Jabat tangan dengan ajnabi!!!???? (i)

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah namun... terasa diri banyak buat salah sejak akhir-akhir ini. Ada rasa cemburu... sakit hati... penting diri... Pada siapa? Astaghfirullah. Walaupun, rasa ini punya alasan yang tersendiri, alangkah baik jika hati kita bersih daripada sifat-sifat mazmumah ini. Doakan Muthiah ya...


Baiklah. Isu berjabat tangan yang begitu hangat diperkatakan. Hmmm... Muthiah bukanlah insan yang searifkan untuk mengupas isu ini. Namun, insya-ALLAH... Muthiah tetap mahu berkongsi ilmu yang Muthiah baca daripada blog Ustaz Zaharuddin.net.


SOALAN


Saya bekerja di syarikat antarabangsa. Kerja melibatkan pergaulan dengan wanita dan kadang-kadang terpaksa bersalaman dengan wanita. Saya pernah tunduk untuk mengelakan bersalaman namun bagi wanita asing mereka akan menimbulkan persoalan yang agak negatif.

Pertama - Adakah rezeki saya dikategorikan dari sumber yang syubhah?

Kedua - Adakah cara yang terbaik untuk terus bekerja di syarikat seperti ini atau berusaha untuk mencari peluang pekerjaan di tempat lain.

JAWAPAN


Pergaulan antara lelaki dan wanita di tempat kerja sudah menjadi fenomena hari ini, dan ia telah tergolong dalam kategori ‘umum al-balwa' (kebahayaan dosa yang sukar dielakkan). Namun begitu, tidak semua jenis percampuran dan pergaulan lelaki dan wanita di tempat kerja itu jatuh dalam kategori haram. Jika ia dapat dikawal sebaiknya, dosa masih boleh dielakkan. Apa yang penting semua aspek komunikasi yang meningkatkan syahwat, menggoda, mendedah aurat, pandangan nafsu, sentuhan adalah antara faktor dosa berlaku di tempat kerja.


Walaupun begitu, gaji seseorang tidak semestinya menjadi haram disebabkan tingkah laku dosanya di tempat kerja kecuali apabila ia culas dan ‘mencuri tulang' semasa melaksanakan tugasan utamanya.


Sebagai contoh, seorang yang bertuags selaku pensyarah IT di sebuah universiti, tentunya gajinya halal, malah jika sekiranya dia culas dan melakukan maksiat seperti tidak solat, bergaul dengan syahwat dengan wanita di tempat kerja, gajinya masih halal kerana maksiat itu bukanlah BIDANG TUGASNYA, cuma perbuatan maksiat itu adalah dosa secara berasingan dan secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada rezeki dan keberkatan pendapatannya. Namun jika, pensyarah ini ponteng dari tugasan mengajarnya tanpa sebab munasabah, menyelewengkan anak muridnya semasa pengajiannya, tatkala itu gajinya boleh berubah menjadi haram.


Isu berjabat tangan antara lelaki dan wanita telah lama diperdebatkan di kalangan ulama, keempat-empat mazhab, majority ulama silam dan kontemporari berpandangan ia aadalah haram kerana ia tergolong di dalam kategori perilaku yang boleh membawa kepada zina. Allah telah secara jelas melarang kita jauh dari mendekati zina.


Selain itu, terdapat beberapa hadis lain yang menyokong ijtihad ulama ini seperti hadis Nabi tidak pernah menyentuh wanita bukan mahram hatta di ketika berbai'ah, hadis yang menyatakan besi di atas kepala lebih baik daripada sentuhan sebegitu dan lain-lain. Walaupun kesahihan hadis-hadis yang dipegang masih diperdebat dan dibincang di kalangan ulama, saya tidak berhasrat memanjangkannya di sini.


