Mencari Naurah (Bab 59)
Sunday, October 07, 2012
Novel | Mencari Naurah
“ASHA, bangun... ada panggilan tidak berjawab dan mesej. Asha buat apa
sampai letih sangat ni?” Azmar yang baru siap mandi menggoncang-goncang bahuku
perlahan.
|
“Astaghfirullah...
Sekarang dah pukul berapa?” Aku sedikit kelam-kabut. Itulah... bukankah mak
sudah berpesan agar tidak tidur sesudah asar?
“Sudah
pukul 8.00,” Azmar masih memandang wajahku. “Ada nasi goreng kampung atas meja.
Makanlah. Esok Asha nak puasa, bukan?” Dia menyambung.
Tanpa
menjawab pertanyaan Azmar, aku segera berlari ke bilik air. Solat maghrib belum
kutunaikan lagi... ‘Astaghfirullah. Ya, ALLAH...’
“KENAPA muka Asha nampak kusut? Ada masalah?” soal
Azmar sewaktu aku sedang melipat kain sejadah.
Aku
sekadar tersenyum.
“Sudah
baca mesej? Siapa yang telefon?” Bertubi-tubi soalan yang menerjah.
“Sebentar.
Asha ambil telefon bimbit dahulu,” kataku lalu berjalan ke arah almari solek.
‘Mana, ya?’ aku tercari-cari pula telefon tersebut di tepi katil.
“Telefon
di luar daa...” jerit Azmar sambil ketawa berdekah-dekah.
‘Azmar,
Azmar. Tidak pernah puas menyakatku. Tak apa. Ada lori, ada bas. Ada van, ada
kereta api...’
“Terima
kasih, terima kasih,” ucapku sambil menjelirkan lidah kepadanya.
Mak
ai, lima panggilan tidak berjawab. Satu daripada mak. Manakala empat lagi
adalah nombor Anuar. Ya, aku sepatutnya memberi jawapan kepada lelaki itu hari
ini. Patutlah dia menelefonku berkali-kali. Peti mesej kubuka cepat. Ada sistem
pesanan ringkas daripada Asyraf rupanya.
Salam, Sha. Maaf sekiranya saya
terlalu memaksa (lama tidak ikuti halakah ilmu agaknya). Akibatnya, jati diri
menjadi tidak kuat. Insya-ALLAH, Asha ambillah berapa banyak masa yang Asha
kehendaki. Salam.
Aku
tersenyum sendiri. Asyraf mengakui kesilapannya. Aku sendiri gusar dengan caranya yang tidak seperti
biasa. Semacam orang lain yang menggunakan jasad lelaki itu. Namun, aku sedari
bahawa Asyraf juga manusia biasa yang punya kelemahan. Bukankah iman manusia
itu bertambah dan berkurang?
“Anuar
dan mak yang telefon. Mesej pula datangnya daripada Asyraf.” Aku memberitahu
Azmar.
“Oh,
budak tadi,” Azmar cuba mengingat-ingat. Dia membelek-belek majalah Remaja yang
dibelinya dengan begitu khusyuk. Semacam ada sesuatu yang telah menarik
perhatiannya.
“Finalis
yang keberapa?” soalku ingin tahu.
“Kedua.
Boleh tahan juga.” Azmar
memberi komen dengan mulut yang dimuncungkan. “Ada apa-apa yang hendak
dikongsi?” Dia seolah-olah tahu apa yang bermain di dalam hatiku. Diam...
“Tidak
payah malu-malu. Mar sudah kenal sangat dengan Cik Natasha. Mesti ada yang
tidak kena sampai boleh tertidur selepas asar,” ucapnya lagi.
“Tadi...”
lidahku kelu. “Asyraf cakap ayahnya mahu datang merisik... Hari ini...” aku
terdiam lagi. “Sepatutnya beri kata putus kepada Anuar,” aku berasa serba
salah.
“Jadi...”
Azmar yang tadinya begitu asyik dengan majalah kesayangannya itu kini sudah
berubah posisi. Majalah tersebut diletakkan di atas meja. Dia segera duduk di
tepiku sambil memandang tepat anak mataku.
“Adakah lelaki yang pernah Asha
ceritakan dahulu adalah Asyraf? Senior yang Asha suka, ya?” tekanya.
“Ya.
Mak dia yang datang hari itu. Betul! Asha memang suka dia,” jawabku pendek.
“Oh,
begitu...” Azmar masih tidak berkelip memandangku. “Asha hampir menerima Anuar
kerana seperti sudah tidak ada harapan untuk bersama Asyraf. Namun, tiba-tiba
teruna idaman itu muncul di hadapan mata. Rumit, rumit.” Dahinya berkerut. Ada
sesuatu yang sedang bermain dalam pemikirannya.
Aku
terdiam. Betul seperti apa yang diperkata. ‘Adakah pensyarah muda ini sudah
bertukar profesion menjadi mak bomoh?’ Aku tersenyum sendiri.
“Kasihan,
Anuar.” Azmar menambah.
