Mencari Naurah (Bab 20)
“MAKANAN dah sampai. Jadi, semua dijemput makan. Jam 1.00 nanti kita berkumpul di dalam dewan semula. Semua fasilitator dikehendaki solat zohor berjemaah di surau Al-Azim,” ujar Asyraf. |
“Jangan berebut-rebut ambil makanan walaupun saya tahu kita semua kelaparan,” Anuar mencelah.
“Meja A, makanan para fasilitator. Meja B untuk para peserta manakala meja C buat ibu bapa,” kata Ainien yang menjadi urus setia bahagian makanan.
Aku dan Kak Rose segera menuju ke khemah yang telah disediakan untuk mengambil makanan. ‘Ramainya!’ Bisik hatiku. “Kak Rose pergi dahulu, Asha hendak ke tandas sekejap.” Aku memberitahu Kak Rose.
“Baiklah,” katanya ringkas.
Kakiku bergerak perlahan-perlahan ke tandas. Kutundukkan kepala ke tanah. Entah kenapa hatiku berasa begitu sayu mengenangkan ibu di kampung? Entah kenapa juga aku begitu emosi hari ini.
Entah dan entahlah... ada sahaja yang tidak kena sehingga jiwaku begitu gelisah. Adakah aku terlalu jauh daripada TUHAN tetapi di manakah silapku? Atau... adakah aku tidak cukup ikhlas dalam tindakanku?
‘Ya, ALLAH. Ampunilah dosa-dosaku...’ aku merintih sendiri. Astaghfirullah... aku mahu menangis tetapi cuba kutahan. Aku tidak boleh terlalu melayan perasaan tetapi entah kenapa jiwaku meronta-ronta untuk melayaninya. Pasti ada yang tidak kena tetapi aku sendiri gusar di manakah khilafnya?
‘Ya, ALLAH. Ya, ALLAH...’ Akhirnya air mataku gugur jua ke bumi. Andai ditanya mengapa aku menangis, aku sendiri tidak pasti sebabnya? Adakah disebabkan Nasrul? Adakah aku menangis mengenangkan mak? Ya! Aku sedih tetapi entah kenapa aku tidak dapat memberikan jawapan yang pasti sebab tangisanku. Boleh jadi tangisan ini hadir dek binti-bintik hitam yang menyelubungi jiwaku. Hanya ALLAH yang tahu.
Tiba-tiba dalam tidak sedar aku terlanggar seseorang! Aku yang sedia tidak bermaya terus jatuh menyembah bumi. Air mata yang tadinya turun perlahan-lahan menjadi semakin laju. Aku kasihankan mak dan tiba-tiba kerinduan buat mak menyelubungi diriku. Benarkah sebab ini aku menangis?
Aku cuba bangkit. Aku tahu ada mata yang memerhati tetapi amat berat bagiku untuk mendongak. Aku terus tunduk menghadap tanah milik TUHAN.
‘Ya, ALLAH. Ya, ALLAH...’
“Natasha tak apa-apa?” Satu suara bertanya. Aku kaget. Aku kenal suara ini. Hatiku semakin gelisah.
Aku mendongakkan kepalaku. Ya! Dia sedang berada di hadapanku dan baru sebentar tadi aku melanggarnya. Oh, TUHAN. Malunya aku...
“Natasha okey?” Asyraf menyoal lagi.
“Eh, tidak ada apa-apa,” aku bingkas bangkit. Tenaga yang tadinya hilang muncul kembali. Aku bangun lalu berdiri di hadapannya.
‘Astaghfirullah.’ Aku beristighfar.
“Kenapa, Sha?” Kak Rose segera menghampiriku. Mungkin dia nampak peristiwa tadi. Peristiwa aku berlanggar dengan buah hatinya...
“Tidak ada apa-apa. Asha pening sedikit sahaja,” kataku memberi alasan. Tidak mahu memanjangkan cerita. Entah kenapa kali ini aku berasa tidak sudi untuk berkongsi rasa dengan sesiapa, termasuk Kak Rose sendiri.
“Kenapa mata merah? Asha sakit?” Anuar tiba-tiba menyampuk. Dia muncul tanpa dipinta dan secara mengejut.
Mataku yang sedia sepet menjadi bulat. Terkesima mungkin. “Tak ada apa-apa. Masuk habuk tadi.” Aku memberi alasan.
“Baiklah, jom makan dahulu. Akak sudah ambilkan makanan untuk Asha,” Kak Rose mengajakku lembut. Wajahnya kerisauan.
“Hmm... terima kasih, kak. Asha hendak ke tandas dahulu. Akak jangan risau. Sedikit sahaja. Tidak ada luka pun,” ujarku sambil tersenyum... mungkin senyum yang dibuat-buat.
“Kalau begitu, akak tunggu di khemah,” Kak Rose bersuara perlahan.
“Baiklah, insya-ALLAH. Asha menyusul nanti,” balasku tidak mahu mematikan harapannya.
Aku berjalan cepat-cepat ke tandas. Segan sebenarnya berlanggar dengan Asyraf. Adakah Asyraf melihat aku menangis?
~bersambung~
Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.
menarik ni.hehe
nak booking nanti boleh ka akak.hehe
Dik, terima kasih.
Silakan.. akak alu-alukan.
Ehe... Sebelum selamat booking, bolehlah menjengah ke sini. Insya-ALLAH akak akan pos dari bab dan bab setiap hujung minggu.
Terima kasih.