Menantu hantu

LATIFAH mendengkus perlahan sambil memejamkan matanya rapat-rapat. Hatinya benar-benar sakit. Macam sedang dibakar api yang tengah marak. Wajah Shamsiah pula sedari malam tadi tidak henti-henti mengganggu benaknya. Senyuman wanita itu sungguh-sungguh menyiat hati. Latifah tidak suka!!!

“Apa pasal pula, Cikgu Tipah oi?” Soal Juhara pendek. Sejak dari awal pagi, kawan baiknya ini tampak seperti cacing kepanasan. Itu tidak kena. Ini tidak kena. Wajahnya pula mencuka macam baru dapat surat saman daripada Encik Polis Trafik.

Latifah membuka matanya luas-luas lalu mendongak sedikit ke arah Juhara yang tidak berkedip memandangnya. Dia mendengus lagi. Susah. Payah benar hendak memahamkan semua orang. Hanya dia yang dapat menyelami hatinya.

Hanya dia yang mengerti. Hanya dia yang tahu. Latifah menarik nafasnya panjang-panjang.

Juhara menggeleng laju. “Pasal menantu kamu si Shamsiah itukah, Tipah?” Dia diam sejenak.

“Sudah-sudahlah, Tipah. Tidak baik fikir yang bukan-bukan. Nanti, kau sendiri yang sakit satu badan. Bukan setakat badan, mental kau pun terkena impak sama. Daripada kamu terkenangkan si Shamsiah, lebih baik kamu perah otak cari idea untuk meningkatkan prestasi pelajar-pelajar sekolah kita. Ada juga faedahnya,” tambah Juhara panjang lebar. Sebenarnya, dia pun sudah naik muak melayan fiil Latifah yang kadang-kadang mengalahkan wanita yang hendak menopaus. Walhal, umurnya baru 46 tahun.

Wajah Latifah berubah kemerahan. Sudahlah dia sedang panas dek mengenangkan menantu bukan pilihan. Tup-tup, Juhara pula menuang minyak ke atas api yang sedang membara. Bertambah panaslah dia.

“Kau apa tahu, Jora. Aku mertua dia. Aku lebih kenal dengan dia. Sebelum si Khalid bernikah dengan budak Shamsiah, berjurus sahaja anak jantan aku. Sejak berkahwin, lupa terus dia pada emaknya,” kata-kata Latifah terhenti di situ.

Kemudian, dia menyambung lagi, “Ini semua mesti disebabkan oleh bini dia yang queen control tu. Itulah. Aku suruh kahwin dengan anak Cikgu Zakiah, dia tidak mahu. Kalau tidak, senanglah sedikit. Kahwin dengan orang sekampung. Kerja kerajaan. Anak orang kaya pula. Bapak mentua orang besar. Bolehlah juga dia hendak menumpang senang. Aku pun dapatlah merasa sekali.”

Juhara menggeleng lagi. Payah. Susah betul hendak bercakap kalau begini. Latifah bukannya mahu mendengar. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Alih-alih, kisah menantu yang tidak menyenangkan hati juga yang dicanangnya ke sana dan ke mari. Ada sahaja yang tidak kena pada mata Latifah. Sampai rupa menantu yang dilihatnya tidak menawan pun boleh dijadikan isu besar.

“Sudah-sudahlah, Cikgu Tipah. Tidak baik. Sebagai ibu, kau patut mendoakan kebahagiaan anak dan menantu kau. Bukan berfikir dan bercakap yang bukan-bukan tentang mereka. Shamsiah tu sudah menjadi ahli keluarga kau. Beringat-ingatlah juga,” balas Juhara tidak puas hati. Iyalah. Bukan dia tidak kenal dengan Shamsiah, menantu sulung Latifah. Baik budi pekertinya. Bukannya tidak ada rupa. Kalau kena pada solekannya, boleh mengalahkan Maya Karin. Entahlah. Payah hendak memahami isi hati cikgu Bahasa Malaysia yang sudah mendekati usia separuh abad ini.

Latifah menceber. Mulutnya memuncung macam itu serati. Tidak cantik langsung. “Menantu kau cakap, Jora. Menantu hantu, adalah. Tidak sanggup aku. Sudahlah kerjanya memperabis duit anak aku. Ben…”

Belum sempat Latifah menghabiskan kata-katanya, telefon bimbitnya berdering nyaring. Dahinya berkerut. Kacau daun betul. Latifah lalu melihat jam pada pergelangan tangannya. Baru pukul 1.05 petang. Lambat lagi habis waktu sekolah. Petang ini pula ada kelas tambahan untuk murid-murid darjah 6. Ah!!!

