Andai kita menumpang...

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Ikhlas tidak ikhlas, biar ALLAH yang menentukan. Sesungguhnya, senyum itu bukan sahaja bisa menggembirakan hati mata-mata yang memandang tetapi empunya diri pun pasti terimpak sama, insya-ALLAH.

Hmm...



Seorang teman ada mengadu kepada Muthiah. Dipendekkan cerita... teman Muthiah ini sudah berumah tangga dan memiliki tiga orang cahaya mata. Dia dan suaminya sama-sama bekerja. Baru-baru ini, adiknya yang bongsu datang ke kota dan tinggal bersamanya. Sebagai kakak, dia tidaklah berkira dengan adik sendiri. Namun, ada beberapa perkara yang agak dikesalkannya.

Persoalan daripada Muthiah.

Sahabat-sahabat tinggal dengan siapa ya?

  • Ibu ayah.
  • Kawan-kawan.
  • Kakak/ abang yang sudah menikah. Pastinya ada abang/ kakak ipar sekali.
  • Emak/ ayah saudara yang sudah menikah. Di rumah, pasti ada juga sepupu dan ayah/ emak saudara sabit.
  • Nenek dan datuk.
  • Emak angkat. Jika bukan anak susuan emak angkat tersebut, suami serta anak-anaknya adalah bukan muhrim kita.
  • _______
  • _______
Berbalik kepada tajuk entri pada hari ini. Rentetan daripada luahan sang teman, terhasillah konklusi di bawah. Boleh jadi kena dengan situasi yang sedang dihadapi, boleh jadi juga tidak. Hanya mereka yang terlibat sahaja yang lebih tahu. 

Yang baik, jadikan teladan. 
Yang tidak baik, jadikan sempadan.

Andai kita menumpang di rumah orang...
  • Hormatilah tuan rumah - Dengan kata lain, beradablah sebagaimana kita berada di rumah orang. Letakkan diri kita sebagai tuan rumah. Apa yang kita suka atau tidak suka? Maniskan bibir dengan senyuman.
  • Berbicara dengan lembut dan tidak menyakitkan hati - Sekiranya ditegur/dinasihati, bertenang dahulu. Usah cepat melatah. Jika kita berada di pihak yang benar, berbicaralah dengan elok untuk mempertahankan diri. Namun jika benar apa yang diperkatakan tuan rumah, mohon muhasabah diri balik. Semuanya untuk kebaikan kita juga.
  • Pelihara aurat - Cuba tengok, siapa yang berada di dalam rumah yang kita duduki? Perempuan, perlulah menjaga aurat di hadapan abang iparnya. Lelaki, kasihi abang kita dan pastikan kakak ipar kita memelihara auratnya di hadapan kita (tetapi bagaimana?). Bagi yang tinggal dengan ibu saudara, jagai aurat di hadapan bapa saudara sabit serta sepupu-sepupu kita dll. 
  • Balik awal - Sekiranya tidak ada urusan yang benar-benar penting, paling tidak... baliklah sebelum masuk waktu Maghrib. Lebih-lebih lagi jika kita adalah kaum hawa. Banyak yang perlu dipelihara. Lagipun, tidak manis keluar pada lewat malam. Fikirkan sekali perasaan tuan rumah. Sekiranya kita adalah tuan rumah, sukakah kita andai orang yang duduk di rumah kita itu... 'Keluar masuk rumah ikut suka hati dia?' Memang... kita sudah pegang kunci pendua tetapi itulah... tanya balik tuan rumah. Kalau mereka tidak kisah... 'baliklah pukul 2.00 pagi pun'. 
  • Ringankan tulang membantu tuan rumah - Yuk... rajinkan diri membantu di dapur (masak, basuh pinggan). Jangan basuh pinggan kita seorang sahaja. Kelapangan, tolonglah bersihkan rumah sekali (sapu sampah, mop rumah, basuh kain, jemur kain, lipat kain). Selain dapat meringankan beban tuan rumah, turut menyenangkan hati mereka sebenarnya. Bukan buat hari-hari pun. Dengan lain perkataan, bantulah sedaya yang kita mampu.
  • Ada lebih, kongsikan juga - Sekali-sekala kalau mampu, belilah juga barang dapur atau apa-apa yang dirasakan perlu. Iyalah. Kita sudah duduk free. Makan pun boleh jadi free. Bil elektrik dan air sudah lepas. Maka.....
  • Bangun awal juga - Yang ni... ditujukan kepada kaum Hawa. Cuba tengok rutin tuan rumah. Dia bangun pukul berapa ya? Kalau tuan rumah bangun jam 6.00 pagi untuk buat sarapan, jangan pula kita bangun pukul 7.30 pagi untuk makan dan pergi kerja. Duduk lama dengan datang sekali sekala lain tau. Kalau sekali sekala... mungkin letih blablabla. Kita pula tetamu. Akan tetapi kalau kita duduk berbulan atau mungkin bertahun, bangun pula apabila semua sudah tersedia atas meja... lagu mano? Nanti tertukar. Kita tuan rumah ke... tuan rumah orang gaji ke? Iyalah. Kita pula tidak langsung membantu. Hati tuan rumah pun perlu dijaga. Lebih-lebih lagi wanita. Sudahlah emosi wanita ni macam-macam. Jadi.... 
  • Jangan jadikan rumah tempat kita 'menumpang' itu umpama hotel.
Sekiranya kita tidak mahu dan tidak bersedia untuk melakukan perkara di atas... bak kata sang teman kepada Muthiah, "Lebih baik angkat kaki. Cari rumah lain untuk diduduki." Huh! Kerasnya tetapi mungkin dia sudah terlalu lama memendam rasa.

Moga kita menjadi hamba ALLAH yang peka terhadap perasaan orang lain. 

Muthiah : Pernah menumpang di rumah nenek saudara sewaktu belajar dahulu.
Labels: | edit post
0 Responses