3T


“Umi!!!” Puteri comelku menjerit. Umurnya baru sembilan tahun tetapi kepetahannya mengalahkan aku yang baru sebentar tadi mendapat gelaran ‘Mama Shin Chan’. Siapa lagi kalau bukan suamiku yang sanggup memanggilku dengan nama sedemikian. Entahlah, aku sendiri kurang pasti di manakah relevannya panggilan tersebut ditujukan buatku.
“Ya sayang umi,” aku berkata lembut.
“3T tu apa?” Bersungguh-sungguh benar ia bertanya. Mataku ditenung tajam, kaki dan tangannya pula tidak dapat duduk diam. Sekejap sekejap ia melangkah ke hadapan, sekejap sekejap ia duduk bertinggung.
“3T?” Mataku yang sedia sepet kubulatkan. Aku berpura-pura menggaru kepala yang tidak gatal. Sebenarnya, kadang-kadang rasa terhibur melihat karenah puteriku yang begitu bersemangat tatkala mendapat informasi baru. Pasti istilah ‘3T’ ini ia baca dari muka depan buku yang baru kubeli.
“Toy’r us, taman permainan, teddy bear?” Cepat benar ia menjawab sedang aku masih lagi tercari-cari kaedah yang paling mudah dan sesuai untuk menerangkan kepadanya. Inilah puteri kesayanganku, begitu tulus memberikan pandangan tanpa perlu berfikir panjang. Aku hanya tersenyum…
‘T’ yang pertama... taubat.
Bilamana makhluk itu bergelar manusia, pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Bukankah ‘nasiya’ itu bererti lupa dan tatkala ia tidak ingat, membuatkannya alpa terhadap ketetapan Tuhan. Meskipun yang halal itu jelas, yang haram itu nyata, tidak mustahil seorang manusia itu melangkauinya. Pemikiran dan tindakannya terbatas…
Justeru, pulanglah… kembalilah kepada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya, hanya Rab yang berhak mengampuni dosa-dosa makhluk-Nya yang bergelar manusia. Usah memandang enteng kepada kecil dan besarnya dosa yang dilakukan tetapi bersedialah untuk menyucikan diri daripada segala sesuatu yang dimurkai Allah. Bertaubatlah agar hisab kelak tidak menempuhi jalan sulit.
“Bila kita buat salah, kita kena bertaubat,” aku berkata perlahan sambil mengusap rambutnya yang lurus.
“Taubat?” Seperti yang kuduga, soalan ini pasti muncul dari bibir mungilnya.
“Minta maaf pada Allah sebab kita buat salah. Allah marah kita mencuri tapi kita tetap mahu mencuri,” satu-satu kuterangkan kepadanya.
“Betul betul betul…” Nah! Muncul pula Upin dan Ipin. Aku tersenyum lagi.
Ya, seorang manusia yang berdosa perlu memohon ampun kepada Tuhan-nya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Ia benci, meluat dan menyampah dengan dosa tersebut lantas berlari jauh meninggalkannya. Ia pasti, satu hari ia kan kembali kepada Ilah yang mencipta lalu berusaha keras melakukan sebanyak mungkin amal untuk menebus segala salahnya. Bukankah kebaikan itu bisa sekali menghapus kejelikan yang pernah dilakukan?
Syukur kerana manusia itu tidak dibiarkan terlena panjang. Ia masih diberi peluang untuk bangkit kembali. Bangun dan terus berdiri melangkah ke hadapan mengikut jalan lurus. Aduh! Kakinya berdarah tetapi syukur ia masih mampu berjalan. Dibantu pula dengan insan lain yang menjadi wasilah daripada Tuhan untuk membawanya kembali.
“Umi, Itie nak taubat sebab buat salah,” takut-takut ia bersuara.
“Itie buat apa?” Tanyaku sambil merenung matanya yang bulat, betul-betul mewarisi bentuk mata abinya.
“Itie makan tak baca bismillah. Ustazah cakap, kalau makan tak baca doa nanti makan dengan syaitan. Abi cakap, syaitan tu musuh Allah…” diam sejenak.
“Bila Itie kawan dengan musuh Allah, mesti Allah tak suka,” sambungnya perlahan. Suaranya berubah seakan-akan mahu menangis.
“Sayang anak umi,” kali ini aku mencium pipinya yang gebu. Aku tersentuh dek keprihatinannya terhadap dosa sedang aku sendiri masih lagi alpa.
