Kencing manis

Assalammualaikum. Apa khabar semua? Hmmm... hari ini, Muthiah ingin berbicara soal kesihatan. Kenapa? Sebab... mungkin kadang-kadang kita terlupa untuk menjaga kesihatan. Kita mungkin tahu tentang banyak perkara ~ ilmu agama, politik dan lain-lain tetapi tanpa sedar, kita telah mengabaikan soal kesihatan diri. Maklumlah, terlalu sibuk dengan itu dan ini. Afwan, Muthiah tidak begitu arif. Sekadar berkongsi serba sedikit daripada apa yang Muthiah baca dan mahu membuka minda semua agar turut menitikberatkan kesihatan diri. Muthiah sarankan rakan-rakan semua turut mencari informasi tentang (kesihatan) ini khususnya buat para isteri. Maklumlah, kitalah yang bertanggungjawab menyediakan makan pagi/tengah hari dan malam buat suami ;) Selamat membaca...

Kencing manis

Keadaan di mana terdapat kadar gula yang berlebihan dalam peredaran darah. Ini terjadi kerana badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ bernama pankreas yang terletak di bawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugas harian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukos adalah punca utama yang memberi tenaga.

Dalam keadaan biasa, insulin membantu gula (glukos) dalam darah untuk memasuki sel-sel badan untuk ditukarkan kepada tenaga. Bagi orang yang mengidap penyakit kencing manis, organ pankreas tidak dapat menghasilkan hormon insulin dengan secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak dapat bertindak seperti biasa. Akibatnya, glukos atau gula tidak dapat memasuki sel-sel badan. Kadar gula dalam peredaran darah menjadi tinggi. Gula yang berlebihan ini akan disingkirkan oleh badan melalui air kencing. Inilah sebabnya penyakit ini dikenali sebagai penyakit kencing manis. Tanpa insulin, sel-sel badan tidak menerima bekalan glukos walaupun kadarnya amat tinggi dalam peredaran darah. Ini menyebabkan badan akan kekurangan tenaga.

Mereka yang berpotensi

Sesiapapun boleh mendapat penyakit ini tetapi risiko lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan (gemuk) serta datang daripada keluarga/ keturunan yang ada mengidap penyakit ini.

Makanan yang patut dielakkan

Gula, gula melaka, coklat, jem, madu, sirap, aiskrim, biskut-biskut yang manis, susu pekat, minuman ringan, gula-gula jeli.

Bahan yang patut dikurangkan

Nasi, roti, ubi kentang, ubi keledek, ubi kayu, jus, kelapa, daging kambing, buah-buahan jeruk, bahan-bahan tenusu

Makanan yang bisa dimakan

Serbuk lada, rempah, cecair – teh, kopi, jus tomato dan limau, sup cair, sayur - kacang panjang, kubis, bawang, timun, lobak merah, kangkung, sawi,cendawan, bayam,tomato,bunga kubis, kacang bendi,terung, petola.

OK... Jangan lupa buat rujukan lain untuk mendapat informasi lebih terperinci ;)

Muthiah : Ya, Allah. Peliharalah diriku... suamiku serta ahli keluargaku daripada segala sesuatu yang memudaratkan...

Siapa suka PEMBULI???


Assalammualaikum. Hmmmm... tidak tahu hendak tulis apa tetapi...

Ingat lagi pada anak kucing buangan yang berada di bawah jagaan Muthiah??? Alaaaa.... Si Lulu daaa.

Sebenarnya, sejak dua menjak ini ada seekor kucing dewasa (yang Muthiah namakan sebagai Ciko) datang bertandang ke rumah. Hmmm... Muthiah OK sahaja lagipun kasihan melihat kucing tersebut ~ asyik mengiau di hadapan rumah (meow meow). Jadi, sambil memberi makan kepada Lulu, Muthiah berikan kepada Ciko sekali.

Akan tetapi, Ciko pula naik lemak. Kalau tidak dijaga, pasti akan dikonker makanan Lulu. Bukan itu sahaja, siap 'bergaduh' dengan si anak kecil yang telah kehilangan ibu itu. Muthiah??? Kadang-kadang, rasa kasihan pada Ciko tetapi kerap juga rasa geram...

Moral di sebalik cerita :

1- Si tamak selalu rugi.

2- Si pembuli akan dibenci oleh masyarakat.

Adoi adoi... entah apa yang Muthiah coretkan? Apapun, kita fikirkan sendiri. Sejauh mana kita memelihara diri kita daripada menganiaya mereka yang lebih lemah dan tidak berdaya? Bak kata Nabil (Raja Lawak Astro), 'Lu pikirlah sendiri...'

Muthiah : Pembuli di kalangan kucing VS Pembuli di kalangan manusia...
Labels: 0 comments | | edit post

Bersedialah untuk menerima teguran (ii)


...

Sekadar mengimbau kenangan lalu. Muthiah pernah juga menerima 'teguran keras' daripada seorang kakak...

Muthiah diarahkan/ diminta untuk tidak berhubung dengan sekian sekian sekian. Namun, sebagai 'budak degil', Muthiah tetap menghubungi seseorang yang termasuk dalam kategori insan yang dilarang bagi Muthiah untuk berinteraksi dengannya (buat masa itu, bukan selama-lamanya). Larangan tersebut, mungkin disebabkan oleh 'perbezaan' dalam beberapa perkara. Muthiah.. bukan sahaja 'budak degil' tetapi bolehlah dikatakan sebagai 'budak bendul'. Huhu... sesudah menghubungi teman itu, Muthiah maklumkan pula kepada si kakak yang telah melarang Muthiah berbuat demikian.

Akibatnya...

Muthiah telah dijadikan bagai Kaab bin Malek yang telah dipulau Rasulullah dan para sahabat (Boleh rujuk siri peperangan Tabuk atau insya-Allah, pada lain masa, Muthiah kongsikan bersama). Ya! Muthiah telah dipulau oleh kakak Muthiah dan beberapa orang teman yang rapat dengan Muthiah (Muthiah kira atas arahan kakak Muthiah). Sewaktu bertemu, sahabat-sahabat tidak menegur Muthiah langsung. Begitu juga dengan kakak tadi. Bukan itu sahaja, apabila beraktiviti, Muthiah dijadikan bagai orang asing.