Sebahagian kecil ulama pula, khususnya ulama kontemporari berpandangan berjabat tangan lelaki dan wanita boleh dibenarkan jika :-


  • dilakukan tanpa syahwat,
  • tidak mendatangkan fitnah kepada dirinya dan orang yang berjabat tangan dengannya,
  • tidak membawa mudarat kepada reputasi agama yang dipegangnya di mata khalayak khususnya pengikut dan muridnya,
  • dimulakan oleh orang lain (contohnya wanita bukan Islam menghulurkan tangan di tempat awam yang jika tidak disambut boleh mengaibkannya)
  • dilakukan oleh individu berumur dan tidak mudah menaikan syahwat, secara normalnya seperti inidividu berusia 70 tahun ke atas dan beberapa syarat lagi.
  • Tangan dihulur oleh kaum kerabat atau keluarga yang belum cukup faham berkenaan hukum.

Kesimpulannya, mereka yang membolehkan TELAH MELETAKKAN SYARAT-SYARAT dan bukannya diharuskan secara umum.


Apapun hujjah kedua-dua pihak (saya tidak menyertakan hujah dan perbincangan kedua-duanya bagi mengelakan ulasan terlalu panjang dan tersasar dari menjawab soalan), berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram bukanlah amalan Rasulullah dan para sahabat serta para solihin di kalangan tabi'en. Isteri nabi Aisyah berkata:-

ما مست يد رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يد امرأة قط

Ertinya : Tiadalah tangan Rasulullah menyentuh tangan mana-mana wanita dan baginda bersabda : " Aku tidak berjabat tangan dengan wanita" ( Riwayat Muslim)


Rasulullah juga bersabda :

إني لا أصافح النساء

Ertinya : Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan wanita ( Riwayat An-Nasaie ; Albani : Sohih)


-bersambung-


Muthiah : Riakkah aku kerana menulis blog???? Hmmm...

Labels: 4 comments | | edit post

Pada siapa?


Assalammualaikum.

Pejam celik pejam celik, sudah lebih setahun blog ini wujud. Moga-moga akan terus wujud ya ;)

Satu persoalan yang mudah ditanya tetapi mungkin sukar dijawab seikhlasnya...

Sekiranya sahabat-sahabat berhadapan dengan satu masalah/ kesedihan hati :

1- Apakah yang akan dilakukan?
2- Di manakah tempat pilihan yang akan dituju?

(Sila bulatkan)....

a) Berseorangan di dalam bilik. Merenung dan terus merenung diri. Sekejap-sekejap, bercakap sorang-sorang. Tidak lama selepas ini, air mata pun mengalir. Tidak tahan!!! Jerit kuat-kuat!

b) Masuk dalam bilik air. Kunci pintu dan buka air sampai penuh kolah. Kemudian, tengok cermin. Biarkan air mata terus mengalir tanpa henti. Sambil menangis, sambil itu muka dibasuh perlahan.

c) Bercerita dengan ( ). Luahkan segala yang terpendam. Kutuk puas-puas. Salahkan mereka yang dirasakan telah berbuat salah habis-habisan.
  • Suami/ isteri.
  • Mak/ ayah.
  • Adik-beradik.
  • Sahabat akrab.
  • Teman maya.
  • Siapa-siapa sahaja.

d) Menulis luahan hati di ( )...
  • Blog.
  • Facebook.
  • Forum maya.
  • Emel (Kemudian hantar pada diri sendiri).

e) Mengaji dan solat sampai hilang rasa sedih dalam hati. Hadiahkan ayat suci Al-Quran kepada mereka yang telah membuat kita rasa terkilan dan kecewa. Hadiahkan ayat suci Al-Quran kepada mereka yang kita sayang. Hmmm... Jangan lupa untuk hadiahkan sekali kepada diri sendiri.

f) Shopping... Tidak peduli jika duit dihabiskan. Yang penting, kesedihan dalam hati beransur pergi.

g) Jalan-jalan ( )...
  • Tengok keindahan taman.
  • Window shopping.
  • Cari makan.

h) Marah pada ( )...
  • Sesiapa sahaja yang berada di sekitar kita.
  • Mereka yang nampak bagus di FB, blog dan lain-lain. Dengan kata lain, hati kita sakit... lantas kita menyakiti/ menyinggung hati orang lain.
  • Diri sendiri.. Hantuk kepala...

