Mencari Naurah (Bab 60)
Saturday, October 13, 2012
Novel | Mencari Naurah
“ASHA pasti dengan keputusan Asha?” soal Kak Rose sungguh-sungguh.
|
“Insya-ALLAH...”
aku langsung tidak memandang wajahnya. Mungkin ada hati yang terluka tetapi aku
tidak mampu untuk memenuhi kehendak semua orang. “Maafkan Asha, Kak Rose,” tubuhnya kupeluk
erat. Air mataku gugur satu per satu. Semakin erat genggaman, semakin kuat
tangisanku. Perasaan bersalah menghantui diri.
“Maafkan
Asha, Kak Rose,” aku merayu lagi. Kak Rose tetap diam. Aku tidak pasti sama ada
Kak Rose sedang marah ataupun sedang mencari ruang membina kekuatan.
“Asha...”
Kak Rose menyebut namaku lembut. Sungguh
lembut dan ada sedikit getar pada hujungnya. Hmm... Sudah lama aku tidak
dibelai begini oleh sang kakak. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan karier
yang dipilih. Tanganku digenggam erat. Semakin lama semakin erat, seperti tidak
mahu dilepaskan pergi.
“Akak
tidak salahkan sesiapa. Jodoh pertemuan di tangan TUHAN. Akak pun tidak
meletakkan harapan yang tinggi kepadanya.” Kak Rose melepaskan genggamannya.
Dia tunduk seketika. Kemudian, merenung wajahku kembali.
“Tetapi...”
aku mencelah. Air mataku semakin deras mengalir.
“Akak
akui akak pernah menyimpan perasaan kepadanya. Wanita mana tidak tersentuh
apabila berhadapan dengan seorang lelaki yang dilihat mampu melindunginya dunia
akhirat...” Kak Rose tunduk lagi.
“Akak
jua insan biasa dan memiliki fitrah seperti manusia lainnya. Kadang-kadang,
akak ingin dikasihi dan disayangi oleh seseorang yang bergelar lelaki. Namun,
syariat membatasi segalanya. Akak akur dengan ketetapan-NYA kerana sesungguhnya
DIA lebih tahu atas segala sesuatu yang berlaku.” Air mata yang mengalir dari
pipiku diseka dengan tangannya yang lembut.
“Akak
mahukan ikatan yang halal, dalam kasih sayang dan itulah yang dinamakan sebagai
pernikahan...”
“ALLAH
itu Maha Tahu, Asha. DIA lebih tahu mana-mana yang terbaik untuk setiap
hamba-NYA. Sebagai makhluk-NYA yang lemah, akak redha dengan setiap ketentuan
TUHAN,” Kak Rose menambah sambil tersenyum manis. Tidak dapat kulihat gelora
hatinya yang sebenar.
“Akak
betul-betul tidak salahkan Asha?” aku masih tidak berpuas hati.
“Tidak,
sayang. Bahkan akak bersyukur kerana dia yang pernah hadir dalam hati akak akan
hidup bersama seorang adik yang paling akak kasihi. Akak yakin Asha mampu
menjadi isteri solehah yang hidup dan matinya adalah bersama suami. Segala
ketaatan terhadap insan yang sah bergelar suami itu dilakukan dengan ikhlas
semata-mata mengejar redha ILAHI,” ujarnya berterus-terang.
“Akak
tak kecewa ke?” Mana mungkin aku lupa. Kak Rose sendiri mengakui apa yang
terpendam dalam hatinya. Tanpa berselindung, Kak Rose menyatakan impiannya
untuk hidup bersama Asyraf. Dan pasti, wajah Kak Rose begitu berseri-seri saat
itu.
“Akak
selalu berdoa agar dapat bertemu jodoh dengan Asyraf...”
Bait
kata Kak Rose berlegar-legar di dalam fikiranku. Dia memiliki rasa hati yang
sama sepertiku. Kami sama-sama menaruh perasaan terhadap seorang lelaki yang
nampak sempurna pada kaca mata seorang wanita.
“Zaman
sekarang, bukan mudah untuk menemui lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami
apatah lagi sebagai ketua rumah tangga,” aku berkata sendiri.
“Apa,
Sha?” Kak Rose bertanya kembali, menyedarkanku daripada lamunan.
“Akak
tidak kecewa? Tidak dapat bersama dia?” aku merenung tajam anak matanya. Dari
situ, pasti akan kuketahui sama ada dia
berkata benar atau sebaliknya.
“Tidak,
sayang. Akak tidak mendambakan kasih seorang lelaki yang akak cintai tetapi
akak mahu dipertemukan dengan seorang pemuda yang menyintai TUHAN-nya. Kalau
dia cintakan akak, biarlah rasa cinta itu hadir kerana ALLAH...”
“Memang,
kita boleh berkata bahawa cinta itu, kasih itu adalah kerana ALLAH SWT
semata-mata, namun lidah itu sememangnya tidak bertulang. Boleh jadi kita
berdusta dan bercakap bohong. Rasa cinta itu sebenarnya hadir dari dasar hati
yang berlandaskan nafsu...”