Muthiah? Hmmm... terkilan, sedih dan rasa tersisih. Muthiah tetap menidakkan tindakan yang telah diambil ke atas Muthiah. Namun, mungkin atas dasar kasih sayang... Muthiah tidak protes. Muthiah hanya menangis sendiri (tetapi tidak pula Muthiah tunjukkan di hadapan kakak serta teman-teman Muthiah - KA,KB,KN,Z,S).

Apabila tempoh pemulauan tamat. Hehe... kakak Muthiah telah menyampaikan tazkirah tentang perang Tabuk dan kisah Kaab bin Malek. Dan pada hari itu juga, setelah sekian lama kakak Muthiah menegur dan berbicara dengan Muthiah dengan penuh kasih sayang. Begitu juga dengan sahabat-sahabat. Kami akhirnya kembali kepada sediakala bahkan hubungan menjadi lebih akrab daripada sebelumnya.

Muthiah? Muthiah rasa gembira dan lapang. Walaupun, tetap wujud pertanyaan dalam diri Muthiah, Muthiah cuba mengambil sesuatu yang positif walaupun mungkin yang negatif sememangnya ada:

1- Perlu dengar arahan.

2- Perlu bersangka baik. Teman-teman bukannya membenci kita tetapi mahu menyedarkan kita. Ada teguran, secara halus dan ada teguran dilakukan dengan...

Kita yang memilih sama ada mahu menerimanya secara positif mahupun negatif. Sekiranya penerimaan itu secara negatif, jangan biarkan perasaan negatif itu berlama-lamaan. Takut menjadi barah dalam diri. Kesannya, kita sendiri yang sakit hati dengan perasaan marah dan benci.

3- Apapun yang berlaku, usah sekali-kali menanam perasaan benci dalam diri.

4- Maafkan semua orang dan hindari daripada melakukan sesuatu yang bisa menyakitkan hati orang lain (dengan tindakan dan perbuatan kita). Yang ter ter... hendak buat macam mana? Kita, bukannya malaikat yang hanya patuh atau Nabi yang maksum. Belajarlah daripada kesilapan. Kalau sudah berubah tetapi orang tetap sakit hati... Hehe... 'Depa kena check hati sendiri kot.'Hahaha... Kenapa? Sebab susah berlapang dada... susah memaafkan... susah menerima kelemahan orang. Sedang hakikatnya, tidak ada siapa yang sempurna.

Muthiah : Masih belajar menerima teguran

Bersedialah untuk menerima teguran (i)


Assalammualaikum. Apa khabar semua? Hmmm... hujung-hujung minggu ini, agak-agak bagaimana kita memanfaat masa kita? Muthiah, hari ini semacam hendak online. Esok, hendak masuk 'pejabat'. Doakan kerja-kerja Muthiah dapat disiapkan sebelum waktunya.

1- Pernah menerima teguran?
Pernah ( )
Tidak pernah ( )

2- Apakah reaksi kita apabila menerima teguran?
Menangis ( )
Melenting ( )
Buat bodoh ( )
Lantaklah ( )
Bermasam muka/ membenci ( )

3- Kenapakan kita ditegur?
Orang dengki pada kita ( )
Kita ada buat silap ( )
Sikap kita ( )
Orang tidak berpuas hati dengan kita ( )
Sebab orang sayangkan kita ( )

Apapun keadaannya, kitalah yang memilih sama ada mahu bersikap positif mahupun negatif setelah menerima teguran daripada seseorang.Sekiranya kita mahu mengambilnya (teguran itu) sebagai satu yang boleh mengubah diri kita menjadi lebih baik, Alhamdulillah. Jika tidak, hmmmmm... dikhuatiri kita tidak akan dapat mengubah diri kita sampai bila-bila.

Muthiah??? Sejak kecil sampai sekarang, selalu sahaja ditegur dan ditegur. Ada teguran membina dan ada juga teguran yang menyakitkan. Biasanya, bilamana Muthiah cuba berlapang dada (apabila rasa dekat dengan Tuhan), Muthiah akan tenang. Acap kali juga Muthiah melenting. Namun, apabila Muthiah fikir dan berfikir kembali... membuatkan Muthiah sedar daripada kesilapan...

Boleh jadi teguran itu tidak kena pada tempatnya (atau tidak ada kaitan dengan diri kita) tetapi di sebalik segala sesuatu yang berlaku, tentu ada sesuatu hikmah yang tidak dapat kita fikirkan. Allah mahu mengingatkan kita sebenarnya....

Satu ketika, sewaktu tinggal di SS, seseorang pernah menegur Muthiah. Namun, tegurannya bukanlah seperti mahu menegur tetapi mahu menyalahkan. Isunya, tentang membasuh pakaian. DG berkata sambil menjerit, 'Kalau kau nak basuh baju, bukalah air kuat-kuat. Sebab itulah air selalu naik sebab kau buka air perlahan.' Selepas itu, dia maki-hamun.

Muthiah??? Sakit hati tetapi Muthiah tidak membalas apa-apa. Buat tidak tahu. Bagi Muthiah, tidak perlu melayan orang yang sebegitu. Lagipun, memang DG punya 1001 masalah. Masalah teman lelaki, rokok dan duit. Boleh jadi ia hanya mahu meluahkan api kemarahan yang ada dalam hatinya.

Muthiah terfikir :
1- Mengapakah ia mahu bersikap demikian?
2- Apakah salah Muthiah kepadanya?
3- Banyak-banyak orang, kenapa Muthiah yang dipilih untuk melempias rasa marahnya?

Tidak ketemu jawapan... hanya yang negatif sahaja. Sudahlah duit Muthiah 'dipau' olehnya. Jadi, di manakah yang positifnya???

