Mencari Naurah (Bab 34)

Novel | Mencari Naurah

“APA yang telah Asyraf lakukan?” Datin Khatty mencekak pinggangnya. Mukanya masam mencuka. Sakit hatinya dengan tindakan Asyraf sebentar tadi.

“Kenapa, ma?” Asyraf bertanya kembali. Rasanya dia sudah tahu apa yang dimaksudkan mamanya.

“Amalin sudah ceritakan segalanya. Nasib baik Alin dan Datin Azira tidak marah,” jelas Datin Khatty. “Sebenarnya, mama hendak jodoh kan Asyraf dengan Tengku Amalin. Mama tidak mahu dengar apa-apa bantahan. Minggu hadapan, kita masuk meminang.” Dia menambah.


“Apa? Tidak, tidak, tidak!!! Asyraf tidak mahu berkahwin dengannya!” Asyraf membantah.

“Bukan Asyraf yang boleh buat keputusan. Keluarga Tengku Amalin jauh lebih kaya daripada papa Asyraf. Mama yakin, Asyraf akan hidup senang kalau menjadi suaminya,” Datin Khatty bercerita dengan penuh semangat.

“Senang? Derita adalah,” kali ini, Asyraf bet

ul-betul melawan kata mamanya.

“Apa maksud, Asyraf? Derita beristerikan anak orang kaya?” Datin Khatty mencebik.

“Mama tengok sendiri macam mana gadis moden itu berpakaian. Apa yang Asyraf hendak jawab pada TUHAN tatkala ditanya tentang peranan Asyraf sebagai suami?”

“Asyraf sindir mama ke?” suara Datin Khatty sedikit meninggi.

“Tidak...” Asyraf menjawab pendek. Tidak tergamak untuk memberitahu mamanya bahawa Tengku Amalin yang ingin dijadikan menantu itu merupakan seorang peminum arak dan pergaulannya juga agak bebas.

“Apapun kata Asyraf, mama tetap dengan keputusan mama. Mama akan minta Uncle Rusdi dan Fendy masuk meminang.” Datin Khatty memberi kata putus.

“Asyraf tak mahu!” Bentak Asyraf. Suaranya perlahan tetapi lebih tegas berbanding tadi.

“Asyraf tidak ada pilihan...” sanggah Datin Khatty.

“Apa bising-bising ni?” Tiba-tiba, Dato’ Ghazali muncul.

“Awak jangan masuk campur. Bukan urusan awak,” Datin Khatty memuncungkan mulutnya.

“Asyraf adalah anak teruna saya!” balas Dato’ Ghazali. Dia terdengar perbua

lan Asyraf dan isterinya tadi.

“Siapa ambil peduli?” Datin Khatty masih mahu melawan.

“Saya!” Tegas Dato’ Ghazali.

Diam sejenak.

“Asyraf, bersiap cepat. Ikut papa ke rumah Mama Lisa. Kita bincang di sana. Susah nak berbincang di dalam rumah yang macam neraka dunia ini,” arah Dato’ Ghazali.

Asyraf segera meninggalkan papa dan mamanya. Walau apapun yang terjadi, Asyraf tidak akan bersetuju untuk menikahi Amalin melainkan sudah ditakdirkan buatnya. Ya, melainkan sudah jodohnya...

DI RUMAH mama tirinya, Asyraf duduk termenung di dalam bilik tetamu. Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi tetapi matanya masih belum dapat dilelapkan.

Tengku Amalin? Tidak! Sama sekali dia akan menghindarkan diri daripada gadis yang nampak licik itu. ‘Gadis?’ Dia tertanya-tanya sendiri. Mujur papanya memahami. Jika papa turut sama berpendirian seperti mama, dia pasti buntu.

Petang tadi, pertama kali dia bertemu dengan mama barunya. Cantik dan penuh dengan kesopanan. Dia tahu kenapa papa bahagia di sini meskipun rumah yang papa duduki ini tidak sebesar dan semewah rumah bersama mama. Segalanya terjawab bila mana pertama kali dia menjejakkan kakinya ke sini.

