Lagu



Assalammualaikum dan salam sejahtera. Huagh… mengantuk rasanya pagi ini. Hehe… Muthiah baru sahaja selesai semak P-FC tetapi baru semakan pertama. Hendak berehat sekejap (rehat Muthiah bermakna mengemaskini blog). Selepas ini, insya-Allah sambung buat semakan kedua.

Untuk muhasabah minggu ini, Muthiah mahu sahabat-sahabat melihat… apa yang ada pada desktop laptop atau komputer peribadi kita.

Kalau Muthiah, ada :

1- Permainan :War Craft- The Frozen Throne (suami layan), Bettle bug 2 (Muthiah layan). Hehe…
2- Folder : Blog - untuk Muthiah simpan bahan-bahan yang ditulis untuk blog, Sent – hasil kerja Muthiah yang sudah diselesaikan, Job – merangkumi kerja-kerja yang Muthiah lakukan dalam bidang penulisan, dan Misyari Alafasi – mengandungi bacaan Al-Quran surah yang pertama sehingga 114.
3- Shortcut – Microsoftword, YouCam (sebelum buat kerja, Muthiah gemar berposing. Saja-saja, mahu syok sendiri jadi model), Documents, CCleaner

Dan bla bla bla…

Kenapa Muthiah fokuskan kepada desktop? Sebab… boleh jadi apa yang kita letak di hadapan desktop laptop atau komputer peribadi kita adalah : Sesuatu yang selalu kita gunakan (memudahkan kita untuk masuk ke dalam fail yang kita kehendaki). Jadi, tidak perlu masuk ke dalam My Computer/ D/ C dan lain-lain lagi.

OK… selesai tentang desktop. Hehe… tidak ada apa-apa sebenarnya.


Baru-baru ini, Muthiah berbual-bual dengan suami. Muthiah katakan kepadanya, sekarang Muthiah tidak layan lagu (sebelumnya, sesudah mendengar bacaan ayat suci Al-Quran bacaan Misyari Alafasi, Muthiah akan layan lagu (rock kapak dan xpdc [bersama Mael – Muthiah tidak minat Ali]. Huhu… baru dapat idea untuk menulis- kononnya).



Akan tetapi, entah kenapa sekarang Muthiah rasa lebih nyaman mendengar bacaan ayat suci Al-Quran sambil menulis. (Bilamana sudah terlalu tepu, Muthiah layan cerita Detective Conan atau siri Jepun ‘Attention’).

Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 45 yang bermaksud, “Dan apabila kamu membaca Al-Quran, nescaya Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, suatu dinding yang tertutup..”

Kemudian, suami Muthiah kata… Al-Quran adalah ‘lagu’ yang paling baik dan paling sedap untuk didengari. Bukan itu sahaja, dengan mendengarkan ayat suci Al-Quran, kita akan menjadi tenang dan lapang.

Kenapa? Kerana Al-Quran itu sendiri adalah kalamullah. Tidak ada yang lebih hebat atau agung daripada ayat-ayat Allah. Mungkin kini kita tidak menyedarinya tetapi insya-Allah, Muthiah yakin satu hari kita akan dapat melihat ‘kelebihan’ ayat suci Al-Quran itu.

Hmmm… sebenarnya, sudah lama Muthiah tidak membaca tafsir Al-Quran. Walaupun demikian, meskipun tidak memahami ayat-ayat ini, hati tetap tenang (sebaiknya, kita perlu berusaha untuk mengerti paling kurang pun terjemahannya). Muthiah… muhasabah balik ya? ;) Hehe… mengingatkan diri sendiri yang selalu lupa.

Entah apa yang menenangkan, Muthiah pun tidak tahu. Tetapi yang pasti! Bila membaca atau mendengarkan ayat suci Al-Quran… Kadang-kadang rasa sayu. Terutama bila otak terlalu tepu dan banyak perkara yang difikirkan. Rasa Allah dekat dengan kita sebenarnya… rasa tenteram, nyaman dan banyak lagi.

Jom kita susuri sirah Nabi…

1- Kisah Walid Al-Muhirah
Satu hari, Walid telah bertemu dengan Nabi SAW. Ia mahu berbincang dengan Muhammad bin Abdullah perihal ‘agama baru’ yang dibawanya. Setelah Walid habis berbicara, Nabi SAW pun membacakan surah Al-Fussilat ayat 1 hingga 13. Oleh sebab rasa takut dan merasakan seolah-olah turun panahan kepada Quraisy, ia pun meletakkan tangannya di mulut Rasulullah.

Walid merayu agar Muhammad memberhentikan bacaannya tetapi Nabi SAW terus menyambung ayat-ayat tadi sehingga sampai ayat sujud. Setelah bangun dari sujudnya, Nabi SAW berkata, “ Inilah jawapan daripadaku…”

Apakah reaksi Walid? TERKEJUT, TERPEGUN dan TERSENTUH hatinya dengan ayat-ayat Al-Quran. Hatinya membenarkan apa yang didengarinya tetapi keangkuhannya menyebabkan ia terus memusuhi Islam.


2- Kisah Umar Al-Khattab
Umar Al-Khattab tekad untuk membunuh Nabi. Dalam perjalanan ia bertemu dengan Nu’aim bin Abdullah dan lelaki itu telah membongkarkan rahsia pengislaman adiknya, Fatimah (bersama suaminya Saad bin Zaid).

Marahlah Umar lalu segera menuju ke rumah adiknya. Di sana, Fatimah dan Saad sedang belajar Al-Quran dengan Khabab bin A’arat. Kemudian, Umar meminta untuk melihat sendiri helaian yang dibaca oleh adiknya. Ya! Hatinya ingin mendengarkan ayat Al-Quran. Ia pun membaca surah At-Thoha… Apabila sampai ayat ke-14, berkata Umar, “Tidak sepatutnya empunya kata-kata ini disekutui…” dan akhirnya masuklah Umar ke dalam agama Islam (dengan izin Allah).

Lihat! Umar yang sedia keras itu dapat jua dilembutkan hatinya dengan ayat suci Allah.

Baiklah, hendak masuk pejabat balik. Ilal liqa’.

Muthiah : Masih lagi mengantuk.

Dakwah dengan… (ii)

Salam. Hari ini, Muthiah masuk lewat ke ‘pejabat’. Ada urusan di luar. Alhamdulillah, selesai jam 9.00 dan Muthiah meneruskan P-FC sampai jam 12.00. Jam 12.00, masak untuk suami, al-maklumlah hari ini tidak sempat menyediakan bekal. Hendak keluar awal…

Baru-baru ini, sewaktu di ‘tinggal’kan sebentar oleh suami di klinik, Muthiah sempat membaca sebuah novel remaja yang bertajuk ‘Dylela’ tulisan Hizairi Othman, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Untuk kupasan minggu ini, Muthiah ingin memetik dialog dalam novel tersebut;

“Mas Karno ada di sini. Begitu juga dengan daddy awak. Tidakkah awak sedar akan sesuatu? Mereka sebenarnya MENGAMBIL BERAT terhadap awak,” berkata Megat (watak utama dalam novel ini).

Berkata Dylela, “Tidak!”

“Mereka sebenarnya MENYAYANGI awak,” kata Megat lagi.

“Tidak! Tidak! Dusta belaka,” balas Dylela.

“Awak masih punya orang yang MENYAYANGI awak dan awak sama sekali TIDAK SENDIRIAN,” tambah Megat lagi.

*** Dialog ini ditulis mengikut kefahaman pembacaan Muthiah ***

Novel ini berkisar seorang anak remaja yang tanduskan KASIH SAYANG. Ia punya harta tetapi ketandusan CINTA daripada orang di sekelilingnya. Daddy Dylela terlalu sibuk dengan perniagaan manakala mummynya telah meninggal dunia. Kawan-kawan Dylela punya hanya mahu MENGAMBIL KESEMPATAN ke atasnya, maklumlah anak orang berada.

Mas Karnolah (tukang kebun merangkap pemandu peribadi keluarga Tuan Zakaria (bapa Dylela)) yang agak PRIHATIN terhadap gadis malang ini. Kemuncak kisah anak gadis ini ialah bilamana ia bertindak berdiri di atas buaian pusing (seolah-olah hendak membunuh diri). Namun hakikatnya, Dylela sebenarnya mahukan PERHATIAN daripada orang di sekelilingnya kerana ia berasa begitu SEPI…

Persoalan yang ingin Muthiah bangkitkan ialah…

Betul! Persoalan SAYANG dan PRIHATIN / AMBIL BERAT… dengan kata lain, berdakwahlah dengan KASIH SAYANG dan CINTA (Tetapi perlu kena pada tempatnya. Kalau tidak, zalim namanya) kerana setiap insan itu membutuhkan KASIH SAYANG. Biarlah ia merasai kemanisan cinta dan iman itu dengan CINTA yang sebenarnya begitu dekat dengannya… yakni cinta ILAHI.

…. Setiap manusia itu ingin rasa dikasihi dan disayangi. Maka, sedarkan mereka yang ‘terlupa’ itu dengan kasih sayang Ilah yang sama sekali tidak pernah mengabaikannya…

*****
Fail (2)

Satu ketika dahulu, Muthiah ada seorang kawan yang nampak liar, ganas, nakal dan banyak lagi (segala benda yang tidak baik, serahkan sahaja kepadanya). Namanya MatR dari Felda Belara.

Macam mana Muthiah boleh berkawan dengannya? Haha… dia panggil Muthiah, “Lembu, kerbau, bodoh…” dan Muthiah rasa sangat tercabar. “Kurang cili boh punya budak,” hehe… Jadi, Muthiah mengadu kepada seorang senior yang agak rapat dengan Muthiah.


Hendak dijadikan cerita, senior ini pula memaklumkan hal tersebut kepada abangnya yang merupakan ‘kepala samseng’ di sekolah Muthiah, Br… Hahaaa… tidak mahu bercerita lanjut tetapi apa yang boleh Muthiah katakan, pertelingkahan itu akhirnya mencetus PERSAHABATAN antara kami.

Satu hari, MatR bersama rakan-rakannya telah ditahan polis (atas sebab membelasah seorang pengawas sekolah). Muthiah kenal pengawas itu dan Muthiah pun sebenarnya tidak menyukainya, ‘Poyo dan berlagak…’ Sambung cerita tadi… MatR kemudiannya dimasukkan ke dalam lokap. Tempoh penahanan, Muthiah tidak pasti. Mungkin seminggu atau kurang dari itu.