Hmmm... masa untuk .... apapun keadaannya, bersabarlah kerana ALLAH dekat. Kita sama sekali tidak sendiri. Berceritalah kepada DIA yang Maha Segalanya...

Muthiah : Suka bercerita dengan...

Labels: 2 comments | | edit post

Oh, bini. Jangan tinggal tok laki!!!

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Apa jua kondisi, syukur ke hadrat ALLAH atas kurniaan dan limpahan-NYA.

Hari ini, Muthiah ingin berkongsi pengalaman Muthiah sewaktu berkunjung ke kedai perabot di Taiping. Al-kisah, al-tersebutlah kisah....

Muthiah teruja untuk membeli sesuatu barang. Barang apa? Ehe... Katil untuk bilik tetamu. Hmmm... disebabkan keterujaan tersebut, Muthiah terlupa seketika dengan kewujudan sang suami. "Ampun salah silap."

Iyalah. Bukankah lazimnya seorang suami dan isteri itu berjalan beriringan ke mana-mana. Ke, tidak? Muthiah pula, oleh sebab terlalu GUMBIRA untuk membeli katil, Muthiah pun berjalan laju meninggalkan suami di belakang.

Terus Muthiah bertemu dengan jurujual yang mempromosi perabot. Muthiah berkata riang (ala-ala kanak-kanak Ribena gamaknya), "Katil double storey, ada?"

Si penjual nampak blur.

Muthiah bertanya lagi. "Katil double storey, ada?"

Hmmm... Penjual tersebut menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Kemudian, Muthiah bersuara buat kesekian kalinya, "Katil dua tingkat, ada?"

Nah! Si penjual tersenyum sampai ke telinga. "Oh, katil double decker."

Wajah Muthiah sudah berubah kemerahan. Tanpa lengah, Muthiah segera mendekati suami. Muthiah berbisik, "Alamak. Double storey untuk rumahlah..."

Suami pun sama naik dengan si penjual. Senyum sampai ke telinga. Dia berkata selamba, "Itulah. Tinggal lagi tok laki." Kemudian, suami tergelak.

Muthiah masih lagi malu-malu kucing tetapi hendak buat macam mana? Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata???? Tanpa menunggu panjang, Muthiah pun bersalam dengan suami lantas berkata, "Maaf salah silap."

Kesimpulannya :

1- Isteri, jalanlah dengan suami. TAAT dan SENANG-kan hatinya.

2- Kadang-kadang, perlu mengawal keterujaan di tempat awam. Terbuat juga? Sekali-sekali, boleh agaknya.

3- Ingat!!! Katil double decker. Bukan double storey. Buat malu company nanti.

Hiiiii....
Labels: 4 comments | | edit post

Dera


Assalammualaikum. Hmmm... Lagi-lagi kes dera. Tidak budak-budak yang menjadi mangsa dera, amah pun mendapat nasib yang sama. Jom kita fikir dan renung. Tindakan susulan? Kalau tahu berlaku penderaan di hadapan mata kita, jangan teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak yang berkenaan.

JOHOR BAHRU 10 Jan. 2011 – Sukar untuk digambarkan betapa seksanya penderitaan ditanggung seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang menjadi mangsa dera di Kampung Sungai Tiram di sini.

KUALA LUMPUR 11 Dis. 2010 - Seorang pengasuh tidak menyangka tanda-tanda demam dan muntah dialami bayi berusia 11 bulan yang dipeliharanya berakhir dengan kematian si kecil itu, semalam.

SETIU 29 Nov. 2010 - Sejumlah 25 kes penderaan kanak-kanak pelbagai peringkat usia dilaporkan berlaku di negeri ini dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

KUALA LUMPUR 25 Nov. 2010 - Akibat tidak tahan didera, seorang pembantu rumah warga Kemboja bertindak melarikan diri sebelum diselamatkan seorang jiran yang tinggal berhampiran rumah majikannya di Alam Damai Cheras, Selasa lalu.

PETALING JAYA 13 Nov. 2010 – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini melahirkan rasa bimbang dengan kemunculan banyak kes penderaan, penganiayaan, jenayah seksual serta sumbang mahram terhadap kanak-kanak.

