daripada menegakkan hukum Tuhan.
Tiba-tiba…
*****
Ting tong ting tong ting tong…
Tok tok tok…
Kedengaran loceng rumah dan pintu diketuk. Kaget! ‘Siapa pula yang datang ni?’ Bisik Nora sendiri. Kaki Nora terpaku di depan pintu. Tidak tahu sama ada hendak membuka pintu tersebut atau sebaliknya.
Ting tong ting tong ting tong…
Tok tok tok…
Pintu diketuk bertalu-talu. Nora memandang Razif yang masih lagi lena dibuai mimpi indah. Tiada respon.
“Buka cepat atau kami pecahkan pintu ini!” Kedengaran satu suara dari luar rumah. Nora mengintai dari lubang kecil yang sedia ada di muka pintu. Kelihatan empat orang lelaki berkopiah putih bersama-sama dengan tiga orang wanita sedang berdiri di hadapan pintu.
“Astaghfirullah,” ucap Nora. Mimpi ngeri sudah menjadi kenyataan.
Perlahan-perlahan Nora memulas tombol pintu. Mukanya pucat seperti baru sahaja disedut darah oleh pontianak bermata satu.
“Kami dari Jabatan Agama Islam. Kami menerima adauan daripada orang ramai bahawa berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya di dalam rumah ini,” kata salah seorang daripada mereka. Tiga orang lelaki berkopiah bersama-sama tiga wanita yang terlibat dalam operasi tersebut segera meluru ke dalam rumah.
“Astaghfirullah. Ini rumah orang Islamkah atau rumah siapa?” Kata satu suara.
“Bangun cepat!” Jerit salah seorang di antara mereka.
“Pakai baju elok-elok!” Petugas wanita memberi arahan tegas.
“Saya tak terlibat ustaz,” terketar-ketar Nora bersuara.
“Saya tak bersalah ustaz,” air matanya mula gugur dari pipi. Nora diperhati atas bawah.
“Tiada saksi yang melihat apa yang kamu buat sebelum ini. Kalaupun kamu tidak terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ini, kamu tetap akan diheret sama atas tuduhan bersubahat. Jadi, kamu akan turut ditahan,” kata lelaki itu. Mukanya jernih dengan janggut di dagu.
“Astaghfirullah, ampuni dosaku Tuhan…” tiba-tiba Nora jatuh pengsan.
Labels: | edit post
0 Responses