Ada....
1- Boleh jadi sebagai kafarah dosa bagi diri Muthiah yang sememangnya sudah banyak dosa. Mungkin Muthiah tidak sedari...
2- Allah mahu Muthiah kembali kepada-Nya. Mengadu kepada-Nya. Boleh jadi tanpa sedar, Muthiah sebenarnya semakin jauh daripada-Nya dan berdikit-dikit melupakan-Nya.
3- Allah mahu Muthiah belajar tentang realiti kehidupan yang perlu berhadapan dengan 1001 karenah manusia yang tidak kita ketahui hati budinya.
4- Allah mentarbiyah Muthiah untuk menyemai sifat sabar dalam diri.
5- Banyak perkara dalam diri yang perlu Muthiah baiki.

-bersambung-

Jadi, tepuk dada tanya iman.

Muthiah : Sudah maafkan dan halalkan segalanya. Serah 150% kepada penghitungan Allah. Bukankah Allah Maha Tahu??? ;)

Tepu...


Assalammualaikum. Jam sudah menunjukkan pukul 6.39 pagi. Hendak masak, ayam belum nyahbeku lagi. Rancangnya, hendak buat bihun goreng. Hendak 'zzzzzz', baik bangun awal. Cemburu juga tengok seseorang yang sedang lena dibuai mimpi dikejar robot masa hadapan...

Hmmm... hendak tulis apa, ya??? Idea ada tetapi hendak dicoretkan di sini, tidak tertulis... Huhuhu...

Boleh jadi sebab sudah terlalu tepu.

Dari Selasa lepas, sampai Jumaat Muthiah menulis tanpa henti, memerah idea untuk menyiapkan sesuatu. Kalau sudah tepu, hendak buat macam mana? Kata suami, 'Rehatlah sejenak' ~ Kumpul tenaga. Ya! Kita memerlukan rehat yang mencukupi (tidak semestinya rehat yang berganda-ganda tetapi biarlah rehat itu merupakan rehat yang berkualiti).

Sebenarnya, ada seorang 'penulis baru dan berbakat' telah membantu Muthiah untuk menyudahkan tugasan ini. Namun, oleh sebab ideanya terlalu terkehadapan, Muthiah tidak dapat meluluskan hasil usahanya meski ia turut sama telah memerah tenaga dan fikiran untuk itu. Apapun, terima kasih ;)

Boleh jadi sebab terlalu banyak berfikir.

Tentang apa? Sebenarnya, ada perkara yang sepatutnya difikir secara mendalam. Contohnya, permasalahan ummat. Akan tetapi, ada juga perkara yang tidak perlu difikirkan secara mendalam, terutamanya sesuatu perkara yang remeh dan kecil.

Namun, siapa kita yang hendak menilai perkara itu adalah sesuatu yang boleh dipandang enteng? Hmmm... kita mungkin boleh belajar daripada pengalaman, pengamatan dan pemerhatian.

Mungkin, bagi mereka...
Apa yang sedang dihadapi merupakan sesuatu yang besar, berat untuk dipikul... mendukacitakan dan menyedihkan sedang bagi kita... 'Ah! Perkara kecil sahaja. Tidak perlu sampai begitu!'

Atau dari satu sisi, mungkin bagi kita...
Bebanan itu begitu berat dan pahit untuk ditanggung... sakit dan sakit namun mungkin bagi orang lain, 'Alah... bukannya teruk sangat!'

Justeru, jangan terlalu sombong dan bongkak kalau kita sudah cukup kuat untuk mendepani sesuatu permasalahan. Khuatir, tanpa sedar kita sedang mengikut jejak langkah syaitan yang akhirnya menjadi musuh Allah dan musuh manusia beriman.

Bukan kita yang cukup kuat tetapi Allah yang telah memberi kekuatan itu. Bantulah mereka yang memerlukan bantuan. Hendak bantu bagaimana? Hmmm... bawalah mereka kepada ALLAH, sumber segala kekuatan. Bukan mencemuh dan mengkeji. Boleh jadi mereka lupa dan tidak tahu. Insya-Allah, bilamana mereka sudah menemui TUHAN, kelak mereka akan bangkit juga.

Namun sayang, kita sangka kita yang hebat. Kita sangka, kitalah yang terbaik. Kita tetap mahu memperlekeh sedang kita sebenarnya bukanlah SIAPA-SIAPA. Jadi... 'Sendiri mahu ingat daaaa...'Kita takut, bisa membuatkan kita semakin jauh dan terus menjauh. Merasakan diri besar.. bukannya itu ciri-ciri orang jahiliah???

Adoi, apa yang sedang Muthiah coretkan? Hmmm... fikir-fikirkan... Muthiah terkenang seorang teman. Ia selalu merasakan dirinya tidak kuat tetapi sebenarnya, kekuatan itu sedang datang kepadanya.

Muthiah : Kadang-kadang lembut, kadang-kadang keras dan kadang-kadang tegas...
Labels: 0 comments | | edit post

Bahaya dosa dan maksiat


Assalammualaikum. Siapa rasa tidak pernah buat dosa, angkat tangan???

Hmmm... sebagai manusia yang lemah, kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Bezanya, adakah kita mahu membiarkan dosa itu terus berulang dan berlarutan... atau kita mahu mulakan hidup baru... hidup di bawah pengawasan Allah, mengharapkan Dia yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya...
Setiap manusia berhak untuk hidup bahagia di bawah naungan Allah.
Setiap manusia berhak untuk kembali ke pangkal jalan. Kita tidak punya sebarang hak untuk menghalang mereka untuk kembali.


Bagi yang telah terlanjur melakukan kemaksiatan contohnya... SALAH TETAP SALAH! Namun, siapa kita mahu menghukum mereka yang secara terang-terangan melakukan kesalahan ini tidak layak untuk mendapat kebahagiaan hidup (di dunia mahupun akhirat) sedang dia sudah bertaubat dan mahu kembali kepada Pencipta??? Kita menyisihkan mereka... membiarkan mereka terkapai-kapai sendiri dengan alasan, tubuh mereka dikotori dengan debu-debu dosa. Kita terus menghukum dan menghukum. Bukankah mereka yang BERTAUBAT dan KEMBALI KE PANGKAL JALAN itu adalah kekasih Allah??

Kita memandang kelompangan mereka yang berbuat dosa tetapi kita melupakan kelompangan diri kita sendiri. Ingatlah! Usah membenci sosok mereka yang berbuat silap tetapi bencilah kepada perbuatan yang telah dilakukannya. Kita benci kerana mereka telah mengenepikan Allah. Sayang seribu kali sayang... Kita lebih gemar menjadi hakim daripada menjadi dai'e yang membawa mereka yang sedang hanyut itu ke pangkal jalan.