“Dan Dialah (Allah) yang menerima taubat daripada hamba-Nya (yang bertaubat) serta mengampuni kejahatan (yang mereka lakukan), dan Dia mengetahui apa-apa yang kamu semua kerjakan,” As-Syura ayat 25.
‘T’ yang kedua… tasbih.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang bertasbih selepas solatnya 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 33 kali dan semuanya 99 kali… kemudian ia menyebut ‘Laailahaillalah wahdahu la syarikalahu, lahu al-mulku walahu al-hamdu wahuwa ‘ala kulli syai’in qadir’, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan,’ HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud.
Benar, tidak rugi menyebut nama Allah. Bukankah dengan itu dapat menjadikan hati tenang? Bilamana hati tenang, kita pasti dapat fokus dengan apa-apa yang dilakukan sekaligus menghasilkan kerja yang terbaik. Bukankah Islam itu sendiri mengkehendaki umatnya membuat yang paling baik? Sepertimana ungkapan Syeikh Yusof Al-Qaradawi, “Amalan itu mendapat status ibadah bilamana ia tidak bercanggah dengan hukum Islam dan dilakukan kerana Allah SWT semata-mata. Selain itu, hendaklah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan terbaik mengikut kehendak syarak tanpa mencuaikan ibadah khusus lainnya.”
Jadi, usah malas untuk bertasbih menyebut nama Tuhan. Pabila nama-Nya acap kali diungkap, menjadikan hubungan yang semakin jauh mendekat dan tatkala merasakan diri begitu hampir dengan Tuhan yang menghisab, perbuatan mungkar itu sudah pasti kan dibuang jauh. Al-maklumlah, hati sentiasa merasakan pengawasan Tuhan yang tidak pernah mengizinkan walau sesaat seorang hamba itu berbuat dosa.
Bilamana, bintik hitam sudah luntur dari dalam hati, kejernihan pula mengambil tempat. Hati yang jernih memudahkan cahaya memasukinya membuatkan jiwa sentiasa damai dan bahagia. Siapa lagi yang berhak mengurniakan kegembiraan itu melainkan Allah?
“Itie kena selalu ingat Allah dengan bertasbih,” aku bersuara lembut.
“Ooo… macam tasbih yang abi guna tu,” penuh yakin ia berkata. Setiap kali sesudah solat, suamiku sering menggunakan tasbih kayu kokka yang dibelinya daripada seorang lelaki tua di pasar malam. Puteriku pula begitu gemar melihat abinya menggerak-gerakkan buah tasbihnya sambil terkumat-kamit menyebut nama Tuhan. Sekali-sekala, ia mengikut gerak bibir abinya namun ia lebih gemar menggerakkan kepalanya daripada mulutnya. Entah apa yang difikirkan, aku sendiri tidak pasti.
“Alaaa… yang abi selalu cakap Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar tu…” sambungnya lagi tetapi kemudian ia diam seketika. Cepat-cepat ia berlari anak menuju ke bilik solat lalu mencapai tasbih abinya yang terletak di atas rak buku.
“Tasbih ni kan mi?” Sungguh-sungguh ia bertanya sambil memuncungkan mulutnya.
“Ya sayang, pandai anak umi,” kataku dengan senyum manis terukir. Anak kecil memang mudah diajar. Hatinya suci tanpa banyak bintik kotor. Jiwanya telus tidak dipenuhi noda-noda hitam. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah SAW, “Anak kecil ini umpama kain putih. Ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka sama ada menjadi Nasrani mahupu Majusi.”
“Buat apa nak tasbih mi?” Puteriku nampaknya masih belum berpuas hati dengan jawapan yang kuberi. Kali ini, ia berlagak seperti suamiku yang sedang berzikir.
“Allah Allah Allah,” sebutnya perlahan.
“Kita bertasbih untuk ingat Allah, untuk minta maaf pada Allah, untuk dekat dengan Allah,” harap-harap jawapan ini tidak memeningkan kepalanya. Aku bukanlah murabbiah yang bijak menjawab persoalan sang mutarabbi. Aku hanyalah seorang umi yang mahukan yang terbaik buat puteriku. Aku mahu kelak ia menjadi jundullah yang hidupnya, matinya untuk Allah yang satu.
“Ooo.. bila kita ingat Allah, Allah akan ingat kita. Bila Allah ingat kita, Allah tak akan marah kita sebab kita baik dengan Allah,” ia mengemukakan pandangannya.