PULAU PINANG 24 Sept. 2010 - Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan menggunakan seterika panas pada awal bulan ini.

KUALA LUMPUR 22 Sept. 2010 - Seorang kontraktor ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan hamil yang koma setelah perutnya dipercayai dipijak sehingga bayi dalam kandungannya gugur di Batang Kali dekat sini, Jumaat lalu.

PULAU PINANG 22 Sept. 2010 - Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa didera dan dirogol oleh majikannya sejak lima bulan lalu masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

SEREMBAN 14 Sept. 2010 - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri melaporkan sebanyak 123 kes melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Hmmm... PASTIKAN kita tidak menjadi PENDERA & MANGSA DERA!!!

Muthiah : Kes dera dan rogol..

Kasih Ke Syurga

Assalammualaikum. Promosi hari ini... Novel NUR yang ketiga iaitu Kasih Ke Syurga ;)


Sinopsis

PERTEMUAN ini tidak dipinta. Namun, takdir TUHAN telah menemukan Yusuf dan Zulaikha. Kesederhanaan Zulaikha memikat hati Yusuf. Tapi pantaskah dia memiliki sekeping hati Zulaikha sedangkan antara mereka ada jurang yang menghalang?

Keimanan dan ketakwaan Zulaikha bagai satu tembok jurang pada Yusuf. Dia merasakan dirinya amat kerdil kerana Islamnya hanya pada kulit saja. Telah lama dia mengabaikan
tanggungjawabnya kepada ALLAH SWT. Perubahan diri Yusuf menyentuh hati Zulaikha. Di saat mereka hendak diijabkabulkan, umi Yusuf menentang kerana hasutan orang ketiga.

Mampukah mereka menghadapi rintangan yang mendatang?


Penulis : Raihan Zaffya
Emel : raihanzaffya@gmail.com
Facebook : Raihan Zaffya

Ehe... Sedikit tentang Raihan Zaffya atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Raihan (oleh Muthiah) :

  • Ramah orangnya.
  • Suka berkongsi tentang kebaikan.
  • Idea untuk manuskrip, tiga dalam kepala (satu masa).

Bagi yang mahu berbual-bual dengan Kak Raihan, bolehlah tambahkan beliau di akaun Facebook sebagai salah seorang sahabat maya ;)

Hihi...

:)

Mencari Naurah (Bab 2)


“SERONOK bertemu janji dengan Tuan Presiden?” tanya Kak Rose sesudah dia menunaikan solat sunat maghrib.
Aku diam. Aku tahu Kak Rose hanya bergurau sahaja.
“Hati-hati. Akak risau timbul fitnah lagi. Cuba Asha tengok kertas ini. Apa yang Asha nampak?” kata Kak Rose sambil membuka buku catatan yang sering dibawanya ke mana-mana.
“Bintik hitam,” jawabku ringkas.
“Asha benar-benar pasti?” Kak Rose menyoal lagi, membuatkan keyakinanku sedikit terhakis.
“Insya-ALLAH,” balasku perlahan.
“Inilah perumpamaan pandangan manusia. Seringkali melihat sesuatu yang kecil... halus. Ia seolah-olah tidak nampak dengan keseluruhan kertas tersebut yang berwarna putih. Asha faham maksud akak?” Kak Rose menyoalku. Renungan matanya yang tajam membuatkan jantungku berdegup kencang. Aku seperti sedang berada di kandang pengadilan dan menanti saat dijatuhkan hukuman.
“Faham, kak.” Aku tertunduk kelu. Kemudian, mendongak kembali dan memandang Kak Rose yang masih setia merenungku. “Terima kasih, kak,” hanya ungkapan itu yang mampu kuucapkan.
Perlahan-lahan, Kak Rose mendekatiku. Lebih dekat dari tadi. Dia menggenggam erat jari-jemariku. Kemudian, tanpa dipinta Kak Rose mencium pipiku dengan penuh kasih sayang. Jiwaku melayang seketika. Umpama menerima ciuman daripada ibu tercinta.
“Akak sayang Asha kerana ALLAH, insya-ALLAH.”
Bisik Kak Rose perlahan lantas meninggalkanku. Mataku tidak berkelip memandangnya yang berjalan perlahan dan penuh tertib. Sememangnya aku berbangga mengenali insan dengan peribadi yang tiada tandingan ini.
Aku bangga mempunyai kakak secantik dan sebaik Kak Rose. Ditambah dengan kelembutan semula jadi dirinya. Bisa menggugat iman mereka yang kurang amalannya. Namun, Kak Rose sama sekali tidak menggunakan anugerah miliknya untuk menarik perhatian sesiapa. Katanya, kecantikan adalah satu ujian. Jika tidak dijaga sebaiknya, ia akan memusnahkan diri sendiri.