Bahaya dosa dan maksiat :

1- Syaitan 'merasa' (tidak tahu istilah yang sepatutnya) dibantu oleh manusia yang memerangi diri mereka sendiri. Iyalah, syaitan sudah berjanji untuk menyesatkan manusia. Kita pula sewenang-wenangnya membuat sesuatu yang disukai syaitan tetapi dimurkai Allah. Contohnya, hmmm… menipu, mengumpat, tidak menjaga amanah, melampaui batas…

2- Membuatkan seseorang berasa takut, perasaan yang tidak dirasai oleh seseorang yang tidak berbuat dosa / maksiat.

3- Menyebabkan hati tertutup, tidak sedar bahawa ia sedang melakukan kesalahan. Manakan mahu sedar. Ia hanya nampak kesalahan orang lain sahaja seolah-olah dia sahaja yang sempurna. Mulutnya berkata ia juga manusia biasa tetapi tindakannya tidak melambangkan apa-apa yang diungkapnya. Ia nampak kurap dan parut pada tubuh orang sedang berdiri di hadapannya tetapi ia lupa dengan panau yang semakin membesar pada seluruh jasadnya.

4- Melemahkan hati dan badan. Apabila hati dan badan sudah lemah, untuk beribadah pun terasa sukar…. berat. Akhirnya, ia tidak akan dapat membersihkan bintik-bintik hitam yang semakin bertebaran dalam hatinya. Apabila semakin makin, sukar pula bagi cahaya untuk tembus dalam jiwanya. Apabila cahaya Ilahi itu jauh daripada dirinya… jadilah ia seorang yang… cepat melenting, cepat melenting, cepat kecewa dan putus asa, cepat dan cepat… Segalanya cepat. Untuk mendekatkan diri kepada Allah, lambat pula. Ia kira, ia masih punya banyak waktu sedang ia lupa bila-bila masa ajal bisa menjemput.

5- Menyebabkan urusan menemui kesukaran dan mengakibatkan kemudaratan/ kesusahan bagi orang lain yang berada di sekeliling mereka.

6- Menyebabkan diri berasa rendah diri untuk berinteraksi sesama manusia terutama dengan orang soleh.

7- Bisa memadamkan api semangat yang membara atau semangat yang terpendam di dalam hati.

8- Menghilangkan rasa malu yang sebenarnya boleh menghidupkan hati.

9- Melemahkan perjalanan atau pengembaraan menuju Ilahi.

Hmmm… Muthiah lupa, Muthiah dapat dari mana informasi di atas. Muthiah rasa, dari buku ‘Tercicir dari jalan dakwah,’ tulisan Fathi Yakan tetapi afwan, tidak dapat menulis sumber yang sebenarnya.

Muthiah : Alhamdulillah... Moga-moga Allah sentiasa memberi ruang dan peluang.

Ciri-ciri usrah

Assalammualaikum. Hmmmm... Hendak tulis apa, ya? Muthiah ada lagi 1 jam untuk akses internet. Hmmmm...

Sedikit perkongsian ilmu tentang... CIRI-CIRI USRAH :

1- Ruhiyah (lahirkan) :

i) IMAN ~ hati ~ kita (bagaimana akhlak kita dengan ALLAH).

ii) UKHWAH ~ hati ~ sentuhan hati kita dengan orang lain.

iii) AKHLAK ~ hati ~ perilaku kita pada diri dan orang lain.

Semak balik seandainya TIADA ROH dalam usrah tersebut....

2- Fikriyah (kefahaman daripada ilmu) :

i) Ilmu

ii) Teori

iii) Manhaj
~ Melalui SISTEM YANG BENAR.
~ Datang daripada ALLAH.
~ Yang ASLI (Al-Quran dan As-Sunnah).

3- Dakwah
~ Bergerak dengan penuh perasaan, ikhlas kerana Allah.

Muthiah : Keterikatan hati yang tidak boleh dijual beli.
Labels: 0 comments | | edit post

Cerita hantu di KK1, UM (ii)

.... Al-kisah di KK1 @ ASTAR UM... Jeng jeng jeng...

Sewaktu Muthiah berada di semester pertama, tahun satu. Muthiah sebilik dengan Kak Ida dan Kak Nie di blok C (rasanya blok C: blok di atas dewan makan). Lazimnya, sebelum azan Subuh... Muthiah dan Kak Ida akan turun bersama-sama ke surau yang terletak di blok D (sebelah asrama pelajar lelaki).

Hendak dijadikan cerita, satu hari Muthiah terjaga awal daripada tidur. Muthiah sangka Muthiah telah lewat kerana lazimnya, Muthiah akan bangun sendiri, tanpa dibangunkan oleh alarm handphone Muthiah atau jam loceng Kak Ida. Akan tetapi, hari tersebut... tidak terjaga pula. Jadi, tanpa lengah... bangun sahaja daripada tidur, Muthiah segera bersiap-siap untuk ke surau. Muthiah biasa ambil wuduk di dalam tandas sebelah surau. Muthiah mengejut Kak Ida tetapi Kak Ida minta Muthiah pergi dahulu.

Muthiah pun pergi... sesampainya di surau... Huhu... jarum jam belum lagi sampai ke angka 5.00, terlebih awal pula Muthiah. Kemudian, Muthiah membuat apa-apa yang patut sementara menunggu pelajar siswa (atau lebih dikenali dengan panggilan ustaz datang azan Subuh).

Tiba-tiba... bulu roma Muthiah rasa meremang. Tidak ada yang perlu ditakutkan sebenarnya (tetapi takutlah juga... sunyi). Tunggu Kak Ida, tidak sampai-sampai. Tunggu ustaz-ustaz, pun tidak datang. Terasa begitu lambat masa berlalu.

