Mencari Naurah (Bab 19)

“ASHA, jom berkumpul di depan dewan. Ada sedikit taklimat daripada tuan pengarah,” ajak Anuar sambil tersenyum.

“Depan dewan?” aku sepertinya tidak tahu apa-apa dan sedang berada di dalam duniaku sendiri.

“Ya, cik adik. Jangan bimbang, lalang-lalang di luar sana sudah abang tebas sampai licin. Bolehlah kita buat majlis kita nanti,” Anuar cuba berjenaka tetapi sama sekali tidak menggelikan hatiku. Persoalannya ialah kenapa di hadapan dewan? Tidak di dalamnya. Bukankah panas di luar sana?

“Eh, silap... dalam dewan daa.” Anuar menepuk dahinya perlahan. Bukankah aku sudah kata, pasti ada yang tidak kena dengan informasinya.


Tanpa menanti respons daripadaku, cepat-cepat dia berjalan ke arah pentas, tempat Asyraf dan rakan-rakan yang lain berkumpul. Tanpa berganjak, aku memerhatikannya dari tempat aku berdiri.

Anuar kelihatan begitu bergaya. Dengan parang yang berkilat (seperti tidak pernah digunakan), Anuar begitu cocok dengan penampilan barunya. Belum pernah aku melihat Anuar berpakaian ala-ala pemuda dari desa. Entah kenapa tiba-tiba hatiku sedikit terusik dengan gelagatnya. Tidak seperti seorang presiden kolej kediaman... Kolej Kediaman Pertama pula itu. Bukan itu sahaja, di kampus Universiti Malaya lagi.

Apapun yang pasti, semangatnya yang begitu waja harus dipuji dan dicontohi. Aku tersenyum sendiri. “Hidup Anuar! Hidup Yang Berhormat! Hidup YB!” Aku berkata perlahan.

INGATANKU tiba-tiba kembali ke kampung halaman. Entah apa yang sedang berlaku, aku sendiri tidak dapat mengagaknya. Bagaimana dengan mak dan Adilla? Adakah segala-galanya sudah selesai?

Khuatir memikirkan mak, jemariku segera menekan punat telefon. Telefon bimbit Adilla kuhubungi...

“Assalammualaikum... Dilla, macam mana?” aku bertanya tanpa sempat Adilla menjawab salamku.

“Waalaikumussalam. Mak tengah baring-baring di ruang tamu. Runsing fikir tentang Abang Arul gamaknya. Abang Arul sekarang sedang berbulan madu di dalam lokap. Namun sayang, bulan madunya tanpa teman. Biar dia rasa, kak. Tadi muka Abang Arul nampak merah. Marahkan mak agaknya,” bersungguh-sungguh Adilla bercerita.

“Tidak sedar-sedar lagi? Dalam lokap pun ada hati hendak marah mak?” Aku berkata sendiri, perlahan... cukup perlahan.

“Tidak akan sedar, kak!” Balas Adilla pula. Suaranya juga seperti sedang marah.

Ops... rungutanku didengari. “Dilla cuti sampai bila?” soalku ingin mengawal keadaan.

“Ahad ini balik politek, insya-ALLAH,” jawabnya ringkas.

Tiba-tiba aku terdengar suara orang batuk. “Akak dengar bunyi orang batuk. Siapa?”

“Mak. Dari pagi tadi dia tidak berhenti batuk.” Adilla menerangkan secara ringkas.

“Baiklah. Adilla jaga mak. Apa-apa, jangan lupa hubungi akak. Kalau tidak ada kredit, hantar SMS. Nanti akak telefon Dilla balik.” Aku sedikit mengarah. Emosiku kurang stabil saat ini.

‘Astaghfirullah,’ aku terlalu mengikut perasaan. Aku cepat-cepat berjalan ke arah teman-temanku yang sedang bergelak tawa. Entah apa yang menggelikan hati mereka, aku sendiri tidak tahu.

“Kak Asha...”

Namaku tiba-tiba dipanggil seseorang. Aku menoleh perlahan dan seorang gadis kecil molek sedang berlari-lari anak mendapatkanku.

“Ya, sayang.” Aku berkata dengan lembut.

“Hmm...” Nadia diam seketika.

“Kenapa muka akak suram?”

Nah! Anak kecil pun dapat melihat perubahan riak wajahku.

“Tidak ada apa-apa, sayang. Letih agaknya.” Aku berhelah. Aku tidak berbohong kerana sememangnya aku keletihan.

“Nadia sayang akak,” katanya pula lantas mencium tanganku.

“Akak pun sayang Nadia.” Balasku. Hatiku tiba-tiba berasa pilu.

‘Akak sayang Nasrul...’

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

~bersambung~

Sumber gambar - http://www.deviantart.com/

0 Responses