Mencari Naurah (Bab 58)

Novel | Mencari Naurah 


‘YA ALLAH, aku buntu dalam mencari jawapan. Tunjukkan aku jalan yang lurus. Tunjukkan aku jalan yang benar. Tunjukkan aku jalan yang ENGKAU redhai...’

Lama sungguh aku bersujud. Air mataku pula mengalir semakin laju. Seolah-olah tidak mahu berhenti lagi. Kedengaran esakanku memenuhi ruang kamar yang samar-samar tanpa cahaya. Sengaja aku tidak menyalakan lampu. Khuatir kan mengganggu Azmar yang sedang lena dibuai mimpi. Saat-saat begini, aku benar-benar membutuhkan TUHAN-ku. Aku mencari DIA tanpa jemu se per tiga malam ini. 'Aku sememangnya sedang buntu dan keliru, ya ALLAH,' rintihku sayu.

‘Kau tidak akan temui jalan yang engkau cari,’ kedengaran suara hati berkata-kata. Sering kali dia hadir untuk menempelak diriku.

Insya-ALLAH, ALLAH itu dekat untuk menunjukkan jalan.

‘ALLAH memang dekat tetapi engkau sebenarnya acap kali menjauhi-NYA,’ ujarnya lagi.

Diam... aku tahu aku pasti kalah dalam pertengkaran ini. Kata-kata hati jarang sekali berbohong. Hanya aku yang gemar berdolak-dalik.

‘Engkau mahu ditunjukkan jalan yang lurus, jalan yang benar, jalan yang diredhai, namun engkau tidak pernah mahu mengosongkan hatimu daripada permainan nafsu.’ Hati masih belum puas. Ada sahaja yang tidak cantik pada pandangannya. Diam... aku hanya mahu mendengar hatiku berbicara. Aku tidak mahu berbalah dengannya lagi.

‘Di dalam sanubarimu, ada Asyraf yang kau cintai sejak dari dahulu. Kau terlalu menyintainya sehingga tertutup pintu hatimu buat insan lain yang mungkin sebenarnya lebih baik untukmu... Mungkin Anuar dan mungkin juga Helmy.  Sesungguhnya, ALLAH sahaja yang lebih tahu...

Rasa cinta itu telah menyebabkan kau tidak dapat melihat sebaiknya... Kau lupa bahawasanya yang paling patut kau cintai sepenuh hati adalah DIA yang telah menciptakan ketiga-tiga insan yang didatangkan buatmu untuk mengujimu...

Foto : Sekadar gambar hiasan

Lupakah kau pada ancaman-NYA???

Katakanlah : Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai; lebih kamu cintai daripada ALLAH dan Rasul-NYA serta berjihad di jalan-NYA. Maka tunggulah ALLAH mendatangkan keputusan-NYA...’

Jadi, berikan aku jawapannya, wahai hati. Aku merayu. Air mataku mula gugur satu per satu ke bumi. Aku akui kebenaran kata-kata hati.

‘Hati adalah organ manusia yang diciptakan TUHAN. Hati tidak punya kuasa untuk mengetahui jalan cerita akhir kehidupan seorang hamba. Hati hanya boleh tersentak  tetapi kadang-kadang hati juga tidak dapat menyelami erti sentakan tadi...

Maka, kembalilah kepada TUHAN-mu yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Meskipun dosa yang kau lakukan sebesar gunung... DIA akan tetap mengampunimu...’

‘Daripada Anas bin Malik R.A. berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘ALLAH SWT berfirman, ‘Wahai, anak Adam. Sepanjang kau bermohon dan berharap kepada-KU, akan AKU ampuni apa-apa yang telah kau lakukan, Aku tidak peduli. Wahai, anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian kau meminta ampun kepada-KU, akan AKU ampuni. Wahai, anak Adam, sesungguhnya jika kau datang kepada-KU membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian kau datang kepada-KU tanpa menyekutukan AKU dengan sesuatu pun, pasti AKU akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula (H.R. Tirmidzi)...’ hatiku menyudahi peringatannya. Tanpa sedar, aku terlena...

~bersambung~
0 Responses