Huhu... tap tap tap... bunyi seperti orang berjalan di tepi surau (arah sebelah gimnasium). Muthiah sangka, Kak Ida telah tiba. Lazimnya, kalau Muthiah turun ke surau dahulu, Kak Ida akan menyusul tidak lama kemudian. Namun, tunggu punya tunggu, Kak Ida tetap tidak memunculkan diri. Apa lagi... semakin kecut perut Muthiah.

Apa yang Muthiah buat???? Hehe... Muthiah sujud, tidak bangun-bangun... sampai Kak Ida sampai. Itupun agak lewat. Ustaz-ustaz pun tiba lewat. Muthiah??? Hanya Tuhan yang tahu perasaan Muthiah.

Keesokannya, Muthiah bertanya kepada Kak Ida, "Kenapa turun lambat?" dan Muthiah menceritakan apa yang berlaku. Hendak tahu apa jawapan Kak Ida? Katanya, ia terdengar bunyi anjing menyalak, menyebabkan ia membantutkan diri untuk turun awal ke surau.

Selepas itu, Muthiah tidak lagi turun terlalu awal ke surau. Agak-agak sebelum masuk waktu, baru Muthiah turun.


Muthiah : Kadang-kadang, kita diuji tatkala mahu mendekatkan diri dengan Pencipta. Bilamana kita berjaya melepasi ujian tersebut, kemanisan pasti kan dapat dirasai....

Suka Casper... tidak suka pengundi hantu...

Cerita hantu di KK1, UM (i)


Assalammualaikum. Apa khabar semua. Ada sihat? Muthiah, 'ala kullihal Alhamdulillah. Syukur kerana dikurniakan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Hmmm... kita sering kali melihat sesuatu yang kita tidak dapat/ miliki. Bukan itu sahaja, kita juga sering mengenangkan sesuatu yang mendukacitakan/ menyakitkan hati. Kita mungkin lupa untuk mengingati segala apa yang sudah menjadi milik kita (sementara) dan kita mungkin teralpa untuk mengenang kembali sesuatu yang menggembirakan. Fikir-fikirkan...

Semalam, Muthiah YM dengan seorang teman akrab. Dia masih di pejabat, menyiapkan tugasan yang telah diberikan kepadanya.

Muthiah : Aku rasa macam nak tumbuh tanduk kat kepala aku.
Sahabat : Nape?
Muthiah : Mu nak tahu ke? Kalau mu nak tahu, aku khabor la.
Sahabat : Weh, aku tengah buat kerja ni. Mu tahu, tadi ada orang jenguk kepala. Rupa-rupanya, guard.
Muthiah : Mujur Pak Guard. Kalau orang tanpa kaki????
Sahabat : Weh, bengong mu.

Hahaha...

Muthiah pun menceritakan perbualan ini kepada suami. Suami cakap, Muthiah ada niat hendak mengusik orang sedang diri sendiri 2x5, jawabnya 10 ~ PENAKUT. Tetapi, Muthiah jawab dalam hati sahajalah.

Hmmm... Muthiah bukan hendak bercerita tentang kisah sahabat Muthiah dengan lelaki tanpa kaki di pejabatnya. Muthiah ingin berkongsi satu pengalaman yang agak menakutkan bagi Muthiah tetapi mungkin tidak bagi mereka yang kuat jati diri.

Namun, sebelum itu... Muthiah ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang kriteria yang perlu dimiliki oleh seorang Muslim, yakni SALIMUN AQIDAH (aqidah yang selamat):

1- Tidak meruqyah kecuali dengan ayat Al-Quran yang ma'tsur.
2- Tidak berhubung dengan jin.
3- Tidak meminta tolong kepada orang yang berlindung kepada jin.
4- Tidak meramal nasib dengan melihat tapak tangan.
5- Tidak berjumpa dengan dukun atau peramal.
6- Tidak meminta berkah dengan mengusap-usap kuburan.
7- Tidak meminta tolong kepada orang yang telah mati.
8- Tidak bersumpah dengan selain daripada Allah.
9- Tidak tasya'um (merasa sial apabila melihat atau mendengar sesuatu).
10- Mengikhlaskan amal kerana Allah.
11- Mengimani rukun iman.
12- Beriman kepada nikmat dan seksa kubur.
13- Mensyukuri segala nikmat Allah.
14- Menjadikan syaitan sebagai musuh.
15- Tidak mengikut langkah-langkah syaitan.
16- Menerima dan tunduk secara penuh kepada Allah.


Jadi, sebenarnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan melainkan Allah.

Alamak, macam panjang pula. Kita sambung kisah KK1 esok, ya ;)

Muthiah : Kadang-kadang berani, kadang-kadang takut.

Rujukan Buku (tentang kriteria seorang Muslim) : Manajemen tarbiyah anggota pemula - DPP Partai Keadilan Sejahtera

Ciri-ciri orang yang berjaya (tafsir Al-Quran)


Assalammualaikum. Hari ini, tafsir pilihan ialah...

(1) Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,

(2) (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya,

(3) dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

(4) dan orang-orang yang menunaikan zakat,

(5) dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,

...
...

(8) Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya,

(9) dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya...

...

Muthiah : Mahu menggalakkan diri serta orang lain untuk kerap menelek/ membaca Al-Quran.

Akhlak (ii)


Assalammualaikum. Pertama-tamanya, Muthiah ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA buat teman-teman yang Muthiah kasihi fillah. Maaf atas segala keterlanjuran kata dan tingkahlaku.

Sambung sedikit tentang akhlak :

1- Akhlak merupakan satu yang tetap dalam diri.

2- Kebaikan akhlak perlu diyakini dengan iman.

3- Akhlak menyokong Muslim yang istiqomah untuk amar maaruf dan nahi mungkar.

4- Akhlak mempersediakan pemerintahan yang Islamik.

5- Akhlak adalah sunnatullah dalam satu perubahan.

6- Akhlak adalah kelaziman bagi setiap Muslim....

OK. Jom, pergi tengok orang sembelih lembu :)

Muthiah : Pengorbanan kerana Allah...

Akhlak

Assalammualaikum. Apa khabar? Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menghirup udara-Nya yang segar. Masih diberi peluang untuk bertaubat, menginsafi kejahilan lalu. Masih dan masih... masih banyak perlu dipelajari sebenarnya. Alhamdulillah, diberi ruang oleh Allah untuk bisa menerima sebarang pelajaran dan pengajaran.Moga-moga, kan dapat kembali kepada Allah dengan dosa-dosa yang telah terampun bersama mereka yang disayangi, dicintai dan dikasihi...