Setelah MatR dibebaskan, ia pun menghubungi Muthiah. Jom, ikuti dialog Muthiah;

MatR : Kenapa Za tidak datang melawat?
Muthiah : Hmmmm… .
MatR : Za malu kawan dengan aku?
Muthiah : Tidak adalah. Kawan tetap kawan. (Muthiah kemudiannya memberikan alasan yang munasabah).
MatR : Aku hendak berhenti sekolah.
Muthiah : Kenapa?
MatR : Aku masuk lokap, TIDAK ADA PUN YANG CAKNA. Emak ayah aku pun tidak mahu jamin.
Muthiah : Jadi, siapa yang jamin kau?
MatR : Nenek aku.
Muthiah : Hmmm…
MatR : Buat apa aku belajar. Aku kan budak jahat… lagipun, semua orang TIDAK SUKA/ SAYANG aku.
Muthiah : Ish… mana ada. Nenek kau sayang kau. Kawan-kawan kita sayang kau.
….
….

Lebih kurang begitulah perbualan kami tetapi banyak yang Muthiah ubah. Bahasa yang digunakan di sini lebih lembut (huhu… dahulu, kasar bangat…).

Justeru, apakah moral di sebalik dialog di atas? Renung-renungkan wahai teman…

Secara peribadi, sebelum Muthiah kenal dengan Islam (cara hidup Islam dan lain-lain), Muthiah merasakan bahawa kawan-kawan Muthiah inilah kawan-kawan yang terbaik buat Muthiah.



1- Memiliki semangat setia kawan yang tinggi dan pasti! Muthiah sayangkan teman-teman Muthiah.

2- Jujur dalam persahabatan. Walau siapa pun dia, walau apa orang kata tentang dia, dia tetap kawan Muthiah.

3- Gaduh tetapi tidak lama… mungkin sebab apa-apa, terus fire… dush dush dush. Kalau Muthiah, beri sepakan penalti terus ;)

4- Sanggup berkorban demi kawan… kong kong kong. Beri kawan meniru semasa peperiksaan contohnya – ditujukan khas buat Pajeng dan Sani Pudin (kini baru Muthiah tahu, ‘Matlamat tidak menghalalkan cara).

Namun sayang… kesedaran tentang UKHWAH FILLAH belum lahir waktu itu.

Baiklah, berbalik kepada topik asal. Punca mereka menjadi begitu (kurang baik mungkin):

1- PERSEKITARAN yang tidak elok – dikelilingi oleh teman-teman yang tidak baik (mencuri, bergaduh, merokok dan lain-lain). Namun, teman-teman sebegitulah yang mahu menjadikan mereka kawan. Yang baik-baik, rasa lebih selesa untuk berkawan dengan mereka yang sama tahap dengan mereka (yang baik-baik juga).

Jadi, para pendakwah, jom muhasabah balik. Sejauh mana kita MEMILIH mad’u kita? Hanya mereka yang berpotensi untuk menjadi pendakwah atau siapa-siapa sahaja?

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

2- Masalah KELUARGA – ibu bapa yang bercerai-berai, keluarga yang porak-peranda. Selalu sahaja ada pertelingkahan di rumah menyebabkan si anak tidak betah berada di rumahnya sendiri. Apabila ia keluar, bertemu pula dengan orang yang tidak sepatutnya. Akhirnya…

Selain itu, dari apa yang Muthiah baca… banyak hal sebenarnya bermula / berpunca dari rumah (Tetapi ada juga kes-kes terpencil : Rumahnya aman bahagia tetapi tatkala berjauhan daripada keluarga, tanduknya akan keluar. Mungkin disebabkan konflik dalam diri atau lain-lain alasan).

3- Masalah KEWANGAN – keinginan melebihi kemampuan. Hendak beli beg berjenama Polo tetapi fulusnya tidak cukup. Selain itu, berkawan pula dengan si perokok contohnya. Jadi, ia ingin merokok sama (kalau tidak, tidak boleh masuk kumpulan) tetapi tidak punya wang. Akibatnya, mencuri, memeras ugut dan banyak lagi.

Firman Allah dalam surah Al-A’araf ayat 202 yang bermaksud, “Dan teman-teman mereka (orang-orang kafir dan fasik) membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-hentinya (menyesatkan).”

4- MEDIA massa – banyak juga pengaruh media massa yang tidak elok (televisyen, radio, internet). Di kaca televisyen, dipaparkan tentang adegan-adegan ganas / negatif . Secara tidak langsung, sedikit sebanyak mempengaruhi anak-anak muda yang menontonnya. Internet apatah lagi. Banyak sekali bahan-bahan yang tidak bertapis di dalamnya.

5- Paling utama … ceteknya TARBIYAH / pendidikan agama dalam diri – Insya-Allah, bilamana kita berpegang teguh dengan ajaran agama, perkara-perkara negatif akan dapat kita hindari. Jika terlanjur melakukannya, insya-Allah teman-teman yang beriman itu boleh mengingatkan kita. Di sinilah pentingnya orang yang faham tentang Islam dan mahu menyebarluaskan Islam. Mereka diperlukan untuk saling mengingatkan.

Jadi…. Apa yang boleh kita lakukan?

Huhuhu… SAMPAIKANLAH WALAU SEAYAT…

1- Ajaklah manusia lainnya kepada kebaikan. Walau siapapun dia, ia berhak menerima seruan/ ajakan kita (orang yang tahu) kepada Allah. Terima atau tidak belakang kira tetapi sampaikanlah…

2- Tunjukkan contoh yang terbaik (terutama dalam keluarga). Semak kembali… bagaimanakah keadaan keluarga kita? Adakah keluarga kita mengamalkan cara hidup Islam? Jika ya, Alhamdulillah… syukur ke hadrat Ilahi. Jika tidak, janganlah bersedih hati. Berdakwahlah kepada mereka melalui teladan yang paling baik :) Kemudian, serahkan segalanya kepada Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 82 yang bermaksud, “Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajiban yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.”

Alamak, Muthiah kena berhenti menulis dahulu. Sekejap lagi, suami akan balik dari tempat kerja. Mahu buat kuih dan minum petang… Baiklah, fikir-fikirkan ya. Insya-Allah, kelapangan… Muthiah ingin berkongsi tentang ‘Dakwah fardhiah’ yang pernah diperkata oleh Syeikh Mustafar Masyhor.

Muthiah : Sampaikan walau seayat…

Dengan siapa engkau bermusuhan???

Salam. Pertama sekali, Muthiah ingin mengucapkan jazakallah kepada Pdekar Bayu kerana sudi berkongsi informasi. Ya! Kita mungkin tidak saling mengenali tetapi atas dasar akidah yang satu, kita mungkin punya rasa yang sama… terhadap apa yang berlaku kepada saudara kita di luar sana. Marah… geram… benci… sakit hati dan banyak lagi. Betapa umat Islam diperkotak-katikkan. Betapa dan betapa…
Terlintas di benak fikiran, “Bilakah masanya kemenangan Islam akan muncul…” Astaghfirullah… Muthiah teringat akan kisah Khabab bin Al-Arat.

Berkata ia kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, Quraisy menyeksa kami. Berdoalah kepada Allah… MOHONLAH BANTUAN dan KEMENANGAN buat kita.”

Balas Muhammad bin Abdullah, “Wahai Khabab, pejuang sebelum kita ditanam hidup-hidup… digergaji… namun semua itu tidak menyebabkan ia berganjak daripada agama dan keyakinannya…”

Berkata Nabi SAW lagi, “Wahai Khabab… Demi Allah, Allah akan MEMENANGKAN AGAMA INI. Tidak ada yang ia ditakuti selain daripada Allah, aman perjalanannya tetapi kamu semua MAHUKAN KEMENANGAN YANG SEGERA.” Dush dush… terasa ungkapan ini terkena pada muka sendiri. Adoi adoi… ‘Ya Allah, ampunilah dosa dan kekhilafan Muthiah…’

Justeru, bersabarlah menanti saat KEMENANGAN itu. Teruskan perjuangan tanpa henti dan jangan sekali-kali berputus asa. Sesungguhnya, kita hanya berdaya untuk BERUSAHA (perlu berusaha bersungguh-sungguh; mengikut kemampuan diri) dan kemenangan itu kelak akan ditentukan (bila masanya) oleh Allah…

Seseorang pernah berkata kepada Muthiah (Muthiah lupa empunya diri tersebut), “ISLAM pasti akan MENANG akhirnya. Bezanya, adakah kita tergolong dalam golongan yang sama-sama memperjuangkan agama Islam. Fikir-fikirkan… ISLAM yang memerlukan kita atau KITA SEBENARNYA YANG MEMERLUKAN ISLAM….” Jadi, berdoalah sentiasa agar kita dipilih Allah untuk menjadi sebahagian daripada mereka yang MEMPERJUANGKAN agama Allah ini.

Berbalik kepada perkara yang ingin Muthiah kongsikan bersama. Ah! Mereka rasa mereka hebat? Mereka boleh berlaku kejam terhadap orang Mukmin / Muslim? Hmmmm… hebat mereka sebenarnya tidak ke mana. Bila-bila masa Allah boleh menyahkan mereka dari muka bumi ini. Bukankah amaran Allah itu jelas? Kalau mereka mati, mereka mati katak namun seorang Mukmin yang mempertahankan dan memperjuangkan agamanya itu… sekiranya ia menemui ajal, IA SYAHID DI JALAN ALLAH. Al-Fatihah buat semua pejuang agama Islam…

Ish… lari tajuk lagi. Hehe… Jom imbas kembali… kisah Abrahah bersama tentera bergajahnya…

…. Abrahah ingin mengambil hati najasyi lalu membina sebuah gereja di Yaman. Gereja tersebut diberi nama Al-Qulais dan Abrahah memerintahkan semua suku kaum Arab untuk mengerjakan ibadah haji di sana.

Hendak dijadikan cerita, datang seorang suku Arab (yang begitu mengagungkan Kaabah) secara senyap-senyap ke gereja itu dan membuang air besar di sana. Selepas itu, ia menyapu najis yang telah dibuang ke dinding Al-Qulais. Apa lagi, marahlah si Abrahah lantas mempersiapkan tenteranya untuk meruntuhkan Kaabah.

Tatkala sampai di Taif, penduduk Taif tidak berani menyekat Abrahah bahkan berlepas tangan daripada mempertahankan Kaabah. Bukan itu sahaja, mereka turut menghantar Zu Rughal sebagai penunjuk jalan ke Kaabah. Namun, Zul Rughal mati di pertengahan jalan dan mayatnya langsung ditanam di situ. ...

Apabila sampai berhampiran Mekah, Abrahah bersama-sama tentera bergajahnya merampas binatang ternakan milik penduduk Mekah. Tidak terkecuali 200 ekor unta milik Abdul Muttalib yang menjadi ketua penduduk Mekah ketika itu.

Berkata Abdul Muttalib, “ Kembalikan binatang ternakanku serta binatang ternakan milik penduduk Mekah.” Terkejut! Masakan Abrahah tidak terkejut. Ia menyangka bahawasanya Abdul Muttalib akan merayu agar ia tidak mengganggu Kaabah tetapi ketua penduduk Mekah ini lebih mengutamakan binatang ternakannya.

