Jika mahu menjadi penulis dengan Alaf21 (xi)

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Ehe. Agak sibuk (berada di kampung), jadi tidak boleh membebel banyak-banyak. Jom kita belajar sama-sama ^_____^

Perkongsian ini Muthiah dapat daripada Puan Sa'adiah Mohamad, editor Alaf21.


Kata sendi nama

Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata-kata sendi nama yang lazim digunakan dalam Bahasa Melayu ialah:

dari, daripada, di, ke, kepada, pada, bagi, demi, tentang, seperti, bagai, umpama, laksana, sejak, terhadap, akan, oleh, hingga, antara, untuk, dengan, dalam, sampai.

A. Kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu atau masa.

Menunjukkan tempat atau arah:

1. Ahmad merantau dari Kedah hingga ke Johor.
2. Saya menunggu teman wanita saya dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 11.00 pagi.
3. Angin bertiup kencang dari arah selatan.
4. Kereta itu membelok dari kiri ke kanan.
5. Bola itu ditendang dari penjuru padang.
6. Kami akan membincangkan tajuk itu dari segi moral.

Menunjukkan waktu atau masa:

1. Tempoh pembayaran balik bermula dari tarikh penyerahan barangan itu.
2. Mesyuarat itu akan diadakan dari pukul 9.00 pagi hingga ke pukul 4.00 petang.
3. Kerajaan itu terkenal sejak dari kurun ke 18.

B. Kata sendi 'daripada' hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan perbezaan atau perbandingan.

Menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad :

1. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya.
2. Daripada siapakah gerangan surat ini?
3. Dia menjauhkan diri daripada bahaya dadah.
4. Sumbangan daripada kerajaan sudah diterima.

Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda:

1. Ukiran itu diperbuat daripada logam.
2. Semua ubatnya daripada akar kayu.
3. Air berpunca daripada gabungan hidrogen dan oksigen.
4. Ahli PIBG terdiri daripada ibu bapa dan guru.

Menunjukkan perbezaan atau perbandingan:

1. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama.
2. Daripada Ali lebih baik Ahmad.
3. Harga kain itu kurang sedikit daripada harga biasa.
4. Barang ini lebih bermanfaat daripada barang itu.
5. Perangai Ahmad berbeza daripada perangai abangnya.

Inilah sedikit maklumat mengenai penggunaan sendi nama 'dari' dan 'daripada'. Moga penulis-penulis semua dapat membezakan dua perkataan ini dalam membina ayat dalam manuskrip.

Sekian, terima kasih kerana sudi belajar ^^
2 Responses
  1. belajar morfologi di sini.hehe


  2. Azhan,

    ^___________^ Selamat belajar.