Hari ini, Muthiah ingin berbicara tentang AKHLAK...

Bagaimanakah akhlak kita???

Dengan orang tua...
Dengan orang yang lebih tua...
Dengan rakan sebaya...
Dengan mereka yang lebih muda...


Seandainya... kita telah berakhlak dengan akhlak yang mulia... syabas!!! Tahniah diucapkan.

Namun, seandainya kita tersilap langkah... tersalah penghitungan... usahlah terkenang-kenangkan sesuatu yang telah berlalu (Dengan kata lain, terkenang tanpa sebarang tindakan, sama ada untuk berubah atau membaiki keadaan). Jadikan setiap apa yang telah berlaku itu sebagai satu pengajaran dan pelajaran. Kita bukannya Nabi yang maksum, mahupun malaikat yang hanya taat kepada perintah Allah. Hanya mereka yang bongkak, sombong dan angkuh sahaja merasakan diri sendiri yang benar dan betul, hanya tahu menuding jari dan terus menuding.

Andai terus dan berterusan dipersalahkan atas kekhilafan diri....

Hmmm... biarkanlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan mereka. Asalmana kita telah kembali ke jalan Allah, jalan yang benar, jalan yang diredhai dan diberkati... insya-Allah, DIA pasti akan memberi jalan dan petunjuk buat diri kita. Usah gusar dengan cakap-cakap orang, fitnah, umpat keji serta anggapan mereka (Hati-hati! Khuatir andai hanya kita yang berperasaan begitu. Jadi, jalan yang paling selamat ~ BERLAPANG DADA dan BERSANGKA BAIK sentiasa). Allah tahu segala sesuatu dan Allah amat teliti PENGHITUNGANNYA. Serah segalanya kepada-Nya.

Berbalik kepada persoalan akhlak. Akhlak mulia adalah cerminan bagi seorang dai'e. Pastinya, seorang pendakwah itu perlu/ mesti membaiki akhlaknya sebagaimana ia berusaha untuk membaiki akhlak mad'unya. Dengan akhlak, dapat menarik orang lain kepada Islam.

Sesungguhnya, Allah mencipta makhluk ~ manusia dengan AKHLAK.

Akhlak kepada :

1-Allah
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." 2:186.

2- Rasul
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." 33:21.

3- Masyarakat
"Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji daripada Bani Israil (iaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling." 2:83.

4- Diri
"Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan dirimu (kewajiban) sendiri. Padahal kamu membaca Al-Kitab (Taurat)? Maka, tidakkah kamu berfikir?" 2:44.

5- Alam
"Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." 7:56.

...

Hasilnya... Sesungguhnya, akhlak bisa menjauhkan diri daripada perbuatan buruk serta dapat menghiasi diri dengan perkara mulia.

Muthiah : Jaga diri hiasi peribadi...

Ibadah


Assalammualaikum. Huhu... sementara masih punya ruang ini... Jom tazkirah ;)

1- Pengertian :

Rendah diri, tunduk, taat serta patuh kepada Allah ~ mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah.

i) "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku," 51:56.

ii)"Kepada Engkau kami mengabdikan diri dan kepada Engkau kami memohon pertolongan," 1:4.

iii)"Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu mengabdikan diri," 2:172.

2- Perasaan bahawa nikmat Allah itu besar dan agung bisa :

i) Memotivasikan diri untuk mengabdikan diri kepada Allah.

ii) Ibadah wujud dengan : penghinaan diri, cinta serta tunduk kepada-Nya.

iii) Untuk menambahkan kemantapan dalam ibadah, perlu dengan rasa takut dan harap.

3- Sebab beribadah :

i) Banyaknya nikmat yang telah dikurniakan Allah. Jadi, perlu bersyukur. Bukti kesyukuran kepada segala kurniaan-Nya ialah dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan.

- "Jika kamu menghitung nikmat Allah, pasti kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya," 16:18.

ii) Rasa keagungan Allah...

- Lihat dan akui kebesarannya.

4- Akibat lakukan ibadah :

i) Rendah diri ~ sebagai hamba yang lemah.

-"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut..." 7:55.

ii) Cintai-Nya sebagai Tuhan (Allah) yang agung.

-"... Adapun orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah..." 2:165.

iii) Tunduk kepada-Nya.

5- Lakukanlah ibadah dengan rasa :

i) Takut ~ andai ditolak amalan yang tidak ikhlas.

ii) Harap ~ agar Allah memakbulkan doa.
Labels: 0 comments | | edit post

Ciri-ciri sahabat Nabi


Assalammualaikum. Hmmm.... ada yang sedang senyum seorang diri??? Kenapa, ya?

Jom. Hari ini, Muthiah ingin menulis tentang ciri-ciri sahabat Nabi. Afwan, Muthiah lupa siapakah yang menyampaikan pengisian ini. Alih-alih, ada dalam buku nota Muthiah (ada 10 buah semuanya).

1- Merasai kehidupan di dunia adalah sementara dan hanya kehidupan akhirat yang kekal abadi.

i) Umair bin Hamam buang kurma yang ingin dimakannya sebab bersemangat untuk turun ke medan perang (Perang Badar) - Afwan, kalau ada kesilapan pada ejaan nama.

ii) Sahabat berhijrah ke Habsyah -> Mekah -> Madinah ketika pergolakan berlaku di Mekah dengan meninggalkan harta benda.

2- Miliki amal yang istimewa.


i) Bilal bin Rabah : Akan menunaikan solat sunat selepas mengambil wuduk.

ii) Uthman bin Affan : Korbankan harta dan kekayaan demi Islam. Uthman telah membeli kolam Bir Ruma dari seorang Yahudi untuk diinfakkan kepada Islam. Bukan itu sahaja bahkan Amirul Mukminin ini juga telah membeli 5 buah rumah (sederet dengan masjid) untuk membesarkan masjid Madinah.