Ya, Mama Lisa yang menyediakan sendiri minuman buat papa. Selain itu, dia juga melihat mama barunya bersiap sedia menanak nasi untuk makan malam. Cakapnya berlapik dan penuh kesantunan. Mungkin dia tidak semoden mama tetapi perilakunya menggambarkan keperibadiannya yang terpuji.

‘Papa... papa sudah membuat keputusan yang tepat!’

Amalin, Amalin... sayang seribu kali sayang. Memiliki rupa paras yang menawan, mempunyai harta yang melimpah ruah, berasal daripada keturunan bangsawan, namun dia tetap tidak memenuhi ciri-ciri wanita idaman. Tengku Amalin begitu memandang rendah perihal agamanya. Bukan itu sahaja, bahkan berani memperlekehkannya. Mana mungkin dia memperisterikan wanita sebegini.

Matanya terkebil-kebil, ‘Kalau bukan aku, siapa lagi?’ Detik hatinya. Sering kali dia bersoal jawab sendiri untuk mencari jawapan yang pasti. Bukankah dia boleh berdakwah kepada Amalin setelah mereka berdua sah bergelar suami isteri? Sepertimana Ummu Sulaim ibunda Anas bin Malik yang membawa Abu Thalhah kepada Islam berkata: “Demi ALLAH, orang sepertimu tidak layak untuk ditolak. Kau seorang kafir sedangkan aku seorang muslimah, membuatkan tidak halal bagiku untuk menikahimu. Sekiranya kau mahu masuk Islam, maka sesungguhnya itulah maharku dan aku tidak minta selain daripada itu.”

Tidakkah dia yang bergelar lelaki sepatutnya memiliki kegagahan melebihi seorang muslimah lebih kuat untuk berbuat demikian? Tidak! Ada sesuatu yang menghalang Asyraf meskipun dia tahu bahawa halangan itu boleh dijadikan sebagai satu peluang. Peluang untuk mengajak manusia kepada ALLAH. Bagaimana pula dengan dara? Argh... biarpun dianggap kolot, biarpun sudah melepasi era milenium, Asyraf tetap dengan pendiriannya. Dia mahu seorang isteri dan ibu yang paling baik untuk melahirkan zuriatnya.

“Astaghfirullah...” ucap Asyraf berkali-kali. Terlalu banyak persoalan yang bermain di mindanya. Setiap manusia, punya sejarah hidup tersendiri. Tidak adil bagi Asyraf untuk menghukum Amalin begitu. Sedangkan keampunan ALLAH begitu luas buat hamba-hamba-NYA. Salahkah Amalin memiliki sejarah hitam atas kejahilan sendiri?

Tidak! Sedangkan Sayidina Umar Al-Khattab menjadi salah seorang sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Siapa tidak kenal dengan abang ipar Saad bin Zaid ini? Kebencian dan permusuhannya terhadap Islam tidak berbelah bahagi. Bahkan dia pernah bertekad untuk membunuh pesuruh ALLAH itu dengan tangannya sendiri. Namun, kekuasaan ALLAH mengatasi segalanya. Dia akhirnya tunduk kepada ALLAH yang satu. Itulah hidayah namanya.

Kisah ini menunjukkan bahawasanya sesiapa sahaja yang pernah tersungkur atau terpesong jauh daripada sesuatu yang telah ditetapkan ALLAH tetap mempunyai peluang untuk mendekatkan diri kepada-NYA sekali gus menjadi kekasih-NYA. Bukankah seseorang yang sentiasa bertaubat itu diangkat darjatnya sebagai kekasih ALLAH?

Asyraf masih berkira-kira. Dia tidak mahu meletakkan rasa jelik kepada seseorang sedangkan keampunan dan kasih sayang ALLAH yang lebih berhak untuk merasa jelik itu begitu luas. Sejahat mana pun seseorang, ALLAH masih bermurah hati untuk mengurniakannya rezeki, udara untuk dia bernafas. Kenapa?

Natasha! Tiba-tiba nama ini muncul dalam kotak mindanya. Mengapa wajah Natasha hadir sedangkan selama ini dia tidak pernah punya perasaan terhadap gadis manis itu. Tidak ada sebab bagi Asyraf untuk jatuh cinta kepada Natasha walhal dia tahu sahabat akrabnya begitu tergila-gilakannya.

