Tauhidullah (ii)




Salam ukhwah fillah. Hehe… hari ini, Muthiah bersemangat untuk menulis. Edit P-FC untuk sesi pagi sudah diselesaikan. Insya-Allah, Muthiah akan finalise pada sesi petang. Jadi, tiba masanya untuk kemaskini blog.

Jom halaqah ;)

Mengesakan Allah dari segi Rububiyah, Mulkiyah dan Uluhiyah (juga asma’ wa sifat)…

1- Rububiyatullah (Allah sebagai satu-satunya Tuhan)

Tuhan – Allah yang mencipta alam semesta.

Dengan kata lain, tidak ada Tuhan yang diabdikan diri melainkan Allah… tidak ada yang lebih kita harapkan (pergantungan) kecuali kepada-Nya. Jadi, apapun keadaannya… kita akan / perlu kembali kepada Allah kerana HANYA DIA Tuhan buat umat manusia serta sekalian makhluk di atas muka bumi ini.

a) Khaliqan ( Allah sebagai satu-satunya Pencipta)

Pencipta – yang menciptakan.

Sesungguhnya, segala sesuatu di atas muka bumi ini adalah ciptaan Allah. Dengan kata lain, ALAM ini penciptanya Allah yang Maha Esa… apa yang kita maklumi tentang alam? Alam itu sendiri merangkumi segala sesuatu selain daripada Allah, tidak kira sama ada ia boleh berkata-kata atau sebaliknya.

Sebagai Pencipta, pastinya Allah lebih tahu mana-mana yang baik atau tidak baik buat makhluk ciptaan-Nya. Kenapakah perlu solat lima waktu? Kenapa perlu puasa pada bulan Ramadhan? Kenapa perlu menjaga aurat dan sebagai makhluk yang dikurniakan Allah dengan 1001 kenikmatan, usahlah kita banyak mempertikai setiap suruhan Tuhan kerana Allah tahu hikmah di sebalik setiap perintah-Nya.

Bukankah Pencipta itu pastinya lebih arif dengan segala sesuatu yang dicipta-Nya? Firman Allah dalam surah Al-Fathir ayat satu yang bermaksud, “Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus pelbagai urusan), yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa-apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Dalil lain - As-Syura :11, Al-Mukmin :62, Yasin :81, Ar-Ra’d :16…

b) Raziqan (Allah sebagai satu-satunya Pemberi Rezeki)

Pemberi – orang / sesuatu yang memberi.
Rezeki – segala sesuatu yang dikurniakan Allah untuk keperluan rohani dan jasmani.

Ketahuilah bahawa kita bukanlah siapa-siapa. Kita tidak punya kekuatan langsung untuk mendapatkan sesuatu (di atas muka bumi ini) melainkan dengan izin Allah. Allahlah yang memberi kita rezeki… Allahlah yang mengurniakan segala kenikmatan ke atas diri kita, atas usaha yang kita lakukan.

SABARlah dalam mengharapkan sesuatu (rezeki) daripada Allah kerana sesungguhnya Dia lebih maklum tentang segala sesuatu (atas diri kita). Sedikit atau banyak itu adalah ketentuan-Nya dan pasti, sebagai hamba yang memperoleh rezeki daripada Allah perlulah banyak berSYUKUR dan berTERIMA KASIH atas apa yang telah kita terima.

Sering kali kita memuji dan memuja mereka yang menyumbangkan sesuatu kepada kita namun acap kali juga kita terlupa dengan pemberian Tuhan yang jauh lebih banyak/ besar daripada yang kita peroleh (daripada manusia lainnya). Kita mengagung-agungkan pemberian manusia sedang manusia itu hanyalah wasilah daripada Allah untuk memberikan kita sesuatu (rezeki). Hakikatnya, apa-apa yang kita perolehi adalah daripada Allah jua.

Jom muhasabah… nasi yang kita suap… dari mana kita peroleh? Selusurilah perjalanannya… Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 37 yang bermaksud, “…Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.”

Dalil lain – Al-Anfal :26, Saba’ : 24…

c) Maalikan (Allah sebagai satu-satunya Pemilik)

Pemilik – empunya, Tuan Punya.

Dengan kata lain, Allah adalah Tuan Punya ke atas segala sesuatu. Setiap apa yang terdapat di atas muka bumi ini adalah milik Allah. Baju… seluar… rumah… anak-anak… Kita sendiri adalah milik Allah. Allah berhak ke atas diri kita… Allah berhak untuk ditaati dan disanjungi. Allah berhak ke atas segalanya…

Bilamana kita sedia maklum bahawa segala sesuatu ini adalah milik Allah (bukan milik kita secara mutlak), seharusnya… sepatutnya kita menjaga sesuatu yang bukan milik kita ini dengan sebaik-baiknya, makmurkanlah alam ini dan jauhilah kerosakan yang bisa sahaja memudaratkan diri kita sendiri. Bukan itu sahaja, hindarilah segala larangan Tuan Punya barang di atas muka bumi ini.

Dan pasti… satu hari nanti kita sendiri akan kembali kepada Allah. Kita tidak akan hidup selama-lamanya, hanya Dia yang kekal abadi sehingga akhirnya. Kita akan mati… kita akan dihisab… kita akan dibangkitkan kembali… kita akan dimasukkan / dicampakkan ke dalam syurga mahupun neraka, nauzubillah. Waktu itu, barulah kita tahu bahawa kita sebenarnya bukan siapa-siapa dan tidak memiliki apa-apa melainkan mengharapkan rahmah dan pengampunan daripada Allah.

Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 12 yang bermaksud, “Katakanlah, ‘Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi?’ Katakanlah, ‘Kepunyaan Allah.’ Dia telah menetapkan atas Diri-Nya kasih sayang…”

Dalil lain – An-Nisa’ :131, Az-Zumar : 44, Al-Mukmin :16, Al-Hadid :5…

Hehe… baru satu sari pati, sudah berjela-jela (inipun tanpa penerangan terperinci). Tetapi apapun, ketahuilah bahawa Allah itu Maha Besar dan Maha Segalanya. Muthiah harap, perkongsian ilmu yang tidak seberapa ini dapat dimanfaatkan bersama.

Afwan… isi yang kedua, kita sambung minggu hadapan ya ;) Banyak bangat. Nanti, kebosanan pula membacanya. Biar sedikit, tetapi cubalah baca… hayati dan selaminya. Muthiah hanya boleh berkongsi ilmu tetapi yang meresapkan di dalam jiwa adalah diri kita sendiri (dengan izin Allah)… Hmmm… lebih tepat… Allahlah yang mencampakkan kefahaman itu di dalam hati kita… Kita bukan siapa-siapa yang boleh melakukan ini dan itu.
Labels: | edit post
0 Responses