“Wahai Abrahah, aku adalah tuan punya unta-unta ini. Oleh itu, bebaskanlah unta-untaku. KAABAH itu ada TUAN PUNYA yang menjaganya. Sekiranya KAABAH itu rumah TUHAN, pasti TUHAN akan menjaganya. KAABAH ada TUHAN yang menjaganya,” kata Abdul Muttalib lagi.

Akhirnya, Abrahah pun memulangkan binatang ternakan yang dirampasnya. Kemudian, Abrahah bersama tentera bergajahnya tanpa lengah bergerak menuju ke Kaabah. Ia mengarahkan tenteranya untuk merobohkan Kaabah tetapi gajahnya tetap tidak mahu bergerak walaupun sudah dipukul. Apabila diarahkan ke arah lain, gajah itu mengikut tetapi sekiranya diarahka ke arah Kaabah, ia tetap diam.

Tiba-tiba, kelihatan di langit awan hitam. Pabila semakin mendekat, rupa-rupanya sekumpulan burung ababil dengan tiga batu kecil bergerak ke arah Abrahah dan tenteranya. Burung-burung tersebut melepaskan batu-batu kecil yang dibawa ke atas tentera Abrahah sehingga daging-daging haiwan itu hancur berguguran. Akhirnya, matilah Abrahah dan tenteranya tanpa kecuali.

Kisah ini ada disebut di dalam Al-Quran surah Al-Fil ayat 1 – 5 yang bermaksud, “Apakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentara bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”

…. Jadi? Insya-Allah, ISLAM itu ada TUAN yang menjaganya dan ia PASTI akan menang. Justeru, usah BERPUTUS ASA MEMPERJUANGKANNYA. Usah TAKUT MEMPERTAHANKAN YANG HAK. Usah gentar berhadapan dengan mereka yang zalim… angkuh dan keji kerana satu hari… KEBENARAN itu pasti akan terserlah.

Wassalam.

Muthiah : Khuatir tidak terpilih menjadi orang yang memperjuangkan agamanya… Huhuhu…waaaaaa…

Semut oh semut




1- Semut apa yang berpeluh?
Jawabnya, semut yang baru balik dari jogging. Dush dush…Tipah tertipu…
Hehe… tidak ada soalan sebenarnya. Jadi, Muthiah ambil teka-teki yang pernah diajukan oleh adik Muthiah, si KerasPedal yang baru sahaja dibebaskan daripada tahanan rumah (sebenarnya, komputer di rumah sedang dibaiki). Hehe…


Jawapan Uji minda sebelum ini...Tokoh Dunia Islam :

2- AbdulRahman Auf
- Merupakan seorang saudagar yang berjaya.
- Dipersaudara dengan Sa’ad bin Rabi’ oleh Rasulullah.
- Merupakan orang awal (daripada lapan orang) yang terdahulu masuk Islam.
- Faktor kejayaan dalam perniagaan ; 1- Modal dan barang niaga terdiri daripada sesuatu yang halal dan ia menjauhkan diri daripada sesuatu yang syubhat dan haram; 2- Berkat – keuntungan perniagaan yang diperolehi bukan untuk dirinya sendiri bahkan terdapat bahagian Allah (untuk agama Allah), bagi memperkukuh hubungan kekeluargaan serta menyediakan kelengkapan berperang (juga demi agama Allah).
- Sewaktu Sayidina Umar hendak wafat, beliau telah melantik enam jawatankuasa dari kalangan sahabat Rasulullah dan salah seorang daripada mereka akan dipilih sebagai khalifah yang baru. Maka, terpilihlah AbdulRahman Auf. Berkata ia, “Demi Allah, daripada aku menerima jawatan ini, lebih baik ambil pisau dan letakkan di atas leherku…” Kemudian, ia pun mencadangkan Uthman Al-Affan untuk menyandang jawatan tersebut.
Labels: 0 comments | | edit post

Ada apa dalam rumah?



Salam. Hehe… bukan ‘Ada apa dengan cinta (AADC)’ ya. Sebenarnya, Muthiah adalah ‘orang baru’ dalam dunia rumah & tangga. Justeru, apa-apa yang Muthiah coretkan, boleh jadi Muthiah peroleh dari apa yang Muthiah lihat… baca… juga…. Selamat maju jaya :)

Jom buat semakan, apa yang ada di dalam rumah kita???

1- Penyapu – penting bangat! Agar rumah dapat disapu sebaiknya. Tidak kotor sih…

2- Mop lantai – pun penting untuk membuang habuk-habuk di dalam rumah. Sebaiknya, moplah lantai rumah sentiasa. Kalau tidak boleh seminggu sekali, buat sebulan sekali pun tidak apa. Sekurang-kurangnya, tidak kesat lantai rumah kita. Hehe… kalau tidak ada mop lantai… boleh jadi Oshin dan basuh lantai dengan kain. Alaaaaa, macam dalam cerita Jepun (Muthiah suka tengok cerita Jepun - Attention).

3- Berus sabut – teka… apakah gunanya berus sabut ini? Bukankah sudah ada mesin basuh, jadi berus sabut tidak berguna lagi. Anda silap! Berus sabut amat penting untuk mencuci bilik air kita. Semak kembali… sudah berapa lama agaknya kita tidak membasuh bilik air kita. Jangan sampai naik lumut, sudah…

4- Bakul sampah – hmmmm… kalau tidak ada pun tidak apa. Sampah boleh dibuang terus ke dalam plastik dan diletakkan di tombol pintu. Huhu… Lazimkan diri untuk membuang sesuatu yang tidak dikehendaki di dalam bakul sampah.

5- Sabun basuh/ sabun mandi/ syampu/ sabun basuh pinggan/ pelembut pakaian (Softlan) / pencuci muka / pencuci lantai (Clean Floor)/ pencuci tandas dan lain-lain – semua untuk tujuan pembersihan diri dan rumah. Macam ‘Adam’… bila suami lama tidak me ‘mandi’kannya. Mulalah buat hal. Siapakah Adam???? Misteriiiii…

6- Penyodok sampah – sebenarnya untuk memudahkan kerja setelah menyapu.
Lagi lagi lagi….
Labels: 0 comments | | edit post

Seorang Muslim itu…

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Ada qiam pagi ini? Alhamdulillah, kita dipilih juga oleh Allah untuk mengecapi nikmat ISLAM dan IMAN… beruntung sungguh bukan?
Hmmm… sebenarnya, perancangan asal Muthiah hari ini ialah untuk menulis tentang TAUHID namun sesungguhnya perancangan Allah itu lebih cantik dan elok…
Seorang Muslim itu…. apakah kriteria yang harus dimiliki oleh seorang Muslim? Betul betul...

1- Salimun aqidah
2- Shahihul ibadah
3- Matinul khuluq
4- Qadirun ‘alal kasbi
5- Mutsaqqaful fikri
6- Qawiyyul jismi
7- Mujahidun linafsihi
8- Munazhzhamun fi syu’unihi
9- Harishun ‘ala waqtihi
10- Nafi’un lighairihi

Ada sepuluh semuanya dan hari ini, Muthiah ingin berbicara tentang kriteria yang keenam, insya-Allah.

QAWIYYUL JISMI

Baiklah… pertama sekali, lihat persekitaran kita. Sudah lihat?
Persoalan BERSIH… bersihkah BADAN kita, bersihkah PAKAIAN kita dan bersihkah TEMPAT TINGGAL kita? Sesungguhnya, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Betul betul betul, bak kata Upin dan Ipin. Kenapa perlu bersih?

Pertamanya, Allah suka yang cantik dan bersih. Bukan sahaja Allah bahkan kita semua sukakan yang bersih… bisa menimbulkan rasa nyaman, tenteram dan selesa. Kalau kotor, hendak beribadah pun kadang-kadang tidak khusyuk (bagi orang awam macam Muthiah).
Selain itu, bilamana persekitaran dan diri kita bersih… agen-agen penyakit pun sukar menghinggapi/ menular. Secara tidak langsung, kita dapat menjaga kesihatan kita. Contoh mudah… penyakit demam denggi. Ia berpunca daripada nyamuk dan nyamuk-nyamuk ini membiak di tempat yang kotor dan tidak dijaga dengan baik.

Persoalan MAKAN… makanlah mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan diajarkan oleh Nabi SAW. Basuh tangan dahulu sebelum makan…. baca doa, makan dengan tangan kanan, ‘makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang’…. dan yang paling penting, makanlah makanan yang halal; tidak kira dari sisi sumber makanan itu diperolehi atau makanan itu sendiri.

Ketahuilah… makanan yang kita makan sehari-hari akan menjadi darah daging kita dan semua itu akan dipertanggungjawab oleh Allah kelak. Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud, “Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah setiap kali (memasuki) masjid, MAKAN DAN MINUMLAH dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Seterusnya… persoalan BERSENAM. Betul! Bersenam itu penting agar kita tetap bertenaga. Bilamana kita bertenaga dan sihat, insya-Allah kita akan dapat melakukan kerja dengan baik. Huhu… ambil contoh Muthiah. Waaaaa…

Semalam, Muthiah rasa letih bangat. Paginya, Muthiah membuat kerja P-FC tetapi tidak dapat fokus… Muthiah buat juga. Target Muthiah, hendak selesai selewat-lewatnya awal bulan hadapan, insya-Allah. Alhamdulillah, siap tetapi perlu edit sedikit. Rancangnya, ingin sambung petang tetapi Allah tetapkan, Muthiah perlu ke klinik. Hehehe… akhirnya, tertangguh kerja tersebut. Hendak buat waktu malam, rasa tidak larat.
Muthiah bertanya suami, kenapa rasa letih bangat! Tahu apa kata suami… sebab Muthiah kurang bersenam bahkan sejak akhir-akhir ini, tidak bersenam langsung. Sebelum suami berkursus di Melaka, kami berjogging dan bermain badminton tetapi tidak kini.
Apa yang Muthiah dapat simpulkan… kita perlu komited dalam senaman. Nampak kecil tetapi sebenarnya banyak manfaatnya jika kita rajin bersenam. Penting juga sih! Sebab… bila kita letih, 1- hendak buat kerja pun tidak dapat fokus, tidak bertenaga. 2- paling sedih, bilamana hendak beribadah pun rasa malas . Ibadah itu luas tetapi Muthiah kecilkan lingkungan ibadah kepada amalan-amalan seperti puasa, solat, tadarus…

Seterusnya, persoalan BANGUN PAGI… hehe..pukul berapa kita bangun ya? Sebelum Subuh atau sesudahnya? Hmmm… seorang kakak ada berpesan, bilamana kita bangun awal, disertai dengan qiam kepada Allah, insya-Allah pagi itu kita akan lebih segar-bugar. Kalau mengantuk jam 11.00, perkara biasa tetapi insya-Allah, pagi kita akan lebih berkualiti.