“Allah selaluuuu dekat dengan kita dan selaluuu ingat kita,” tambahku. Sengaja kupanjangkan sebutan ‘selalu’. Aku mencium pipinya buat kesekian kalinya. ‘Umi bangga dengan Itie,’ bisik hatiku.
Sesungguhnya, bertasbih memberi ruang buat kita untuk memohon keampunan daripada-Nya. Sepertimana yang telah kukhabarkan buat puteriku, Allah itu sentiasa dekat dengan setiap hamba ciptaan-Nya bahkan jaminan keampunan Tuhan begitu luas buat setiap insan yang mahu kembali Dia.
Begitu pemurah Tuhan ini. Aku malu sendiri kerana sering kali mengabaikan-Nya. Mujur dijentik Tuhan melalui puteri bongsuku. Tidak semena-mena, soalan yang tidak pernah kuduga muncul daripada bibirnya. Taubat, tasbih dan….
‘T’ yang ketiga… tahajjud.
“Dan bangunlah pada sebahagian daripada malam serta kerjakanlah solat tahajjud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu kan membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji,” Al-Isra’ ayat 79.
Sedang Nabi SAW pecah tumit kakinya dek menunaikan solat malam tanpa henti, inikan pula aku manusia biasa yang terlalu banyak dosa dan bertimbun melakukan khilaf. Jadi, sebagai hamba yang berani mengakui silapnya, perlu juga berani menebus kesalahannya. Dengan apa? Allah sekali-kali tidak meminta uang berjuta, cukuplah dengan mengingati-Nya waktu lapang dan sukar.
Bertahajjud membolehkan kita berinteraksi dengan Allah. Waktu sepertiga malam adalah masa yang paling sesuai untuk mengadu, merintih dan merayu kepada-Nya. Kala itu, tiada siapa yang mengganggu dan hati ditenteramkan lagi dengan suasana malam yang sunyi sepi. Inilah masanya yang paling baik untuk koreksi, berfikir dan merenung kekurangan diri. Kemudian, mohonlah keampunan daripada Tuhan yang sentiasa membuka ruang kemaafan buat hamba-hamba-Nya.
“ ‘T’ yang terakhir ialah tahajjud,” aku berbisik di telinga puteriku.
“Yang ni Itie tahu…” ia menggigit jari manisnya yang kekuningan. ‘Itulah, siapa suruh main kunyit,’ kataku perlahan.
“Apa yang Itie tahu?” Tanyaku dengar tak dengar.
“Ustazah sekolah petang cakap, tahajjud ialah solat pada malam hari. Mula-mula kita tidur, kemudian bangun balik untuk sembahyang malam…” diam sebentar.
“Alaaa… yang macam umi dan abi selalu buat. Itie tahu,” sambungnya lagi.
“Bijak anak umi sayang,” pujiku sambil menepuk-nepuk belakang bahunya.
“Ustazah cakap, masa solat tahajjud boleh cakap dengan Allah, boleh beritahu semua benda pada Allah, boleh menangis kalau sedih depan Allah dan banyak lagi. Malam ni, umi gerak Itie ya. Itie pun nak bangun solat macam umi dan abi,” ia berkata jujur.
“Baik sayang,” tanpa sedar, air mataku mengalir. Suami yang sedari tadi memerhati gelagat kami turut mengalirkan air matanya yang begitu sukar untuk jatuh. Aku tahu ia terkesima dengan jawapan buah hati kami.
‘3T’… ‘3T’ telah mendekatkan aku dengan puteriku. Sepanjang sembilan tahun ia berada di sisiku, belum pernah aku berbual panjang dengannya. Belum pernah juga aku mengajaknya kepada Tuhan. ‘Masih kecil lagi,’ bisik hati kecilku. Namun, Tuhan menyedarkanku dengan teguran halus ini dan ia datang daripada puteriku sendiri.
Aku merenung Siti Fatimah dengan penuh kasih sayang. Syukur dikurniakan seorang puteri yang banyak mengingatkan aku bilamana aku lupa. Eh, silap. Bukan ia yang mengingatkan tetapi Allah yang menjadikan puteriku sebagai wasilah untuk menegur kesalahanku yang mungkin sudah semakin jauh dengan Tuhan. Sudah lama aku tidak bermuhasabah rupanya.
Bagaimana dengan taubatku… tasbihku… tahajuddku??? Aku merenung sendiri.
Labels: | edit post
0 Responses