~bersambung~

Istighfar

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Masih lagi dikurniakan nikmat ISLAM dan IMAN. Masih lagi berada di bawah lembayung kasih-NYA. Masih lagi.... tenang-tenang sahaja ;)

Sejak dua menjak ini, Muthiah selalu sesak nafas. Mungkin dek perubahan cuaca. Ditambah dengan ada sejarah penyakit lelah (walaupun tidak sampai kronik). Plus... tidak berdisiplin dalam membersihkan badan (alias mandi malam).

Muthiah memberitahu suami. Iyalah. Manalah kita tahu perjalanan hari esok. "Abe, maafkan Muthiah dunia akhirat ya." Alhamdulillah. Suami menjawab ya. Harapan Muthiah agar jawapan ini akan berkekalan selamanya.

Muthiah terfikir-fikir sendiri. 'Benar-benar bersediakah aku untuk menghadapi saat kematiahn?' Takut... gusar jika...

Masih ada yang tidak selesai - hubungan dengan ALLAH... hubungan sesama manusia.
Dosa lebih banyak daripada kebaikan.
Hati busuk, sakit, kotor, tidak bersih (dan yang seangkatan dengannya).
Riak, ujub, bangga diri (Siapa yang lebih tahu? Hanya ALLAH dan Anonymous sahaja yang tahu. Hiiiii)

Hmmm... berfikir sahaja tanpa mencari solusi pun sia-sia. Jadi, bagaimana?

Muthiah terfikir-fikir pula tentang istighfar... Bukankah istighfar itu bisa menjernihkan hati... menghapuskan dosa?


Ayuh... kita basahkan bibir dan hati dengan memohon ampun kepada ALLAH... istighfar dan terus beristighfar. Bak kata Kak Rose dalam Mencari Naurah, beristighfar bisa membersihkan bintik-bintik hitam yang bersarang dalam jiwa.

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui," ali-Imran ayat 135.

"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhan-mu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat," an-Nashr ayat 3.

Ali-Imran ayat 15-17 :

"Katakanlah, 'Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?' Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; Mereka kekal didalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya," (15).

"(Iaitu) orang-orang yang berdoa; Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka," (16).

"(Iaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur,"(17).

:)

Muthiah : Ya ALLAH. Ampuni aku...suamiku... keluarga... mereka yang aku kasihi daripada azab api neraka-MU.

Janji ALLAH adalah benar (ar-Rum, 30:60)

Assalammualaikum. Apa khabar? Mulakan harimu, dengan senyuman. Muthiah... 'Ala kullihal Alhamdulillah ;)

Ayat pilihan hari ini... dari surah Ar-Rum ayat 60 yang bermaksud;

"Dan bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah adalah benar dan sekali-kali janganlah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran ayat-ayat Allah) itu menggelisahkan kamu."

Tafsirannya? Hmmm... nanti, boleh buka kitab. Dan... jomlah kongsikan di sini... Namun, kata kunci yang mungkin boleh difikirkan bersama :

1- Bersabarlah...

2- Janji ALLAH adalah benar.

3- Jangan gelisah dengan mereka yang tidak meyakini ayat-ayat ALLAH.

Selamat ;)

Muthiah : ALLAH ya ALLAH.

