Mencari Naurah (Bab 16)

ENTAH mengapa begitu sukar untuk melelapkan mataku. Wajah Asyraf muncul dalam mindaku. Kupusing kiri... kupusing kanan... dia tetap hadir. Dia tidak banyak berbicara, namun ketokohannya telah menambat hatiku. Bukan sahaja diriku bahkan...

“Asha mahu tahu satu rahsia?” Kata Kak Rose sesudah menghantar Shazleen dan Nadia ke rumah Pak Madi. Sebenarnya, ibu bapa mereka ada bersama sepanjang aktiviti berlangsung, namun kami lebih senang untuk berjalan bersama kanak-kanak istimewa ini.

“Rahsia apa, kak?”

“Hmm...” Kak Rose nampaknya ragu-ragu untuk meluahkan rasa.

“Akak selalu berdoa agar dapat bertemu jodoh dengan Asyraf,” ucap Kak Rose dengan perlahan. Wajahnya bertukar kemerahan.

Tersentak dengan pengakuan Kak Rose, aku cuba berlagak selamba. ‘Kak Rose pun menyimpan perasaan terhadap Asyraf???’ Aku menjerit di dalam hati. Tidak! Tidak! Tidak!!!

“Insya-ALLAH, kalau sudah jodoh pasti tidak akan ke mana.” Terasa senyuman yang terukir pada bibirku hanyalah senyum yang dibuat-buat. Aku yakin aku tidak ikhlas dalam ucapanku.

‘Ya, ALLAH. Ampunilah dosaku.’ Aku merintih sendiri.


Dia memiliki peribadi yang begitu mapan, sudah tentu menarik perhatian mata yang memandang. Aku juga tidak terkecuali. Bilamana tercipta sebagai manusia, pasti punya naluri untuk memiliki, menyayangi dan disayangi. Namun, layakkah aku meletakkan impian untuk mendampinginya sedangkan aku punya kekurangan yang ketara?

‘Kak Rose memang selayaknya untuk Asyraf.’ Aku berkira-kira sendiri. Bukan sahaja cantik bahkan hampir sempurna pada kaca mataku. Dia menjadi impian teruna yang menginginkan bunga mekar yang terpelihara. Dia suci daripada sebarang noda. Kak Rose layak menjadi seumpama Ratu Sulaman yang menang dalam persaingan merebut hati seorang jejaka yang bernama Laksamana Sunan dan... Saifudin itu adalah Asyraf.

Asyraf! Meskipun menyedari kekurangan diri, hatiku tetap tidak dapat melupakannya. Risau, khuatir, namun tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Walaupun kaki berlari kencang menjauhinya, hatiku tidak mahu turut serta. Dia akan tetap berada di sini kerana dia merasai sudah dipunyai meski belum memiliki.

Oh, siapakah dia yang sebenarnya? Tidak seperti Anuar, aku tidak tahu banyak perkara tentangnya. Lelaki misteri itu kelihatan begitu merendah diri, namun masih terserlah ketokohan dan kepimpinannya. Dia sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian.

Dia boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik di samping memahami bahasa Jepun. Hal ini menyebabkan dia begitu dihormati orang di sekelilingnya. Kalau tidak, masakan ada yang menggelarnya Mr. Perfect. Asyraf yang segak lagi tampan serta hampir sempurna!

Bukan itu sahaja, Asyraf juga tidak kekok berurusan dengan pihak pentadbiran kolej kediaman mahupun HEP. Seolah-olah dia telah didedahkan dengan dunia korporat sebelumnya. Mungkin kerana sudah lama berada di kampus, menyebabkan dia matang dalam membuat keputusan.

“Akak tidak tidur lagi?” Tersentak aku daripada lamunan tatkala Sal menegurku.

“Hmm... tidak dapat tidur,” aku memberitahunya dengan jujur.

“Saya pun tidak dapat tidur,” kata Sal sambil membelek buku Bagaikan Puteri yang kuhadiahkan kepadanya.

“Apa yang Sal fikirkan?” aku menghadap wajahnya yang ayu walaupun dalam samar-samar malam.

“Entahlah...” Sal diam seketika. “Lusa, saya perlu kembali ke kampus. Berat hati hendak meninggalkan mak dan ayah,” katanya lagi.

“Awalnya hendak balik. Bukankah masih cuti lagi?” Dahiku berkerut.

“Ya tetapi saya ada program bersama ISIUKM,” jawabnya ringkas.

“Insya-ALLAH... Nadia nampak sudah pandai membawa diri walaupun usianya masih muda. Shazleen dan Amir pun tidak banyak membuat karenah,” aku cuba menenangkan dirinya. Aku tahu dia risaukan ibu dan bapanya yang sudah tua tetapi masih perlu membanting tulang untuk keluarga. Bukan itu sahaja, mereka masih perlu melayan karenah anak-anak kecil sedang dalam usia mereka, selayaknya sudah duduk goyang kaki dan menanti kehadiran cucu sebagai penghibur hati. Itulah ibu itulah bapa. Apalah sangat hendak dikira jika mahu dibandingkan dengan kasih yang tersimpul di dalam dada. “Insya-ALLAH, ” kata Sal.

Tidak sedar bilakah aku melelapkan mata. Namun pasti, aku telah bermimpi. Mimpi indah yang akan kuingat sampai bila-bila. Biar aku sahaja yang tahu...

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

~ bersambung ~

0 Responses