Mencari Naurah (Bab 23)
~~ Di kesempatan ini, Muthiah ingin mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR kepada papa Muthiah. Muthiah doakan, papa panjang umur, murah rezeki dan diberkati ALLAH selalu. Moga papa, arwah mama, adik-adik dan famili di Pasir Mas kan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sayang papa ~~ |
AKU memuhasabah diriku sendiri. ‘Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya...’ Dalil dari surah al-Baqarah ayat 286 itu aku renung dan hayati. ‘ALLAH ada... ALLAH dekat... ALLAH tahu... ALLAH faham...’ |
Dalam memuhasabah diri, wajah Asyraf tiba-tiba hadir tetapi mujur hatiku tidak berdegup kencang kali ini. Tidak seperti sebelumnya, jiwaku sering meronta-ronta tatkala teringatkan dirinya.
Ya! Janji ALLAH yang sentiasa benar. Aku memandang mak dan Adilla yang sedang nyenyak tidur. Aku tahu, mereka pasti keletihan. Maklumlah, sehari suntuk berkampung di balai polis.
Wajah mak kuamati dalam-dalam. Tetap tenang di sebalik kesedihan yang dihadapi. Aku beralih kepada Adilla. Hmm... ada titis-titis air pada kelopak matanya. Sekejap-sekejap ia menarik nafasnya kuat. Oh, rupa-rupanya adikku yang seorang ini tidak tidur. Aku tidak mahu mengganggu, biarlah dia menenangkan dirinya dahulu. ‘Ya, ALLAH. Tabahkanlah hati mak dan adikku,’ aku berdoa di dalam hati.
Aku teringat peristiwa petang tadi. Mak yang selama ini begitu tabah, seakan-akan sudah berputus asa. Dia nampak begitu lemah dan tidak seperti mak yang kukenal selama ini.
Mak yang aku kenal sentiasa berfikiran positif dan optimis. Dia yakin bahawa Nasrul akan berubah dan menjadi orang yang berguna pada suatu hari nanti. Akan tetapi, penangkapan Nasrul telah membongkar sesuatu yang disembunyikan mak.
Mak yang sentiasa tenang berhadapan dengan karenah Nasrul sebenarnya telah banyak memendam rasa. Hakikatnya, mak berdukacita dengan anak teruna yang tidak pernah mahu sedar. Mak mungkin kecewa dan risaukan masa depannya tetapi dia sendiri tidak pernah mahu khuatir, tidak sayangkan diri sendiri.
Kalau cintakan diri, masakan dia sanggup merempit. Bukankah tindakannya itu boleh mengundang malang? Silap hari bulan, boleh membawa kepada kecelakaan. Tidakkah dia terfikir akan segala kemungkinan yang boleh berlaku? Patah kaki, cacat, lumpuh atau... aku tidak mahu mendoakan kemudaratannya, namun dia sendiri sedang menuju ke arahnya. ‘Astaghfirullah...’
Tauhid uluhiyyah menyebut bahawa ALLAH itu ILAH, tempat mengabdikan diri dan tempat memohon pertolongan. Bukankah ALLAH ada? ALLAH itu dekat!!!
Kita sedih?
Kita kecewa?
Kita buntu?
Maka, kembalilah kepada-NYA dan mengharapkan pertolongan-NYA. Kita tidak seorang tetapi kita sebenarnya yang sering melarikan diri daripada ALLAH yang sentiasa hampir dengan kita.
Aku tahu... ALLAH sebagai Tuan Punya sudah sedia maklum terhadap sesuatu yang terbaik buat makhluk ciptaan-NYA. Dia sama sekali tidak akan melakukan perkara yang sia-sia. Firman ALLAH dalam surah ali-Imran ayat 191 yang bermaksud, ‘Tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia...’ Justeru, usahlah sekali-kali berputus asa tatkala ditimpa musibah mahupun ujian.
Benar! ALLAH sama sekali tidak akan melakukan perkara yang tidak mendatangkan manfaat buat hamba-hamba-NYA. Maka, sebagai makhluk ALLAH yang lemah lagi kerdil, kita perlulah sentiasa bersangka baik kepada-NYA.
Tidak dapat kusangkal lagi. Sebagai manusia yang lemah, kadang-kadang aku lupa kepada ketentuan qadak dan qadar. Aku mengeluh dan meratapi dugaan. Salahkah menangis tatkala diuji? Tidak salah, namun janganlah menangis dek menyesali ketetapan ALLAH, tetapi menangislah dalam mengharapkan bantuan-NYA. Bilamana terlupa, kembalilah kepada DIA yang tidak pernah lari jauh daripada diri kita.
Aku tahu...
Kadang-kadang aku terlupa apabila tidak diingatkan. Tanpa sedar, aku menafikan ketentuan ALLAH. Aku melatah dan terus melatah. Aku menangis tanpa henti serta mengikut kata hati. Iman dan takwa aku letak ke tepi. Aku lupa bahawa aku adalah seorang Muslim yang memiliki TUHAN sebagai PEMILIK dan PENCIPTA. Argh, sering kali aku menjadikan lupa sebagai alasan kealpaanku.
‘Ya, ALLAH. Ya, ALLAH...’
‘Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu amat dekat...’ aku merintih sayu. Aku mendambakan kekuatan dan kekuatan itu tidak lain hanya daripada DIA yang memiliki segala-galanya.
~bersambung~
Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.