Mencari Naurah (Bab 18)
Tidak tenang mengenangkan mak yang entah bagaimana keadaannya, aku segera menekan butang telefon menghubungi Adilla.
“Hello, siapa ni?” Garang benar suara adik bongsuku kali ini.
“Kak Sha sini. Dilla di mana sekarang?” aku bertanya lembut.
“Hmm...” Adilla terdiam sebentar. “Dilla ada di balai polis.” Teragak-agak dia berbicara.
“Buat apa di sana?” soalku lagi. Kali ini nada suaraku sedikit tinggi. Berdebar-debar memikirkan sebarang kemungkinan.
‘Ya, ALLAH...’ aku berbisik sendiri.
“Abang Arul masuk lokap, kak. Semalam kena tangkap kerana merempit. Mak sedang berbincang dengan pak cik polis untuk jamin abang.” Adilla menerangka
n seolah-olah berbisik. Tidak mahu didengari siapa-siapa agaknya.
Hmm... isu permasalahannya sudah jelas! Nasrul ditangkap polis kerana merempit! Tidak habis-habis dengan perangainya yang membebankan mak. Hatiku menggelegak, ‘Nasrul, Nasrul...’ Marah tetapi tetap kutahan perasaan itu.
“Belum selesai lagi urusannya?” aku meneruskan soal siasatku. Perasaan bersalah menyelubungi hatiku. Mak kini sedang sendiri menghadapi dugaan yang disebabkan oleh Nasrul.
“Mak tidak cukup duit, kak. Ini bukan kesalahan pertama Abang Arul tetapi sudah berpuluh-puluh kali. Kalau tidak ada orang dalam, gamaknya susah Abang Arul hendak lepas tetapi mak tetap pujuk pak cik polis misai kontot tu untuk kurangkan duit ikat jamin. Akak faham perangai mak, bukan?” Adilla diam sejenak. “Kalau tidak jamin lagi baik. Menyusahkan orang sahaja,” tambahnya lagi. Cukup perlahan... mungkin tidak mahu didengari sesiapa.
“Apa, Dilla?” aku bertanya untuk mendapatkan kepastian. Aku tahu Adilla sedang marah.
“Eh... Tak ada apa-apa, kak,” jawabnya pendek.
“Siapa lagi yang ada?” soalku tidak putus.
“Dilla dengan mak sahaja. Mak tak mahu heboh satu kampung. Malu,” suara Adilla sedikit mendatar.
“Nantilah. Akak minta balik awal. Insya-ALLAH, akak cuba dapatkan tiket balik kampung petang ini. Lagipun, dari Setiu ke Kota Bharu... paling lama pun tiga jam,” aku berkira-kira sendiri.
“Eh. Tak apa, kak. Lagipun, mak cakap tak mahu susahkan akak. Abang Arul memang selalu buat hal. Mak sudah biasa uruskan sendiri...” Adilla diam. “Kak, mak larang Dilla beritahu akak. Apa-apa hal Dilla hubungi akak balik. Nanti mak risau pula akak tahu,” katanya perlahan.
“Akak risau sebenarnya. Mak macam mana? Arul macam mana? Hisy... Nasrul, buat hati panas sahaja,” aku meluahkan apa yang terpendam.
“Akak...” kedengaran suara Adilla seakan-akan hendak memujuk. “Tolong, kak...”
Kali ini dia merayuku.
“Mak pesan jangan beritahu akak. Akak baliklah tetapi jangan beritahu mak. Akak balik sebab Abang Arul. Kononnya akak tidak tahu apa-apa. Biar mak yang cerita sendiri. Dilla tidak ada kaitan.” suara Adilla tersekat-sekat.
“Kalau begitu, baiklah. Akak cuba balik hari ini dan...” aku diam sejenak. “Adilla tidak ada apa-apa kaitan dengan pemberitahuan ini tetapi jangan lupa beritahu akak sebarang perkembangan,” suaraku sedikit tegas.
“Insya-ALLAH,” balas Adilla ringkas.
“Kak, mak dah datang. Nanti kita sambung lagi.” Segera Adilla menamatkan perbualan.
‘Nasrul, Nasrul...’ Entah berapa kali aku menyebut namanya. Entah bila dia mahu mengerti? Entah bila waktunya dia mahu memahami dan menyelami perasaan orang lain? Setidak-tidaknya, jangan sampai membebankan. ‘Nasrul, Nasrul...’ hatiku berkata lagi.
SEPULUH minit berlalu. Aku berjalan cepat-cepat ke dalam dewan. Nampaknya, semua orang sudah beristirehat. Aku mencari-cari kelibat seseorang. Ya! Dia ada di sana tetapi kakiku agak berat untuk melangkah...
‘Abang Asyraf, saya perlu balik kampung petang ini atas urusan penting...’
‘Abang Asyraf, ibu saya memerlukan saya waktu ini. Boleh saya pulang awal? Petang ini...’
‘Abang Asyraf, boleh minta jasa baik Abang Asyraf ...’
Argh! Sukarnya mahu menyusun kata.
Aku memejamkan mata lantas berkata, ‘Astaghfirullah...’
Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.
~ bersambung ~