Persoalan, MEROKOK… ketahuilah… rokok itu membahayakan kesihatan, mengancam nyawa kita (dan orang di sekeliling kita) serta… membazir dan sesungguhnya membazir itu adalah sahabat syaitan laknatullah…

Akhir sekali, persoalan TEMPAT YANG DITUJU. Elakkan daripada pergi ke tempat-tempat yang tidak elok (kotor dan banyak maksiat di dalamnya). Hal ini penting untuk kita memelihara diri dan hati daripada sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada kita. Jadi… pilihlah yang baik-baik. Contohnya, rajinkan diri menghadiri majlis ilmu (malaikat menebarkan sayapnya dalam majlis ini), majlis zikir… masjid dan banyak lagi..

Baiklah, jam menunjukkan pukul 6.20 pagi. Muthiah hendak masak dahulu ya. Satu untuk makan pagi dan satu buat bekalan suami ke tempat kerja… jom, main masak-masak ;) hehe…Selamat pagi…
Labels: 0 comments | | edit post

Usah beri ruang


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Muthiah teringat pesanan seorang kakak. Katanya pada Muthiah satu ketika dahulu, “Usah sekali-kali membuka ruang…” Buka ruang yang macam mana? Dengan kata lain, usah memulakan… Memulakan yang macam mana? Elakkan maksiat hati yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.
Nah! Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud, “Janganlah kamu mendekati zina..”

Keliru? Hehe… begini kisahnya. Isunya… entah terkait atau tidak, Muthiah tidak pasti…
Muthiah berbincang dengan suami. Bagaimana mahu mengelakkan diri daripada diganggu (ada sahabat Muthiah yang sering diganggu, melalui sistem pesanan ringkas contohnya) sampai stres jadinya. Maklumlah, si gadis masih bujang, comel…

Dengan tegas suami Muthiah berkata, “Jangan layan!!! Jangan balas sms!”
Hmmm… Muthiah berfikir-fikir sendiri. Persoalan JANGAN - 1;LAYAN dan 2;BALAS. Hmmm… kemudian, Muthiah berkata spontan, “Hmmm… ada benarnya. Bilamana kita tidak memberi respon, lama-kelamaan bosanlah orang yang mengacau..”
Yang dikatakan LAMA, selama mana? Mungkin mengambil masa sehari… seminggu… sebulan… setahun atau bertahun-tahun. Yang penting, kita teguh dengan pendirian. Berharap dan bergantung kepada Allah agar diberi kekuatan…
Tiba-tiba… Muthiah menyambung, “Masa zaman muda-muda dahulu, pengalaman mengajar ; bilamana kita tidak melayan… lama-lama orang bosan… akhirnya, ia akan diam sendiri…” diam sejenak.

“Dahulu… ada ‘insan’ yang tidak dikehendaki mesej… bila lama tidak membalas sistem pesanan ringkas (sms) dia, akhirnya diam. Tidak kacau lagi…” tambah Muthiah.
“Sebab itulah selalu ada nombor telefon baru…asyik tukar sahaja”
Suami pun tergelak…. kahkahkah. Isunya, bukan tidak balas tetapi tukar terus ;)
Labels: 0 comments | | edit post

Kerana Aku …



‘Sesungguhnya wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji manakala lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula). Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik manakala lelaki yang baik adalah buat wanita-wanita yang baik (pula)…’ An-Nur : 26.

Berkali-kali aku mengulangi kalimah itu. Kuselami dan kuhayati di dalam hati. Tersentuh… pilu menyelubungi jiwa. Bahawasanya janji Allah itu benar. Allah SWT sama sekali tidak akan menguji hamba-Nya melainkan ia mampu untuk memikulnya. Itu pasti.

“Anis, bila nak hantar kad wangi?” Tanya Zaza suatu hari. Kulihat ia tersenyum manis. Al-maklumlah, ia kini sedang menghitung hari saat-saat bahagia bergelar isteri. Bertemu jodoh pula dengan insan yang dicintai. Bertuah sungguh badan.

“Insya-Allah, sampai masa adalah nanti,” jawabku pendek. Entahlah. Kadang-kadang aku tertanya-tanya sendiri. Adakah hanya wanita jelita yang mudah mendapat perhatian para pemuda? Sedangkan pada zaman Rasulullah SAW, kecantikan bukanlah ukuran. Siapa tidak kenal Bilal bin Rabah? Hamba kepada Umayyah bin Khalaf yang hitam legam ini sudah kedengaran tapak sepatunya di dalam syurga. Jadi, apakah yang lebih hebat daripada takwa? Sebagaimana firman Allah dalam surah al-A’raaf ayat 26 yang bermaksud, ‘… Dan pakaian takwa itulah yang lebih baik…’

Aku mungkin tidak jelita sebagaimana gadis lain. Aku juga mungkin tidak berharta dan bukanlah berasal daripada keturunan bangsawan. Bapaku sudah lima belas tahun meninggalkan ibu. Entah ke mana ia pergi. Pernah juga kudengar suara-suara yang berkata bahawa bapaku telah berkahwin lain dan mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Namun, bilamana aku bertanya kepada ibu, ia hanya membisu. Sama sekali ibu tidak mahu berbicara tentang bapa. Begitu mulia hati ibu meskipun ia telah digantung tidak bertali.

Apa lagi yang mampu aku lakukan? Dalam usia menjangkau 29 tahun, aku masih solo dan tidak punya teman. Dengan kata lain, aku masih belum berpunya. Sering kali aku mendengar teman-temanku berkata, ‘Single but not available… tetapi masih boleh dirunding.’ Apa maknanya tu? Yang dapat aku fahami, masih belum berkahwin tetapi sudah berpunya. Akan tetapi, jika yang datang itu ‘lebih baik’, masih boleh difikirkan. Aku pun tidak faham dengan pengertian ‘lebih baik’ itu.



Di kampung, jiran sekeliling sudah bising. Bila mahu naik pelamin? Umur sudah lanjut. Tidak takut jadi anak dara tua alias ANDARTU? Mujur ibu memahami. Dia tahu bahawa anaknya ini tidaklah secantik mana. Bukan itu sahaja. Ditambah dengan penampilanku yang tidak mengikut arus semasa. Niat di hati, mahu sahaja aku mengikuti fesyen terkini tetapi ada yang membataskan. ‘Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya…’ An-Nur ayat 31.

Benar! Syariat Allah telah membataskan aku dalam apa jua perkara yang aku lakukan. Aku tidak berani untuk melanggar ketetapan itu. Aku takut… aku takut terhadap ancaman Allah sekiranya aku engkar. Tiada jaminan bahawa aku dapat bertahan dengan api neraka Allah. Terpercik minyak panas tatkala menggoreng ikan pun aku sudah mengerang kesakitan, inikan pula azab yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang degil.

“Anis, awak bukannya tidak ada rupa tetapi awak ni strict sangat,” kata Sufyan suatu hari tatkala ia melalui mejaku. Begitulah sehari-hari. Mejanya yang terletak selang satu meja dengan mejaku menyebabkan kedudukan aku dan dia tidak jauh. Aku sekadar tunduk. Apa yang boleh aku lakukan? Bersamanya dalam satu office menyebabkan aku sesak. Sesak nafas memikirkan permasalahan hati yang membelenggu diriku. Bukan tidak mahu tetapi tidak tahu…

Aku tidak tahu bagaimanakah caranya untuk bersahabat tanpa membelakangi apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Aku khuatir andaikata aku terjerumus dalam ‘zina’ yang menyebabkan aku jauh daripada Pencipta. Zina mata… zina telinga… zina mulut… zina hati yang kelak menyungkurkan aku daripada landasan yang sebenar. ‘Dan janganlah kamu mendekati zina…’ Al-Isra’ ayat 32.

Aku benar-benar risau dan takut. Aku mahu berkahwin dengan lelaki yang baik. Justeru, aku perlu berusaha keras menjadi wanita yang baik. Baik pada kacamata Allah dan bukannya pada pancaindera manusia semata-mata. Alangkah indah sekiranya aku mampu menjadi seperti Sayidatina Fatimah RA yang begitu terpuji akhlaknya. Lebih indah andaikata aku bertemu jodoh dengan pemuda yang hebat lagi takwa seperti Sayidina Ali RA. Namun, kusedar diri siapalah aku.

Aku tidak mampu menjadi sebegitu. Srikandi idaman para pemuda. Bukan sahaja cantik tetapi tahap pengabdiannya kepada Allah tidak dapat dipertikai lagi. Sembahyangku pun tidak kusyuk, bercita-cita menjadi sepertinya? Aku bukan tidak mahu kusyuk tetapi kadang-kadang syaitan laknatullah menggangguku. Aku pelik, dalam sembahyang sahaja ia mahu hadir dan dalam solat juga aku mahu melayaninya. Inilah yang dikatakan sebagai manusia. Sudah diingatkan Allah bahawa syaitan itu adalah musuh yang paling nyata tetapi aku sering kali lupa dan alpa.

Em… Aku termenung lagi. Ajakan Sufyan untuk makan tengah hari bersamanya aku tolak mentah-mentah. Katanya, bukan pergi berdua. Azira dan Syuhada ikut serta sebagai peneman. Aku jadi hairan. Bukankah Sufyan sudah arif tentang ilmu agama. Apa gunanya ia belajar tinggi sehingga ke negara anbiya’ namun tidak dapat menghayati dan mengaplikasi segala ilmu yang dipelajarinya. Adakah ia tidak sedar tentang ancaman Tuhan dalam surah as-Saf ayat 3, ‘Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.’



Meskipun tidak berkhalwat (berdua-duaan), apakah jaminan bahawa hati akan sentiasa terpelihara? Dia mungkin memiliki iman yang kental dan mantap sehingga mampu mengusir segala mainan syaitan tetapi tidak aku. Aku insan lemah yang perlu berkata ‘tidak’ agar tidak terjebak. Ada juga bisikan yang menyarankan agar aku mencuba dahulu. Sekiranya gagal, barulah aku hindari namun sejauh mana pula jaminan bahawa aku tidak akan mengulanginya lagi? Bukankah syaitan itu sangat dekat denganku sehingga aku akhirnya mengikut telunjuknya? Lantas, ia akan bersorak gembira atas kejayaannya menggodaku. ‘Sesungguhnya, sama sekali aku tidak akan tunduk kepadamu,’ aku berkata sendiri dengan tegas.

“Anis, tidak salah untuk berkenal-kenalan. Dalam Islam, kita perlu saling taaruf, tafahhum (memahami) dan takaful (tolong-menolong). Islam itu luas dan indah. Jangan disempitkan,” kata Kak Puji suatu petang.
“Akak tengok, Sufyan benar-benar mahu mengenali Anis. Bukan nak buat sesuatu yang tak elok pun. Anis kena fikir, umur Anis makin meningkat. Tipulah kalau Anis cakap Anis tak nak kahwin. Fitrah Nis,” tambahnya lagi sebelum sempat aku mengeluarkan suara. Aku mahu bersuara tetapi sering kali melekat pada kerongkongku.