Teringat saat Natasha mula menjejakkan kaki ke universiti. Dia nampak begitu naif terhadap kehidupan di kota. Mukanya yang cepat merah itu semakin manis jika dipandang lama-lama.

“Kenapa lambat?” Asyraf bertanya. Wajah Natasha sudah berubah. Mungkin takut kepada senior yang kelihatan tegas dan bengis. Natasha diam...

“Saya tanya, kenapa lambat?” Asyraf bertanya lagi. Tidak menjawab.

“Awak pekak? Rose, catat nama budak baru ini. Kita letak dalam senarai pelajar baru yang keras kepala. Senior tanya, diam. Ada berapa banyak tongkol emas dalam mulut awak?” marah benar Asyraf. Mata Natasha sudah terkelip-kelip, mahu menangis gamaknya.

“Sudahlah, Asyraf. Lagipun, dia lewat tiga minit sahaja,” kasihan benar Rose melihat Natasha yang semakin pucat.

“Kalau awak tak mahu jawab, awak berdiri atas pentas sepanjang program,” Asyraf memberi amaran.

“Tiga minit pun, masa. Awak buat apa? Tidak cukup setengah jam kami bagi rehat?” Katanya lagi, tidak memberi peluang Natasha untuk bersuara.

“Tengok jam yang awak pakai! Buka sekarang. Biar saya simpan!!!” Sergah Asyraf sambil matanya memandang jam tangan berjenama Casio yang disarung Natasha.

Cepat-cepat Rose memegang tangan Natasha dan membukakan jam tangan yang dipakainya. Dia tidak mahu Asyraf naik angin. Tidak pernah Asyraf marah begini. ‘Betul-betul marahkah atau sekadar berlakon?’ bisik hati Rose. Segera dia memberikan jam tangan tersebut kepada Asyraf.

Asyraf melihat jarum pada jam tersebut.

Berkata Natasha perlahan, “Saya tidak perasan jam sudah mati. Petang tadi elok lagi. Rupanya lewat 15 minit.” Mukanya merah menahan malu.

Asyraf yang tadinya umpama singa kelaparan mula tersenyum. Kedengaran suara orang ketawa. Seorang, dua orang, tiga orang dan seterusnya semua senior yang mengelilingi Natasha ketawa terbahak-bahak. Lawakkah? Asyraf yang tadinya berusaha keras untuk tidak ketawa turut ketawa terbahak-bahak. Buat malu sahaja marah-marah.

Natasha, Natasha... semakin ayu dia kini. Asyraf pun tidak pasti kenapa Natasha yang diingatinya.

Tiba-tiba alarm telefon bimbitnya berbunyi, menandakan sudah pukul 4.00 pagi.

Segera Asyraf bangun dan menuju ke bilik air. Dia membasuh muka dan memberus gigi yang sedia putih. Kemudian, Asyraf mengambil wuduk perlahan-lahan. Persoalan yang tergantung pasti akan temui jawapan bila mana bertanyakan PENCIPTA soalan itu. Ya, Asyraf seakan-akan lupa bahawa ALLAH itu sentiasa dekat untuk menjawab segala persoalan yang bermain di mindanya.

‘Kepada ENGKAU kami mengabdikan diri dan kepada ENGKAU kami memohon pertolongan...’

Air mata seorang lelaki gugur ke bumi. Sesetengah orang berasa malu untuk menangis. Tidak macho katanya, tidak maskulin apabila lelaki menangis. Itu kata mereka... mereka yang keras hati serta tinggi egonya.

Sayidina Abu Bakar As-Siddiq menangis... Sayidina Umar Al-Khattab, singa Allah juga menangis... Sayidina Uthman Al-Affan turut mengalirkan air matanya kerana takutkan Allah... Sayidina Ali Karamalluwajhah pun teresak-esak tatkala dirasakan tidak diuji Allah, khuatir Dia melupakannya. Bukankah mereka semua merupakan Khulafa’ Ar-Rasyidin yang tidak dapat dinafikan kegagahan dan keperkasaannya?

~bersambung~

0 Responses