Latifah pun mengambil telefon bimbitnya yang disimpan di dalam tas tangan. Namun tidak semena-mena, matanya membulat. Muncungnya semakin panjang.

“Siapa?” Soal Juhara pendek.

Latifah merenung tajam anak mata Juhara seraya menjawab, “Siapa lagi? Menantu hantu akulah yang telefon. Tiap-tiap bulan, mesti telefon. Kononnya hendak bertanya khabar. Walhal, aku tahu benar yang budak Shamsiah tu mahu perabis duit anak aku. Daripada dia telefon aku, baik suruh si Khalid tambah duit yang dia bagi bulan-bulan.” Marah benar nampaknya Latifah kepada menantunya yang seorang itu.

Juhara menggeleng. Tidak ada gunanya dia berbalas cakap dengan Latifah. Wanita itu bukannya tahu hendak mengalah. “Yalah. Yalah. Suka hati kamulah, Tipah. Rasa hati kamu. Aku pula lain ceritanya…” dia terdiam sejenak.

“Hendak harapkan Noraini menelefon, macam tunggu kucing tumbuh tanduk. Setahun sekali pun payah. Akhir sekali, aku juga yang menelefon dia bertanya khabar. Hendak buat macam mana? Ada menantu, sibuk memanjang. Kerjanya banyak. Sampaikan masa Pak Jamil kemalangan motosikal hari itu pun dia tidak sempat menjengah.” Sayu pula Juhara meluahkan rasa hatinya.

Iyalah. Anak Juhara ada lapan orang semuanya. Tujuh perempuan dan seorang anak jantan. Daripada lapan orang anak, Sharifuddinlah satu-satunya yang dapat masuk universiti, boleh kerja elok. Alhamdulillah. Juhara suka hati benar. Menantunya pula kerjanya hebat. Siapa yang tidak berasa bangga? Dapat menantu bekerja sebagai doktor perubatan di hospital kerajaan. Namun…

Lain yang diharap, lain pula yang terjadi. Jarang benar anak nombor tiganya itu hendak bertanya khabar. Menjengah apatah lagi. Walaupun duit buatnya dimasukkan bulan-bulan, bukan itu yang diharap sangat oleh Juhara. Duit boleh dicari tetapi kasih sayang sang anak??? Entahlah. Biarlah… biarlah. Asal anak terunanya itu bahagia, dia sudah cukup gembira meski terdetik juga sekali-sekala rasa terkilan di dalam jiwa.

Latifah menepuk paha Juhara perlahan. “Buat apa engkau hendak sedih? Duit bulan-bulan, anak kau masukkan. Bukan seratus dua tetapi lima ratus. Menantu pula orang kaya. Kalau aku, kembang hidung tidak kempis-kempis sampai ke sudah,” ujarnya lembut.

Juhara menggeleng lagi. “Sudah-sudahlah. Angkat telefon tu dulu. Tidak baik biar menantu kamu tu menunggu lama,” katanya lalu beredar dari situ. Jika tidak, sampai ke sudah Latifah tidak akan berhenti membebel tentang menantunya.

Latifah mendengkus perlahan. ‘Bukan menantu. Menantu hantu!’ Hati kecilnya menjerit kuat. Hendak tidak hendak, Latifah pun menekan butang menjawab panggilan telefon.

“Assalammualaikum, mak,” ucap Shamsiah lembut.

Latifah menarik nafasnya panjang-panjang. Mak? Suara itu telah membuatkan darahnya naik serta-merta. Jantungnya berdegup kencang. Rasa benci dan menyampah membuak-buak.

“Assalammualaikum, mak. Mak sihat?” Soal Shamsiah lagi. Meskipun mertuanya sering bersikap acuh tidak acuh terhadap dirinya, dia tetap cuba untuk menambat hati wanita itu. Lagipun, Puan Latifah bukanlah orang lain. Emak suaminya juga.

Latifah menghembus nafasnya perlahan. “Waalaikumussalam. Ada apa kamu telefon ni? Mana Khalid? Sudah tidak reti menelefon emaknya sendiri?” Balasnya dengan suara yang sedikit meninggi.