3- Akui kesalahan dan menghukum diri.

i) Abu Dzar gemar mengejek Bilal yang hitam. Nabi SAW menegurnya dengan berkata bahawa tindakan itu adalah ciri-ciri jahiliah. Maka, Abu Dzar pun meletakkan muka di atas tanah dan meminta Bilal memijaknya.

4- Mempunyai tanggungjawab besar dalam Islam.

i) Tunai amanah dalam Islam.

ii) Peranan khalifah Allah di muka bumi - abdikan diri kepada Allah, memakmurkan alam serta berdakwah.

5- Berlumba-lumba melakukan kebaikan.

i) Lihat kepada sahabat Ansar yang menerima kehadiran Muhajirin ~ lebih mengutamakan tetamu.

Muthiah : Hmmm... serah 150% kepada Allah.
Labels: 0 comments | | edit post

Fitnah WANITA (ii)


Assalammualaikum. Satu lagi pengisian tentang FITNAH yakni FITNAH WANITA. Dush dush dush...

Perumpamaan, wanita adalah rusuk kiri kaum Adam. Dicipta Allah sebagai teman. Biologinya berbeza, peranan dan ganjaran di sisi Allah tetap sama. Adakala, ia membantu dan acap kali juga ia membantut...

Yang dimaksudkan dengan FITNAH WANITA :

1- Wanita yang mendorong seorang lelaki menjadi lalai dan leka dalam mengingati Allah lalu engkar terhadap tanggungjawabnya terhadap Allah serta menyibukkan diri terhadap urusan peribadi semata-mata.

2- Wanita yang jahat dan menggoda lelaki supaya tunduk pada hawa nafsu dan membelakangkan hukum-hukum Allah.

Sikap dan tindakan dalam menghadapinya :

1- Faham akan batas-batas syariat di antara lelaki dan wanita ` fahami konsep pergaulan dalam Islam.

2- Kawal diri, pergaulan, percakapan dan pakaian.

3- Belajar memahami antara lelaki dan perempuan.

4- Bijak dalam membuat PILIHAN ~ carilah pasangan yang betul.

Jadi.... hehe... Muthiah ingin bernasyid sedikit...

Oh mengapa semua ini terjadi
Kehancuran wanita akhir zaman
Martabatmu kini dipandang hina
Maruah tiada terbela


Siapa tahu, boleh sambung. Muthiah belajar sewaktu di KISAS ;)

Muthiah : Fitnah yang menghancurkan...
Labels: 0 comments | | edit post

Fitnah DUNIA... (i)


Assalammualaikum :) Jom tazkirah...

FITNAH! Apakah yang kita fahami dengan fitnah?

Mengikut kamus dewan - fitnah ialah tuduhan (khabar, kisah) yang diada-adakan untuk memburukkan nama atau membencanakan seseorang.

Satu lagi pengertian fitnah (lebih spesifik, FITNAH DUNIA) :

1- Sesuatu yang melalaikan serta menjauhkan seorang hamba daripada mengingati Allah lantas memberatkan dia melakukan ketaatan malah mendorongnya engkar kepada peraturan serta hukum Allah.

2- Sesuatu yang boleh merosakkan dan mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri.

.... Bagaimanakah untuk mendepaninya????

1- Kenalpasti PUNCA fitnah.

2- Hidup secara zuhud dan qanaah yakni :
i) Mereka tidak bimbang apa-apa yang berada di tangannya.
ii) Harta sama sekali tidak dapat mempengaruhinya.
iii) Yang penting... ALLAH ADA!


3- Utamakan perkara yang utama dan tidak memperbesarkan sesuatu yang kecil :
i) Perkara utama : Berbentuk ketaatan kepada Allah; amanah.
ii) Perkara kecil : Selain ketaatan daripada Allah/ perkara yang bersifat lagha.

4- Lipatgandakan amal serta pelaburan akhirat.

5- Banyakkan tazkirah diri/ muhasabah.

Fikir-fikirkan... renung-renungkan...

Muthiah : Dunia menuju akhirat.
Labels: 0 comments | | edit post

Coret-coret... sakit hati...


Assalammualaikum. Hehe... Mulakan harimu dengan senyuman.

Apa?
Hati tidak tenang?
Kenapa?


Hmmm... tepuk dada, tanya iman. Pasti ada sesuatu di dalam hati yang belum 'settle', menyebabkan jiwa dipenuhi bintik-bintik hitam. Akibatnya, hati menjadi semakin kotor dan kotor. Akhirnya, sukar bagi cahaya untuk memasukinya. Hasilnya, jadilah kita insan yang... tepuk dada, tanyalah diri sendiri...

Sesungguhnya, dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang.


Atau, kita punya masalah dengan seseorang? Atau, sakit hati dengan seseorang??? Menyebabkan hati kita selalu bergelora... sakit, oh Tuhan.

Orang yang kita benci/ sakit hati itu tahu atau tidak apa yang terpendam dalam hati kita? Atau dia tidak tahu apa-apa. Hanya kita yang terlebih syak-wasangka, yang sebenarnya datang daripada hasutan syaitan.

Hmmm.... sabar, ya. Raca benci, meluat atau mempunyai tanggapan/persepsi buruk terhadap orang lain sama sekali tidak menguntungkan diri sendiri. Satu jari yang menuding, empat jari akan kembali kepada diri kita. Hmmm... PILIH-lah untuk sentisa bersangka baik. PILIH-lah untuk menyucikan jiwa daripada sesuatu perasaan yang sebenarnya hanya merugikan diri kita sendiri. Mangsanya... diri kita serta orang di sekeliling kita.

Namun, hati tetap rasa begini? Raca yang macam mana?

Marah...
Benci...
Meluat...
Bersangka-sangka...


Jom... semak balik...

1- Sejauh mana kita beristighfar kepada Allah.
2- Sejauh mana kita sentiasa membasahkan lidah kita dengan berzikir kepada-Nya?
3- Sejauh mana kita melakukan ibadah-ibadah sunat (mengaji, solat sunat, puasa sunat)...

Bukankah amalan-amalan ini bisa sahaja membuang sedikit-sebanyak bintik-bintik hitam di dalam hati kita?