Tahniah


Tahniah, tahniah, tahniah...

Kepada siapa?

Kepada....

=)
Labels: 2 comments | | edit post

Smooth saja?



Assalammualaikum. Apa khabar? Bagaimana dengan kehidupan kita sehari-hari? Moga-moga, kehidupan kita hari ini kan lebih baik daripada semalam, insya-ALLAH.

Muthiah? Alhamdulillah. ALLAH izin, awal tahun baru Masihi ini... novel kedua remaja (ketiga keseluruhannya) akan berada di pasaran. Semacam tidak percaya tetapi inilah yang telah ditetapkan-NYA. Ayah, Amir nak jadi doktor! akan menemui pembacanya tidak lama lagi. Novel ini merupakan sambungan kepada novel remaja pertama; Ayah, Amir nak masuk U! Alhamdulillah. Syukur tidak terhingga ke hadrat ILAHI. Semuanya kerana DIA dan tidak ada apa yang mampu Muthiah perkatakan lagi ;)

Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendorong ~ Suami, kaum keluarga, sanak-saudara, sahabat-handai, teman-teman maya dan rakan-rakan semua.

Ada yang bertanya... apakah rahsianya? Iyalah... Nampak smooth sahaja perjalanan hidup Muthiah (dalam bidang penulisan khususnya). Bukan itu sahaja, nampak 'senang hati' sahaja memanjang.

Apapun, satu ungkapan yang boleh Muthiah ucapkan. 'Ala kullihal ALHAMDULILLAH. Kembalikan SEGALANYA kepada ALLAH yang Maha Hebat, Besar dan Agung.

Entahlah. Susah hendak jawab. Tidak mudah sebenarnya cuma yang susah itu tidak pula Muthiah lontarkan atau luahkan di mana-mana (baik di blog mahupun di facebook). Muthiah lebih senang berkongsi kisah suka dan gembira dengan semua (walau tetap ada juga perkongsian 'merapu' Muthiah di sini)...

Cuma satu sahaja... yang Muthiah pegang dan gigit erat-erat selama ini...

Kalau terjatuh, Muthiah kuatkan diri kembali... Muthiah pegang semula .... cuba tidak menjatuhkannya lagi... Kalau jatuh juga? Berusaha bangun lagi...

Bagi isteri... (Ehe... Isteri ini umum. Peringatan buat Muthiah dan para isteri).

Selaku isteri, harapkanlah sentiasa redha suami. Kerana, dengan redha suamilah kita boleh berjaya (Tidak di dunia, insya-ALLAH di akhirat nanti). Serius. Perjalanan ini tidak mudah... Tidak semudah yang disangka. Banyak cabaran dan kadang-kadang, kaki pun mahu terseliuh. Sudahlah begitu, tidak boleh bergerak-gerak lagi. Aduh!!!

Smooth dan mudah?

Hmmm... Percayalah... apabila kita berusaha, ALLAH pasti melorong jalan buat kita. Cepat dan lambat sahaja. Muthiah pun... ada perkara yang dipercepatkan TUHAN hasilnya. Ada juga perkara yang masih ditangguhkan. Pernah juga berasa sedih dan kecewa tetapi Muthiah cuba untuk tidak melayan perasaan itu begitu lama. Lihat dengan segala benda yang ALLAH sudah beri. Banyak dan tidak terhingga!

Alhamdulillah, ya ALLAH. Syukur dengan apa yang telah dimiliki (dipermudah TUHAN). Insya-ALLAH, yang tidak dapat-dapat lagi... Muthiah akan terus berusaha, di samping doa dan tawakal. Moga-moga ALLAH kuatkan hati, tabahkan jiwa dan sentiasa kental dengan setiap ujian-NYA.

Hehe... Cukup 'bebelan' untuk hari ini. Terima kasih kepada semua yang sudi membacanya. Moga-moga, kan mengambil sesuatu yang positif daripadanya. Kalau tidak jumpa... rasa buang masa. Maafkan Muthiah... Sabar itu separuh daripada iman ;)

Muthiah : Ya ALLAH, ya ALLAH... Moga-moga...