“Dia
benar-benar sukakan Asha tetapi hati Asha ada pada orang lain. Dan tiba-tiba,
lelaki yang tidak dikehendaki itu datang dalam hidup Asha,” Azmar sedikit
mengeluh.
Aku
tetap diam. Sepertimana perbincanganku dengan hatiku sendiri, aku lebih banyak
mendiamkan diri.
“Asha
suka Anuar? Maksud Mar... Jauh dalam hati Asha, adakah Asha menyintainya?”
“Tak
tahu,” aku menjawab pendek.
“Asha
suka Asyraf?” Azmar bertanya lagi. “Hati Asha cintakan Asyraf?” Memang bijak
dia bermain kata-kata. “Macam...”
“Ya,”
balasku pendek.
“Dua
soalan yang sama tetapi jawapan yang berbeza. Anuar, jawabnya tidak tahu.
Asyraf pula, macam ya...” Azmar terdiam seketika. Mahu berfikir agaknya. “Yang
dapat Mar simpulkan... Asha suka Asyraf. Anuar hadir sipi-sipi dalam hati Asha.
Kalau Asyraf tidak muncul, mungkin Anuar terpilih tetapi...” Dia terdiam
seketika. “Kasihan, Anuar...” suara Azmar mengendur. Dia tidak meneruskan kata-katanya.
“Pandangan,
Mar?”
“Mar
lebih suka jika Asha meneruskan hubungan dengan Anuar. Sebab bagi Mar, Anuar
tulus menyayangi Asha...” suara Azmar sedikit bergetar. “Cinta tidak boleh
dipaksa walaupun masih ada potensi untuk dipupuk. Cinta tidak menjamin kebahagiaan
tetapi cinta itu penting untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga. Tanpa
cinta, dunia pasti tidak akan aman. Peperangan, pecah-belah dan banyak
lagilah...” Dia memulakan sesi kaunselingnya.
Aku
masih lagi membisu.
“Apapun
keputusan yang Asha buat, jangan sekali-kali Asha menyesal dan berusahalah
untuk menghadapinya. Baik dengan Anuar mahupun Asyraf. Kalau dengan Anuar,
mungkin Asha setakat perlu memupuk rasa cinta itu dan lupakan cinta lama...”
Azmar menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Sebentar...”
Azmar menyambung kemudian diam
kembali.
“Istilah
setakat bukan bermakna mudah. Memupuk rasa cinta bukanlah sesuatu yang mudah
untuk dilaksanakan. Bergantung pada Asha sendiri...” Azmar mengambil kembali
majalah Remaja yang terletak di atas meja.
“Kalau
Asha pilih Asyraf, Asha mungkin mendapat cinta. Dalam masa yang sama, Asha
terpaksa berhadapan dengan mamanya dan boleh jadi ada lagi yang tidak merestui
perhubungan Asha. Asha sendiri sudah cerita, bukan? Di situ, Asha perlu kuat
dan tabah. Asha tidak boleh menyesal dengan apa yang telah Asha putuskan...”
Majalah Remaja yang diambil diletakkan kembali. “Kelebihannya... Bilamana orang
yang dicintai ada bersama kita, lazimnya kita akan kuat dengan sendirinya,”
tambahnya lagi.
“Terima
kasih, Mar,” aku bersuara jua akhirnya.
“Fikirlah
sebaiknya. Jangan buat keputusan melulu. Banyakkan berdoa kepada TUHAN. Asha
sendiri lebih arif. Okey? ” Azmar akhirnya menyudahi ceramah tidak rasminya.
“Insya-ALLAH.
Terima kasih sekali lagi,”ulangku.
Azmar
melangkah perlahan ke bilik tidur.
SMS
kiriman Asyraf kubaca berkali-kali. Insya-ALLAH, akan kuberikan jawapan yang
pasti....
~bersambung~
Kak, tak sempat nak jumpa malam HSKU.
Kak, tak sempat nak jumpa malam HSKU.
Hadir sama, ke? Duduk belah mana?
Rasanya, meja saya yang tidak penuh. Meja kategori Cerpen Remaja.
Wah, menang hadiah? Tahniah. Akak tak cam muka. Kalau cam, mesti akak dah tegur. Insya-ALLAH, lain waktu boleh ketemu, bertukar-tukar fikiran.
akak boleh baca di sini.
http://mieadham86.blogspot.com/2012/10/kemenangan-adalah-suatu-anugerah-hsku.html
Alhamdulillah. Tahniah! Akak cuba komen di blog Helmi tapi tak berjaya. Hmm... macam mana kalau kita mahu menyertai pertandingan sebegini ya? Rasa diri belum sampai ke tahap penulisan sebegitu tetapi tetap mahu cuba dan belajar :)
Akak, mungkin akak tidak masukkan perkataan itu sepenuhnya, termasuk nombor. Boleh cuba lagi.
Sebenarnya, karya yang tersiar di Utusan Karya akan dinilai. Media tersebut termasuk Mingguan Malaysia, Utusan Melayu Mingguan, Harmoni, Wanita, Pemikir.
Jika karya tersebut tersiar di sini, pasti karya tersebut akan dinilai, jika memenuhi kriteria pihak panel akan diangkat sebagai pemenang.