Jadi, jom... dekatkan diri dengan Allah... Insya-Allah, kita pasti akan mengecap bahagia... kerana... KITA TAHU ALLAH MAHA DEKAT DENGAN DIRI KITA... mendengar dan mengetahui segala sesuatu di dalam hati kita.
Insya-Allah, hati akan menjadi lebih tenang dan lapang.

Muthiah : Sebenarnya, 'kerja' Muthiah masih banyak. Namun, bahan kemaskini blog sudah 'kehabisan'. Terasa sayang untuk membiarkan blog tanpa sebarang coretan. Sekurang-kurangnya, apabila dapat berkongsi sesuatu yang bermanfaat, sedikit sebanyak dapat membantu Muthiah dan suami pada hari kiamat kelak. Aik! Suami pun dapat??? Insya-Allah... sebab suami yang menyediakan laptop dan internet buat Muthiah. Jazakillah...

Personaliti Diri


Assalammualaikum.

Apa khabar? Hmmm… Muthiah baru membereskan sedikit kerja, Alhamdulillah. Sekarang, mahu berehat sambil menonton CD Brightgirl. Jam 11.00 nanti ada urusan lain pula, insya-Allah.

Pagi tadi, Muthiah terbaca sebuah majalah. Hmmm… tentang rahsia personaliti diri. Jom kita kutip sedikit info…

PERSONALITI PERIANG

1-Selesa berada di dalam kelompok orang ramai dan berasa seronok bertemu dengan orang lain.
2-Lebih suka berhubung dengan dunia luar berbanding dengan dunia sendiri.
3-Lebih suka berbincang daripada membuat keputusan sendiri.
4-Lebih banyak bercakap daripada mendengar.
5-Berkebolehan menganalisis.
6-Gemar dengan aktiviti keramaian.
7-Happy go lucky.

PERSONALITI PENDIAM

1-Lebih suka menyendiri.
2-Sanggup melakukan apa sahaja menjayakan apa-apa yang disukai.
3-Mudah berasa diketepikan dalam keramaian.
4-Lebih suka berfikir dan mencari penyelesaian yang dihadapi bersendirian.
5-Menjadi pemerhati dan berfikir lama sebelum melibatkan diri dengan seseorang/ sesuatu.
6-Seorang pendengar yang baik, kurang gemar dipuji dan tidak suka berbual/ mencapuri urusan orang lain.

Mana satukah personaliti diri kita? Apapun, yang paling penting … elakkan diri daripada menjadi seorang yang menyakiti hati orang lain, tidak kira melalui kata-kata kita… tindakan/ perilaku kita… mahupun tanggapan kita.

Muthiah : Kadang-kadang macho...kadang-kadang bagai KANAK-KANAK RIBENA…
Labels: 0 comments | | edit post

Iblis yang engkar (tafsir Al-Quran)


Assalammualaikum. Apa khabar semua? Hehe…

Sewaktu masih belajar, Muthiah selalu berpesan kepada junior atau teman-teman seangkatan untuk lazimkan diri membaca tafsir serta terjemahannya (kalau berguru, lagi baik). Bukan apa, secara peribadi… kadang-kadang bahkan sememangnya sebenarnya, membaca tafsir Al-Quran dapat menenangkan jiwa yang sedang gundah. Kita akan berasa lapang dan lebih dekat dengan Tuhan. Seolah-olah Allah sedang berbicara dengan kita dan ancaman itu, seperti sedang ditujukan buat diri kita yang engkar (bahkan sesungguhnya).

Ada baca tafsir???? Tidak pernah??? Hmmm….

Jom baca tafsir Al-Quran ;)

Dipetik daripada surah Al-Hijr … Perihal iblis yang dicampakkan Allah dari syurga.

Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas. (27)

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk (28)

Maka, apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan kedalamnya roh (ciptaan)-Ku, justeru tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.” (29)

Maka, bersujudlah para malaikat itu semuanya bersama-sama… (30)

…kecuali iblis. Ia enggan ikut bersama-sama (malaikat) yang sujud itu. (31)

Allah berfirman, “Hai iblis, apa sebabnya kamu tidak (ikut sujud) bersama-sama mereka yang sujud itu?” (32)

Berkata Iblis, “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah ciptakan daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.” (33)

Allah berfirman, “Keluarlah dari syurga kerana sesungguhnya kamu terkutuk, (34)

…dan sesungguhnya kutukan itu tetap menimpamu sampai hari kiamat.” (35)

Berkata iblis, “Ya Tuhanku, (kalau begitu) maka berilah tempoh (penangguhan) kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan.” (36)

Allah berfirman, “(Kalau begitu), maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tempoh(penangguhan), (37)

… sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan.” (38)

Iblis berkata, “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, (39)

… kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.” (40)

Kata kunci

1-Taat – wajib taat atas segala perintah dan suruhan Allah.
2-Sombong, ego dan bongkak – kelak membawa padah.
3-Syaitan adalah musuh manusia yang paling nyata – yang mahu menyesatkan manusia daripada mengikuti jalan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
4-Ikhlas … tepuk dada, tanya IMAN ...

Muthiah : Selepas ini, jom pakat-pakat rajinkan diri baca tafsir/terjemahan Al-Quran.

Cinta Tulusku


Assalammualaikum...

Hmmmm... Muthiah tidak ada bakat menulis puisi... Hendak hantar ke majalah... takut kena reject... jadi, SS kat sini sahajalah ;)

(Dedikasi buat suami tercinta)

Ingin kuungkapkan
Dari jendela hati
Cintaku tulus tidak berbelah bahagi
Buat dirimu yang sering kusayangi
Kau selalu dekat dalam sanubari

Terima kasih atas cinta suci
Buat diriku yang kekurangan ini
Telus kasihmu menikam lubuk hati
Kau buat aku rasa dihargai

Ya Tuhan Allahu Rabbi
Lindungi dia yang aku cintai
Limpahi kurnia-Mu kasih nan abadi
Agar dia selalu diberkati

Duhai sayang izinkan diriku
Menyintaimu sepanjang hayatku
Moga kita kan selamanya bersatu
Di ufuk dunia kugenggam jemarimu

10.30am
(Dewan Bandaraya Teluk Intan)
Labels: 0 comments | | edit post