Sukar untuk aku jelaskan dan tidak ada siapa yang mahu mengerti. Bukannya tidak mahu tetapi tidak tahu. Aku sedar, aku bukanlah gadis muda. Usiaku bertambah sehari-hari. Namun, aku kelu setiap kali berdepan dengannya. Hanya Tuhan yang tahu gelodak hatiku. Hanya Dia tempat aku mengadu kerana kutahu bahawa Dia amat dekat denganku. Lebih dekat daripada urat merihku.

Dia tahu bahawa aku sebenarnya punya rasa cinta kepada seorang insan yang bernama Sufyan. Hatiku sering kali berdegup kencang tatkala berdepan dengannya. Setiap kali ia menegurku, pasti aku akan termimpi-mimpi. Aku khuatir sekiranya aku membuka ruang, ruang itu kelak membuatkan aku terus berada di awangan. Aku tidak mahu. Aku tidak sanggup tetapi kekuatan imanku begitu nipis untuk menepis segalanya. Maka, diam itu adalah paling baik buatku.

Ingin kukatakan kepadanya bahawa aku gagal mengawal hati? Aku malu. Aku begitu malu terhadapnya yang sentiasa nampak tenang dalam apa jua perkara yang dilakukan. Ia tidak mudah melenting apatah lagi merungut tetapi aku? Ada sahaja yang tidak kena. Meskipun tidak diluahkan melalui kata-kata, riak wajahku menggambarkan segalanya. Betullah kata Sufyan suatu pagi, “Anis ni terlalu banyak berfikir. Cool sikit!”

Aku sedar, aku bukanlah umat yang terbaik dan aku berasa begitu sukar untuk menjadi yang paling baik. Ilmu agama yang kumiliki begitu cetek. Amalanku juga tidak hebat sebagaimana orang lain. Aku bercita-cita menjadi srikandi Islam tetapi keyakinan serta semangatku tidak kental. Aku seorang penakut walaupun aku tahu Allah itu begitu hampir denganku untuk membantuku setiap saat dan ketika.

Untuk berjuang fisabilillah, aku tidak mampu. Untuk berinfak sebanyaknya, aku tidak punya apa-apa. Apa yang aku miliki kini sekadar cukup untuk keperluanku serta ibu di kampung. Hanya aku yang bekerja. Sering kali keperluanku tidak mencukupi. Kadang-kadang aku berfikir sendiri, adakah aku banyak memberikan alasan? Namun, inilah aku. Aku tidak mampu. Oh, Tuhan… ampunilah hambamu ini.

Aku hanya mampu untuk berusaha keras menghindarkan diri daripada penyakit hati yang kutahu dapat mengundang kemurkaan-Mu andai aku tersilap arah. Inilah yang mampu aku usahakan ya Allah. Aku serahkan segalanya kepada-Mu. Aku letakkan cintaku buatnya kepada-Mu. Hanya Engkau yang mengerti sesuatu yang tersurat dan tersirat. Engkau jua yang lebih tahu manakah yang terbaik buatku. Penyerahanku ini total buat-Mu ya Allah. Aku sudah tidak punya daya untuk membuat apa-apa.

“Anis, balik kampung minggu ni,” kata ibu suatu hari.
“Kenapa ibu?” Tanyaku.
“Anis, masih ingat apa yang Anis katakan pada ibu dahulu? Jika ada yang masuk meminang, lihat kepada agamanya. Sekiranya agamanya elok pada kaca mata ibu, Anis minta ibu menerimanya dan menetapkan tarikh pernikahan,” ibu menerangkan panjang lebar. Aku terdiam namun itulah yang aku panjatkan di dalam doaku sehari-hari. Aku mahu segera nikah tanpa berlama-lamaan berkenalan.

Tinggal sebulan aku akan bergelar isteri. Perasaanku? Aku redha meskipun tidak pernah bersua muka dengan bakal suamiku. Kami sekadar bertaaruf melalui emel. Gambarnya pula aku peroleh daripada ibu. Walaupun gambar yang diberikan agak kabur, aku menerimanya dengan hati terbuka. Mulai saat aku bersetuju menerima lamarannya, aku sudah berdikit-dikit melupakan Sufyan. Hatiku semakin tenang.

Sememangnya dialah pilihanku. Tanpa aku pinta, ia begitu menjaga tatasusila pergaulan. Dia tidak pernah bercakap meleret-leret tatkala sesi perkenalan berlangsung. Dia hanya bertanya sesuatu yang perlu. Tindakannya membuatkan aku sendiri malu untuk bertanya lebih-lebih meskipun banyak sebenarnya yang ingin aku kemukakan. Atas sebab itulah hatiku dapat menerima kehadirannya. Terdetik… adakah dia sebenarnya begitu hampir denganku? Lintasan hati itu hadir kerana ia seolah-olah tidak mahu berkenalan denganku, seperti sudah sedia kenal.

“Assalammualaikum…” Aku kaget mendengar suara ini. Macam kenal. Lantas aku mendongakkan kepalaku ke atas. Tanpa dapat dikawal, aku terus bangkit daripada dudukku dan memeluknya. Ya, aku kini sudah menjadi milik dia yang aku cintai dan kasihi. Dia yang suatu ketika dahulu acap kali mengganggu tidurku.

Aku kelu… tidak mampu berkata apa-apa. Benarkah aku tidak bermimpi?

“Kenapa susah sangat??” Sufyan bertanya tatkala melihat aku sepi seribu bahasa.
“Abang bukan ada niat jahat pun,” tambahnya.
“Insya-Allah, selagimana hayat di kandung badan, syariat Allah tidak abang abaikan. Anis tak perlu bimbang sebenarnya,” katanya lagi.
“Kerana Anis…” aku cuba menjawab soalannya tetapi terdiam seketika…
“Kerana Anis MUSLIMAH!”
Labels: 0 comments | | edit post

Mutabaah ibadah

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Hmmm… lepas Asar nanti, ada majlis ilmu. Muthiah sedang tunggu kebenaran daripada zauj untuk keluar. Ada makcik akan ambil Muthiah, insya-Allah.

Hendak menyiapkan P-FC, macam tergesa-gesa. Jadi, baik Muthiah buat blog. Sekurang-kurangnya, dapat juga Muthiah sampaikan walau hanya satu ayat. Satu ketika dahulu, teman-teman yang sering berbual-bicara dengan Muthiah adalah dari kalangan mereka yang punya mata… telinga dan mulut. Tetapi kini, selain zauj… laptop adalah teman Muthiah yang paling akrab. Alhamdulillah. Sambil-sambil menaip, boleh dengar Misyari Alafasi berbicara tetapi… tidak faham pula terjemahan ayatnya. Hehe…




Apa macam ibadah kita hari ini? Ada baik? Jom semak :-

1- Solat – adakah di awal waktu? Khusyuk atau tidak? Berjemaah atau tidak? Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 35 yang bermaksud, “Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, laki-laki dan perempuan yang Mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang KHUSYUK, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka AMPUNAN dan PAHALA yang besar.”

2- Puasa Isnin Khamis – masih amalkan? Muthiah kira, sewaktu masih belajar… banyak teman-teman yang berpuasa sunat. Kemudian, iftar sama-sama. Makan kurma… solat Maghrib berjemaah… makan dalam dulang. Hehe… bila ya Muthiah hendak beli dulang. Dari dulu zauj sudah cadangkan. Satu lagi, Muthiah pernah terbaca di dalam buku ‘Tarbiyah Ruhiyah’ : Puasa yang paling afdhal ialah puasa Nabi Daud…

3- Tahajjud atau bangun malam – minggu ini, berapa kali kita berjaga malam? Sedarkah kita… kadang-kadang kita terjaga pada waktu malam untuk ke tandas… minum air, membuat susu anak (bagi yang sudah punya anak) dan banyak lagi tetapi sejauh mana kita manfaatkan peluang yang Allah berikan itu untuk bertemu dengan Tuhan pada malam hari?

Saat orang lain sedang lena diulit mimpi… kita pula sedang merintih dan merayu kepada Tuhan. Tidakkah kita berasa ‘istimewa’ di sisi Allah kerana telah dipilih-Nya untuk bertemu dengan-Nya secara esklusif?

Kita ini tidak kuat sebenarnya dan kita perlu mencari kekuatan. Dari mana datangnya kekuatan? Ya! Ia kita peroleh daripada interaksi dengan Allah. Banyak cara dan waktu… (saat di dalam LRT contohnya, usah bazirkan masa kita. Berzikirlah kepada Allah – interaksi juga namanya itu).

Firman Allah dalam surah Al-Muzammil ayat 1 – 8 yang bermaksud, “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya); iaitu seperdua daripadanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit; atau lebih daripada seperdua itu. Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan..”

4- Solat sunat lainnya ; dhuha, rawatib, taubat, hajat, istikharah dan banyak lagi – Hmmm… atau kita hanya solat taubat tatkala merasakan diri melakukan dosa? Solat hajat saat hendak menghadapi peperiksaan? Solat istikharah ketika hendak menentukan jodoh pilihan? Tepuk dada, tanya iman.

5- Tadarus Al-Quran – satu hari, berapa muka surat kita membaca ayat-ayat Allah? Atau kita hanya membaca surat khabar… majalah… novel atau komik (Hehe.. dush dush… terasa).

Secara tidak langsung, dengan membaca Al-Quran kita dapat menyucikan hati. Lagi baik kalau kita bacakan secara berjemaah bersama orang yang dekat dengan kita. Contohnya, suami atau isteri kita. Curilah sedikit masa (selepas Maghrib contohnya), untuk bertadarus bersama-sama. Bukan sahaja kita boleh menyemak bacaan bersama tetapi dapat juga merapatkan hati. Bertambah baik lagi jika kita membaca tafsir Al-Quran.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 2 yang bermaksud, “Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa…”



6- Zikir – semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, apa yang kita lakukan? Atau… semasa masak nasi di dapur… apa yang kita buat. Bilamana kita menyediakan makan malam untuk suami, insya-Allah dapat pahala. Kemudian, kita tambah dengan zikir kepada Allah. Sudahlah dapat menenangkan jiwa… dapat mendekatkan diri kepada Tuhan dan dapat pahala :)

Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

7- Baca buku atau bahan-bahan ilmiah – ‘Jika kamu inginkan dunia, dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu inginkan dunia dan akhirat, dengan ilmu.’ Jadi, sentiasalah menuntut ilmu. Tetapi awas, jangan tersalah tuntut. Sebab itu pentingnya guru agar ilmu yang kita pelajari tidak terpesong daripada yang sebenarnya. Jom semak, dalam sebulan… berapa buah buku kita khatam. (Huhu… Muthiah khatam komik Detektif Conan setiap hari).