Shamsiah cuba mengukir senyum. Hanya itu yang mampu dilakukan setiap kali dia terasa hati dengan emak mertuanya, sebagai terapi untuk membujuk hatinya sendiri. Hanya redha ALLAH dan suami yang diharapkannya. Bagi Shamsiah, apabila suaminya gembira melihat dia yang berhubung baik dengan sang ibu, ALLAH pasti suka. Apabila ALLAH suka, insya-ALLAH… ada ganjaran buatnya kelak. Tidak di dunia, pada hari akhirat satu hari nanti. Apa yang penting, dia perlu istiqamah menjadi isteri dan hamba ALLAH yang terbaik.

“Mak sihat?” Shamsiah menyoal lagi tanpa menjawab pertanyaan ibu mertuanya.

Kali ini, Latifah mendengkus kuat. “Inilah menantu zaman sekarang. Orang tua bertanya, tidak reti hendak menjawab. Mana Khalid? Tidak reti hendak menelefon emak dia sendiri?” Kata-katanya terhenti di situ.

“Atau… kamu yang tidak izinkan dia menghubungi emaknya sendiri. Sudah-sudahlah berlakon baik, Shamsiah oi. Aku tahu benar agenda engkau. Tidak payah hendak tunjuk jadi menantu yang baik,” tambahnya lagi kasar.

Lidah Shamsiah tidak semena-mena menjadi kelu. Walaupun sudah lali dengan layanan buruk emak mertuanya, hatinya tetap mahu tersentuh dengan kata-kata yang cukup pedas itu. Dia menelan air liurnya seraya menjawab, “Abang Khalid sibuk sedikit, mak. Esok, syarikatnya akan melancarkan produk baru. Sebagai pegawai pemasaran, banyak yang perlu Abang Khalid lakukan.” Terdapat sedikit getaran pada hujung suaranya.

“Iyalah. Macam mana anak aku tidak banyak kerja? Ada isteri pun, tidak membantu langsung. Belajar tinggi-tinggi, duduk di rumah juga. Kau tidak kasihankah pada suami kau, Shamsiah? Hendak tanggung kau lagi. Sewa rumah pun dia bayar. Bil itu dan ini. Hutang sana sini. Memanglah tanggungjawab dia sebagai suami tetapi kamu pun, bertimbangrasalah juga. Nanti, tidak panjang umur anak aku sebab tertekan dapat bini macam kau,” panjang lebar pula Latifah meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya.

Shamsiah tersentak. Kata-kata si ibu merupakan satu doa buat sang anak. Apabila si ibu berbicara yang bukan-bukan, macam mana sang anak hendak bahagia dan berjaya? Air matanya menitis setitik demi setitik di pipi. Sebak benar dia mendengar kata-kata itu.

“Baiklah, mak. Saya hendak keluar sekejap. Rancangnya, kami hendak balik kampung hujung minggi ini. Nanti, kita sambung berbual lagi. Jaga diri baik-baik, mak,” tutur Shamsiah dengar tidak dengar. “Ass…”

Belum sempat dia menghabiskan ucapan salamnya, Latifah terus menekan butang telefon. Menandakan dia hendak menamatkan bualan. Shamsiah terkedu. Sampai begitu sekali ibu mertuanya tidak sukakan dia. Shamsiah tunduk merenung lantai. Tanpa diduga, air matanya mengalir laju. Shamsiah sudah tidak mampu menahan rasa lagi…

LATIFAH tersenyum memandang nasi dan lauk-pauk yang sudah siap dimasak di atas meja makan. Sekejap lagi, anaknya Khalid akan balik. Suka benar Latifah. Ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadanya.

Sedang asyik Latifah melayan perasaannya sendiri, loceng rumahnya berbunyi. Senyumnya yang sedia lebar semakin melebar. Cepat-cepat Latifah berjalan ke hadapan rumah untuk menyambut kepulangan anak teruna kesayangan.

“Assalammualaikum,” ucap satu suara dari luar rumah.

Langkah Latifah tidak semena-mena terhenti. Wajahnya yang tadinya tersenyum ceria terus mencuka. ‘Alahai, menantu hantu aku pun datang juga. Buat apa? Buat habis beras aku sahaja!’ Dia membentak di dalam hati.