Gambar hiasan
“Akak
akui akak pernah menaruh hati kepada dia. Akak kira dia adalah insan yang
terbaik dan paling sesuai untuk akak. Akal fikiran akak yang terbatas telah
beranggapan sedemikian. Akan tetapi, sesungguhnya ALLAH itu lebih tahu apa-apa
yang paling baik untuk setiap hamba ciptaan-NYA,” panjang lebar Kak Rose
memberi penerangan.
Kak Rose masih lagi mengukir
senyuman, membuatkan aku betul-betul terharu. Air mataku mengalir laju.
“Asha
jangan nangis-nangis lagi. Tidak manis bakal pengantin menangis memanjang. Asha
tak pernah buat salah pada Kak Rose,” ujar Kak Rose tanpa menunggu jawapan
daripadaku.
Lidahku
masih lagi kelu untuk berkata-kata. Perasaan bersalah terhadap Kak Rose masih
lagi menebal. Mata kasarku melihat kecantikan akhlak milik Kak Rose. Selayaknya
dia bertemu dengan insan yang paling baik di kalangan yang terbaik.
“Jom,
akak belanja Asha nasi ayam cendawan sebagai meraikan hari bahagia Asha yang
bakal menjelang. Bila tarikhnya?” Kak Rose menarik tanganku ke medan selera
bangunan Maju Junction ini.
“18
Ogos ni, insya-ALLAH. Tidak sampai tiga bulan,” jawabku dengar tidak dengar.
“Kak Rose mesti datang,” tambahku lagi.
“Insya-ALLAH,
kalau tiada aral melintang. Bukankah kita merancang... kita juga berimpian,
namun kuasa TUHAN, tidak ada siapa yang mampu menduga.”
Kata-kata
Kak Rose begitu menusuk kalbuku. “Terima kasih, Kak Rose,” ucapku lalu mencium
pipinya yang semakin gebu. Sejak bergelar pensyarah, kulit Kak Rose nampak
semakin gelap tetapi sama sekali tidak dapat mencacatkan wajahnya yang sedia
menawan itu.
AKU dan Kak Rose menjamu selera bersama-sama. Aku
lihat, Kak Rose begitu berselera menjamah makanan yang dipesan. Hanya aku tidak
punya keinginan untuk makan.
“Anuar
pula macam mana? Dia datang sekolah akak semata-mata hendak mengorek rahsia
Asha.” Dahi Kak Rose sedikit berkerut.
“Rahsia
apa, kak?” Aku memadang Kak Rose dengan seribu satu persoalan yang bermain di
fikiran. Rahsia apa yang telah dibocorkan Kak Rose kepada Anuar?
“Bukanlah
rahsia sangat. Dia hendak tahu tempat Asha bekerja. Sanggup tunggu akak di
hadapan pintu pagar sekolah.” Kak Rose menjawab bersahaja. Nasi ayam cendawan
disuapnya perlahan.
“Rahsialah
juga tu.” Aku tersenyum nakal. “Asha sudah cuba untuk menerima Anuar. Dia baik,
prihatin, bertimbang-rasa bahkan ibu dan ayahnya sangat merendah diri...” aku
menyambung kata-kataku.
“Dato’
Baharin yang kita minta sponsor dahulu kan?” mata Kak Rose membulat.
“Ya,
kak,” balasku pendek.
“Tetapi
tidak tahulah, kak. Asha tidak boleh memaksa diri untuk menerimanya. Asha buat
solat istikharah, solat hajat tetapi tetap tidak dapat menerimanya. Dia tidak
ada cacat-celanya, kak. Rupa ada, pelajaran ada. Keluarga pun orang berada...”
aku berterus-terang.
“Hati,
Sha,” Kak Rose menyampuk. “Boleh jadi juga kerana memang dia bukan jodoh Asha
menyebabkan ALLAH tetap menutup pintu hati Asha buatnya,” tambahnya lagi.
“Mungkin,
kak,” balasku.
“Insya-ALLAH,
Akak sentiasa doakan yang terbaik untuk adik kesayangan akak ni,” kata Kak Rose
sambil menghirup air tembikai yang dibelinya di gerai No. 5.
‘Maafkan
Asha, Kak Rose,’ desis hatiku. Meskipun Kak Rose kelihatan begitu berlapang
dada dengan apa yang berlaku, rasa bersalah tetap menghantui diriku. Aku telah
merampas Asyraf daripadanya. Kalau aku tiada, sudah pasti Asyraf akan menjadi
bapa kepada anak-anak Kak Rose.
“Asha
jangan fikir bukan-bukan. Segala apa yang berlaku adalah ketetapan TUHAN. Bukan
kita yang menentukan...” Kak Rose seolah-olah dapat membaca apa yang
berlegar-legar di dalam hatiku.
~bersambung