8- Menghadiri majlis ilmu…

9- Merapatkan ukhwah…

10- Infaq atau bersedekah – Bagaimana ingin mulakan? Sewaktu pergi solat Jumaat di masjid, infaq atau bersedekahlah walau hanya seringgit dua. Kalau rasa berat… tutup mata… beri (sedekah) dan teruslah beredar dari situ. Lupakan terus infaq yang telah kita beri.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud, “Jika kamu menampakkan sedekahmua, maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Baiklah… masa begitu mencemburui Muthiah. Sebentar lagi, hendak keluar. Selamat bermuhasabah. Sepertimana kata Saydina Umar Al-Khattab, “Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab Tuhanmu…”
Labels: 0 comments | | edit post

Dakwah dengan… (i)





Salam. Hari ini, seawal 8.15 pagi Muthiah sudah masuk ‘pejabat’. Biasanya, waktu pejabat Muthiah bermula 9.00 pagi tetapi sejak pulang dari kampung, sudah diawalkan. Hehe… hendak siapkan P-FC. Jam 1.25 petang, belum siap lagi. Kepala pula sudah tepu dan teramat tepu. Ikutkan, satu hari buat dua. Nampaknya, hari ini tidak sempat. Lepas ini, hendak sambung kerja tadi, insya-Allah.

Hendak bercoret tentang apa ya? Hmmm… ya! Tentang dakwah…

Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 104 yang bermaksud, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Juga, ada disebut di dalam surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah…”

Adoi! Tepu daaa… Hendak tulis apa ya? Tentang dakwah dan peranan kita untuk berdakwah. Setiap kita adalah khalifah dan sebagai khalifatullah, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengajak manusia lainnya kepada Tuhan (selain mengabdikan diri kepada Allah dan memakmurkan alam). Namun, bagaimana hendak berdakwah?

Muthiah ingin berkongsi peristiwa yang boleh difikirkan bersama. Peristiwa 12 tahun sudah. Muthiah meletakkan diri Muthiah sebagai ‘subjek’ yang boleh didakwahi…



*****

Fail (1)

Setiap manusia, pasti mahukan yang cantik dan indah. Hakikatnya, Islam itu sendiri sudah comel lagi menawan dan secara fitrahnya, Muthiah kira kita tidak dapat menolak keindahan Islam itu sendiri walaupun secara lahirnya, kita belum benar-benar mengamalkan Islam. Hati tetap mengakui keelokan Islam.

Lihat sahaja peristiwa perjumpaan Walid bin Mughirah dengan Muhammad SAW. Selepas bertemu nabi, apakah reaksinya? Ia mengiktiraf Al-Quran. Bilamana orang yang paling fasih berbahasa di kalangan bangsa Arab serta menjadi rujukan para penyair Arab mengiyakan ayat Allah, menjadi bukti kepada seluruh umat manusia bahawa Islam itu BENAR! Namun, apakah ungkapan Walid akhirnya?... “ Kalau begitu, kita kata dia (Muhammad) ahli sihir…” ~ Selepas itu, turun ayat tentang Walid dalam surah Al-Muddathir ayat 11-26). Hmmm… begitu juga dengan Abu Jahal.

Faham apa yang Muthiah maksudkan? Fikir-fikirkan.

Berbalik kepada contoh semasa… sewaktu Muthiah berada di tingkatan tiga, Muthiah tidaklah berperwatakan atau berpenampilan seperti seorang Muslimah. Muthiah biasa-biasa sahaja (seperti yang pernah Muthiah coretkan sebelum ini). Muthiah selesa dengan seluar jeans dan baju T ‘No Fear’ yang Muthiah pakai. Bagi Muthiah, baju kurung atau baju yang berbunga-bunga… ‘Macam baju orang perempuan!’ Huhu… hahaha….

Satu hari, Muthiah berjumpa dengan seseorang yang nampak cantik dari segi penampilannya. Seorang gadis bertudung labuh, nampak manis sekali. Mungkin pelajar dari sekolah agama atau budak KUSZA. Secara peribadi, jauh di sudut hati… sejuk mata memandang. Rasa teruja dengan penampilan gadis tersebut cuma… MALUlah hendak berubah.

Lantas, dengan kebrutalan Muthiah yang tidak berapa brutal, Muthiah pun mendekatinya.. entah. Hati hendak mendekati dia walaupun tanpa sebab yang munasabah. Hehe… Muthiah tidak ingat bagaimana Muthiah bertegur-sapa dengan gadis itu tetapi…telah berlaku satu peristiwa yang menyebabkan Muthiah hilang hormat kepadanya.

Kata Muthiah, “ Cantik akak.” Gadis tersebut hanya memandang Muthiah atas bawah.
Mungkin introduction Muthiah tidak kena pada tempatnya. Sepatutnya, berilah salam bukan? Tetapi Muthiah betul-betul tidak tahu bagaimana hendak memulakan sesuatu perkenalan (waktu itulah).

Oleh sebab Muthiah termasuk dalam golongan yang tidak tahu malu, Muthiah terus berbicara dengannya walaupun tidak mendapat sebarang respon positif. “Satu hari, kalau sampai SERU saya pun hendak pakai macam akak pakai.” Huhu… silapnya di sini. Muthiah tidak ada niat pun. Seperti yang Muthiah katakana, Muthiah tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara.

Nah! Saat itulah segalanya bermula dan gadis manis tersebut telah berkata dengan sinis, “ Kalau hendak tunggu sampai seru….” Lupa lupa… namun, kata-katanya begitu pedas dan tajam. Dush dush….

Selepas itu, dengan selamba Muthiah pun berkata, “ Hampeh!” Dush dush… Terngiang-ngiang wajah geng Muthiah yang luarannya nampak ‘buruk’ tetapi hati… senang didekati.


Moralnya peristiwa di atas :

1- Akhlak itu adalah contoh teladan yang paling baik terutamanya dalam hendak berdakwah.

2- Pandanglah orang di hadapan kita sebagai mad’u walaupun ia nampak ‘jauh’ daripada Tuhan. Lihatlah ia dengan penuh cinta dan kasih sayang kerana Allah (Betul! Sebab dengan kasih sayanglah Muthiah jatuh cinta dengan Islam). Contohi cara Abbas Assisi mencari mad’unya ~ pijak kaki sasaran mad’u sebelum memulakan perkenalan dan seterusnya berdakwah.

3- Hidayah itu hanya daripada Allah. Siapa kita untuk menilai manusia lainnya? Boleh jadi sekarang… dialah manusia yang paling ‘buruk’ tetapi tidak ada siapa yang akan tahu tentang hari mendatang. Lihatlah Sayidina Umar Al-Khattab. Begitu kuat memusuhi Islam. Bukan itu sahaja, tanpa rasa takut dan gusar, ia tidak teragak-agak hendak membunuh nabi dengan pedangnya sendiri. Namun akhirnya, dengan kuasa dan izin Allah, ia masuk Islam dan menjadi pembela agama Allah sehingga akhir hayatnya.

4- Berlapang dadalah… berlapang dada dengan sesiapa sahaja. Huhu… yang ini, payah tetapi… tidak ada yang mustahil bagi Allah. Jadi, mohonlah kekuatan daripada Allah… Katakan, “Ya Allah, tenangkan hatiku. Tabahkan aku… lapangkan dadaku…”

5- Sabar dalam menyampaikan dakwah. Kembalilah kepada Allah. Banyakkan berdoa dan berharap.

6- Berdakwahlah tanpa memilih kulit. Dengan kata lain, berdakwahlah kepada sesiapa sahaja.

7- Kalau buat silap… istighfar dan mohonlah keampunan daripada Allah. Tidak ada seorang pun manusia di atas muka bumi ini adalah sempurna. Hanya nabi yang maksum. Insya-Allah, bilamana kita sentiasa bermuhasabah, jalan keluar tentu ada tetapi …. Letakkanlah pergantungan yang sepenuhnya kepada Tuhan.

8- Apa yang kita perlu tahu tentang mad’u kita… boleh jadi :
a) Tidak tahu bahawa ia tidak tahu
b) Tidak tahu bahawa ia tahu
c) Tahu bahawa ia tidak tahu
d) Tahu bahawa ia tidak tahu
Sesuatu yang kita tahu tidak semestinya diketahui/ difahami/ dihayati oleh orang di hadapan kita. Jadi… ‘sampaikanlah walau seayat…’

9- Belajar dan terus belajar… dengan kata lain, setiap pendakwah, perlu ada ilmu… dan ilmunya itu perlu sahih.

Alohaaaa. Macam sudah bercampur aduk coretan Muthiah… Zzzzz dulu. Assalammualaikum.

Dengarkan rintihanku wahai…



Salam ukhwah. Sebenarnya, Muthiah baru sahaja selesai P-FC. Jadi, mahu merehatkan minda seketika dengan menulis blog. Hmmm… hendak tulis apa ya?

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka, hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran.”

Hehe… isunya ialah ‘calon pasangan hidup tidak direstui ibu atau bapa,’. Umur sudah meningkat tetapi tidak menikah lagi. Pertama, kerana tidak punya calon. Hmmm… tidak mahu Muthiah bercoret panjang tentang ini. Kedua, sudah ada calon pilihan hati tetapi dibantah keras oleh ibu atau bapa…

Apapun keadaannya… ketahuilah bahawa jodoh itu adalah ketentuan Tuhan (namun…jangan lupa berusaha ya)... Dari Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Rasulullah yang jujur dan terpercaya ucapannya memberitahu kami, “Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya dalam rahim ibu selama 40 hari berupa nuthfah (sperma), kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah yang menggantung) selama itu juga, kemudian menjadi mudhgah (segumpal daging) selama itu pula, kemudian diutuskan malaikat untuk meniupkan roh kepadanya dan menyampaikan empat perkara; menulis rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan menjadi orang sengsara atau bahagia…’ (HR Bukhari dan Muslim).

Banyak juga teman-teman Muthiah yang mahu menikah tetapi calon pilihannya tidak mendapat restu ibu atau bapanya. Akhirnya, ia menjadi kecewa dan dukacita. Ia menjadi cepat marah, moody, stres dan emosinya seringkali tidak stabil. Maklumlah, fitrahnya ia mahu menikah tetapi terdapat halangan di hadapan. Jadi, apa yang harus dilakukan?