“Waalaikumussalam. Masuklah, Lid. Mak sudah siap masak makanan kegemaran kamu,” Latifah terdiam sejenak. Dahinya berkerut. “Kenapa kurus benar kamu sekarang? Bini tidak bagi makankah? Itulah. Cari bini tidak pilih betul-betul,” sambungnya lagi sedikit sinis.

Shamsiah dan Khalid saling berpandangan. Terkejut agaknya dengan kata-kata spontan Latifah. “Bukan tidak bagi makan, mak. Makan secara berhemah. Baru sihat,” Khalid cuba mempertahankan isterinya. Dia memandang Shamsiah sekilas, kemudian berkalih ke arah emaknya semula.

Latifah mendengus perlahan. “Iyalah, iyalah. Menangkanlah bini kamu tu. Mak saja yang salah…” kata-katanya terhenti lagi. Kemudian, Latifah menyambung, “Begini, Lid. Kamu ingat anak Cikgu Zakiah yang rapat dengan kamu masa kecil dulu?” Nampaknya, Latifah tidak menyempat untuk membuka cerita.

Dahi Khalid berkerut seribu. Anak Cikgu Zakiah? Ainulkah? “Kenapa, mak?” Soalnya tanpa menjawab pertanyaan emaknya.

“Cikgu Zakiah kamu tu beritahu mak, sekarang sudah naik pangkat. Baru tiga tahun bekerja, sudah dapat gred 44. Bertuah badan. Beruntunglah siapa-siapa yang dapat jadi suami dia. Sudahlah belajar dekat luar negara, tidak duduk di rumah saja-saja,” Latifah memberitahu panjang lebar sambil mengerling ke arah Shamsiah yang sedang tunduk memandang lantai.

Khalid mengangguk-angguk. “Okey,” balasnya pendek.

Mata Latifah membulat. “Okey sahaja???” Soalnya pantas.

Khalid benar-benar keliru. Entah apa yang sebenarnya hendak disampaikan oleh emaknya, dia pun tidak tahu. “Iyalah, mak. Okeylah dapat naik pangkat. Baguslah tu,” dia berkata sejujurnya.

Latifah menghembuskan nafasnya perlahan. “Kamu pun sudah berkahwin lebih satu tahun. Anak pula tidak ada lagi. Hendak kata kamu yang mandul, mustahil. Mak rasa, ada baiknya kamu bernikah dengan Ainul. Teringin juga mak hendak ada cucu,” Latifah mencadangkan tanpa berbasa-basi lagi.

Shamsiah terkedu. Begitu juga dengan Khalid. “Sebenarnya, ada be…”

Belum sempat Khalid bersuara, Latifah menambah lagi, “Cepat-cepatlah kamu buat keputusan. Kalau kamu mahu, mak akan pinangkan terus budak Ainul tu. Si Zakiah pun tidak kisah jika anaknya bernikah dengan duda.”

Kali ini, mulut Khalid ternganga luas. Duda? Bila masa pula dia menceraikan isterinya. Sampai sekarang, hidupnya aman bahagia dengan Shamsiah. Tidak timbul isu cerai atau mahu berpoligami. Khalid segera berkalih ke arah Shamsiah. Nampaknya, wanita itu sudah berjalan laju keluar dari rumah. Dia tahu, Shamsiah benar-benar terasa. Hatinya tentu sedang sakit bagai diguris belati tajam. Khalid pasti benar!

Tanpa lengah, Khalid segera mengejar isterinya dari belakang. Sejak akhir-akhir ini, emosi Shamsiah tidak berapa stabil. Wanita itu mudah benar tersinggung dan cepat pula mengalirkan air mata. Maklumlah, isterinya yang dikatakan mandul ini sedang mengandung enam minggu! Namun tiba-tiba…

Kedengaran bunyi berdentum dari luar rumah. Khalid terpana. Dia terbayangkan Shamsiah yang sedang rawan hatinya. Entah kenapa, jantungnya berdegup kencang.

“Masya-ALLAH!” Jerit Khalid dari hadapan rumah. Isteri kesayangannya itu telah ditimpa musibah!!!

Latifah yang masih tercegat di muka pintu tercengang. Matanya terbuka terkatup beberapa kali. Lambat-lambat, dia berjalan menghampiri Khalid. Dahi Latifah berkerut. Dia berundur setapak. Darah pekat yang mengalir di kepala Shamsiah membuatkan dia kecut perut. Tudung yang dipakai menantunya tampak lenjun dengan darah merah.

