Nur Di Hatinya
Thursday, November 10, 2011
Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Baik-baik sahaja. Cuma... hati berasa tidak selesa. Kenapa? Entahlah.
Ada masalah? ~ Macam tidak.
Ada sakit hati pada sesiapa? ~ Insya-ALLAH, tidak.
Ada dengki pada siapa-siapa? ~ Tidak.
Hmm... mungkin hati sedang menjauh daripada DIA yang sewajarnya sentiasa didekati. Jika sahabat-sahabat berhadapan dengan keadaan ini, apa yang akan dilakukan?
Muthiah...
Istighfarlah cara untuk menenangkankan jiwa yang tidak keruan. Kerana sesungguhnya, tidak tenteram itu boleh jadi disebabkan oleh dosa yang tidak kita sedari... Hati tidak cukup bersih dan banyak lagi. Hmm... Tersalah buat. Tersalah cakap. Tersalah menghiris hati. Siapa tahu? Astaghfirullah...
Baik. Hari ini, Muthiah hendak promosi novel NUR. Jeng jeng jeng...
Nur di hatinya
Sinopsis
“Kau pembunuh, Udin! Kau pembunuh!” Kalimah yang terbit di bibir Siti Sarah, kakak kepada Saifuddin itu terus terngiang-ngiang di indera dengar anak muda itu. Kerana kata-kata itu juga, dia membawa diri ke sebuah daerah di Indonesia. Dia berpaut pada kasih dan ehsan seorang murabbi, Kiai Hasan. Ketika itulah dia mengenal manisnya al-Quran.
Beberapa tahun berlalu, dia kembali ke kampung halaman dengan izin Kiai Hasan yang sudah dianggap seperti bapanya. Dia pulang bukan lagi sebagai seorang penagih dadah, sebaliknya menggalas satu harapan, iaitu menunaikan hajat arwah ayahnya yang tidak kesampaian. Namun jauh di sudut hati, dia tertanya-tanya, sudahkah Siti Sarah mengampunkan dosanya?
Di kampung, Saifuddin berusaha mengumpul dana untuk membina pusat pengajian al-Quran untuk golongan warga emas. Dalam diam Siti Zulaikha, majikannya memuji kegigihan lelaki itu untuk menegakkan tiang agama.
Panas tidak sampai ke petang. Saifuddin disahkan doktor menghidap barah perut. Tanpa diduga, Siti Zulaikha menghulurkan kasih kepada Saifuddin. Mampukah Saifuddin menyambut salam kasih wanita itu? Hakikatnya, dia turut menyukai wanita itu, tetapi dia sedar hayatnya tidak panjang.
Setinggi-tinggi tahniah Muthiah ucapkan kepada penulisnya, Puan Siti Munirah. Lanjut tentang beliau, oh maaf. Kami belum bertaaruf lagi. Insya-ALLAH lain masa, mungkin ^^
Muthiah : Maaf jika ada yang terhiris kata terang-terangan.