Pertama sekali… ketahuilah bahawa tidak ada ibu atau bapa yang mahukan yang tidak baik untuk anak-anak mereka. Bayangkan… si ibu atau bapa sudah membesarkan si anak selama lebih 20 tahun. Kemudian, ingin ‘menyerahkan’ pujaan hati mereka kepada seseorang yang tidak dikenal hati budinya. Kadang-kadang, timbul rasa khuatir… timbul rasa ragu-ragu… Perlu diingat! Ibu atau bapa tidak kenal dengan calon pilihan kita. Hanya kita yang lebih mengenalinya. Sebab itu kita jatuh cinta :)

Contoh mudah… calon pasangan hidup itu tidak tinggal satu negeri dengan kita. ‘Jauh bangat..’… atau pekerjaan calon pasangan hidup itu masih tidak stabil dan diragui… atau calon kita itu sebenarnya sudah punya isteri, bahkan bakal menerima menantu. Maknanya, kita hendak jadi isteri nombor dua. Salahkah menjadi isteri nombor dua? Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat tiga yang bermaksud, “… maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian, jika kamu takut tidak AKAN DAPAT BERLAKU ADIL, maka (kahwinilah) SEORANG SAHAJA..” atau calon kita tidak cantik atau kacak.

Alasan yang sukar untuk kita terima kerana hati sudah sayang. Menyebabkan kita memberontak. Kita tidak mahu berbicara dengan ibu atau ayah. Kita mahu protes… kita tidak sudi lagi menjenguk keluarga di kampung. Kita mahu ibu atau ayah memahami hati kita. Akibatnya, hubungan yang sedia rapat menjadi semakin renggang.

Namun, selesaikah masalah jika kita berterusan ‘bermasam muka’ begitu? Mungkin, ada yang selesai. Ibu atau ayah mana yang mahu ‘perang dingin’ dengan anak-anak. Kalau adapun, mungkin kerana ingin menyedarkan. Mungkin juga kerana ego dalam diri tetapi ketahuilah…sesuatu yang mungkin itu belum tentu benar.

Pertama, dari sisi kita… sejauh mana kita sudah BERISTIKHARAH kepada Tuhan? Kita manusia biasa yang terbatas akal dan jangkauannya. Kita tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku esok hari…tahun hadapan atau bertahun-tahun lagi. Jadi, tanyakan pada diri dahulu… sejauh mana kita sudah minta petunjuk daripada Allah?

Kita mungkin mengenali pasangan kita secara luaran tetapi dalamannya, hanya Allah yang tahu. Dia mungkin sekali baik tetapi mungkin tidak sesuai untuk kita. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “ … Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

Jadi, hendak tidak hendak… kita perlu istikharah dan BERDOA kepada Allah. Berdoa sehingga ditunjukkan jalan. Kalau tetap tidak nampak jalan, teruskan berdoa. Secara tidak langsung, kita sedang mendekatkan diri dengan Allah sebenarnya.

Seterusnya, setelah dinilai dari sudut akhlak, agama dan lain-lain…memang pasti DIA ADALAH PILIHAN HATI kita. Kita tidak mahu orang lain dan hanya dia. Kita sudah istikharah. Keputusan kita adalah muktamad! Tetapi… ibu dan ayah masih menolak :(

1- Teruskan berbuat baik dengan mereka. Jangan disebabkan pilihan hati kita ditolak, kita mahu jadi anak derhaka. Ingatlah… firman Allah dalam surah Al-Israk ayat 23 yang bermaksud, “ Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan dengan keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

2- Tunjukkan contoh yang baik di hadapan mereka. Buktikan kepada mereka bahawa calon pilihan kita bukanlah orang yang salah. Dia bukanlah seorang yang tidak bertanggungjawab. Jika bersedia, pertemukanlah calon hati kita dengan ibu bapa kita (sebaik-baiknya disertai orang tengah).

3- Bagi si lelaki… tunjukkanlah kesungguhan untuk bernikah. Kalau kita bersungguh-sungguh meyakinkan ibu bapa calon isteri kita, tidak mustahil hati mereka boleh tertambat dengan kita. Kalau belum bekerja, cepat-cepat cari kerja. Kalau belum cukup duit, kumpullah duit… Kalau kita ego… susahlah.

4- Paling utama…berdoalah kepada Allah agar dilembutkan hati ibu dan bapa kita. Perlu diingat! Allah memegang hati setiap manusia termasuk ibu dan ayah kita. Jadi, tidak ada yang mustahil bagi Allah untuk melembutkan hati mereka. Allah tahu apa yang terpendam di dalam hati kita dan Allah lebih tahu apa-apa yang terbaik untuk kita. Serahkan segalanya kepada Allah (setelah kita berusaha keras).

Apa lagi ya? Hmmm… Muthiah sudah tepu… Dush dush… Moga-moga yang sedikit ini boleh difikir-fikirkan. Kenapa fikir? Kerana Muthiah bukanlah arif dalam bidang ini cuma ingin berkongsi. Apapun keadaannya, KEMBALILAH KEPADA ALLAH … Hehe..

Tokoh dunia Islam



Salam ukhwah… boleh jawab soalah Muthiah?

1- Siapakah Artis Paling Popular ABPBH 2008?
2- Siapakah artis wanita yang paling banyak menerima anugerah vokal terbaik AIM?
3- Sebutkan lagu-lagu popular yang pernah didendangkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee?
4- Siapakah nama suami Datuk Siti Nurhaliza?
5- Siapakah yang menyanyikan lagu ‘Cinta Adam dan Hawa’?

Hmmm… daripada lima soalan yang diajukan, berapakah yang betul? Semua salah??? Oooo, tidak minat industri muzik tempatan rupanya. Jadi, kita minat apa? Bola, politik…

Tidak salah untuk mengetahui perkembangan semasa (tidak kira dunia politik, hiburan dan sebagainya). Bahkan perlu bagi kita untuk mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita. Contohnya H1N1 atau selsema babi (sepertimana yang diperkata di dalam televisyen).

Baca dan terus baca namun bukan sekadar baca. Baca dan fikir. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 219, “Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir…”

Contohnya… hal jenayah (rogol, rompak, ragut), maksiat (tangkap khalwat, bersekedudukan), penyakit (H1N1, JE) dan banyak lagi. Muhasabah balik dengan segala apa yang berlaku di hadapan kita. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 79, “Apa sahaja nikmat yang kamu peroleh adalah daripada Allah, dan apa sahaja bencana yang menimpamu adalah dari kesalahan dirimu sendiri…” Semua ini terjadi dengan izin Allah. Maka, kembalilah kepada Allah yang sesungguhnya lebih arif lagi tahu dengan segala sesuatu. Eh, terberi tazkirah pula ;)



Jom… ada soalah cepuk emas ingin Muthiah ajukan buat semua.

Klu : Sepuluh sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Siapakah mereka? :)
1- Singa yang menyembunyikan kukunya; Antara tiga orang sahabat awal yang masuk Islam; Orang pertama yang melepaskan panah untuk Islam.

2- Mukmin yang bijaksana, sanggup kehilangan keuntungan di dunia demi mengejar akhirat. Saat dipersaudara dengan Saad bin Rabi’, bukan isteri dan harta yang diingini tetapi minta ditunjukkan jalan di manakah pasar.

3- Membezakan haq dan batil dengan pintar.

4- Membunuh ayahnya yang kafir dalam peperangan Badar sehingga turun wahyu daripada Allah SWT, Al-Mujadalah ayat 22.

5- Rasulullah SAW menggelarnya ‘Garuda Uhud’ dan ia merupakan seorang ahli pemidato Islam serta fasih berbicara.

6- Seseorang yang malaikat malu kepadanya dan digelar sebagai ‘Dzinurain’.

7- Sahabat yang sentiasa membenarkan Rasulullah SAW.

8- Seorang penyembelih binatang; Sepupu Rasulullah; Terlibat dalam peperangan Jamal dengan Thalhah.

9- Kanak-kanak awal yang masuk Islam.

10- Suami Fatimah Al-Khattab ; Anak Sayidina Umar.

OK. Selamat mencuba… jawab dahulu, kemudian semak jawapan. Renung-renungkan… sejauh mana kita mengenali tokoh-tokoh Islam. Sekiranya masih tidak kenal! Maka kenallah… kemudian, jatuh cinta… seterusnya, hayatilah keindahan Islam yang tidak ada tandingannya. Ilal liqa’ :)
Labels: 1 comments | | edit post

Konsep Sabar

Bersabarlah dan bertawakallah
Dalam kehidupan ini
Sesuatu yang terjadi itu
Tentu ada hikmahnya…
(Lagu : Sabar Kumpulan: Warisan ~ Rock kapak)



Sabar…

Teman Muthiah pernah berkata, “Kau mudahlah nak suruh sabar tetapi yang tanggung… aku!!!”

Ya! S.A.B.A.R… Mudah untuk diungkapkan namun bagi mereka yang ditimpa ujian… keperitan yang dialami tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai pembantumu. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

Sabar dan solat! Kenapa kita perlu sabar? Sabar bererti menahan diri… menahan diri daripada perasaan marah, benci, kecewa, putus asa dan banyak lagi. Mengapa sabar dikatakan boleh menjadi pembantu? Hmmm…

Sabar mendekatkan kita kepada Allah.

Tatkala dirundung duka, carilah Allah. Merintihlah… merayulah… berdoalah kepada Dia dengan penuh harap. Hanya Dia yang boleh memberi ketenangan kepada kita, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati kan menjadi tenteram,” Ar-Ra’d ayat 28.

Hal ini, secara tidak langsung membuatkan kita semakin hampir dengan Pencipta. Mungkin tanpa sedar, kita semakin jauh daripada Dia. Boleh jadi kita sudah hampir melalaikan-Nya. Kita lupa bahawa Allahlah yang selayaknya dicintai sepenuh hati. Kita mungkin teralapa… hanya Allah tempat kita berharap dan memohon pertolongan.

Berjayanya kita di atas muka bumi ini bukan atas kehebatan diri kita tetapi semua itu perlu dikembalikan kepada Allah. SEGALANYA ADALAH MILIK ALLAH.

Para sahabat berasa pelik tatkala melihat Abdullah bin Mas’ud yang kurus dan kecil berjaya menawan Abbas bin Abdul Muttalib yang berbadan sasa. Kemudian, berkatalah Nabi SAW, “ Wahai Abdullah, janganlah kamu merasa bahawa kamu yang kuat. Yang membantu kamu tadi (dalam peperangan Badar) adalah malaikat.” Jadi, malaikatlah yang menawan Abbas dan pastinya, yang lebih hebat daripada malaikat adalah Pencipta malaikat itu sendiri…

Kedua… solat.
Apakah yang kita faham tentang solat? Pertama, solatlah yang membezakan orang Islam dengan bukan Islam. Dengan solat, kita mampu berinteraksi dengan Tuhan melalui bacaan yang kita ungkapkan di dalam solat kita. Dengan solat, kita mampu menenangkan diri yang sedang gundah-gulana. Dengan solat, kita mampu merehatkan diri yang sedang keletihan…

Namun, sejauh mana kita khusyuk dalam solat?