“Itulah akibatnya tidak hormat pada mak mertua. Orang tua cakap, berlalu begitu sahaja. Tengok! Sudah kena langgar lari. Inilah balasannya…”

Wajah Khalid berubah kemerahan. Sudah jadi begini pun emaknya masih mahu menyalahkan Shamsiah? Jika dia berada di tempat isterinya, dia pun pasti akan melakukan perkara yang sama bahkan mungkin lebih teruk daripada itu.

“Sudah-sudahlah, mak…” kata-katanya terhenti di situ. Keadaan isterinya agak parah. Dia perlu mencari sesuatu untuk menutup kepala isterinya. Darah yang berterusan mengalir boleh mengancam nyawanya. Bukan Khalid tidak tahu.

Namun, baru sahaja Khalid hendak melangkah, Shamsiah memanggilnya dengan suara yang tersekat-sekat, “Abang…”

Khalid kembali mendapatkan isterinya. “Sayang…”

Nafas Shamsiah terputus-putus. Dia cuba membuka matanya memandang Khalid yang tidak berkedip merenungnya. “Abang…” kata-kata Shamsiah terhenti lagi.

“Ya, Sayang. Bertahan, Sayang. Abang pergi ambil kain dan telefon ambulans,” balas Khalid pula.

Shamsiah menggeleng. “Maafkan Ayang, Bang. Ma…” Shamsiah menarik nafasnya kuat. Matanya membulat memandang langit. “ALLAH…” Sejurus selepas itu, Shamsiah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir…

LATIFAH berjalan mundar-mandir di dalam bilik guru. Dia tampak tidak keruan.

“Kenapa, Cikgu Tipah oi? Macam beruk kehilangan anak sahaja,” soal Juhara sedikit sinis.

Latifah terus menghampiri Juhara. Dia memandang rakan akrabnya itu atas bawah seraya berkata, “Aku rindukan Khalid. Sudah lebih tiga tahun dia tidak balik rumah. Ainul pun langsung tidak menelefon aku bertanya khabar. Setidak-tidaknya, telefonlah. Aku bukannya orang lain. Mak mertua dia juga. Mak kepada suami dia,” kata-katanya terhenti di situ.

“Lagipun, sudah lebih setahun Khalid tidak kirim duit. Hendak kata bininya tidak bekerja, si Ainul tu bergaji besar. Baru tahun lepas Zakiah beritahu yang anaknya naik pangkat lagi. Tidak akanlah hendak beri pada mak sendiri pun tidak boleh?” Sambungnya lagi sedikit kecewa.

Juhara tersenyum kecil. Tidak semena-mena, wajah Shamsiah hadir di benaknya. Sudah lebih tujuh tahun dia meninggal dunia dan selama itulah dia melihat hidup Latifah serba tidak kena. Ujian TUHAN atau mungkin boleh dikatakan sebagai balasan-NYA? Iyalah. Bukankah penghitungan ALLAH itu Maha Teliti?

“Sabarlah, Tipah. Ujian TUHAN buat kamu. Banyakkan beristighfar dan berdoa kepada ALLAH…”

Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Latifah menyampuk, “Shamsiah dahulu tidak pernah buat macam ni.” Kali ini, air matanya mengalir deras. Lebih laju daripada air terjun Sekayu, Terengganu. Wajah menantu yang sudah tiada itu tiba-tiba muncul di fikirannya.

Juhara mengeluh perlahan, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Nasi sudah pun menjadi bubur. Menyesal sampai keluar air mata darah pun, tidak berguna. “Sabarlah,” ujarnya pendek. Hanya ucapan keramat itu yang boleh dititipkan.

Tanpa menunggu balasan daripada Latifah, Juhara terus berlalu dari situ. ‘Doa kau untuk mendapat menantu hantu dimakbulkan TUHAN akhirnya, Tipah,’ hati kecilnya bersuara.

Tidak semena-mena, wajah Shamsiah hadir kembali. Sebagai manusia, dia sebenarnya simpati pada wanita itu. Moga rohnya dicucuri rahmat. Juhara tersenyum kecil lagi, buat kesekian kali…

Info : Mingguan Wanita, bil 1438.

0 Responses