Sejauh mana kita memahami bacaan dalam solat? Tepuk dada, tanya iman. Adakah kita memahami maksud bacaan yang kita ungkapkan sehari-hari. Paling kurang pun, surah Al-Fatihah…

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam…
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Yang menguasai hari pembalasan…
Hanya Engkau kami sembah (mengabdikan diri), dan hanya Engkau kami memohon pertolongan…
Tunjuki kami jalan yang lurus…
Iaitu jalan-jalan yang Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan mereka yang Kau murkai dan bukan mereka yang sesat… (Al-Fatihah : 1-7)

Renung-renungkan maksud Al-Fatihah yang kita baca… biasa-biasa sahaja? Cuba baca lagi. Baca dan terus baca… masih biasa-biasa? Hmmm.. keras sungguh hati kita. Baca lagi… baca dari dalam hati. Sukarnya untuk mengalirkan air mata demi Tuhan…

Sejauh mana kita memelihara solat?



Awal waktu?
Tergesa-gesa atau dengan tenang? Banyak lagi urusan yang belum selesai.
Khusyuk atau … hanya khusyuk sewaktu ditimpa bencana dan mahu mengadu kepada-Nya.

Sebagai manusia yang banyak melakukan kesalahan dan kesilapan, kadang-kadang kita turut teralpa dalam solat kita. Kita lupa, bahawasanya waktu itu kita sebenarnya sedang berhadapan dengan Raja segala Raja. Astaghfirullah ya Allah…

Alamak! Lari tajuk daaa… Muthiah mahu berkongsi ilmu tentang konsep sabar sebenarnya. Hehehe…

1- Dalam ibadah (dalam melakukan suruhan Allah)
Ia merangkumi segala ketetapan Tuhan; fardhu ain/ kifayah dan… ibadah itu sendiri merupakan segala apa yang dilakukan kerana Allah; mengikut syariat; perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

2- Dalam menghadapi musibah
Sesungguhnya, kita bukanlah siapa-siapa. Kita hanyalah makhluk Allah yang lemah lagi kerdil. Daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita kan kembali. Jadi… kembalilah kepada-Nya. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya.”

3- Dengan dunia
Jangan sampai kehidupan dunia melalaikan kita daripada Allah. Tidak salah memiliki rumah yang besar, kereta besar asal… kita sedar siapa kita. Kita hanyalah hamba Allah dan mempunyai peranan di atas muka bumi ini. Apakah peranan kita? Ya! Kita adalah khalifah. Apa pula tanggungjawab seorang khalifah? Benar… kita perlu mengabdikan diri kepada Allah(“Katakanlah, ‘ Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah…” Al-An’am ayat 162), mengajak manusia kepada Allah ( “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan; mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran…” Al-Imran ayat 104) serta memakmurkan alam ini.

4- Daripada maksiat
Maksiat adalah sesuatu yang mendatangkan kemurkaan Allah. Pastinya, ada hikmah di sebalik larangan Allah itu dan sebagai manusia yang terbatas akal pemikirannya, kadang-kadang kita tidak nampak. Kalau nampak sekalipun, tanpa iman dan taqwa, kita seolah-olah buta dengan segalanya. Firman Allah dalam surah Al-Qiyamah ayat 5, “Bahkan manusia itu membuat maksiat terus menerus…”

5- Sabar dalam perjuangan
Apa yang kita perjuangkan dalam hidup ini? Mahu menjadi jutawan? Atau… mahu mati syahid di medan perang. Semua ini kembali kepada iman dan taqwa…

Berkata Khabab bin Al-Arat kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, Quraisy menyeksa kami. Berdoalah kepada Allah… mohonlah bantuan dan kemenangan buat kita.” Berkata Muhammad bin Abdullah, “Wahai Khabab, pejuang sebelum kita ditanam hidup-hidup… digergaji… namun semua itu tidak menyebabkan ia berganjak daripada agama dan keyakinannya…”

Muthiah : Allah itu dekat dengan kita. Allah Maha Melihat dan Mendengar setiap saat dan ketika. Renung-renungkan…
Labels: 0 comments | | edit post

Impianku...



Muthiah kembali :) Setelah berminggu-minggu ‘bercuti’, Muthiah kini kembali… mahu menulis dan terus menulis, insya-Allah.

Hmmm… Muthiah teringat kenangan zaman kecil-kecil dahulu. Waktu belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (2) Kelana Jaya. Cikgu Naemah bertanya kepada semua murid di dalam kelasnya (termasuk Muthiah), “Apa cita-cita kamu bila besar nanti? Tuliskan tiga impian atau cita-cita kamu.” Lalu, Muthiah pun mengambil kertas putih A4 yang diberikan cikgu lalu menulis…

1- Novelis
2- Pegawai bank
3- Pemain bola sepak

Ya! Memang ini yang Muthiah coretkan. Muthiah ingin menjadi seperti arwah mama yang bekerja sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka. Mama juga banyak menghasilkan cerpen dan novel. Seingat Muthiah, waktu kecil dulu… mama selalu mengurungkan diri di bilik komputer sementara papa sibuk … menjual kereta, menjadi pensyarah sambilan dan lain-lain. Mungkin, sebab itu Muthiah mahu jadi penulis. Lagipun, mama pernah minta Muthiah membantunya menyemak ejaan (mungkin mahu mengajar Muthiah).

Kenapa pegawai bank? Sebabnya, papa Muthiah juga merupakan seorang pegawai bank di Bank Pertanian Malaysia. Muthiah tidak jelas tentang kerja yang dilakukan papa tetapi mungkin disebabkan papa Muthiah seorang pegawai bank, Muthiah turut mahu menjadi pegawai bank.

Akhir sekali… pemain bola sepak. Hahaha… siapakah pendorong Muthiah untuk bergelar pemain bola sepak? Fandi Ahmad? Mokhtar Dahari? Bukan bukan. Orang itu adalah abang angkat Muthiah. Abang Fendi namanya. Waktu itu, ibu Abang Fendi menjadi pengasuh Muthiah. Setiap petang, Abang Fendi selalu mengajak Muthiah bermain bola sepak (menggunakan bola sepak takraw) di depan rumah. Akibatnya, mami bising-bising.

Apabila jam menunjukkan pukul 3.00 atau 4.00 petang, kami akan beransur ke padang. Huhu… sepatutnya, kelas mengaji bermula jam 5.00 tetapi ada projek yang hendak dilakukan. Apa lagi kalau bukan bermain bola sepak… bersama Abang Jaja dan lain-lain (Muthiah tidak ingat nama mereka sebenarnya).

Alhamdulillah… setelah sekian lama masa berputar, dua cita-cita Muthiah akhirnya menjadi kenyataan. Muthiah pernah bekerja di sebuah bank tempatan dan pernah juga menjadi editor / penulis / wartawan untuk sebuah majalah.

Dan kini, sejak menjadi surirumah sepenuh masa… Muthiah punya ruang untuk menulis dan terus menulis. Mungkin sahaja Muthiah tidak pandai menulis seperti mana penulis-penulis lain. Yang penting, Muthiah menulis untuk diri Muthiah sendiri… dengan sokongan padu daripada suami tercinta dan paling utama… matlamat Muthiah menulis adalah untuk mengajak manusia lainnya kepada Tuhan. Muthiah tidak pandai untuk berkata-kata tetapi mungkin Muthiah bisa menulis dengan baik.

Muthiah : Huhu… rehat tiga minggu, idea tidak muncul-muncul tetapi suami pesan, “ Jangan berputus asa.” ;)

Hikmah di sebalik ujian…


Bilamana ditimpa ujian, apa yang akan kita lakukan? Marah? Merungut? Membebel atau… tidak punya mood untuk menjamah makanan? Tepuk dada, tanya iman. Apa pun, setiap apa yang berlaku dalam hidup kita pasti ada hikmahnya. Sebagai manusia yang terbatas pemikirannya, kadang-kadang kita begitu cepat menyalahkan takdir, diri sendiri ataupun orang lain… namun, apakah yang sepatutnya kita lakukan?

Hmmm… sekembalinya ke Taiping, suami Muthiah terlanggar kenderaan seseorang ~ Grand Livina. Awalnya, suami mahu mengambil Muthiah (waktu lunch hour) ; mahu shopping barang-barang dapur. Akan tetapi, walaupun sudah lama menanti, suami tidak sampai-sampai. Risau dibuatnya.

Rupa-rupanya, sesuatu telah berlaku. Reaksi awal Muthiah? Hmmm… secara jujur Muthiah katakan, Muthiah tidak fikir langsung tentang keadaan kereta yang dilanggar atau kereta yang suami Muthiah naiki. Muthiah juga tidak terfikir langsung tentang kos yang perlu dikeluarkan. Yang ada dalam minda Muthiah hanya satu, BAGAIMANA KEADAAN SUAMI Muthiah?

Alhamdulillah, suami Muthiah tidak apa-apa. Cuma… kereta yang dilanggarnya menjadi ‘pesakit luar’. Hampir RM1,000 juga kos melayang untuk membayar ganti rugi. Hmmm… apa lagi yang Muthiah rasa? Marah? Geram? Kecewa? Entahlah kenapa perasaan itu tidak timbul. Yang Muthiah fikir hanya satu , BAGAIMANA INGIN MERINGANKAN BEBAN SUAMI? …
Alhamdulillah… tidak sampai satu hari, kes tersebut selesai. Muthiah rasa lapang dan hati rasa tenang tatkala melihat suami juga lega…

Pengajaran :

1- Bagi yang membawa kenderaan, jangan lupa beri signal jika mahu ke kiri atau ke kanan. Kalau tidak… akan menyusahkan diri sendiri, tidak pun kan menyusahkan orang lain. Huhu…

2- Pastikan tayar kenderaan yang dinaiki tidak botak. Dalam apa jua yang kita lakukan, perlu diiringi dengan tawakal kepada Allah (termasuk sewaktu memandu agar diawasi Allah selalu). Akan tetapi, jangan lupa juga untuk ‘sediakan payung sebelum hujan’. Allah pun ada berfirman, ‘ Tidak Aku mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya.’

3- Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini (seperti kemalangan), carilah teman yang duduk dekat dengan kita. Contohnya rakan sepejabat. Mungkin ia tahu mana-mana tempat yang lebih murah untuk membaiki kereta (bagi kes kemalangan). Hal ini, boleh mendekatkan kita dengan teman-teman kita di samping membuatkan kita merasakan bahawa diri kita tidak keseorangan.

4- Bagi isteri / suami yang pasangannya ditimpa musibah, usah cepat melatah. Sudah tentu pasangan kita mengharapkan sokongan daripada kita. Akan tetapi, sekembalinya ia di rumah, kita menyambutnya dengan muka yang masam mencuka… bebelan yang tidak henti-henti. Pasangan yang sedia runsing, pasti kan semakin runsing bukan? Jadi, carilah masa yang sesuai untuk ‘bermuhasabah’ kembali. Mana tahu ada sisi-sisi kecuaian…

Hmmm… Muthiah berhenti seketika. Mahu masak dahulu :) Assalammualaikum.